PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



18 Julai 2010

Takziah buat keluarga Ketua 2 IPS

Ahli Jawatankuasa Tertinggi IPS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga sahabat kami, Abd Naddin Haji Shaiddin dan Mabulmaddin Haji Shaiddin atas kembalinya ayahada Haji Shaiddin Hashimke rahmatullah awal pagi tadi di Hospital Kota Belud.

Kami berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan bersama orang-orang yang dikasihi Allah swt. Dan, kesabaran juga buat saudara-saudara kami sekeluarga. Sesungguh kami turut bersedih atas pemergian ayahanda anda ini kerana Allahyarham merupakan tokoh budaya yang amat disegani.

Al-Fatihah.

26 Jun 2010

Catatan kecil tentang Mabul(maddin)


Ketika kecil Mabul, begitu dia dikenal dikalangan rakan-rakannya, bercita-cita untuk menjadi penyanyi seperti P.Ramlee.

Kerana itu, beliau mampu menyanyikan hampir semua lagu P.Ramlee. Minatnya kepada lagu-lagu klasik juga,menjadikan beliau menghafal hampir semua lagu 50 an, 60-an dan 70-an. Sebutlah apa saja lagu dalam era itu, pasti dia tahu siapa penyanyinya, siapa yang mempopularkannya.

Saya tidak pasti apa yang membuatnya meminati puisi. Sebenarnya dia lebih suka melukis, dan bakatnya menyerlah dalam lukisan sehingga mendapat markah yang bagus dari guru-gurunya.
Tetapi Mabul akhirnya dikenali sebagai penulis. Beliau mula menulis pada ketika semangat penulis-penulis bergelora pada awal 1990an. Gelora dan semangat yang kemudiannya melahirkan Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Pertumbuhan awalnya sebagai penulis, barangkali lebih banyak dipengaruhi oleh puisi-puisi angkatan 45 yang dipelopori Chairil Anwar.Entah mengapa Mabul tergamit dengan gaya perpuisian mereka. Beliau juga tertarik dengan Subagio dan penyair penyair lain juga.
Mabul mulai terdedah kepada selok belok dunia penulisan ketika menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) yang pertama. Sejak itu, Mabulmaddin terus menulis puisi yang kini ratusan jumlahnya.Kemudian beliau menulis cerpen, dan menjadi eseis budaya dimana hasil-hasil tulisannya tersiar dalam majalah Dewan Sastera,Dewan Budaya, Berita Minggu, Wadah,Jendela Sabah, Majalah Etnik, Borneo Mail, Utusan Borneo, Daily Express, New Sabah Times dan sebagainya. Puisi-puisinya juga terbit dalam banyak antologi bersama.

Kehadiran Kumpulan Puisi Stensil Pari-Pari yang merupakan antologi persendiriannya yang pertama mengabsahkan kedudukan Mabulmaddin Shaiddin sebagai penulis dan penyair. Stensil pari-pari yang terbit atas bantuan Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, sasterawan Malaysia yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut,begitu dinantikan khalayak sastera Malaysia.
Penulis kelahiran Kampung Tamau Kota Belud pada tahun 72 ini telah mewarnai dunia penulisan di Sabah sejak awal tahun 90 lagi. Beliau diberi banyak perhatian, mungkin kerana kelainan puisinya dan pembangkangan pembangkangan terhadap konvensi puisi yang sedia ada.

Saya fikir, Stensil pari-pari yang baru terbit ini merupakan satu peluang bagi khalayak sastera terutamanya di Sabah untuk menghayati, meneroka, mendebat atau mencabar pemikiran Mabul.http://abdnaddin.blogspot.com/2010/06/catatan-kecil-tentang-mabul.html

24 Jun 2010

Komitmen Kami Bersama DBP Cawangan Sabah


Ketua Satu IPS

Mohd Jasni Yakub - Setiausaha IPS

Wajah orang-orang kuat IPS
di majlis Ulang Tahun DBP ke-54
di Kompleks DBP Cawangan Sabah.

Komitmen kami bersama DBP.
(Dari kiri) JY, HA, Zaleha Jaman, Ony,
Sahara dan Mohamed Haji Salleh
(Ahli Kehormat IPS)




23 Mac 2010

Isu integrasi nasional


Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Dalam sastera, ia menjadi api dalam sekam kerana tiada usaha perkukuhkannya

ISU integrasi nasional dalam dunia sastera boleh menjadi api dalam sekam sekiranya tiada sebarang tindakan bererti dalam memperkukuhkan jambatan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Tidak hairanlah pengarang dari dua negeri yang kaya dengan budaya itu seolah-olah hanya akan dikenali di Semenanjung apabila mereka berhijrah atau berkhidmat di sini, manakala sebahagian besar pula lebih selesa berkarya dengan media pada peringkat negeri.

Kemudahan teknologi maklumat seperti e-mel, laman web dan blog serta pengangkutan tambang murah tidak banyak membantu dalam usaha mempereratkan hubungan kepengarangan, sebaliknya dibimbangi terjebak dalam senario seperti enau melepaskan pucuk masing-masing. Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jaafar Hamdan, mengakui penulis Sabah dan Sarawak kurang dikenali pada peringkat kebangsaan kerana wujud ‘sindrom rendah diri’ apabila berasa belum mencapai tahap untuk berada dalam kelompok kebangsaan.

“Mereka takut mencuba ruangan lebih besar bersifat kebangsaan kerana persaingan sengit sehingga mengambil jalan selamat untuk berada dalam kelompok kenegerian, meskipun ada sebahagiannya berjaya menembusi lingkaran kebangsaan.

“Secara umumnya, mereka lebih selesa menulis dan menghantar karya ke media di negeri sendiri atas sebab banyak faktor seperti isu yang diangkat lebih menjurus kepada negeri, nama yang lebih dikenali pada peringkat negeri, persefahaman antara editor dengan penulis, kurang persaingan daripada penulis dan lebih dekat dari segi isu, budaya serta sosial bagi pembaca,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Faktor ruang media lebih luas di negeri dikatakan turut mengundang pengarang menghantar karya mereka, selain kehadiran hadiah menilai karya mereka di negeri, menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk karya disiarkan dalam akhbar setempat.
Beliau menyarankan usaha ditumpukan untuk mencetuskan kesefahaman antara penulis di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bahawa perjuangan bahasa dan sastera perlu dilakukan secara bersama dan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Hubungan penulis sudah lama terbina, tetapi ada beberapa kekangan pada peringkat pengurusan selain pemisahan ekoran kedudukan geografi. Setiap pengarang perlu yakin sastera yang mereka ceburi adalah hak bersama dan perlu diperkasakan semua pihak,” katanya yang juga penyair dari Sarawak.

Lompong kosong dalam perhubungan pengarang dari dua wilayah itu turut diakui Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Jasni Mat Lani, yang menegaskan senario pengarang Sabah dan Sarawak kurang dikenali pada pentas kebangsaan.

“Saya sering membangkitkan pada pertemuan dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena). DBP perlu menerbitkan lebih banyak buku penulis Sabah kerana pada tahun lalu, hanya dua buku untuk semua judul dihasilkan oleh pengarang negeri ini.

“Kalau kita lihat buku biografi penulis terbitan DBP, Wajah juga tidak menyenaraikan seorang pun penulis dari Sabah termasuk Ismail Abbas atau lebih dikenali sebagai Amil Jaya, meskipun beliau ialah Penerima Anugerah Penulisan Sea 1992,” katanya.

Jasni mencadangkan DBP untuk menganjur program mempertemukan pengarang Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung, selain memperbanyakkan penerbitan judul buku pengarang kelompok terbabit untuk memperkenalkan mereka pada pentas kebangsaan.

“Seingat saya, DBP pernah menghantar penulis Sabah dan Sarawak untuk menghadiri program yang di Semenanjung, meskipun ketika itu tambang pengangkutan udara mahal. Malangnya ketika pengangkutan tambang murah kini, tidak ada pula sebarang program seumpama itu,” katanya.

Tanggapan pengarang itu diperakukan Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Awang Azman Awang Pawi yang mengakui pengarang dua negeri itu lebih selesa dengan wadah sedia ada bagi menampung karya kreatif dan bukan kreatif.

“Di Sarawak misalnya, ada Jendela Sarawak, Buletin Peribumi dan Yang Indah Itu Bahasa, selain pengarang baru meletakkan karya mereka seperti puisi dalam laman web dan blog. Saya percaya ada beberapa kelompok yang tidak tergerak hati untuk menghantar karya ke media di Semenanjung,” katanya.

Kelompok pertama ialah mereka yang berasa lebih selesa menulis dalam konteks di negeri sendiri kerana wadah terlalu luas di Sabah dan Sarawak, manakala kelompok kedua pula belum ada keyakinan tinggi untuk menembusi media arus perdana.

“Kelompok ketiga pula menolak persepsi yang menganggap karya tersiar di media Semenanjung bermakna sudah menjadi pengarang berjaya, sekali gus dianggap sebagai sikap media yang tidak mengiktiraf media di Sabah dan Sarawak
“Kelompok keempat pula berinteraksi dengan media baru untuk berkarya dengan sasaran dikongsi masyarakat dunia yang berbahasa Melayu dan Inggeris seperti Yusuf Fansuri, Zakaria Manan dan Hasyuda Abadi,” katanya.

Dr Awang Azman berkata, Sabah dan Sarawak bukan saja kaya dengan etnik berbanding Semenanjung Malaysia, bahkan mungkin menyamai jumlah etnik negara maju yang meraikan kepelbagaian etnik seperti Kanada dan New Zealand.

“Isu berkisar soal etnik ialah kekuatan yang diketengahkan sekiranya dilihat dalam konteks Sumpah Palapa, Bhinneka Tunggal Ika, 1Malaysia dan Islam Hadhari, manakala pemahaman budaya tempatan membantu menjayakan wawasan masyarakat glokal, iaitu berfikir global dan bertindak mengikut acuan lokal.

“Jika menekuni karya dari negeri ini isu integrasi memang dihasilkan sama ada sisi hitam atau sebaliknya kerana pengarang memperoleh sumber pengalaman langsung dan olahan kreativiti serta realiti, sesuai dengan hakikat tidak ada hitam atau putih sepenuhnya dalam kehidupan ini,” katanya.

Beliau turut menegur Perpustakaan Negara Malaysia yang belum pernah membeli buku kreatif pengarang Sarawak, selain mengharapkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menampung dana penyelidikan termasuk mengenai kesan sastera nasional di Sabah dan Sarawak.


Sumber: Berita Harian Online (23/3/2010)

15 Februari 2010

Sebuah Puisi Kemala

Larut, Hari lahirku larut
(30 Januari hadir takseperti selalu..)


Larut hari lahirku larut
Hadir takseperti selalu
Larut dalam laut puisi
Larut dalam gurindam airmata gempabumi
Larut di Singgalang-Merapi
Di lembahlembah diksi
Air terjun Anai menderam, menyimbah
Sukma Bulan Putih
Sukma larut puisi
Mencari wibawa Ranah
Minang yang hilang

Ziarah ini ziarah kalbu
Si anak hilang yang pulang.

Apa yang tersangkut
Pada setiap patah siku
Empatpuluhempat hanya bayang
Kenang dan Genang
Larut hari lahirku larut
Nafas mencari hakekat
Kasih bagai danau hijau Maninjau
Membuak mencapai langit
“Cobaan ada gejolak ada
Mengoyak rasa dan cinta..”

Ziarah ini ziarah kalbu
Hadir takseperti selalu

Jantung puisi yang kubedah
Takhanya sekedar darah
Sememehan nestapa, kalau ada
Ingsang tawa menagih takwa
Bulan pucat pasi mimpi hamil
Dicumbu musafir lata
“Adakah dia penyair, lahir
Dari negeri tak berpeta
Bakupmata ditampar jahil?”

Larut hari lahirku, larut
Dalam dendam gurindam
Kembara asyik, manatah kekasih
Yang maklum. Kembara asyik
Manatah Cinta bergemerisik
Dan penyair kharismatik
Mencumbumu dalam detik
Langit menjerit “Dekapmu pekat
Tumbuh iri dan cemburu malaikat!”

Aku peluk puisi demi puisi
Beranakpinak cucu Haji Daud Bagindo Mudo
Cicit Khatib Khoyan
Membawa diri ke Kolang digalang
Sangsai, musafir masih bagai khalifah
Di Bumi Ilahi. Tak ada tanda hiba
Tak ada rasa bersalah
Nah bukan pulak Si Malin Kundang
Kan lahir waris seorang
Kemala sang penyair, asyik
Mencari jejak pertama
Cinta Abadi Si Bulan Putih
Inilah keringat datukku di Timbo Abu
Jubah dan tarbusnya
Tersangkut tatap berdebu..
Tasbih dan tongkatnya
Sepi merintih. Pasaman tetap bersedih.

Tak ada duka, seduka ini Upiak
Kukuras helai nafas, meleleh darah tragedi
Aku pulang menggenggam sayang
Kutiplah mas sesaga, rupiah sekeping
Kupunya kasih putih puisi tak berbagi.
Adapun salam dari seberang
Salam takluput dari gunjingan
Aku mintalah ampun masa tebal dosa
Si anak hilang maka ditiup prasangka
Tak mengenal pelabuhan asalnya.
Didik diri dari mandi di keruh kali.

Larut hari lahirku larut, sekali ini
Bulan putih nyampaikan metafor cinta hakiki

Aku pulang sekali ini.


K E M A L A
Kualalumpur,Padang, Bukittinggi,Danau Maninjau, Pariaman, Padang, Kualalumpur
30 Januari-14 Februari 2010

Sumber: Facebook Kemala

09 Februari 2010

Kematian novel, buku hanya telahan

Oleh Nazmi Yaakub

LAMAN web Business Standard (India) di alamat www.business-standard.com/india menyifatkan ramalan kematian novel dan buku berkulit lembut kesan teknologi e-buku tidak lebih daripada telahan yang diperbesar-besarkan.

Pengkritik sastera yang juga wartawan terkenal dari India, Nilanjana S Roy, menganggap e-buku tidak berjaya membunuh buku cetakan konvensional, sebaliknya pengarang masih berlumba-lumba menerbitkannya.

“Novelis Dan Brown yang tersohor dengan Angels & Demons dan The Da Vinci Code serta Stephenie Meyer yang terkenal dengan siri novel seram romantik, Twillight, tidak terjejas oleh gelombang berkenaan.

“Hal ini berlaku meskipun peranti Kindle dan saingan pembaca e-buku itu diterima pembaca dengan kadar menggalakkan sehingga pembaca bahan elektronik itu boleh ditemui di mana-mana terutama dengan kemunculan iPod,” katanya dalam rencana 2009: Tinjauan Setahun dalam Dunia Buku.

Laman itu turut memetik Roy sebagai menjangkakan, peralihan buku kepada e-buku, mengambil masa sebelum khalayak pembaca memutuskan untuk ‘menyingkirkan’ buku daripada rak bacaan mereka.

“Meskipun 2010 dilihat sebagai trend untuk e-buku, tetapi sastera dalam Twitter atau twitterature bakal menemui nasib serupa seperti novel hypertext dan novel khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana keghairahannya hanya bersifat sementara,” katanya yang turut menulis blog di akhondofswat.blogspot.com.

Dalam konteks cerpen, Roy menyimpulkan ia kembali mendapat tempat di hati pembaca dengan kemenangan Alice Munro dalam Hadiah Man Booker, selain penerbitan kumpulan cerpen baru oleh Ishiguro, Updike dan Hemon, manakala sebahagian cerpenis menerima pujian pengkritik,” katanya.

Roy turut menganggap trend yang sama turut melanda dunia sastera di India apabila penulis seperti Palash Krishna Mehrotra dan Mridula Koshy mendapat tempat di persada sastera sebelum mereka beralih ke novel.

Roy yang dilahirkan di Calcutta, India pada 1971, menuntut di Universiti Delhi dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Editor Rencana Business Standard, sebelum menjadi penulis sepenuh masa.


07 Februari 2010

Acara Launching Buku-Buku Untuk Kemanusiaan

Empat Negara satu rasa satu jiwa. Sastrawan-sastrawan dari Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam tergabung dalam Group Pembuatan Buku-Buku Untuk Kemanusiaan telah melahirkan buku-buku untuk disumbangkan bagi kemanusiaan, dan ditujukan kepada setiap insan yang mengalami penderitaan akibat bencana dan tragedi kemanusiaan lainnya. Proyek ini dikoordinatori oleh bapak Leonowens SP, seorang sastrawan dunia. Dan editor dari Singapura: Salbiah Sirat.

Kita patut berbangga hati atas kepedulian dari penulis-penulis yang terlibat dalam proyek kemanusiaan ini; dan dihimpun dari berbagai suku, ras, agama, dan golongan yang berbeda.

Karya tulis serta kepedulian yang diawali dari bencana alam gempa di Sumatera Barat 30 September 2009 lalu, telah mempersatukan banyak orang untuk berbuat hal yang positif bagi sesamanya. Demikian juga dalam dunia sastra yang telah berbuat bagi sesama manusia di dunia.

