PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



03 Februari 2015

Puisi: kesejagatan ilham, pemurnian fikiran




PUISI merupakan karya seni yang berupaya berdiri teguh secara mandiri tanpa perlu berkhidmat untuk atau kepada sesiapa. Puisi tidak wajar dizahirkan untuk tujuan lain selain untuk berpuisi. Ia tidak harus dinilai oleh prinsip retorik moral, mahupun disukat dengan berjana politik ataupun sebarang piawaian yang bukan estetika. Namun begitu, tidak bermakna puisi itu anarkis kerana sebagai karya seni yang tulen, ia mengandungi unsur-unsur pendidikan yang mempengaruhi pembentukan masyarakat dan budaya masa hadapan. Bukankah 'sastera' cermin masyarakat?

Penulis dan ahli falsafah Jerman seperti Kant, Goethe dan Schiller, misalnya, sependapat bahawa karya seni haruslah mempunyai autonomi atau hak sendiri ke atas hasil ciptaan berbentuk seni. Idea seni untuk seni begitu jelas dalam perbincangan Victor Hugo dalam bahagian prakata Cromwell (1827) dan Hernani (1830). Bagaimana pun, beliau sama sekali tidak menolak persoalan moral meskipun tidak semestinya menjadi asas untuk diberikan fokus puitik.

Puisi merupakan santapan jiwa dan halwa raga kepada sesebuah masyarakat yang bertamadun. Legasi puisi dalam membina jati diri bangsa-bangsa teragung telah sekian lama diperikan dalam lembaran-lembaran sejarah dunia.

Ironinya, peranan puisi di negara kita pada dekad-dekad ini dianggap tidak lagi relevan oleh sesetengah pihak. Apatah lagi bidang sastera sudah lama dipinggirkan demi mengejar janji-janji alaf. Generasi hari ini tidak lagi memandang aliran sastera, apatah lagi bidang puisi, sebagai salah satu tonggak moral dan teras jati diri sebuah masa depan yang bermaruah. Jika ada sekali pun hanyalah dalam kelompok yang amat rendah. Memang betul, setiap tahun puluhan buku puisi diterbitkan dan setiap minggu di media masa serta setiap detik di media sosial puisi-puisi diperlihatkan, berapa ramai pula orang yang mengambil berat terhadapnya.

Tegasnya, aliran sastera hari ini tidak lagi berupaya menjadi gerbang impian yang menjanjikan harta dan laba untuk kesejahteraan masa hadapan bagi generasi muda. Ditambah pula dengan sikap kebanyakan orang yang gemar mengejar sesuatu yang baru dan mencicirkan apa yang dikendong sekian lama. Walhal, bukan itu gagasan dan aspirasi negara.

Anehnya, dalam seluruh kegawatan masa hadapan buana puisi negara yang tidak ketentuan ini, sesetengah penggiat puisi kita masih leka berpolemik sesama sendiri. Sesetengahnya lebih gemar membentuk kelas atau kelompok tertentu dalam menilai mutu seni sesebuah karya puisi. Tidak kurang pula yang menyokong usaha pengelasan sebegini demi menjayakan agenda peribadi untuk mengangkat hasil karya sendiri.

Jangan terkejut jika dikatakan bahawa puisi hari ini terbahagi kepada kelas-kelas tertentu. Ia bukanlah fenomena globalisasi mahupun glokalisasi - bahkan ekoran daripada sikap kita sendiri yang kurang ambil peduli.

Secara umumnya, masyarakat sudah arif dengan mutu dan nilai seni mahakarya-mahakarya agung puisi-puisi garapan para Sasterawan Negara. Meskipun tidak akrab, tetapi kebanyakan daripada kita sudah biasa. Justeru, mercu pencapaian mereka tidak perlu dikupas bicara dan diragu sangsikan lagi. Atas akauntabiliti seni, mereka berkarya untuk masyarakatnya.

Malangnya, dalam usaha kita mengiktiraf mercu-mercu yang terbina itu, kita diajak pula menolak jerih usaha para pemuisi lain yang juga membina mercu-mercu karya mereka dengan hala cara yang sedikit berbeza. Mereka memilih untuk menzahirkan makna karya secara terang-terangan.

Puisi yang mudah difahami sebegini dengan pantas dilabelkan oleh para sarjana sastera sebagai prosa puitis atau puisi prosaik yang rendah mutu seni ciptaannya. Manakala bagi mereka yang mengambil pendekatan untuk keluar daripada klise dan retorik puisi dengan tidak menzahirkan makna karya mereka pula akan dilabelkan sebagai `puisi atau sajak kabur'. Kedua-dua kategori ini dilabelkan berada pada kelas yang sama oleh sekelompok penilai kesusasteraan puisi Melayu. Di Sabah hal ini belum melalui kajian yang terperinci.

Buana puisi Melayu sudah sekian lama berpolemik antara seni untuk seni atau seni untuk masyarakat. Mutu dan nilai seni yang dipiawaikan kepada kedua-dua kelas ini tidak perlulah dinyatakan lagi. Sudah terang lagi bersuluh.

Jesteru, industri cetakan buku-buku puisi harus diimbangi dengan aktiviti apresiasi dan bedah karya yang berterusan. Penyair juga harus menerbitkan karya sendiri bukan semata mengharapkan undangan atau usaha sama penerbitan anotologi. Bagi generasi penyair muda yang baru barangkali wajar tetapi kewajaran ini harus diberikan kesinambungan melalui projek buku. Pelestarian karya-karya mega yang bakal dimegahkan generasi akan datang bertitik tolak daripada sekarang. Karya yang megah mungkin sinonim dengan karya musiman yang sifatnya tidak abadi. Begitu karya-karya ini lahir dengan sengaja mengikut keperluan, penyairnya juga lahir mendadak. Apa yang diinginkan bukan nilai estetika tetapi mesej yang langsung membara semangat yang sementara juga bentuknya. Sudah pasti bukan puisi-puisi begini yang diperlukan sebagai benteng jati diri penyair dan puisi-puisi Melayu.

Para penggiat puisi harus terus menyatakan pilihan mereka dalam berkarya. Barangkali saat anda begitu ghairah menulis kerana menyertai operasi perbukuan, soalnya, apakah kayu ukur yang telah dikenalpasti karya-karya yang dihasilkan itu menyatakan impak tertentu kepada masyarakat. Mungkin ia hanya ingin menyampaikan gagasan tertentu tetapi mengabaikan elemen keindahan. Pada masa yang sama atas keghairahan membukukan karya tetapi lupa sama ada keberadaan karya itu mampu dipertahankan untuk meletakkan kebitaraannya. Ke arah itu, sudah tentu keberanian untuk memperjuangkan masa hadapan genre puisi harus berpaksikan ilmu, kesejagatan ilham dan pemurnian fikiran.

Tiada ulasan: