PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



29 Disember 2009

Dewan Sastera Januari 2010


Fokus
Fokus bulan Januari Dewan Sastera 2010 memberi laluan karpet merah buat Penerima S.E.A. Write Awards 2009 (Malaysia), Puan Azmah Nordin.


Azmah Nordin juga diberi penghormatan untuk memperkenalkan kaedah dan nasihatnya dalam mengarang 1 Malaysia dalam Sastera, manakala Hanafi Ibrahim memperkenalkan semangat Pemerkasaan Status Wanita dalam Novel-novel Azmah Nordin. Cerpenis terkenal dan sarjana sastera, Dr. Mawar Shafie melihat Kecenderungan Merentas Ilmu dalam Cerpen Azmah Nordin, manakala Zaidah Ahmad Rosly meniti retrospektif S.E.A. Write Awards 2009 Perjalanan Kreaitf yang Mengesankan.

Azmah Nordin yang turut dinobatkan sebagai Karyawan Bulan Ini, menyumbang sebuah cerpen berjudul Usus.

Bukan Kreatif
Sasterawan dan budayawan besar Malaysia, Datuk Baha Zain bermain dengan Bahasa Mimpi yang Remang. Penerima S.E.A. Write Awards 2009 (Filipina), Abdon Jr Balde, diwawancara oleh Ana Suhana Zainuddin dan Zaidah Ahmad Rosly dalam Suara dari Seberang. Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh mengimbau suara penyair Inggeris Di Musim Gugur, Menggalur Perasaan Keats. Ani Haji Omar membicara Tamadun Melayu-Cina dalam Air Mata Ibu dari Perspektif Teori SPB4K. Salleh Rahamad pula membedah novel remaja Faisal Tehrani yang terkenal untuk mencari Volkgeist dalam Manikam Kalbu.


Kreatif
Ruangan Puisi membariskan budayawan dan penyair terkemuka, Dr. Siti Zainon Ismail menyampaikan puisi khas Puteri Onang Kinang, puisi Manusia dan Alam oleh Razali Endun, Usia Itulah Cabaran oleh Sharif Putera, Buih Itu Aku oleh Anis, Sajak Adik kepada Abang oleh Salman Sulaiman, Kelapa Tua oleh Abdullah AR, Menjejak Puncak Sajak oleh Abizai, Gempa, Tsunami dan Angin oleh Abham T.R., Hukuman untuk Semua oleh HMS Abu Bakar, Seorang Lelaki Tua oleh Osman Dol, Guri di Hatiku oleh Shapiai Muhammad Ramly, Tikus oleh Chai Loon Guan, Seekor Tikus dari Puduraya oleh W.B. Rendra, Warisan Jiwa Bangsa Satu Negara oleh Ani Haji Omar, Tawaf oleh Zurinah Hassan, Akta Batinku oleh Norawi Haji Kata dan Carilah Cari oleh Abdul Hadi Yussof.

Ruangan Cerpen, memperkenalkan cerpen Aku Belum Mati oleh Suratman Markasan, Kisah di Sebuah Taman oleh Jasni Matlani, dan Garis Sempadan oleh E Pian Pro Poul.

Ruangan Drama membawa skrip drama Apologi Sang Panitera oleh Marzuki Ali.


Dapatkan Dewan Sastera edisi Januari di pasaran sekarang.

Teknologi maklumat angkat sastera

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Prof Dr Noriah Mohammed bersama pembentang kertas kerja dan peserta PSN XV.

PERTEMUAN Sasterawan Nusantara XV (PSN XV) mengangkat fungsi teknologi bagi memartabatkan sastera sehingga dapat membanteras masalah sosial dengan memasyarakatkannya dan serentak itu menamatkan kedudukannya yang kini ibarat telur di hujung tanduk.

Sasterawan yang menjayakan PSN XV mengakui cabaran mereka ialah kesukaran menarik minat masyarakat kerana orang ramai lebih cenderung pada hiburan dan ilmu yang mudah diperoleh melalui teknologi maklumat secara interaktif.

Perkara ini disinggung Putera kedua Hassanol Bolkiah, Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik yang menyifatkan sasterawan kini menggalas tugas berat bagi memastikan karya terus relevan dengan perkembangan semasa dan memberi sumbangan penting dalam pembangunan negara.

"Dalam menghadapi cabaran ini, sasterawan perlu mengambil segala peluang daripada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi kerana ia mampu mengubah corak perhubungan masyarakat antarabangsa.

“Saya percaya teknologi terkini boleh digunakan untuk mengembali dan meningkatkan fungsi karya sastera sebagai ilmu pengetahuan yang berkesan seperti yang pernah berlaku pada masa lalu," katanya ketika merasmikan PSN XV yang berlangsung di Bandar Seri Bengawan, Brunei Darussalam pada 11 hingga 13 Disember lalu.



Beliau berharap sasterawan dapat menyesuaikan diri dalam keadaan dunia globalisasi dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan teknologi maklumat selain membesarkan fungsi sastera dalam menangani masalah sosial pada masa ini.

"Gejala sosial mesti ditangani semua pihak termasuk sasterawan kerana alat bercerita yang digunakan sasterawan melalui karya adalah wahana cukup berkesan dalam memberi kesedaran dan mengajak masyarakat menghindari perkara yang merosakkan masyarakat," jelasnya.

Presiden Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), Mohamed Pitchay Gani Mohameed Abdul Aziz, berkata, di Singapura ada gerakan mengkontemporarikan sastera dan memasyarakatkannya melalui Gerakan Celik Karya.

“Kerjasama terbabit memungkinkan usaha membeliakan sastera dapat dilaksanakan. Sastera dikontemporarikan dengan memperkenalkan Grafiti Sastera iaitu usaha visualisasi karya pelbagai genre menggunakan kanvas dan perisian komputer serta fotografi sastera," jelasnya.

Pendekatan terbabit dikatakan mampu meletakkan sastera sebagai penawar masalah sosial dan bukan sekadar penghasilan karya sehingga mereka yang pernah terbabit dalam masalah sosial menjadikan genre itu sebagai medan meluahkan pengalaman hitam.

"Pada 2007, Asas 50 melalui Adopted Arts Groups , diangkat sebagai anak angkat APB dan diberi dana tetap selama 3 tahun bermula 2008 untuk membiayai gerakan mencapai masyarakat dengan melahirkan prasarana sastera berpotensi bagi menjana pulangan untuk Asas 50 dan masyarakat,” katanya.

Program pada 2008 dengan tujuan menggunakan bahan sastera sebagai terapi belia berisiko tinggi, membabitkan 100 penghuni rumah tumpangan wanita dan kanak-kanak, dengan mengajar mereka menghayati sastera dan menulis cerpen sehingga terhasil antologi Diari Hitam.

Mohamed Pitchay Gani yakin bahawa PSN boleh dipertingkatkan untuk memastikan pembabitan menyeluruh dan sistematik agar usaha memasyarakatkan sastera seiring peredaran zaman, dapat digerakkan secara proaktif khususnya dalam membina semangat serta gerakan serantau.

Peserta Brunei, Norsafiah Safudin, yakin usaha menjana kegiatan pada peringkat nasional wajar diteruskan, walaupun ada sesetengah yang menganggap usaha mengkomersialkan sastera boleh menjejaskan keaslian sastera.

"Pihak yang bertanggungjawab wajar memahami keperluan masyarakat yang merangkumi penggunaan teknologi maklumat secara meluas dan serentak itu melaksanakan tanggungjawab sosial yang membuktikan sastera mampu bergerak sebagai vaksin mencegah masalah sosial," tegasnya.

Berita Harian Online

Pantun bantu bina akal budi

Oleh Nurul Farina Nazlan

ANTARA peserta yang khusyuk mendengar pada Majlis Syarahan Raja Ali Haji 2009, di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pihak berkuasa wajar perkenal persatuan dan dedahkan warisan pada bayi serta kanak-kanak

UNGKAPAN indah dan nasihat dalam pantun mampu membantu kanak-kanak membina minda dan kerana itu mereka wajar diberi pendedahan awal berhubung keunikan setiap pantun kerana hakikat ia bukan saja khazanah Melayu tidak ternilai, tetapi juga dapat mendekatkan mereka kepada bahasa.

Mantan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, pada Majlis Syarahan Raja Ali Haji 2009, berkata pendedahan awal kanak-kanak terhadap pantun sebenarnya boleh dimulakan sejak dari dalam perut lagi ketika ibu mengandung.


"Melalui pembacaan dan pendedahan pantun pada peringkat ini, secara tidak langsung si ibu berjaya meningkatkan rasa kecintaan anak terhadap bahasa, malahan mereka juga perlu kreatif seperti melagukannya ketika mendodoikan si anak.

"Pantun yang sesuai untuk kanak-kanak ialah pantun nasihat, lucu dan berangkap pendek agar mudah difahami. Di sini ibu bapa boleh menjelaskan maksud sebenar serta kebaikan yang diterapkan," ujarnya ketika melapah Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ungku Aziz juga menegaskan bahawa orang dulu berjaya menerapkan unsur nasihat kepada kanak-kanak melalui pantun, malahan ia ibarat panduan bagi mereka meniti hidup kerana setiap mesej yang disampaikan membawa maksud jelas agar menjadi manusia berguna.



Ada ubi
Ada batas
Ada budi
Ada balas.

Apa guna memakai kasut
Dilangkah akan betis kiri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak membantu diri.


Prof Diraja Ungku Aziz turut melahirkan rasa bimbang kerana generasi sekarang semakin lupa kepada keindahan pantun ekoran leka mengejar kewangan, kebendaan, pangkat dan lebih suka berbahasa Inggeris daripada bahasa sendiri.

Sesiapa saja baginya boleh menjadikan pantun sebagai pedoman dan beliau sendiri berjaya mengumpul 160,000 pantun sejak lebih 20 tahun lalu dan bakal diterbitkan pertengahan tahun depan, walaupun mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi.

"Kita kena sedar, pantun sudah dikenali di rantau Asia Tenggara lebih 700 tahun lalu dan digunakan sebagai lisan dalam bahasa Melayu. Saya membahagikan bahagian pantun kepada empat iaitu cinta, kanak-kanak, khidmat dan berdagang," ujarnya.

Baginya masyarakat Melayu dulu sangat kreatif dan unik dalam menterjemahkan nasihat dan pengalaman melalui pantun dan kalangan usahawan dan ahli perniagaan juga boleh mengambil inti pati dan unsur nasihat dalam berdagang yang banyak diterapkan dalam pantun.

Suluh-menyuluh Teluk Emas
Panas sejuk angin utara
Ribut taufan baik berkemas
Antara belum jadi sengsara.

Baik-baik berlayar malam
Arus deras karangnya tajam
Cari-cari mualim yang faham
Di situ banyak kapal tenggelam.


Pada majlis yang dihadiri lebih 200 peserta itu, Porf Diraja Ungku Aziz turut mencadangkan Persatuan Pantun Malaysia dibentuk dan menetapkan bacaan pantun secara berkumpulan pada setiap Sabtu dan Ahad.

"Pantun Melayu memang banyak, tetapi masyarakat kurang memahami rima dan keindahannya. Sekolah sepatutnya dijadikan asas bagi menubuhkan kelab pantun kerana ia boleh mendidik pelajar untuk memahami segala inti pati yang terkandung di dalamnya," katanya.

Berita Harian Online

27 Disember 2009

Penulis novel Ariffin Ngah meninggal dunia

KUALA TERENGGANU: Ariffin Ngah, 70, penulis novel terkenal Terengganu meninggal dunia di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal di sini, petang tadi selepas mengidap pelbagai penyakit sejak lima tahun lalu.

Beliau meninggal dunia kira-kira jam 1.15 petang tadi di hadapan isterinya, Zainab Muhamad, 67, anak-anak serta cucunya.

Allahyarham mempunyai 12 orang anak dan 50 orang cucu.

Zainab berkata, arwah suaminya menghidap pelbagai penyakit sejak lima tahun lalu antaranya kencing manis, jantung, buah pinggang, darah tinggi dan sering berulang-alik ke hospital untuk mendapat rawatan.

Katanya, suami beliau baru saja pulang dari hospital Ahad lalu kerana ingin sangat berada di rumah bersama keluarganya.

Menceritakan perihal suaminya sebelum meninggal, beliau berkata, arwah pernah bercerita yang beliau selalu bermimpi berjumpa dengan rakan-rakannya yang telah meningga dunia.

Katanya, lima tahun lalu arwah digigit kucing peliharaannya apabila terpijak haiwan itu yang seterusnya membawa kepada sakitnya yang berpanjangan.

Afiffin banyak menghasilkan novel terutama novel kanak-kanak sejak menjadi guru dan pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Sastera Darul Iman (2008).

Antara novel yang menarik hasil nukilan Ariffin ialah Anugerah Wahyu, Tangisan Pusaka Bangsaku dan Revolusi Kenyir.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tumbuh dekat sini selepas solat asar. - Bernama

25 Disember 2009

Politikus, Badut & Sebuah Cermn

Oleh Nazmi Yaakub

Kumpulan 12 cereka satira dan realisme magis, bongkar realiti semasa

POLITIKUS, Badut & Sebuah Cermin, kumpulan cerpen karya Marsli NO menghimpunkan 12 cereka pendek satira dan realisme magis yang dikuasai langgam monolog dan gaya bahasa langsung serta keras, seolah-olah meluahkan rasa pengarang yang selama ini terpenjara.

Kekacauan isu politik, kelesuan bahasa lesu, sastera yang keliru dan manusia munafik, dipatah-patahkan pengarang dalam cerpen mini sehingga menjadikan kumpulan cerpen itu berkecamuk, seolah-olah menggambarkan kekacauan dunia realiti pada pandangan pengarang.

Justeru, tidak hairanlah kumpulan cerpen penulis Pahang itu, banyak bermain-main dengan watak satira yang dijelmakan dalam bentuk haiwan seperti ular, babi, biawak dan sesumpah, sekali gus mewakili amarah yang tidak terbendung terhadap kelompok sasaran.

Watak haiwan yang digunakan itu memang lumrah di kalangan pengarang satira sebagai simbol kepada kejelikan dan kehodohan sifat manusia, apatah lagi ditambah dengan pemilihan kata yang keras dan ada kalanya bersifat tabu.

Berbekalkan simbol tanpa berselindung, pengarang membelasah dan membantai golongan politikus yang menggadaikan bangsa serta bahasa ibunda untuk memunggah kekayaan ke kantung peribadi mahupun kelompok terdekat.

Individu atau kelompok yang dalam dunia realiti menjadi pemangsa itu, bertukar menjadi mangsa dalam kayangan milik Marsli NO selepas diadili di mahkamah kreativiti dan dihukum dengan cambuk pena pengarang.

‘Kekerasan’ dan ‘keganasan’ hukuman di tangan Marsli NO itu mungkin didorong oleh rasa mual dan berang pengarang kerana berasa kelompok terbabit terlalu bebas, bermaharajalela dalam dunia realiti sehingga tidak perlu lagi berasa kasihan belas di atas kertas kreatifnya.

Tidak puas menggunakan watak binatang, Marsli NO turut memakaikan perwatakan hantu kepada kelompok terbabit, sekali gus meminjam dunia magis Melayu yang banyak mencipta citra sedemikian bagi dunia gelap dan hitam.

Watak hantu itu muncul di sana sini dalam kumpulan cerpen berkenaan termasuk Dai, Sahabatku Ikdom dan Beberapa Ekor Hantu, seolah-olah menggambarkan kewujudannya dalam dunia realiti yang berada di mana-mana dan bersedia untuk menghisap darah rakyat jelata.

Lebih menarik watak hantu di tangan Marsli NO bukan ciri lazim dalam dunia magis Melayu, sebaliknya dimunculkan lewat watak manusia bernama Mat dengan penampilan biasa.

Ada kebimbangan pengarang terhadap kejelekan dan kehodohan dalam dunia realiti terutama generasi muda seperti diluahkan dalam cerpen, Politik, Cendawan dan Seorang Hantu dan Seorang Pengadu, Seronok dan Secuil Keadilan, apabila kanak-kanak mula belajar perwatakan berkenaan.

Memang ada kalanya pengarang agak terburu-buru menghukum watak dengan memakaikan perwatakan jelik dan hodoh itu kerana pengarang wajar meluangkan sedikit proses kreatifnya dengan pertimbangan kewarasan untuk berlaku adil kepada kelompok sasarannya seperti dalam cerpennya, Ketuanan, Maaf dan Seorang Babi di Laman Rumahku.

Begitu juga proses penyuntingan yang longgar perlu diperbaiki untuk penerbitan cetakan berikutnya kerana kesilapan dan penggunaan ejaan lama serta tanda baca dikesan sepanjang pembacaan kumpulan ini.

Secara keseluruhan, kumpulan cerpen ini berjaya merakam kemarahan manusia pinggiran terhadap dominasi dan manipulasi kelompok politik, tetapi pembaca wajar membacanya dengan mengambil kira rasa terpenjara pengarang di sebalik jeriji di sekeliling dunia kreatifnya.

INFO: Politikus, Badut & Sebuah Cermin

  • Pengarang: Marsli NO
  • Harga: Tidak Dinyatakan
  • Tebal: 109 halaman
  • Maklumat: http://marslino.blogspot.com
  • Bintang: *****


Imej penyiar 'bersuara' lantang

MARSLI NO atau nama sebenarnya Ramli Selamat, terkenal dengan imej penyair bersuara lantang dengan puisi marah-marah dan pemilihan diksi yang keras, mengukuhkan kedudukannya sebagai pengarang mapan apabila cerpen Belon meraih Hadiah Cerpen Maybank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1993.

Cerpennya, Pembela, turut mendapat pengiktirafan pada tahun berikutnya dan Menanti Buraq pula meraih Hadiah Sastera Perdana 2000/2001 selain bakatnya turut diiktiraf apabila puisi Negeri Ini, Anak memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, manakala Begitu Kata Malam merangkul Hadiah Sastera Perdana 1996/1997.

Pada 2003, cerpen Menternak Hantu meraih Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2003, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara pengarang realisme magis di negara ini.

Marsli yang dilahirkan di Kerteh, Terengganu, pada 7 Oktober 1957, menulis seawal 1970-an dalam genre novel, puisi, drama pentas, ulasan buku dan rencana, mewakili Malaysia pada Second ASEAN Writer’s Conference Workshop (Poetry) di Manila pada 1995 dan Festival Penulis Singapura di Singapura (2003).

Penyair yang sering mengadakan latihan vokal di kawasan pantai berhampiran kediamannya di Kuantan, turut muncul di pentas teater Gelanggang Tok Wali karya Ismail Kassan arahan Shukor Yon pada 2000, selain turut mencipta nama sebagai juara Pekan Teater Pahang 2000 dan Naib Juara Pekan Teater Zon Timur di Johor Bahru, pada tahun sama.

Pengarang yang turut menulis blog di marslino.blogspot.com, itu menghasilkan buku Penipu terbitan TBK pada 1997; Biduan (DBP, 1994); Demi (DBP, 1998) dan Menanti Buraq (DBP, 2008).

24 Disember 2009

PSN XV: Jadikan pertemuan lebih bermakna

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


PESERTA pertemuan sasterawan Nusantara XV mengemukakan pertanyaan pada sesi soal jawab.

Saranan pemakalah dan peserta Pertemuan Sasterawan Nusantara XV di Brunei

KETIADAAN resolusi yang mantap dan susulan daripada rumusan pada Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) terdahulu dibangkitkan pemakalah dan peserta PSN XV di Berakas, Bandar Seri Benggawan, Brunei Darussalam, pada 11 hingga 13 Disember lalu.

PSN XV: Mencarukkan Sastera Nusantara yang mengangkat karya Penyair Islam Diraja Brunei, Muda Omar Ali Saifuddien dalam usaha mencarukkan sastera Nusantara sebagai landasan bagi mewujudkan kesefahaman Nusantara dianggap terlalu samar.