Group Pembuatan Buku-Buku Untuk Kemanusiaan akan mengadakan sebuah acara launching buku, sebagai langkah awal dalam proyek besar bagi kemanusiaan ini:

- Padang 7,6 Skala Richter
- Suara-Suara Nurani dan Kalbu
- Suara-Suara Adam
- Suara-Suara Hawa
- Jejak Para Kaul I
- Jejak Para Kaul II

Pada : Hari Sabtu, 13 Februari 2010
Tempat : Newseum Café, Jl. Veteran No. 33 Jakarta Pusat
Waktu : Pukul 16:00 – 20:00 WIB

Pembicara :
- Bapak Leonowens SP (Koordinator, Sastrawan & Esais)***
- Ibu Yoen Aulina Casyim (Ketua Panitia)
- Salbiah Sirat (Editor Tamu dari Singapura)

Moderator:
Eris Adlin (Redaktur pada Harian Bisnis Indonesia)

Semoga segala niat baik dari sastrawan-sastrawan 4 negara bagi kemanusiaan ini akan semakin bermanfaat untuk hari-hari mendatang. Amin.


*** Dalam Konfirmasi
Dlm Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn majah,
Rasulullaah menyatakan jika cinta dsandarkan kpd
harta boleh menyebabkan sombong diri,
jika disebabkan kedudukan ataupun kemuliaan yg sementara,
Allah akan memberikan kehinaan di pertengahan & jika cantik yang menjadi
sandaran boleh mendatangkan
kecelakaan"

Dunia tanpa buku


Pelancaran iPad oleh Apple minggu lalu merupakan satu langkah lagi ke arah dunia tanpa buku. Maksudnya, buku bercetak akan pupus dan digantikan dengan buku elektronik iaitu e-buku atau e-book.

iPad merupakan satu lagi gajet hebat yang dihasilkan oleh Apple. Evolusi gajet daripada Apple telah berjalan jauh, bermula dengan komputer peribadi Apple, Macintosh, iBook, iPod, iPhone, iSlate hinggalah iPad ini sememangnya pengasasnya, Steve Jobs telah merubah dunia.

Teringat pada tahun 1983, penulis ini sebagai pemberita yang masih menggunakan mesin taip Olivetti telah ditugaskan membuat liputan pelancaran Apple pertama di Asia Tenggara. Pelancaran dibuat di Singapura dan pengedarnya menerbangkan para pemberita Malaysia untuk melihat sendiri komputer itu.

Hanya selepas Apple mempelopori komputer peribadi barulah IBM dan klon-klonnya turut mencetuskan suatu revolusi yang mengubah dunia secara besar-besaran.

Walaupun kemudiannya muncul Microsoft, Intel, Internet, Amazon dan malah e-buku yang mempertingkatkan lagi keupayaan kegunaan komputer, tetapi ia belum lagi mencabar buku sebelum terciptanya gajet khas bagi membolehkan seseorang membaca e-buku secara selesa seperti membaca buku bercetak.

Tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini, perkembangan pesat bagi pembangunan alat itu, yang kini dikenali sebagai e-reader atau e-pembaca. Antara pelopornya ialah gajet yang dibangunkan oleh Sony. Kemudian ia diikuti oleh Amazon dengan gajet bernama Kindle. Begitu juga Nook oleh Barnes and Noble. Terdapat model lain yang turut muncul.

Di Malaysia, e-reader pertama telah mula dijual oleh MPH. Sementara MPH mempertingkatkan orientasi digitalnya dengan memandang e-book dan e-reader sebagai gelombang masa depan yang akan menggantikan buku.

Apa yang menjadi istimewa bagi iPad, ialah ciri-cirinya yang dikatakan mampu mengalahkan e-reader lain. Inilah kehebatan teknologi Apple apabila ia memasuki pasaran. Ia bukan saja akan menjadi alat bagi membaca e-book tetapi juga e-majalah dan e-akhbar. Walaupun pada masa ini, ia hanya memaparkan kandungan atas talian daripada majalah dan akhbar.

Pada masa akan datang, gajet-gajet baru akan dikeluarkan dan iPad akan mempertingkatkan keupayaannya. Teknologi ini akan memaksa semua penerbit buku, majalah dan akhbar untuk mempertingkatkan orientasi digitalnya.

Gajet-gajet ini, dan anak cucunya nanti menjadi platform kepada buku, majalah dan akhbar akan datang - kesemuanya dalam bentuk atas talian dan digital. Buat masa ini buku, majalah dan akhbar bercetak akan terus wujud. Tetapi pada masa akan datang apabila disebut saja buku, maka yang digambarkan ialah e-buku yang akan dibaca menggunakan e-reader dan gajet-gajet sewaktu dengannya.

Seperti mana kini apabila disebut telefon, maka yang dimaksudkan ialah telefon bimbit, atau lebih tepat telefon sel dan bukannya telefon talian tetap. Buat masa ini telefon tetap masih ada tetapi tidak mungkinkah ia akan turut ditelan zaman seperti mesin taip? Begitu juga, tidakkah buku bercetak akan turut ditelan zaman?

Penulis dan generasinya tentu masih lebih selesa dan berselera dengan buku bercetak. Bukan saja buku-buku bercetak mudah dibaca tetapi juga indah untuk diletakkan pada rak di rumah-rumah, walaupun masalah ruang menjadi cabaran.

Tetapi bagi generasi X,Y dan Z mereka akan tentu lebih selesa dan berselera untuk membaca e-buku melalui e-reader. Maka tanggungjawab akhir bagi generasi penghijrah digital ialah dengan menyediakan suasana dan prasarana supaya peralihan kepada masyarakat cetak kepada masyarakat digital dapat dilakukan dengan tertib dan tersusun.

Biarlah kekurangan minat membaca buku-buku bercetak yang selama ini dikeluhkan dapat menjadi tinggal kenangan. Ini kerana diharapkan buku digital akan menggalakkan pembacaan yang lebih meluas dan mendalam kerana ia merangsang otak generasi X, Y dan Z dengan lebih hebat.

Kuncinya terletak pada minat terhadap ilmu. Minat ilmu membawa kepada minat membaca. Maka jika masyarakat tidak meminati ilmu, walaupun dunia berubah daripada cetak kepada buku, mereka tetap akan pada takuk lama dan terus tidak minat membaca.

Selama ini di merata-rata dunia saban tahun dilancarkan kempen membaca. Manusia di seluruh dunia digalakkan membaca buku oleh kerajaan masing-masing. Perpustakaan dan penerbit buku disokong oleh kerajaan masing-masing menggalakkan membaca buku.

