PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



31 Mei 2013

Memurnikan IPS meningkatkan imej penulis



TAHUN ini Ikatan Penulis Sabah (IPS) berusia 24 tahun. Pada usia ini saya percaya bibit-bibit perjuangan semakin kental, semangat yang semarak semakin membara untuk mencapai matlamat hala tuju sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Pada usia ini juga IPS harus bersiap siaga untuk mempertahankan setiap langkah supaya persatuan bukan sahaja teguh sebagai sebuah organisasi bahkan dihormati. IPS hendaklah berdiri dengan kesiap siagaannya tetapi pada masa yang sama harga dirinya harus dipertahankan walau dengan apa cara sekali pun.

Walaupun IPS hanyalah sebuah NGO yang sederhana, tidak punya wang banyak, tetapi pada asasnya, inilah sebuah pertubuhan atau persatuan penulis yang terus berada di negeri ini, memberikan jalan kesederhanaan kepada para penggiat sastera dan budaya. Persatuan inilah yang boleh dijadikan wadah atau gelanggang untuk ahli-ahlinya melatih diri bersilat kata, membentuk nahu, mempertahankan kegemilangan bahasa leluhur dan kemegahan negara kita iaitu Bahasa Melayu yang harus kita jadikan perisai perpaduan dalam kalangan rakyat yang hidup dalam kepelbagaiannya.

Saya terlibat dalam gerakan sastera di Sabah agak lama. Banyak yang dialami, banyak yang difikirkan dan salah satunya saya bertanya mengapa saya dan dalam konteks pada hari ini, menyertai persatuan penulis. Untuk suka-suka atau mengisi masa? Saya percaya bukan ini jawapannya. Jika itu jawapan anda, tentu IPS atau pertubuhan lain bukan tempatnya. Demikian juga untuk mengisi masa, bukan dalam ruang begini, bukan di sini. Sudah tentu masing-masing kita mempunyai sebab yang tersendiri. Begitulah saya. Namun saya tidak gemar meletakkan diri sendiri sebagai contoh terbaik. Kebaikan atau kecemerlangan diri tidak seharusnya dinilai oleh diri sendiri tetapi oleh orang lain. Biarlah mereka yang memberikan kredit kepada sikap, iltizam dan juga perjuangan seseorang.

Namun demikian, sebagai anggota IPS, semua ahli harus menanamkan kepentingan persatuan. Apabila merasa berada dalam kelompok IPS, setiap anggota harus sematkan dalam jiwa, inilah wadah perjuangan saya, inilah wadah mengindahkan karya-karya saya, inilah wadah menyalurkan bakat kreatif saya, inilah wadah untuk saya mempertahankan kredibiliti IPS sebagai sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang dan kerana itu ia harus diberikan benteng. Bentengnya apa? Bentengnya ialah jiwa besar seluruh kerabat. Tidak ada harta yang lebih berharga sekiranya kita sedar bahawa kita telah memiliki sesuatu dalam sebahagian kecil kehidupan kita iaitu memiliki IPS. Kita harus sayangkan persatuan ini dan tidak gentar dengan segala tohmahan serta provokasi pihak lain.

IPS terus bertahan atas dasar kepercayaan, persahabatan dan persaudaraan. Saya berani menyatakan demikian kerana tiga unsur ini amat relevan dalam kehidupan kita. Kita percaya, kita bersahabat dan kita bersaudara. Namun andainya kemekaran tiga unsur ini samakin layu, IPS hanya barangkali seperti tunggul kayu yang tidak mampu memberikan sesuatu kepada kita secara bersama.

IPS sebenarnya tidak mempunyai dana yang besar untuk memberikan kepuasan kepada ahli-ahli. Barangkali gerakan kita cukup langka dan lambat. Namun inilah yang menjadi pegangan kita iaitu bersederhana dalam pelbagai perkara. Kerakusan selalunya menang tetapi impaknya belum tentu relevan dengan nilai yang telah ditunjukkan. Tidak mengapa, kita bersederhana, bukan bermaksud kita gentar atau takut menghadapi keadaan. Misalnya kita lawan balik setiap tohmahan yang tidak dilontarkan oleh mereka yang iri hati. Pada saya semangat lawan di sini memang perlu tetapi melalui jalan yang betul. Saya mempunyai cara yang tersendiri menangani hal seperti ini. Kadang-kadang saya selalu dikatakan sebagai penyibuk atau orang suka bercakap sahaja. Padahal sesuatu yang dimaksudkan itu ada asasnya.

Misalnya, saya pernah mempersoalkan bagaimana antologi puisi yang memuatkan karya-karya penyair kita dijual tanpa pengetahuan mereka, tanpa sebarang akujanji atau perjanjian bertulis. Saya menulis perkara ini kerana ingin menyedarkan sahabat-sahabat penulis agar berhati-hati menghantar karya waima sekadar sebuah antologi. Andainya kita mahu karya itu memiliki hakciptanya, hal seperti yang disebutkan tadi tidak harus terjadi. Apabila tiada seorang pun yang bersuara, ia akan menjadi budaya yang berterusan dilakukan. Mari fikir semula, karya yang dihasilkan begitu payah merentas waktu yang panjang tetapi hanya mampu dimuatkan dalam sebuah buku bersama tanpa meletakkan sebarang nilai hakcipta, apakah anda fikir karya itu hanya seperti tiupan angin yang membawa debu singgah di atas daun kering, apabila daun kering itu gugur ikut menyembah bumi dan ia hilang bersama leburnya daun kering itu. Sebagai penulis, kita mempunyai hak untuk memiliki. Karya kita hak kita. Hak kita untuk mendapatkan sesuatu yang kita patut terima.

Dalam beberapa catatan saya di FB, ada dinyatakan soal pemutihan IPS. Pemutihan yang dimaklsudkan ialah memurnikan serta memantapkan IPS. Antaranya kita akan menguatkuasakan undang-undang penting seperti keahlian, mesyuarat dan aktiviti. Kita akan membuka keahlian kepada umum untuk memberikan peluang kepada para penulis yang baru dan belum menyertai mana-mana persatuan. Mulai tahun ini setiap ahli lama yang aktif dan ahli baru akan diberikan kad ahli yang lebih baik untuk menaikkan imej keahliannya. Sebagai persatuan penulis, saya juga ingin memastikan agar ahli-ahli serta rakan-rakan IPS sentiasa diberikan perhatian dan kebajikan. IPS amat mengambil perhatian apa yang berlaku di Pulau Pinang semasa berlangsungnya Hari Puisi Nasional baru-baru ini. Aduan dan laporan ahli-ahli yang menyertai aktiviti ini harus dipandang berat dan meminta peristiwa menidakkan kahadiran IPS dan ahli-ahlinya tidak berulang di tempat lain.

Mudah-mudahan usaha pemutihan IPS bakal membentuk gerakan sastera yang lebih dinamik buat para penggiat sastera di Sabah. Di samping membentuk kesabaran dan membangunkan jiwa yang besar, apa yang kita banggakan hanyalah kesiap siagaan untuk menjenamakan semula melalui aktiviti yang sederhana tetapi memberikan impak yang lumayan.

PUTIH TAMAN

Kita bermula dari garis putih ini
bersama jiwa yang agung
sanggah dengan wibawa
cegah dengan tanggungjawab
berpada merimbun pohon
waspada membaja akar.

Sempadan kita bukan pagar
batas kita bukan belukar
bugarkan putih leluhur jiwa yang subur

Mari mulakan dari sini
putih taman ini.

IKATAN PENULIS SABAH
KOTA KINABALU.

27 Mei 2013

Tribunal Penulis

         
PADA Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM): Siapa Bela Penulis: Persatuan Penulis atau Persatuan Penerbit? dicadangkan penubuhan Majlis Tribunal Penulis dalam membela nasib penulis negara ini yang didakwa menjadi mainan penerbit tidak bertanggungjawab.
 
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, selaku panel wacana bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-32 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini, mencadangkan langkah terbabit.
 
Cadangan Dr Mohamad Saleeh turut mendapat sokongan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah, tetapi apabila diperhalusi Sastera BH, ia bukan saja membabitkan perundangan, tetapi juga perlu dibawa ke Kabinet untuk mendapat kelulusan.
 
Tanpa melalui proses perundangan yang panjang itu, Majlis Tribunal Penulis, tidak mempunyai kuasa daripada segi perintah pelaksanaan dan penubuhannya akan lebih bersifat arbitrator dan membawa kesan baik kepada penulis seperti yang diharapkan.
 
Perlukan diberi kuasa
Penulis skrip yang juga bekas majistret, Zabidi Mohamed, berkata arbitrator sebagai orang tengah tidak memiliki perintah pelaksanaan itu dan pihak bertelagah yang dirujuk ke Majlis Tribunal boleh mengambil sikap untuk tidak akur kepada perintah tribunal.
 