Pemakalah dari Indonesia, Medijanti Leokito, menganggap PSN XV memberi layanan terbaik kepada semua yang menjayakannya, tetapi tidak jauh bezanya daripada pertemuan terdahulu yang menyaksikan ketiadaan langkah susulan dan laporan pertemuan terdahulu diambil hasil daripada setiap pertemuan.

“PSN perlu mengambil tindakan daripada setiap hasil perbincangan demi memastikan pengisiannya tidak sekadar melepaskan batuk di tangga. Tenaga dan wang bagi menjayakan PSN pula perlu dimanfaatkan dalam merangka strategi mempertahankan sastera Nusantara yang kian terpinggir,” katanya ketika ditanya Sastera, pada pertemuan terbabit.

Beliau yang mewakili Indonesia pada Program Penulisan Antarabangsa, University Iowa, Amerika Syarikat, pada 2001 mencadangkan agar wakil semua negara diwajibkan menyediakan laporan pada setiap pertemuan bagi memastikan keberkesanan hasil perbincangan untuk pelaksanaan secara berkesan dan teratur.

Peserta Malaysia, Siti Fatimah Hassan, pula menganggap PSN kali ini mencapai matlamat pada dasarnya, tetapi ketiadaan tindakan bagi merealisasikan objektif utama pertemuan terbabit hanya akan menyebabkan ia sekadar kekal sebagai program santai yang mempertemukan sasterawan Nusantara.

“PSN perlu diperkenalkan kepada orang luar terutama golongan muda bagi memancing minat mereka untuk menceburi bidang sastera memandangkan penerimaan sastera di kalangan kelompok terbabit semakin pudar, sama seperti fenomena yang menimpa Malaysia, Brunei dan Indonesia pada masa kini,” katanya yang berkhidmat sebagai guru di Limbang, Sarawak.

Siti Fatimah tidak menafikan langkah memperkenalkan Muda Omar Ali Saifuddien dalam PSN XV adalah cara bijak mengembalikan kegemilangan sastera lama pada peringkat Nusantara kerana beliau sasterawan diraja yang sudah diiktiraf sebagai sasterawan Islam Brunei selain karyanya boleh dimanfaatkan bagi mendidik masyarakat mendekati sastera berunsur nasihat.

Di sebalik rungutan ketiadaan resolusi mantap dan langkah susulan, program anjuran Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (Asterawani) Brunei Darussalam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBPB), wajar diberi pujian kerana kesediaan orang kerajaan turun padang demi memeriahkan pentas perasmian dan penutupan PSN XV.

Kehadiran Putera kedua Hassanul Bolkiah, Pengiran Muda Abdul Malik merasmikan majlis perasmian di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun dan penutupan oleh Menteri Tenaga Brunei, Pehin Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Pahlawan Awang Mohammad Daud, ternyata menyuntik semangat sasterawan, pemakalah dan peserta pertemuan.

Awang Mohammad pada penutupan mengingatkan sasterawan tanggungjawab sasterawan untuk memelihara kemuliaan dalam berkarya dengan bergerak atas tiga unsur penting iaitu keindahan, kebaikan dan kebenaran, sesuai dengan ciptaan mereka sebagai manusia dengan sifat mulia berbanding makhluk lain di muka bumi.

“Karya sastera pada masa lalu ada nilai moral tinggi dan mengandungi unsur kebaikan sehingga mudah diterima masyarakat berbanding sesetengah genre sastera masa kini yang tidak begitu menitik beratkan nilai moral,” katanya ketika berucap pada pertemuan di Balai Sarmayuda, DBPB, Barakas.

Beliau mengemukakan Muda Omar Ali Saifuddien sebagai contoh sehingga diiktiraf sebagai sasterawan diraja dan sasterawan Islam Brunei kerana karyanya jelas mendidik rakyat menjadi manusia beragama lagi berakhlak mulia serta berguna kepada bangsa mahupun negara.

Ketua 1 Asterawani, Prof Madya Dr Ampuan Ibrahim Ampuan Tengah, yakin bahawa PSN XV dapat menimbulkan suatu pemikiran yang boleh dijadikan langkah untuk mengangkat kualiti dan identiti sastera Nusantara walaupun mengambil jangka masa panjang untuk melihat hasilnya.

“Saya akui PSN kali ini kurang mendapat sambutan berikutan kelewatan penganjur memberi maklumat kepada pemakalah dan peserta selain musim cuti sekolah. Kesilapan ini tidak menjejaskan perjalanan PSN walaupun ada sesetengah pihak menganggap pertemuan kali ini gagal mencapai kata sepakat,” katanya.

Pertemuan dwitahunan yang diadakan bergilir-gilir di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura digerakkan dengan rasional sebagai negara serumpun yang berkongsi bahasa dan tradisi budaya serta perjuangan yang sama.

Berita Harian Online

Muallaf yang mencabar minda


JURUSOLEK terkenal, Hathim Thai menambahkan efek di kepala botak Sharifah Amani sewaktu penggambaran dua tahun lalu.


SAYA merupakan antara orang yang paling gembira saat mendapat tahu filem Muallaf akhirnya berjaya ditayangkan di negara ini.

Masakan tidak, sebelum dapat ditayangkan di negara kelahiran pembikin ceritanya, Allahyarham Yasmin Ahmad, filem ini terlebih dahulu sudah jauh berkelana serata dunia.

Apa yang membanggakan filem ini mendapat sambutan di luar dugaan ketika ditayangkan di Singapura, tidak salah saya pada tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, Muallaf diulang tayang di sana untuk kali kedua atas permintaan rakyat republik itu sendiri yang begitu menyanjung dan mengagumi filem kelima arahan Allahyarham Yasmin ini.

Sebetulnya, sewaktu menghadiri tayangan prebiu di Cathay Cineleisure, The Curve, Damansara, minggu lalu, ia merupakan kali kedua saya menonton filem ini.

Kali pertama, saya menontonnya di pejabat Allahyarham Yasmin, jika tidak silap saya sekitar dua tahun lalu iaitu beberapa bulan selepas Muallaf disiapkan.

Masih jelas terbayang di minda saya saat Allahyarham Yasmin mengirimkan khidmat pesanan ringkasnya kepada saya bertanyakan sama ada mahu menonton Muallaf.

Sudah pasti saya memberikan jawapan saya dengan pantas dan saya menyifatkan diri saya bertuah kerana menjadi salah seorang daripada mereka yang sempat menonton filem ini sebelum ia terperap dua tahun.

Seperti biasa, sebaik sahaja filem tamat, Allahyarham meminta pandangan saya tentang filem Muallaf.

"Filem ini berat tapi saya suka, Cik Min (panggilan saya untuk Allahyarham). Lain daripada filem-filem Cik Min sebelum ini." Itulah komen saya kepadanya dan dia hanya tersenyum sambil memeluk saya.

"I tahu bukan semua orang akan dapat terima Muallaf tapi I buat filem ini ada sebabnya. Semuanya tentang kemaafan dan keampunan.

"Apa sahaja yang kita lakukan keampunan serta kemaafan itu penting agar kita dapat hidup aman dan tenang di muka bumi ini dan juga di alam yang abadi," katanya dengan penuh jujur.

Maaf jika tulisan ini berbaur peribadi dan pasti akan ada yang tidak suka tetapi saya fikir ini adalah satu luahan saya untuk filem ini dan juga untuk Allahyarham.

Benar. Muallaf adalah tentang kemaafan dan keampunan. Sejahat mana pun seseorang itu atau betapa kecewanya perasaannya atas tindakan seseorang, namun jauh di sudut hatinya akan terselit juga kebaikan dan perasaan untuk memaafkan.

Kemaafan dua beradik terhadap bapa mereka biarpun sebelum ini puas mereka didera mental dan fizikal kesan daripada sikap bapa mereka yang panas baran serta tidak mengamalkan cara hidup Islam yang betul.

Kisah yang lain pula adalah tentang keampunan seorang anak kepada ibunya biarpun selama dia hidup, dia menyimpan dendam terhadap ibunya hanya kerana satu kesilapan sahaja.

Itulah yang cuba ditonjolkan oleh Allahyarham Yasmin menerusi filem Muallaf ini. Mungkin mendengarkan tajuknya ramai yang akan berfikir tentang kisah mereka yang memeluk agama Islam.

Sebelum ini, ramai yang berpendapat filem ini mampu mencetuskan kontroversi dan provokasi menerusi watak Rohani dan Rohana yang dilakonkan oleh adik-beradik, Sharifah Amani dan Sharifah Aleysha.

Masakan tidak, kedua beradik ini gemar mengungkapkan rangkap-rangkap dari al-Quran dan kitab Injil dalam mencari jawapan kepada masalah yang mereka tempuhi.

Kehebatan mereka itu ternyata cukup mengagumkan seorang cikgu bernama Brian Goh (lakonan Brian Yap) yang memiliki pengalaman silam yang cukup pahit sewaktu zaman kanak-kanak.

Di sini terletaknya keberanian Allahyarham Yasmin apabila cuba menonjolkan watak-watak ini yang cuba membicarakan tentang soal agama dari perspektif anutan yang berbeza.

Mungkin ramai yang tidak boleh menerimanya tetapi setiap rangkap yang diungkapkan seharusnya diteliti dan diperhalusi maksudnya yang akhirnya membawa kepada kuasa Sang Pencipta.

Percayalah, bukan semua boleh menerima Muallaf dengan terbuka kerana untuk menonton filem ini ia sememangnya mencabar minda penonton untuk menghayati maksud yang tersirat serta tersurat.

Filem ini masih lagi mengekalkan sentuhan Allahyarham Yasmin. Apa yang membezakan Muallaf dengan filem-filemnya terdahulu hanyalah konteks jalan ceritanya sahaja.