Tetapi manusia tidak perlu digalakkan untuk menonton filem dan televisyen. Atau kempen mendengar radio. Sedangkan media itu adalah juga penyalur ilmu. Begitu juga tidak kedengaran kempen membaca majalah dan akhbar.

Ini kerana membaca buku adalah suatu kerja berat. Apabila disebut buku pula, ia bukan sebarang buku. Apa yang benar-benar dikatakan buku ialah buku yang menambah ilmu dan budi. Iaitu buku fiksyen dan bukan fiksyen. Bagi buku fiksyen, tentunya ia merujuk kepada buku sastera. Sementara bukan fiksyen ia merujuk kepada buku-buku seperti buku sejarah, sains, biografi dan lain-lain, yang walaupun dalam bentuk popular tetapi ia merupakan buku mengandungi bahan berwibawa.

Begitu juga dengan e-buku nanti. Apabila dikatakan membaca, apa yang dimaksudkan bukan sekadar melayar internet dan membaca laman web, blog atau rangkaian sosial semata-mata, tetapi lebih penting ialah membaca e-buku. Maka untuk keselesaan, e-buku lebih baik dibaca dengan menggunakan e-reader.

Jadi pada masa akan datang apabila dilancarkan kempen membaca, maka ia akan menjadi kempen membaca e-buku. Malangnya e-buku tidak boleh dibaca tanpa e-reader dan kemudahan Internet.

Kalau selama ini, seseorang tanpa sebarang alat boleh membaca buku tetapi pada masa akan datang, mereka yang tidak mampu untuk memiliki e-reader akan terhalang daripada peluang untuk membaca buku.

Maka golongan ini, akan membaca buku-buku cetak yang sudah ketinggalan zaman.


Utusan Malaysia Online

26 Januari 2010

RM 31 Ribu Hadiah Sayembara Novel Sabah


Berita gembira kepada para penulis Sabah!

SAYEMBARA Menulis Novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM31,000 dilancarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun di Wisma Tun Fuad, Kota Kinabalu.

Yang Dipertua (YDP) Bahasa, Jasni Matlani berkata, majlis pelancaran sayembara anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dengan kerjasama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) itu, turut dihadiri Penaung Bahasa, Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif.

“Sayembara anjuran Anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Bahasa ini, terbuka kepada warga Sabah dan bertemakan kepelbagaian etnik Sabah dalam konteks 1Malaysia. Pertandingan yang terbahagi kepada kategori dewasa dan remaja ini, dibuka sehingga 30 Jun ini,” katanya.

Jasni berkata, kategori dewasa sayembara itu menawarkan hadiah tempat pertama bernilai RM10,000; kedua (RM7,000); ketiga (RM5,000) dan dua sagu hati yang masing-masing sebanyak RM1,000.

“Bagi kategori remaja pula, hadiah RM3,000 akan diberikan kepada pemenang tempat pertama; RM2,000 (kedua) dan RM1,000 (ketiga), manakala dua pemenang sagu hati mendapat RM500. Penyampaian hadiah dan pelancaran buku novel pemenang akan diadakan pada 8 September ini,” katanya.

Maklumat lanjut sila dapati dari Blog Badan Bahasa dan Sastera Sabah.



HSPM Ke-18 undang persoalan

Oleh Salbiah Ani




Kaedah pemilihan panel hakim biar lebih telus

HADIAH Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ke-18 yang memberi pengiktirafan kepada 69 karyawan sastera negara ini bagi tahun penilaian 2004-2005 dan 33 penerima bagi tahun penilaian 2006-2007, undang beberapa persoalan.

Tidak pernah terjadi dalam sejarah pelaksanaan HSPM, membabitkan empat tahun penilaian berlangsung serentak sehingga sesetengah pengarang menganggap pemilihan karya mereka sudah basi kerana terlalu lama diperam!

Tinjauan secara rawak dengan beberapa pengarang kreatif menyatakan rasa tidak puas hati mereka kerana tumpuan lebih banyak diberikan kepada karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seolah-olah tiada usaha mencari bahan terbitan dari luar kepompong badan berkanun terbabit.

Data menunjukkan sebahagian besar karya yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2004/2005 genre cerpen dan puisi disiarkan dalam Dewan Sastera seperti yang sering berlaku sebelum ini meskipun isu serupa pernah dibangkitkan beberapa kali.

Persoalan terbabit juga pernah dibangkitkan wartawan Sastera ketika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berada di bawah kepimpinan mantan Ketua Pengarahnya, Datuk A Aziz Deraman, sehingga akhirnya kategori karya eceran diperkenalkan.

Dengan pengenalan kategori terbabit, Hadiah Sastera Malaysia (HSM) yang berlangsung dari 1981-1995, berubah namanya kepada HSPM mulai 1996/1997 dan kekal sehingga kini, sebelum ini dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera (HKS) (1971-1976).

Selaras dengan matlamat hadiah yang bertujuan memberi pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu, mengenal pasti karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu.

Nampaknya keputusan HSPM 2004-2005, tidak menunjukkan banyak perubahan meskipun kategori karya eceran diperkenalkan sejak 1996 kerana hanya dua cerpen boleh dilabelkan sebagai luar biasa apabila memecahkan monopoli Dewan Sastera.

Di Bawah Langit Copenhagen karya Salina Ibrahim dalam majalah Nur pada Januari 2004 dipilih dan Siti Hajar Mohd Zaki tampil maha hebat melalui Panorama Seorang Nisa, dalam majalah tepu hiburan, URTV, keluaran 15-30 September 2005.

Bagaimanapun, taburan pemenang untuk kedua-dua kategori terbabit menyaksikan pecahan monopoli Dewan Sastera lebih sedikit dalam senarai pemenang untuk HSPM 2006/2007 yang majlisnya berlangsung pada 18 Januari lalu.