"Tindakan mewujudkan tribunal tanpa kuasa undang-undang tidak banyak membantu dalam menyelesaikan masalah antara penulis dengan penerbit dan pihak lain dalam industri. Memang keperluan menubuhkannya ada, tetapi kita tidak boleh menaruh harapan besar kepadanya, selagi kuasa undang-undang tidak dibekalkan kepadanya," katanya kepada Sastera BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 
Zabidi turut mengingatkan proses penggubalan undang-undang untuk memberikan kuasa kepada tribunal akan mengambil masa yang panjang kerana perlu dibawa dan akta khas mewujudkan Majlis Tribunal Penulis perlu diwujudkan di Parlimen.
 
"Saya berpendapat masalah yang dihadapi penulis boleh diselesaikan oleh persatuan dalam industri yang menaungi mereka, sekali gus percaya usaha memperkasakan persatuan dalam industri lebih utama. Pada masa sama, pihak berwajib boleh mewujudkan tribunal secara ad hoc, sekiranya ada kes yang memerlukan orang tengah untuk menyelesaikannya," katanya.
 
Zabidi membawa contoh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) baru-baru ini, pun masih ada pihak yang mempertikaikannya dan ia boleh diselesaikan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mewujudkan tribunal secara ad hoc.
 
Beliau bersetuju supaya persatuan dalam industri diperkasakan terlebih dulu supaya memiliki suara yang padu untuk mendesak kerajaan menubuhkan tribunal yang dibekalkan dengan kuasa undang-undang bagi melindungi kepentingan penulis Negara ini.
 
"Persatuan mesti tahu hak mereka dari segi undang-undang supaya dapat memperjuangkan haknya sekali gus celik undang-undang. Agensi kerajaan yang berkait rapat dengan industri perlu lebih dekat dan berupaya bertindak sebagai arbitrator dalam menyelesaikan masalah industri," katanya.
 
Kesedaran hak perlu
Penulis muda yang juga peguam, Siti Hajar Mohd Zaki, senada dengan Zabidi apabila menganggap penubuhan tribunal memudahkan penulis kerana ia memberi laluan pantas, tetapi masih memerlukan mahkamah untuk perintah pelaksanaan.
 
"Penulis boleh mengemukakan kes mereka secara cepat kepada tribunal yang diputuskan oleh Presiden Majlis Tribunal Penulis, tetapi jika penerbit tidak mahu membayar selepas keputusan berpihak kepada pengarang, mereka perlu ke mahkamah. Orang lebih takut kepada mahkamah, tetapi kos yang perlu ditanggung besar dan royalti tidak sebesar mana," katanya.
 
Justeru, Siti Hajar mengingatkan tumpuan utama perlu diberikan ialah membina kesedaran penulis dalam mengetahui hak mereka, sebelum kontrak ditandatangani dan persatuan penulis wajar mengadakan bengkel khas untuk mengkaji kontrak perjanjian dan merangka panduan yang boleh diguna pakai oleh penulis.
 
"PENA boleh mengadakan bengkel itu dengan menjemput mereka yang berkepakaran untuk menilai apa yang perlu ada atau bercanggah dengan hak penulis," katanya.
 
Tulis surat
Setiausaha Agung MABOPA yang juga Pengarah Urusan PTS Publications, Arief Hakim Sani Rahmat, menyarankan penulis menggunakan saluran mahkamah sekiranya membabitkan kes jumlah tuntutan besar dan sekiranya kecil boleh disalurkan kepada Tribunal Hak Cipta, yang berada di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO).
 
"Kita mungkin banyak kes tuntutan kecil, tetapi ia bolehlah menggunakan saluran sedia ada itu dengan memperluaskan bidang tugas Tribunal Hak Cipta," katanya.
 
Beliau berkata, penulis juga boleh menghantar surat tuntutan kepada penerbit saja sekiranya membabitkan kes yang kecil kerana ia lebih murah dan berkesan,
 
"Surat itu akan menyebabkan penerbit terpaksa berunding dengan penulis sekiranya ada isu kerana saya percaya mereka pun tidak mahu naik turun mahkamah. Secara jujurnya, saya percaya penulis di negara ini memiliki kelebihan, manakala penerbit yang menipu eloklah disaman saja," katanya.
 
(Berita Harian 20 Mei 2013)