Muallaf merupakan naskhah paling berat yang pernah diarahkan oleh Allahyarham Yasmin. Menurut adiknya, Datin Orked Ahmad, dua bulan sebelum meninggal dunia, Allahyarham Yasmin merupakan orang yang paling gembira apabila mendapat tahu filem ini akan dipertontonkan kepada khalayak negara ini.

Allahyarham Yasmin (meninggal dunia pada 25 Julai lalu ) berdepan dengan rintangan dan cabaran dalam menghasilkan filem ini. Sudah pasti, siapa yang dapat lupa kontroversi Sharifah Amani yang membotakkan kepalanya dalam membawakan watak Rohani.

Kisah itu telah mencetuskan polemik dan perdebatan sehingga menjadi isu nasional dan berlarutan untuk beberapa ketika.

Namun, jangan berharap untuk melihat adegan rambutnya dicukur itu secara keseluruhan dalam filem ini kerana pastinya anda akan berasa hampa.

Sebaliknya, anda akan tahu serta sedar rasionalnya Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 itu berbuat demikian dan mengapakah ia begitu penting dalam menggerakkan filem ini.

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) ternyata cukup 'baik hati' untuk meluluskan filem ini tanpa sebarang potongan biarpun pada mulanya mereka mahu mencincang dua adegan filem ini kerana dianggap provokatif.

Mujurlah mereka sedar atas permintaan penerbit filem ini, MHz Film yang berjaya menyakinkan filem ini akan cacat seandainya ia dipotong.

Cuma ada dua adegan sahaja yang dipadamkan dialognya kerana ia dilihat mampu menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.

Usai menonton filem ini, saya menjadi sebak dan tanpa saya sedar air mata saya bergenang. Dalam masa yang sama, saya gembira kerana filem ini berjaya juga ditayangkan.

Malah, suasana ketika sidang media juga suram dan tidak seperti mana ketika tayangan pra tonton Talentime di tempat yang sama beberapa bulan sebelum itu.

Sedih kerana tiada lagi pengkarya yang menghasilkan filem-filem yang begitu indah dan memiliki semangat serta sarat dengan kasih sayang dan cinta.

Juga tiada lagi seorang bijak pandai yang mampu menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya tanpa disedari jawapannya itu membuatkan kita berfikir di sebaliknya.

Jika anda mahu menonton filem yang memulakan tayangannya hari ini (24 Disember), tontonilah ia dengan minda dan hati yang terbuka kerana anda akan mendapat sesuatu daripadanya.

Juga, jangan sesekali membanding-bandingkan Muallaf dengan karya Allahyarham Yasmin yang lain kerana kesemua filemnya iaitu Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin dan Talentime bergerak di atas landasan yang berbeza.

Untuk Allahyarham Yasmin Ahmad, jasamu akan terus dikenang sebagai pengkarya yang genius, berwawasan dan kreatif.

Dirimu hanya satu dan kamu tiada galang gantinya. Semoga roh kamu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah...

Utusan Malaysia Online


23 Disember 2009

Melayu pinggir bahasa sendiri

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

KELOMPOK Melayu moden, bukan Melayu dan generasi muda terutama yang mendapat pendidikan dan tinggal di luar negara, didakwa semakin jauh daripada pembudayaan bahasa Melayu sehingga tidak mempunyai rasa cinta apalagi setia kepada bahasa ibunda.

Gejala itu didakwa berpunca daripada globalisasi sehingga lahir generasi muda Melayu tanpa rasa kasih terhadap bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan, sekali gus menjadi anak dunia yang kaki berpijak di negara ini, tetapi jiwa menjelajah ke dunia antarabangsa terutama mereka berpengalaman belajar serta tinggal di luar negara.

Tidak ketinggalan, globalisasi mewujudkan sekelompok rakyat yang terlalu ghairah terhadap bahasa Inggeris termasuk ‘orang Melayu moden’ yang menganggap dunia menjadi kecil dan bahasa Inggeris saja perlu dikuasai untuk berhubung dengan semua pihak.

Pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata mereka menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa lengkap, moden dan sesuai sebagai bahasa perhubungan seharian, manakala penekanan kepada bahasa Melayu dilihat mewakili pendirian sempit dan merugikan serta mengasingkan penggunanya daripada masyarakat dunia yang lebih besar.

“Mereka melihat pejuang bahasa Melayu sebagai golongan tradisional, ketinggalan zaman dan kolot, selain mengaitkan bahasa Inggeris dengan kemajuan serta kecekapan berhubung sehingga menolak bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan perhubungan umum,” katanya ketika menyampaikan kertas dasar, Penyelidikan Ke Arah Pemerkasaan Bahasa Melayu.

Kertas berkenaan dibentangkan pada Seminar Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu V: Bahasa Melayu dalam Pembinaan Sahsiah dan Jati Diri Negara Bangsa anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Prof Emeritus Nik Safiah berkata, kelompok terbabit melihat bahasa Melayu tidak lagi menjadi lambang kedaulatan dan jati diri bangsa apalagi negara, manakala penguasaan bahasa yang kurang baik menyebabkan mereka tidak mempunyai hubungan emosi serta rasa taat setia kepadanya.

“Malangnya, golongan muda ini memegang jawatan penting dalam masyarakat baik sebagai pemimpin politik, tokoh korporat dan ahli profesional, sekali gus menjadikan mereka sebagai pemimpin masa depan yang akan mencorakkan pemikiran dan hala tuju negara,” katanya pada sesi yang dipengerusikan Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Rusli Abd Ghani.

Prof Emeritus Nik Safiah menegaskan, bahasa Melayu tidak berada di tempat yang sepatutnya terutama daripada kaca mata golongan pemimpin dan atasan serta generasi muda kerana mereka tidak mengetahui kegemilangan sejarah bahasa itu meskipun ia Melayu mempunyai kedudukan tinggi dari segi undang-undang.

“Ia juga disebabkan tidak ada bentuk bahasa Melayu contoh yang dihormati dan digunakan kumpulan contoh, berbeza dengan situasi di United Kingdom (UK) apabila bahasa Inggeris standard dituturkan kelas atasan dan lulusan universiti terkenal seperti Oxford dan Cambridge,” katanya.

Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pula mengingatkan tamadun negara bangsa dibina melalui bahasa ragam tinggi dan persuratan, sekali gus memberi amaran terhadap senario penggunaan pelbagai ragam bahasa Melayu melalui dialek daerah, bahasa pasar atau bahasa Melayu rojak.

“Hari ini proses pembinaan negara ini melalui bahasa kebangsaan negara sedang menghadapi masalah penggunaan bahasa yang rendah mutunya. Bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hanya sebagai sistem bahasa, tidak ditambah dengan pelajar korpus budaya, iaitu kesusasteraan Melayu atau sastera yang ditulis dalam bahasa kebangsaan,” katanya ketika menyampaikan ucap utama, Bahasa Melayu sebagai Alat Pembinaan Sahsiah dan Jati Diri Negara Bangsa.

Perkara terbabit juga dikatakan berpunca daripada ketiadaan contoh sama ada pihak berkuasa atau mereka yang terbabit dengan perancangan dan pengurusan pembinaan negara, selain sikap yang salah lagi jahil terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai alat pembangunan serta kemajuan negara.

Pemegang Kursi Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU), Prof Dr Awang Sariyan, mencadangkan strategi pembudayaan dirangka dengan memberi tumpuan kepada pemupukan sikap, kesedaran dan pembabitan pendokong bahasa berbudaya dalam pelaksanaannya di pelbagai sektor.

“Sistem audit bahasa perlu diwujudkan untuk perkhidmatan awam agar ia dapat dijadikan kayu ukur penilaian penguatkuasaan peruntukan undang-undang dan garis panduan berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan ilmu.

“Dalam konteks sistem pendidikan, kajian penilaian perlu dibuat terhadap gagasan bahasa merentas kurikulum yang diperkenalkan sejak 1987 untuk melihat apakah bahasa Melayu masih demikian atau pun undur ke petak mulanya,” katanya ketika membentangkan kertas kerja dasar Bahasa Berbudaya dan Pembudayaan Bahasa: Ertinya kepada Bangsa Bertamadun Luhur.

Dr Awang turut menyarankan DBP bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan syarikat penerbit untuk mengusahakan jurnal yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan disenaraikan sebagai jurnal yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Kementerian Pengajian Tinggi pula perlu mempunyai dasar dan garis panduan yang jelas agar IPT tidak berlumba-lumba untuk mendapat penarafan cemerlang pada peringkat antarabangsa saja, tetapi mengabaikan fungsinya dalam mengilmukan rakyat negara ini sendiri,” katanya.

Berita Harian Online


22 Disember 2009

Bahasa, pemikiran maju sebelum kedatangan pengaruh luar di Nusantara

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


SARJANA tanah air diminta menekankan kemajuan peradaban Melayu secara endogenus, iaitu pertumbuhan dari dalam masyarakat berdasarkan kreativiti mereka, tanpa terperangkap kecenderungan melihat kemajuan secara eksogenus, iaitu suntikan daripada peradaban lain.

Cadangan yang dikemukakan tokoh ilmuwan dan budaya Melayu pada Seminar Peradaban Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, bertujuan mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam perbincangan yang lebih diberatkan kepada aspek eksogenus kerana semua peradaban dunia seperti Arab Islam, Eropah Islam, India Hindu dan Cina tidak terlepas daripada menerima pengaruh luar.

Felo Penyelidik Kanan, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, berkata kecenderungan sarjana tanah air mengambil sikap eksogenus menyebabkan ia dimanfaatkan pihak tertentu bagi menafikan kewujudan peradaban Melayu.

“Saya pernah menerima kiriman petikan daripada buku yang diterbitkan di luar negara yang mengatakan unsur peradaban luar yang datang ke alam Melayu. Inilah yang menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang berperadaban dengan mengambil contoh perkataan daripada bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, Inggeris, Portugis, Belanda dan Cina,” katanya ketika membahaskan Bahasa Sebagai DNA Peradaban pada seminar anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tanpa menafikan pengaruh luar memperkayakan bahasa Melayu, Prof Emeritus Asmah mengingatkan khalayak untuk tidak menerima pandangan penulis blog terbabit yang berusaha merendah-rendahkan peradaban Melayu.