Tiga cerpen dalam Berita Minggu yang memecahkan monopoli Dewan Sastera ialah Jerebu Dalam Blog Mak Andeh oleh Fudzail, Che Soleh Rial (A Rahman CM) dan Lintah (Anwar Ridhwan), manakala puisi pula, Sumpah Setia Tanjung Piai (Nisah Harun) dan Terlalu (Shapiai Mohd Ramly).

Dua cerpen dalam Mingguan Malaysia pula ialah Cinta Puncak Sagarmatha karya Rozais al-Anamy dan Pusaka Cendana (Nisah Harun), manakala puisi yang turut diumumkan sebagai pemenang dalam akhbar terbabit ialah Malam Rosiah (A Samad Said).

Kemenangan dalam kategori drama dan esei/kritikan/kajian sastera yang dimonopoli Dewan Sastera tidak dipersoalkan, memandangkan kedua-dua genre terbabit hanya mempunyai ruangan dalam majalah terbabit dan tidak media massa lain.

Begitu juga dengan kategori buku dengan pecahan novel, kumpulan cerpen, biografi/autobiografi; kategori buku dalam bentuk novel remaja, kumpulan cerpen remaja, kumpulan puisi remaja, kumpulan drama remaja, kumpulan puisi, kumpulan drama, kumpulan esei dan kritikan sastera.

Selain kategori buku kanak-kanak dengan pecahan novel kanak-kanak, kumpulan cerpen kanak-kanak, kumpulan puisi kanak-kanak dan kumpulan drama kanak-kanak, tetapi tetap mengundang persoalan apabila banyak kategori yang kosong tanpa pemenang!

Ini kerana apakah benar tiada karya yang layak untuk dipilih sebagai pemenang atau sebenarnya penganjur tidak menerima sebarang pencalonan disebabkan pelaksanaan hadiah ini bermula pada tahun penilaian 2004/2005, peserta perlu mengirimkan karya mereka untuk dinilai pengadil!

Pendekatan yang memerlukan pengarang menghantar karya mereka kepada penganjur tidak sepatutnya dijadikan kaedah proses pemilihan kerana ia meletakkan status hadiah terbabit sama dengan sayembara sastera iaitu bersifat peraduan.

Tidakkah pendekatan cara ini tersasar daripada matlamat pengenalan hadiah terbabit yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada karya bermutu dalam genre masing-masing tanpa mengira siapa pengkarya dan penerbitnya!

Penulis sendiri terkejut ketika dihubungi seorang pegawai DBP yang meminta mencarikan cerpen dan puisi yang diterbitkan sepanjang 2004/2005 dalam Berita Minggu untuk dinilai HSPM kerana perkara terbabit tidak pernah berlaku sebelum tahun penilaian terbabit.

Tawaran penulis agar pegawai terbabit mencari sendiri atau menghantar pembantunya untuk mengesan semua cerpen dan puisi dalam Berita Minggu sama ada melalui carian dalam talian atau potongan akhbar yang disediakan di Unit Sastera, Berita Harian, tidak disambut!

Malahan penulis juga turut menerima e-mel daripada pegawai DBP yang tidak dikenali meminta agar salinan cerpen Soleh Che Rial dikirimkan kepada mereka berserta dengan alamat penulis terbabit dan tarikh terbitan untuk penilaian HSPM 2006-2007!

Tugas mengumpul segala karya untuk HSPM bukan menjadi tanggungjawab editor di akhbar atau majalah yang mempunyai ruangan sastera kerana ia di luar bidang tugas mereka, selain selaku pengelola mereka bergelut dengan masa, apalagi jika terbabit sama dalam operasi terbitan harian!

Sepatutnya pegawai terbabit sudah ada senarai terbitan yang mempunyai ruangan sastera kerana dengan cara itu mereka dapat mengatur strategi kaedah pengumpulan semua bahan bagi tahun yang dipertandingkan dan masa dapat dijimatkan selain pengadilan lebih telus dapat berlangsung!

Seingat penulis, sepanjang menjadi wartawan sastera bermula 1993 dan sebagai editor sastera bermula 2003, tidak pernah walau sekali Sekretariat HKS, HSM mahupun HSPM, meminta salinan semua puisi dan cerpen dalam Berita Minggu untuk diserahkan bagi tujuan penilaian.

Bayangkan empat terbitan setiap bulan dan sejak setahun lalu lapan terbitan sebulan, jika dikalikan dengan 52 minggu, berapa halaman perlu dicari dan dibuat salinan untuk diserahkan kepada sekretariat bagi tujuan penilaian dan masa perlu dikorbankan atas kepentingan HSPM!

Malah, penulis selaku editor turut ralat dengan keputusan pemenang bagi tahun penilaian 2006-2007 khususnya bagi genre cerpen kerana ada beberapa karya menarik dan kritis sama ada dari segi tema mahupun teknik penulisan, tercicir daripada penilaian.

Cerpen 10 Budak Hitam yang mengkritik secara langsung gejala sosial semasa remaja dan masyarakat Melayu disiarkan dalam Berita Minggu bertarikh 22 Julai 2007 dan 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan (2/12/2007), antara contoh yang boleh diberikan.

Pengarang veteran, Dr Fatimah Busu, selaku pengarang kedua-dua cerpen terbabit ketika dihubungi, memaklumkan kepada penulis bahawa beliau tidak mengirim salinan karyanya kepada Sekretariat HSPM 2006-2007 kerana bukan menjadi tugas pengarang untuk berbuat demikian!

“Bagi saya tugas pengarang mengarang dan menghantar ke penerbitan yang menjadi sasaran dan terserah kepada penganjur HSPM untuk mengumpulkan segala karya yang mendapat tempat dalam akhbar, majalah dan jurnal,” katanya ketika dihubungi Sastera, Ahad lalu.

Seorang pengarang muda ketika ditanya mengenai perkara itu, menjawab selamba: “Di Malaysia apa juga peraduan dan anugerah dengan peruntukan daripada kerajaan serta diuruskan oleh DBP, tidak payah hantar kerana kemenangan adalah untuk kroni mereka. Balik-balik muka yang sama.”

DBP selaku penganjur HSPM perlu meneliti perkara yang dibangkitkan memandangkan HSPM bukan peraduan dan jika sekretariat sebelum 2004-2005 boleh menguruskan pemberian hadiah tanpa mengharap pengarang mengirim karya mereka, mengapa tidak sekarang?

Selain itu, DBP juga diminta meninjau semua terbitan yang mempunyai ruangan kreatif kerana selain Dewan Sastera, Berita Harian, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, banyak lagi akhbar tabloid dan akhbar seperti Wasilah, Siasah, Keadilan dan Harakah, kini turut menerbitkannya.

Penganjur juga perlu mengelak melantik pengarang kreatif daripada menganggotai Panel Penilai HSPM bagi mengelakkan berlakunya situasi pilih kasih, sekalipun tidak terbabit dalam penilaian karya sendiri yang turut dipertandingkan.


Sumber: Berita Harian Online

21 Januari 2010

SENARAI KUMPULAN YANG LAYAK KE MANIFESTASI TEATER MALAYSIA 2010

KATEGORI MONOLOG

1. Aura Production, Melaka, Teater 'Denyut'
2. Kelab Kilat TNB, Kuala Lumpur, Teater 'Kemarau Musim Tengkujuh'
3. Sekenet, Perlis, Teater 'Anak Kecil Main Api'
4. Fitri Nadianti Zulaidy, Perak, Teater 'Nur Iskandar'
5. Yayasan Pelajaran Johor, Johor, Teater 'Lubang Neraka'

KATEGORI TEATER KANAK-KANAK

1.Beringin Entertainment, Kuala Lumpur, Teater 'Beringin Merah'
2.Sekolah Kebangsaan Merbau, Kelantan, Teater 'Pesona Mimpi'
3.Persatuan Seni Budaya Warisan Jemari, Pulau Pinang, Kisah Si Semut

KATEGORI NGO/ IPT

1.Kirana Theater Production, Pahang, Teater 'Detik'
2.Aura Production, Melaka, Teater 'Gelojak'
3.Akrab, Kedah, Teater 'Asy-Syura'
4.Aspek, Kelantan, Teater 'Megho'
5.Grup Teater Gerak Seni, Johor, Teater 'Walinung Sari'
6.Bakawalee Penang, Pulau Pinang, Teater 'Dusta Pada Skala 1 Hingga 10'

Sumber: MEKAR BUDAYA PRODUCTION

12 Januari 2010

Penulis drama radio dipelawa hasil skrip

[Sumber: Utusan Borneo 12/1/2010]

RADIO Malaysia, Unit Sabah fm, RTM Kota Kinabalu akan menerbitkan 7 buah drama khas sepanjang tahun 2010 yang melibatkan 14 orang penerbit.

Pengurusnya, Malinaziah Datu Mohd. Julapsi berkata, antara rancangan-rancangan itu ialah Hari Pekerja, Pesta Kamaatan, Hari Kebangsaan, Hari Raya Aidil Fitri, Hari Kanak-Kanak, Hari Raya Korban dan Maal Hijrah 1432 yang akan ditentukan siarannya kemudian.

14 penerbit yang dimaksudkan ialah Saudah Haji Wahid/Rosnah Jalkul, Haji Awang Shaari Haji Ramli/Helen Buyong, Johara Abdullah/Junainah Sojiar, Suhani Abdul Hamid/Noraniza Nordin, Florence John Luan/Zarith Sofia Daud, Mohd. Syum Abdul Majid/Muzaffar Syah Alias dan Hajah Nafsiah Bubin/Ramhanizam Jahimin.

Malinaziah berkata, unitnya akan menerbitkan Melodrama yang mula disiarkan pada awal April 2010, dua kali sebulan dalam jangaka masa 30 minit.

Melodrama yang bakal diterbitkan sama seperti Drairama yang pernah diterbitkan sebelum ini yang mendapat sambutan hangat daripada peminat drama radio.

Katanya, Melodrama berkisar dalam lingkungan kehidupan masyarakat, alam semula jadi dan lain-lain dengan memasukkan lagu-lagu yang ada kaitan dengan cerita yang diketengahkan.

Sehubungan itu, beliau mempelawa penulis-penulis di negeri ini agar merebut peluang untuk menghasilkan skrip drama yang baik dan bermutu dalam menyampaikan pesanan serta pendidikan secara halus kepada pendengar.

Keterangan lanjut boleh menghubungi Pengelola Drama, Unit Sabah fm, RTM Kota Kinabalu atau penerbit-penerbit melalui telefon 088-213444 sambungan 230, 277 atau 268 pada waktu pejabat.

Ketika ini Unit Sabah fm hanya memerhatikan drama Lembah Hijau siaran setiap Ahad, 3.35 petang.

IPS DAN BIRO PENDIDIKAN UMNO SEPANGGAR ANJUR BENGKEL PENULISAN

Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan Biro Pendidikan UMNO Sepanggar akan menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif dan Non Kreatif di Likas Plaza dari jam 9.00 hingga 12.00 tengahari di Likas Plaza bermula 24 Januari depan.

Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin berkata, bengkel penulisan yang diadakan setiap dua minggu sekali itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik teknik dan ilmu penulisan kreatif dan non kreatif seperti puisi, cerpen, esei, penulis berita dan rencana dan sebagainya.

Katanya, bengkel penulisan itu boleh disertai oleh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) asalkan mereka berminat dan ingin menceburi bidang penulisan untuk kerjaya masa depan mereka.
Menurutnya, peserta dikenakan bayaran komitmen sebanyak RM50 seorang jika mereka berminat untuk mengikuti bengkel yang dikendalikan oleh penulis-penulis terkemuka dan wartawan ternama di negeri ini.

Sukor berkata, bengkel itu diadakan sebagai salah satu program sempena Sambutan Ulangtahun IPS yang ke-20 yang akan diadakan tahun ini selain aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang menariknya.