“Ini kerana bahasa Melayu dan pemikiran Melayu sudah maju sebelum datangnya pengaruh dari luar atau dengan perkataan lain, bahasa Melayu sudah lengkap dengan sistem leksikal bahasa yang dapat memaujudkan konsep dalam minda penuturnya.

“Bukti bahasa Melayu bertulis paling awal ialah bahasa di batu bersurat Sumatera Selatan dan Pulau Bangka yang bertarikh abad ke-7 yang turut dikenali sebagai Inskripsi Melayu Sriwajaya yang sudah banyak diperkatakan sarjana Belanda, Perancis dan Inggeris,” jelasnya.

Pandangan Prof Asmah itu diperakukan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, yang menegaskan tamadun Melayu dibina orang Melayu yang pandai berfikir dalam bahasanya seperti digambarkan dalam Hikayat Hang Tuah.

“Orang Melayu pandai menggunakan bahasa dengan baik, betul dan indah walaupun tidak mempelajarinya secara formal. Ini menunjukkan cara berfikir dalam bahasa Melayu menyebabkan akal dapat ditajam serta dijernihkan sehingga menjadi alat pembinaan tamadun tinggi,” katanya ketika membahaskan Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan akal budi bangsa Melayu Sepanjang Zaman.

Kekuatan akal Melayu tidak dikacau oleh bahasa asing sehingga pemantun dan pencetus pepatah serta peribahasa Melayu zaman dulu bebas untuk mengetahui atau menguasai bahasanya secara intuitif.

Pengarah APM, UM, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, menyarankan peradaban Melayu dimantapkan kembali dengan menjadikan kekuatan Islam dan ilmunya sebagai kekuatan rohani serta falsafah Melayu.

“Pendekatan ini membolehkan ia menjadi benteng pertahanan rohani Melayu daripada segi tauhid, takwa dan iman. Fungsi bahasa Melayu juga perlu dipertingkatkan daripada bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah kepada bahasa ilmu,” katanya ketika membincangkan

Pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa Melayu perlu diberi sokongan dan sarjana di semua universiti awam perlu bekerja keras untuk menulis makalah atau buku dalam bahasa Melayu dalam semua ilmu.

“Selain penciptaan ratusan ribu kosa kata dan istilah baru oleh ilmuwan, saintis dan teknologis Melayu, mereka juga perlu meneroka ke dalam alam teoritikal dan paradigma Melayu,” katanya ketika membincangkan Memantapkan Peradaban Melayu.

Zainal Abidin menegaskan tumpuan juga harus diberikan kepada penerokaan bidang baru yang belum diangkat kepada umum seperti falsafah, maritim dan ethnosains Melayu, selain mencipta dan merumus teori Melayu seperti dalam bidang kesusasteraan.

“Dalam usaha mempertingkatkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai bahasa kedua atau bahasa antarabangsa kepada pelajar antarabangsa yang difahamkan terdapat lebih 100 institusi pengajian Melayu di dunia,” tegasnya. Imbang Penuh
Dalam konteks perdagangan pula, bangsa Melayu perlu meramaikan individu yang datang daripada kelas masyarakat perusahaan, perdagangan dan perindustrian Melayu dengan mewajibkan bahasa pengantar Melayu dalam pendidikan dalam bidang berkenaan.

Berita Harian Online

21 Disember 2009

*Sastera Sabah Menjelang 2010

DUNIA penulisan di Sabah tidak jauh bezanya dengan iklim penulisan di tempat-tempat lain khususnya dari segi kerencaman untuk mengangkat bakat sastera yang dipunya para penulis. Persamaan yang amat ketara ialah meletakkan tanggungjawab untuk membesarkan mereka. Membesar dalam erti kata yang maha luas iaitu memberi dorongan berbentuk ilmu, memugarkan ilmu yang mereka terima menerusi latihan atau bimbingan yang berterusan. Dorongan juga boleh diberikan berasaskan semangat saling ringan minda melakukan saranan sehingga menghasilkan bukan sahaja produk sastera yang baik tetapi mutu seorang penulis yang hebat dan berwibawa, malah dihormati suatu hari nanti.

Sejak 1 dekad lalu bermula era milenium baru hingga kini memang agak sukar untuk memperolehi data yang kemaskini kumpulan penulis yang terampil sama ada novel, puisi atau cerpen bahkan kritikan sastera di Sabah. Malah saya fikir penulisan skrip drama juga. Tidak seperti pada dekad-dekad sebelumnya, saya fikir kita boleh dengan bangganya menyebut kumpulan penulis yang amat konsisten, meski sebahagian besar daripada mereka telah melupakan dunia sastera. Namun saya yakin cinta sastera sebenarnya tidak pernah luntur.

Kerana itu dicadangkan agar usaha dilakukan misalnya mengenalpasti penulis-penulis yang diakui genre penulisan mereka kemudian meminta mereka tampil untuk memperkatakan proses kreatif masing-masing. DBP Sabah misalnya mempunyai majalah Wadah dan Jendela Sabah. Gunakanlah ruang yang ada itu khusus untuk para penulis kita berkreatif dengan aktif. Peluang perlu sering diberikan kerana upaya untuk mereka tampil tidak datang dengan sendirinya. Mereka perlu didekati. Para penulis harus dimesrai, diberikan kepercayaan untuk menjelaskan siapa mereka untuk karya sastera mereka. Para penulis tidak mungkin mahu mengatakan dialah penulis yang baik. Apakah hanya dengan satu atau dua buah karya ataupun beberapa buah buku antologi puisi, misalnya mereka sudah bergelar penulis? Tentu subjektif sifatnya. Begitu juga dengan sebuah buku kumpulan cerpen, apakah gelar penulis itu sudah memadai buatnya?

Kelihatannya begitu mudah, dan ini boleh kita lihat dalam sebuah buku yang memuatkan penulis-penulis terbitan DBP Sabah. Ada kalangan individu yang tidak sepatutnya berada dalam buku tersebut, apatah lagi maklumat yang ada tidak kemaskini. Wajarkah ia dijadikan rujukan? Ia hanya berupa sejarah yang sukar membuktikan keberadaan mereka menerusi industri karya yang berterusan. Persoalannya apakah susah sangat untuk mengumpul senarai penulis yang benar-benar berwibawa? Apakah tidak ada mekanisme yang sistematik untuk melakukan usaha ini? Rasa saya tidaklah sukar sekiranya ia ditangani oleh tenaga kerja yang faham, komited, rela hati, berminat, rajin, kreatif, inovatif, berfikiran terbuka, gemar menerima pandangan dan tidak mementingkan diri sendiri. Jika sebuah agensi yang hebat tidak dapat melakukannya, siapa lagi? Berbaloikah dana yang diberikan oleh kerajaan untuk dijadikan emolumen elaun itu dan ini agar sesuatu projek yang dilakukan itu berjaya, tetapi apa yang diharapkan tidak lebih daripada hasil kerja yang amat merugikan untuk jangkamasa yang panjang.

Jangan dipersoalkan lagi apakah relevan aktiviti-aktiviti sastera tanpa melibatkan para penulis di sesuatu daerah itu, padahal aktiviti seperti itulah yang menyebabkan status kepenulisan mereka 'hidup'. Aktiviti sastera itu untuk para penulis! Ini ungkapan yang tidak boleh dipertikaikan. Inilah juga natijah mengapa penulis tidak selalu kelihatan dalam program-program berkaitan dunia penulisan itu sendiri. Ruang hadirin sentiasa diisi oleh para pelajar atau individu yang dipaksa. Sudah pasti ini bukan kesan yang diharapkan pihak pengajur, tetapi dengan mengambil kira jadinya sesebuah aktiviti bermakna sesuatu telah dilakukan, bagi melengkapi sasaran kerja para pegawai projek. Mungkin tidak lebih daripada itu!

Tidak banyak yang diharapkan menjelang 2010 untuk sastera, kecuali para penulis tidak pernah putus asa untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu. Tidak pernah patah semangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti anjuran DBP mahupun NGO persuratan yang ada di Sabah. Apatah lagi zaman 'mewah' sudah berlalu apabila dana untuk sastera mengalami nasib yang sama dengan urusan-urusan lain di negara kita ketika ini. Saat dunia sastera punya kelebihan dana, kita tidak mendapat bahagian yang adil apabila ada sesetengah program tidak begitu relevan dengan kos yang besar. Padahal dengan kos yang digunakan itu boleh menyelesaikan banyak aktiviti yang menguntungkan para penulis sendiri, misalnya program penataran, penerbitan dan apresiasi.

*Kesan pertemuan dengan penulis-penulis dari Utara Sabah ~ Saibil Madun, Jair Sulai dan Mastari Kanjabun di Kudat pada 19 Disember 2009. Lokasi: Restoran Rakyat, Kudat.

~ Hasyuda Abadi ~
Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu
Sabah.

18 Disember 2009

Selamat Menyambut Tahun Baru


PADA PENGHUJUNG tahun ini, kita kembali dihadapkan pada dua pergantian tahun yang sama-sama dimaknai sebagai momentum penting dalam dinamika kehidupan umat manusia, yakni pergantian tahun Hijrah dan Masehi. Semangat yang muncul pada setiap pergantian tahun seringkali membawa kita pada imajinasi sebuah perubahan. Ya, tentu saja, kita memiliki harapan besar di balik perubahan itu agar kehidupan seterusnya jauh lebih baik berbanding kehidupan masa lalu.

Hijrah yang dilakukan oleh teladan umat sepanjang masa, Rasulullah Muhammad SAW, merupakan peristiwa heroik dalam upaya membangun kehidupan umat dari masa-masa yang kelam menuju masa-masa yang penuh pencerahan. Dari situlah semangat perubahan terus diabadikan daripada satu generasi ke satu generasi. Simbol-simbol lahiriah ketika umat Muhammad berbondong-bondong melakukan penghijrahan akibat situasi keributan yang membuat kehidupan mereka merasa sangat tidak nyaman pun telah mengalami banyak pergeseran.

Simbol-simbol lahiriah di balik peristiwa hijrah berkenaan, jelas sudah jauh bergeser maknanya. Hijrah agaknya tak harus dimaknai sebagai penghijrahan dari satu tempat ke tempat lain, tetapi justru yang lebih penting adalah bagaimana agar kita mampu berhijrah secara spiritual dan intelektual. Spiritual berkaitan dengan pengukuhan rohani secara vertikal sebagai wujud sikap kepasrahan sepenuhnya terhadap Yang Maha Esa, sedangkan intelektual berkaitan dengan kepekaan akal budi dalam membangun semangat kesetiakawanan sosial secara horizontal di tengah kehidupan nyata.

Jika kedua nilai hijrah ini dapat dan semampunya diamalkan dalam kehidupan nyata, sudah pasti nilai kehidupan kita juga sentiasa mendapat rahmat daripada Ilahi. Malah banyak lagi nilai-nilai kehidupan yang mulia lahir ke setiap diri ahli masyarakat yang amat cintakan kebahagiaan, hidup yang harmoni, bebas dari segala perbuatan mungkar seterusnya mampu bergabung membangunkan agama, bangsa dan negara dengan bijaksana.

Selamat Menyambut Tahun Baru 1431 Hijrah dan 2010 Masihi, semoga kita tetap bersemangat untuk melakukan sebuah perubahan besar pada tahun yang akan datang. InsyaAllah.

Ketua Satu IPS

17 Disember 2009

MESYUARAT AGUNG PENA KE-14 2009

No.Pendaftaran: 1579 (Selangor)
Persatuan Penulis Nasional Malaysia


MESYUARAT AGUNG PENA KE-14 2009


Tarikh: Ahad, 20 Disember 2009

Masa: 10.30 pagi

AGENDA:

1. Ucapan Pengerusi Tetap
2. Ucapan Presiden
3. Membentangkan Minit Mesyuarat Agung ke-45
4. Perkara-perkara Berbangkit
5. Membentangkan Penyata Tahunan 2008/2009
6. Membentangkan Penyata Kewangan 2008
7. Membincangkan Usul-usul Lain (jika ada)
8. Ucapan Penangguhan

*Semua ahli biasa (ahli seumur hidup dikecualikan)
di minta membayar yuran tahuan sebanyak RM10.00.

Sumber: Setiausaha Agung PENA
Bil Surat: FK/PENA08-10SUA-111-Bil(5)
bertarikh: 26/10/2009

16 Disember 2009

Nikmatnya apabila berpuisi



Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


ANTARA mereka yang khusyuk menghayati bait puisi yang bergema di Balai Berita, baru-baru ini.

Sasterawan, aktivis seni dan artis mengalu-alukan penganjuran Malam Puisi Riong

SUASANANYA tenang dengan limpahi cahaya yang agak suram, ruang yang dingin, santai dan selesa membolehkan lebih 150 tetamu yang hadir pada Malam Puisi Riong (MPR) dapat menikmati alunan puisi dengan berkesan serta mengasyikkan.

Ada yang bersila, bersandar, melunjur kaki, berdiri di penjuru dinding dan tidak kurang duduk bersimpuh untuk sama-sama menghayati bait-bait indah puisi yang disampaikan lebih 20 pendeklamasi pada malam itu.

Antara mereka, ada yang menyampaikan secara pembacaan dengan penghayatan yang beremosi, tidak lupa melalui penyampaian menerusi lagu puisi yang cukup puitis.

Inilah kejayaan yang dapat digambarkan pada MPR yang berlangsung di Bilik Seminar, Ruang Legar Tingkat Bawah Balai Berita, minggu lalu selepas enam tahun menyepi.

MPR anjuran Berita Harian mula diperkenalkan dan aktif sejak 1997 sehingga 2003, namun penganjurannya terhenti. Atas inisiatif Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, MPR kini akan kembali aktif sebagai aktiviti bulanan.

Menurut Mior Kamarul, MPR akan dianjurkan secara kerap selepas ini bagi menghidupkan kembali program yang sudah enam tahun tidak aktif, sekali gus bertujuan untuk mendampingi semua golongan masyarakat khususnya golongan muda.

“Mungkin selepas ini kami akan anjurkan setiap satu atau dua bulan sekali dan memperluaskan ke institusi pengajian tinggi tempatan bagi menghangatkan semula acara pembacaan puisi di kalangan pelajar dan masyarakat.

“Puisi di dalam sastera adalah sebahagian daripada pengisian di dalam akhbar berbahasa Melayu dan kami di akhbar ini yakin ramai pembaca meminati serta mengikuti perkembangan sastera. Jadi, kami mahu menggiatkan semula acara bacaan puisi dan sajak,” katanya ketika merasmikan MPR dan seterusnya menjadi peserta pertama menyampaikan puisi pada malam itu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib.

Tetamu yang hadir bukan saja terdiri daripada golongan sastera yang sememangnya sentiasa menyokong apa saja aktiviti seni yang diadakan, malah MPR mendapat sokongan daripada enam artis tanah air yang begitu meminati khazanah seni sastera ini. Mereka seperti Ramli Sarip, Khalid Salleh, Hattan, Jaclyn Victor, Fouziah Gous dan Cicik.

MPR dimulai dengan nyanyi puisi daripada penghibur jalanan, Cicik yang juga finalis program realiti Akademi Nasyid TV9 menerusi dua lagu iaitu Berita Dari Kawan, lagu puisi yang dipopularkan oleh Ebit G Ade, dan Pergi lagu dendangan Aizat yang menjadi lagu tema filem Talentime tetapi dalam versi Inggeris.

“Sebagai penghibur jalanan sudah tentu saya sangat meminati lagu-lagu puisi yang mempertaruhkan bahasa yang puitis dan mendalam. Lagu seperti ini sebenarnya lebih santai, tenang dan amat sesuai dengan suasana pada malam ini.

“Saya memilih untuk menyampaikan puisi dalam bentuk lagu kerana ia elemen yang boleh menenangkan jiwa pendengar sekali gus mudah untuk dihayati mereka. Apabila ditawarkan penganjur untuk terbabit dalam majlis ini, terus saya bersetuju dan tidak mahu berfikir panjang,” kata Cicik yang akan terus menyokong MPR dan bersedia sekiranya diundang lagi.

Hampir menitiskan air mata

MEMILIH karya Sasterawan Negara, Usman Awang berjudul Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini, pelakon Fouziah Gous mengakui puisi bukan mudah untuk dibaca sekiranya tidak disampaikan dengan jiwa yang ikhlas.

“Ia hadir dalam jiwa kita sendiri, pemilihan puisi untuk dibaca juga penting kerana kebiasaan puisi boleh dikaitkan dengan kehidupan kita sendiri. Kebetulan saya memiliki jiwa yang sensitif dan kebanyakan puisi yang dibaca oleh sasterawan kita cukup menyentuh jiwa saya. Hampir menitiskan air mata apabila mendengar lagu puisi yang dinyanyikan papa rock, Ramli Sarip berjudul Sebuah Kisah Satu Sejarah.

“Saya harap Malam Puisi Riong ini menjadi medan kepada artis lain untuk berkumpul dan terbabit sama selepas ini. Bagi saya, pengalaman berdamping dengan ramai sasterawan di sini memberi pendidikan baru buat saya, terutama perkara yang berkait dengan bidang lakonan,” katanya yang melihat puisi sentiasa tidak mendapat perhatian generasi muda.

Hattan adalah antara penyanyi yang cukup senang apabila ditawarkan penganjur untuk terbabit sama dalam MPR. Hanya satu minit bersembang persetujuan terus tercapai. Baginya puisi bukan tempat untuk orang meraih publisiti mahupun membuat duit.

“Hanya orang yang berminat dalam sastera saja yang tahu apa kepuasan yang tersirat di dalam makna puisi. Bagi golongan penyanyi, puisi ini adalah lirik yang mereka nyanyikan sebenarnya.

“Jika dikaji artis dulu, lirik yang dihasilkan adalah puisi dan sebab itu lagu dulu lebih puitis dan kekal hingga hari ini. Generasi hari ini kurang berminat mengenai puisi dan ada yang tidak tahu langsung apa itu puisi.

“Jika dihayati lirik lagu hari ini mereka lebih suka mencari jalan mudah membuat lirik dengan melihat apa yang ada di hadapan mata saja tidak seperti dulu. Saya menyarankan generasi muda hari ini seperti band indie untuk terbabit sama di dalam majlis puisi seperti ini kerana banyak ilmu dan idea oleh mereka perolehi,” katanya yang menyampaikan lagu puisi karya JS Kevin berjudul Hitam Bukan Impian serta lagu duet bersama Jaclyn Victor nyanyian asal Bob Dylan, Knockin' On Heaven's Door.

Jaclyn Victor bukan saya melakar sejarah buat dirinya sendiri apabila pertama kali membaca puisi dalam hidupnya tetapi sejarah buat penganjuran kerana dapat mewakili pendeklamasi kaum India yang pertama terbabit dalam MPR.

“Bagi saya bahasa memainkan peranan penting bagi untuk menyampaikan puisi. Biarpun ini adalah kali pertama saya terbabit di dalam puisi namun saya memahami yang puisi ini bukan pembacaan yang mudah.

“Sebagai pendeklamasi, saya harus faham apa yang saya bacakan dan ia harus masuk ke dalam jiwa penonton. Saya tahu puisi Melayu ini biasanya menggunakan bahasa yang puitis dan sukar untuk difahami, namun sekiranya saya membaca puisi Inggeris atau India, bukan saja saya sukar untuk memahami tetapi penonton turut sukar.

“Saya baru tahu yang puisi juga sedap sekiranya dinyanyikan. Apabila melihat Cicik, Hattan dan Ramli Sarip menyanyikan lagu puisi, saya jadi tertarik untuk hadir lagi menyanyi pula lagu puisi,” katanya yang menyampaikan puisi Lim Swee Tin berjudul Kalaulah Kandahar.

MPR yang mengangkat tema Gelora Kemanusiaan 2009, turut dimeriahkan penyair yang juga Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik dan ke-43 (FFAP43), Khalid Salleh, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996, Ahmad Shukri Abdullah, Timbalan Pengerusi Yayasan Dakwah Malaysia-Indonesia, Datuk Nakhaie Ahmad dan ramai lagi.

Berita Harian Online

Arkib penerima SEA Write Award 2009.

Sila layari : http://www.seawrite.com/English%20Site/Past%20Events-E/2009-E.html

Puan Azmah Nordin
Penerima SEA Write Award 2009
M A L A Y S I A



14 Disember 2009

Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY-Pelangi

PERADUAN Mengarang Novel Remaja MBBY-Pelangi menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM12,500 bagi memeriahkan musim cuti persekolahan dengan matlamat mencungkil bakat baru dalam penulisan novel remaja akan berlangsung sehingga 31 Januari 2010.

Ketua Penyelaras Program MBBY, Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak, berkata peraduan ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan penganjur tidak mengehadkan tema karya yang dihantar untuk penyertaan, tetapi perlu mengutamakan nilai murni dan budaya Malaysia.

“Mereka yang berminat untuk menyertai peraduan ini perlu memastikan karya yang dihantar sesuai untuk bacaan pelajar sekolah menengah dan asli selain ia perlu ditulis dalam bahasa Melayu dan belum pernah disiarkan atau dihantar untuk peraduan penulisan lain,” katanya dalam kenyataannya kepada Sastera, baru-baru ini.

Peraduan terbabit dianjurkan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dengan kerjasama Pelangi Publishing Group bermatlamat menambah bahan bacaan sastera untuk generasi muda negara ini sesuai dengan cita-cita menjadikan rakyat Malaysia minat membaca.


Prof Md Sidin berkata, peserta hanya dibenarkan menghantar maksimum dua karya, tetapi hanya satu karya yang akan dipilih untuk penerimaan hadiah, manakala panjang di antara 200 hingga 300 halaman bersaiz A4 serta ditaip langkau dua baris dengan tulisan jenis Arial bersaiz 12.

“Juara akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, pemenang kedua dan ketiga akan menerima RM3,000 serta RM2,000, manakala lima pemenang hadiah sagu hati akan menerima RM500 setiap seorang,” katanya.

Karya terbaik akan diterbitkan oleh Novel Pelangi Sdn Bhd dan maklumat lanjut pertandingan layari www.pelangibooks.com atau e-mel kepada ezaleila@gmail.com.

Sumber: Berita Harian Online

08 Disember 2009

Segalanya Pulang Kepada Air Mata

(Terkasih buat Allahyarham Kanda Asim Bin Kadar Yang Pulang Ke Tempat Asal pada 6.Disember.2009 Ahad Jam 1.30PM Hospital Papar)- Dia datang ke papar dengan ketawa tapi pulang dengan airmata)

Lembut angin sepoi berhembus
Mengiringi kepulanganmu kepada yang Teragung
Meninggalkan kami yang tergumam menahan sedih
Tiba-tiba masa sihatmu diragut pergi
Sedang baru sebentar tadi kau menghadiahkan segaris senyum.

Berita kepulanganmu yang mendadak itu
Membuat kami keliru, lidah pun menjadi kelu
Airmata tidak bisa menggambarkan kesedihan
Seperti tidak percaya inilah harinya
Kerana baru sebentar tadi kau berketawa.

Dan kami pun dipaksa melewati detik-detik yang sukar
Kau wira yang selalu memahkotakan kebahagiaan
Kau insan istemewa yang selau pasrah pada ketentuan
Meski nurani disakiti kau tegar menghadapi
Kejayaanmu membina empayar membuat kami bangga
Sayang hanya sebentar Cuma kau menikmatinya.

Lalu apalah yang tinggal lagi pada kami
Selain potret dan kenangan
Indah saat bercerita denganmu tentang masa muda
Tentang pohon bakau,air laut dan kampung kita
Sungguh sehabis hayat tak akan kami lupa.

Ya Tuhan yang mengambil dia pulang
Jadikan kami tabah menghadapi kehilangan
Tempatkan dia di sisi yang beriman
semoga tenang dia di pengabadian
dan kami akan sentiasa merindukan.


Rafidah A.Ghani


Kiamat 2012 agenda Yahudi dan Amerika


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

LAMAN web http://satudunia.net/ membincangkan filem 2012 karya Roland Emmerich sebagai dakyah Amerika Syarikat bagi meracuni pemikiran umat Islam melalui khayalan bahawa misi penyelamat gagasan mereka dapat menyelamatkan manusia daripada kiamat.

Penulis web berkenaan, Firdaus, menyifatkan filem terbabit boleh memesongkan kepercayaan umat Islam melalui petanda berlakunya kiamat pada 2012 di samping membidas adegan penemuan ilmiah mengenai ledakan di matahari yang mempengaruhi kerak bumi.

“Perkara ini sengaja dipaparkan bagi mengukuhkan fakta tahun berlakunya kiamat, manakala gambaran perwatakan mulia Presiden Amerika Syarikat yang memilih berada di samping rakyat menjelang kiamat bertujuan memberi citra mulia kepada kepimpinan negara polis dunia itu,” lapor laman terbabit.

Filem terbabit turut menggambarkan pemimpin Amerika dan semua pemimpin negara maju sibuk mempersiapkan diri ke China, tempat terletaknya bahtera yang mampu melindungi manusia daripada bahana kiamat, tetapi Presiden Amerika menolaknya kerana prihatin terhadap rakyat.

“Gambaran ini jelas membuktikan Amerika sengaja menyogok pemikiran masyarakat Islam agar berpandangan positif terhadap mereka melalui garapan karya yang memberi ruang kepada penonton untuk menghayatinya mengikut perancangan mereka ," beliau dilaporkan berkata oleh laman web terbabit.

Firdaus turut membidas filem terbabit kerana dianggap meniru kisah Nabi Nuh dalam usaha mendapatkan perhatian khalayak antarabangsa dan jika tersilap langkah, umat Islam yang menontonnya akan mempercayainya sehingga meletakkan mereka ke arah kekufuran.

Laman terbabit turut melaporkan, penulis sesawang terbabit bimbang terhadap keghairahan sesetengah masyarakat Islam untuk menonton filem 2012 kerana mereka akan condong ‘mempercayainya’ melalui penggunaan teknologi animasi canggih.

"Penonton mungkin kagum dengan teknologi yang digunakan dalam filem ini, tetapi rasa kekaguman itu akan hilang dan yang tinggal hanyalah mesej bahawa Amerika Syarikat menyelamatkan manusia.

“Semua gambaran dalam filem ini jelas bertentangan dengan agama Islam kerana perkara ghaib tidak dapat dibayangkan akal fikiran manusia dan mereka akan alpa bahawa Amerika bertanggungjawab dalam menghasilkan model pembangunan yang mengakibatkan kehancuran alam semesta,” ujarnya.

Beliau turut dilaporkan meminta umat Islam untuk tidak terpengaruh dengan filem 2012 yang digarap menggunakan sumber National Aeronautics and Space Administration (Nasa) kerana ia propaganda Yahudi.


Berita Harian Online

07 Disember 2009

Catatan YDP Badan Bahasa dan Sastera Sabah


SEMALAM 6 Disember 2009, saya bersama-sama Timbalan Yang Di Pertua BAHASA dan juga Hasyuda Abadi baru kembali dari Miri selepas menghadiri Perkampungan Penulis (Pengarang) Sarawak, yang diadakan di sana. Walaupun keletihan selepas melalui perjalanan darat yang jauh, tetapi kami berpuas hati dengan layanan yang diberikan sahabat penulis Sarawak, khususnya dari PUTERA sepanjang berada di sana.Kami juga mendapat pelbagai input mengenai perkembangan sastera di Sarawak yang dikatakan beberapa pembentang kertas kerja sebagai agak merosot dibandingkan dengan Sabah.

Seterusnya > Jasni Matlani

Bahasa cinta Hamzah Fansuri

Oleh MOHD. HASHIM OSMAN

DALAM membicarakan peringkat kerohanian atau disebut maqam oleh ahli-ahli tasawuf, tokoh sufi abad ke-11M, Ali Uthman al-Hujwiri dalam Kashf al-Mahjub mengistilahkan 'cinta Ilahi' sebagai isyq. Dalam menghuraikan pemeringkatan maqam rohani ini, beliau meletakkan isyq pada tahap kedua setelah seseorang sufi itu telah melepasi tahap transformasi diri (Yang melibatkan taubat, inabbah, zuhud serta tawakkal)

'Isyq, berdasarkan Kamus Arabi-Melayu Idris Al-Marbawi dimaknakan sebagai cinta atau asyik. Menurut Ibnu Qayyim pula isyq bermaksud cinta yang meluap-luap. Beliau juga memetik dari Ash-Shahhah dan pendapat al-Farra' yang menyatakan isyq bermaksud puncak cinta. Manakala Ibn Sayyidah menjelaskan bahawa isyq bererti ketakjuban seseorang terhadap orang yang dicintainya.

Walau bagaimanapun perlu diambil perhaian bahasa pada dasarnya Isyq (al-isyq) merupakan istilah cinta yang paling buruk dan penggunaannya sebagai merakamkan rasa cinta tidaklah digemari oleh orang-orang Arab. Oleh yang demikian tidak hairanlah perkataan ini tidak digunakan dalam bahasa rasmi juga hampir-hampir tiada dalam syair-syair Arab peringkat awal. Isyq yang menjuruskan makna cinta yang memuncak hanya disukai oleh penyair-penyair abad-abad terkemudian.

Apabila dihubungkan dengan karya-karya sastera Melayu, karya-karya yang mempamerkan isyq ini terdiri daripada karya-karya (sastera) sufi yang dikelompokkan dalam sfera kesempurnaan rohani atau disebut juga sebagai sfera kamal. Berbanding karya-karya dalam kelompok lain, yang tidak menitikberatkan keindahan seni bahasa, karya-karya sastera tasawuf begitu mementingkan nilai-nilai seni kesusasteraan.

Lewat karya-karya tasawuf mereka, sama ada berbentuk prosa mahupun puisi, pembentukan rohani atau jiwa ini diperlihatkan oleh pengarangnya melalui gaya bahasa yang sarat dengan tamsilan, imej-imej dan lambang bersifat peribadi. Berdasarkan diksi serta ungkapan-ungkapan karya tersebut, terpancarlah tahap atau maqam rohani seseorang ahli tasawuf yang dilampiaskan berdasarkan pengalamannya dalam menempuh beberapa peringkat kerohanian. Dalam makna yang lain segala ungkapan dan kata-kata bukan lagi sekadar apa yang dilihat sebaliknya merupakan luahan dan cetusan yang terkumpul daripada "pengembaraan" di alam hakikat dan "pertemuan" mereka kepada makrifat.

Peringkat isyq

Ahli sufi yang sudah berada peringkat isyq ini telah menyerahkan sepenuh-penuhnya jiwa raga dan cinta maksyuknya kepada Allah SWT. Bagi Braginsky, isyk merupakan kurniaan Tuhan kepada seseorang yang menuntut atau mencarinya dan menimbulkan "kemabukan", menghilangkan rasa takut dan haloba pada jiwanya dan melupakan diri sendiri hingga menjadikan dirinya sebagai insan yang bernilai di sisi Tuhannya apabila segala dosanya telah diampuni. Melalui pengkaryaan prosa atau puisi mereka, pemikir-pemikir terkemudian dapat melihat akar tasauf mereka, iaitu 'isyq yang sudah tidak dapat ditahan-tahan.

Di Nusantara, Hamzah Fansuri merupakan salah seorang tokoh sufi yang giat merakamkan kecintaan atau isyq terhadap Ilahi melalui karya-karya prosa dan puisinya. Selain puisi-puisinya seperti Syair Perahu, Syair Si Burung Pingai, Syair Dagang dan Syair Sidang Fakir, Hamzah turut menampilkan karya-karya prosa seperti Syarab al-'Asiqin (Zainat Muwahhiddin) dan Asra al- Arifin Fi Bayan al-Suluk wal-Tauhid . Dalam merakamkan 'cinta maksyuknya' terhadap Ilahi, pelbagai ungkapan atau frasa yang digunakan oleh Hamzah Fansuri.

Kata berahi dan asyik, merupakan dua daripada puluhan satu kata pilihan Hamzah bagi merakamkan konsep kecintaan yang mendalam terhadap Ilahi. Perhatikan penggunaan kedua-dua kata tersebut dalam petikan berikut:

"Orang berahi yang sudah tanggal daripadanya, akan harimau tiada ia takut - akan [orang] berbudi takut [ia akan] harimau - akan gajah tiada takut, akan ular tiada ia takut, akan api tiada ia takut -akan orang berbudi, ia takut [akan semua itu] … Adapun akan [orang] berahi tiada ia takut akan neraka, dan tiada ia ingin akan syurga - Allah Sendiri-Nya juga kehendaknya. Apabila sifat yang demikian ada akan dia, berahi hukumnya. Jika tiada sifat demikian akan dia, asyik akan nasi baru belum asyik akan Allah Ta'ala."

Dalam petikan di atas, Hamzah Fanzuri membandingkan dua bentuk kecintaan yang melingkungi jiwa insan, iaitu kecintaan terhadap Allah SWT atau kecintaan kepada keduniaan. Cinta hakiki kepada Allah SWT akan menafikan segala rasa takut atau kebimbangan terhadap kuasa makhluk. Malah Takut dalam erti kata yang sebenarnya ialah takut melanggar larangan Allah dan takut meninggalkan larangan Allah. Malah bagi orang sepertinya takut ini diertikan sebagai kerisauan akan dirinya 'jauh' daripada Allah SWT.

Malah berdasarkan karya tersebut, jelas kepada kita betapa konsep cinta Allah SWT ialah penyerahan jitu yang tidak berbelah bagi. Hinggakan bagi seseorang yang benar-benar sudah sampai ke tahap cinta isyq (berahi dan asyik) tersebut, yang diharapkannya dalam hidup dan setiap amalannya hanya semata-mata untuk menemui Allah semata-mata. Syurga dan neraka baginya tidak lagi berupa penggalak untuk beramal.

Hamzah Fansuri juga melihat amal sebagai pemangkin asyiq (asyik) seorang hamba kepada Tuhannya. Asyik yang berasal daripada perkataan Arab asyiqun] membawa maksud rindu. Ini dapat dilihat dalam petikan puisinya seperti di bawah:

Aho segala kita anak Adam,
Jangan lupa akan syahi alam
Pada bhr al-dhunub (atau lautan dosa) jangan terkaram
Supaya 'asyiq (iaitu dengan Tuhan) siang dan malam.

'Asyiq itu jangan bercawang (terpecah-pecah kepada perkara lain lagi)
Meninggalkan dunia jangan kepalang
Suluh Muhammad yogya kau pasang
Pada Rabb al-'alamin supaya kau datang.

Seseorang yang dilamun isyq tidak akan duduk berangan-angan dalam mencapai tuntutan nuraninya, sebaliknya akan melupuskan segala kecintaan duniawi yang ditinggalkannya lantas memperhambakan dirinya "mencari" Kekasihnya. Sebagai seorang pencinta yang ekstrem, Hamzah Fansuri merakamkan pengembaraannya "mencari" dan "pertemuannya" dengan Yang Dicintainya, Allah S.W.T. dalam Ruba'i beliau:

Hamzah Fansuri di dalam Mekkah
Mencari Tuhan di Baitil Ka'bah
Dari Barus ke Kudus terlalu payah
Akhirnya dijumpa di dalam rumah

Hamzah Shar Nawi terlalu hapus
Seperti kayu sekalian hangus
Asalnya laut tiada berarus
Menjadi kapur di dalam Barus

Hamzah fansuri terlalu karam
Di dalam laut yang maha dalam
Berhenti angin ombak pun padam
Menjelma Sultan kedua alam

Dalam Ruba'inya itu Hamzah banyak bermain dengan kata dan frasa bagi menterjemahkan pencarian cinta abadinya terhadap Maha Pencipta. Mencari, terlalu hapus dan terlalu karam dimanupalisi sebegitu rupa hingga akhirnya bertemu (menjelma) Tuhannya yang diterjemahnya sebagai Sultan.

Tokoh sufi Nusantara turut menggunakan kata Ma'asyuq bagi menterjemahkan warna jiwanya. Ma'asyuk membawa maksud 'yang dicintai' iaitu Tuhannya.

Kalam itu datangnya dari Ma'syuq,
Mengatakan dirinya la tahta wala fauq,
Jangan diiktikad seperti makhluk,
Supaya dakhil engkau pada ah al-dhauq

Dalam Syair Dagang, Hamzah turut menerapkan perkataan Arab, wasil bagi menyatakan kemuncak cinta kepada Ilahi. Perhatikan rangkap berikut:

Engkaulah Laut yang Maha 'Ali,
Akan cermin Tuhan Yang Baqi,
Tukarkan keruh dengan safi (suci),
Supaya wasil dengan Rabbani.

Wasil dalam rangkap di atas membawa erti sampai, iaitu apabila seseorang terus memelihara isyknya, segala amal ibadahnya sudah pasti diterima oleh Allah S.W.T.

Sebagai seorang ahli sufi yang mendalami ilmu yang mencapai tahap ulama, pengembaraan beliau bukanlah suatu pengembaraan yang kosong yang bertujuan mencari kepuasan pancaindera seperti apa yang dilakukan pengembara masa kini. Lewat syair-syair dan rubai'nya, Hamzah melontarkan cerita 'cinta maksyuknya' dengan kata-kata yang menjadi lambang.

Tradisi

Memandangkan tradisi nusantara begitu akrab dengan tradisi kata-kata berima dalam berinteraksi, tidak hairanlah keluhan dan rayuan ahli-ahli sufi ini terungkap dalam bentuk puisi yang indah dan menarik untuk dihayati. Hamzah yang dianggap oleh R.O. Winstedt sebagai penyair besar rantau ini, barang kali masih berpegang intelektual silam betapa pemikiran, perasaan, dan keilmuan sangat berkesan dengan disampaikan melalui kata-kata indah dan berirama.

Oleh yang demikian adalah sukar untuk ditentukan bahawa sama ada ucapan-ucapan 'isyk dibuat secara sengaja atau pun secara bersahaja, sama ada luahan untuk diri sendiri atau sebagai renungan oleh orang lain. Apa yang dapat ditanggapi ialah, ucapan dan kata-kata tersebut adalah cetusan rindu dan resah yang terbit dari gejolak cinta yang tidak dapat ditahan-tahan. Namun yang jelas, Hamzah Fansuri telah meletakkan pencapaian cintanya di suatu puncak yang tidak tergapai oleh insan biasa seperti kita yang sudah pastinya terserlah lewat penguasaan lambang bahasanya.

Utusan Malaysia Online

Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke-15 di Brunei


PERTEMUAN Sasterawan Nusantara Ke-15 (PSN XV) bertema Mencarukkan Sastera Nusantara anjuran Angkatan Sasterawan Dan Sasterawani (Asterawani) akan diadakan di Gadong, Brunei Darussalam, pada 10 hingga 13 Disember ini.

Setiausahanya, Mohd Zefri Ariff Mohd Zain Ariff, berkata PSN XV yang dijadual disertai lebih 200 pengarang rantau ini akan memberi tumpuan kepada Penyair Islam Diraja Brunei, Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan tokoh Nusantara seperti Raja Ali Haji dan Hamzah Fansuri.

“Selain itu, pertemuan akan turut membincangkan isu sastera Nusantara dalam sastera global dan falsafah sastera, kepimpinan, adikarya, paradigma serta jaringan Sastera Nusantara,” katanya.