Beliau berkata, IPS kini menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menjayakan pelbagai program yang dirancang sepanjang tahun ini.

Mereka yang berminat mengikuti bengkel itu boleh menghubungi Hasyuda Abadi melalui talian 0168120664, Laliman Haji Ahmad melalui talian 0168047876, Jasni Yakub 0109305214 atau emel kepada hasyuda@yahoo.com, fawzantawfiq@yahoo.com.


SAYEMBARA Menulis Novel Dan Skrip Drama Kanak-Kanak Dan Remaja

SAYEMBARA Menulis Novel Dan Skrip Drama Kanak-Kanak Dan Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2009 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM49,500 dibuka sehingga 31 Januari ini.

DBP dalam satu kenyataannya di laman webnya, berkata peserta boleh memilih kategori berdasarkan usia pembaca, iaitu kategori kanak-kanak yang mensasarkan pembaca berusia 10 hingga 12 tahun; kategori remaja I (13-15 tahun) dan kategori remaja II (16-18 tahun).

“Bagi kategori kanak-kanak, tema karya ialah perpaduan, sains fiksyen, kasih sayang dan kekeluargaan; kategori remaja I (perpaduan, sains fiksyen, kekeluargaan dan pengembaraan), manakala kategori remaja II (sejarah, konflik sosial, kemasyarakatan dan biografi tokoh terkenal),” katanya.

Di samping itu, peserta digalakkan memasukkan unsur integrasi kaum dalam karya yang panjang manuskrip novel kanak-kanak dalam lingkungan 15,000 hingga 50,000 perkataan; novel remaja (50,000 hingga 100,000 perkataan); skrip drama kanak-kanak (10,000 hingga 15,000 perkataan) dan skrip drama remaja (20,000 hingga 40,000 perkataan).

Hadiah pertama bernilai RM3,000; kedua (RM2,000); ketiga (RM1,000) dan sagu hati (RM750), manakala karya hendaklah asli dan bukannya saduran, adaptasi atau penyesuaian serta belum pernah tersiar dan diterbitkan.

Peserta boleh menyertai semua kategori, tetapi hanya dibenarkan menghantar satu manuskrip saja untuk setiap genre bagi semua peringkat umur dan karya perlu ditaip di atas kertas A4 sebelah muka dengan langkau dua baris dan berjilid kemas, manakala judul karya ditaip pada kulit naskhah. Maklumat lanjut hubungi Urus Setia Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja DBP di talian 03-21482522/03-21482526/ 03-21482345; faks 03-21414109; e-mel syila@dbp.gov.my / azihani@dbp.gov.my / fatimah4@dbp.gov.my.

Sumber: Berita Harian Online

07 Januari 2010

Dunia Penulis Muda


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Badan korporat tidak beri sokongan jejas semangat berkarya

ANUGERAH penulis muda menjadi penanda aras dalam mengiktiraf kehadiran penulis baru dan menilai kualiti karya kelompok terbabit, selain berfungsi sebagai pendorong kepada penghasilan karya bermutu secara berterusan.

Malangnya, senario dunia penulisan sastera kini berbanding dekad 1990-an menyaksikan pengiktirafan terhadap penulis muda semakin kurang memberangsangkan ekoran semakin banyak badan korporat yang enggan bekerjasama bagi penyediaan dana.

Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat menyaksikan setiap tahun pengiktirafan khusus diberi kepada beberapa karya dalam Dewan Siswa dan Hadiah Khas Pengarang Muda - Sayembara Menulis Cerpen Esso-Gapena ke-10 pada 1996 menobatkan Raihani Mohd Saaid sebagai penerima.

Selain itu, Dewan Siswa juga pernah mengadakan Sayembara Menulis Cerpen Sekolah Rendah dan Menengah pada 2008, tetapi tidak lagi diteruskan pada tahun lalu.

Justeru, persaingan dalam dunia penulisan menjadi lebih sengit kerana penulis baru terpaksa bersaing dengan pengarang mapan sehingga boleh menyebabkan penulis muda terutama yang baru berjinak-jinak dengan sastera terpinggir.

Hakikatnya, senario itu berlaku akibat bidang sastera kurang mendapat perhatian dan sokongan daripada badan korporat untuk menaja anugerah penulis muda, sekali gus menjejaskan semangat golongan muda untuk memasuki gerbang alam penulisan kreatif berkenaan.

Penulis muda, Amran Ibrahim Rashidi, menyifatkan anugerah penulis muda wajar diadakan secara berterusan bagi menggalakkan kemunculan lebih ramai penulis muda dalam dunia penulisan tanah air kerana penganjurannya menjadi penyuntik semangat kepada penulis untuk terus berkarya.

“Malangnya, tidak ramai yang berminat menaja anugerah sedemikian kerana masyarakat lebih bertumpu memberi pengiktirafan kepada dunia hiburan. Justeru, tidak hairan sekiranya anugerah dan pentas untuk perkembangan dunia sastera kian terbantut,” katanya.

Amran melihat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) adalah satu-satunya anugerah yang diadakan secara tekal dan tidak membezakan penulis muda atau mapan, sekali gus dapat menyekat peluang golongan muda tampil setara dengan penulis mapan.

“Bagi memastikan perkembangan sastera secara berterusan, sudah sampai masanya golongan penulis muda merangka strategi baru seperti melantik ejen sastera dan menubuhkan kelab pembaca atau peminat.

“Pihak bertanggungjawab pula perlu memberi kerjasama dalam menyemarakkan program sastera dengan memberi penghargaan kepada penulis muda seperti dinikmati penyanyi baru dalam dunia hiburan,” katanya.

Bagaimanapun, penulis muda yang juga guru, Syarifah Salha Syed Ahmad, pula menganggap kelompok penulis muda tidak perlu meletakkan anugerah sebagai pendorong utama untuk berkarya, sebaliknya melihat ia sebagai pemugar semangat untuk menulis dengan lebih baik.

“Saya melihat banyak cara untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada penulis muda agar berkarya seperti mengadakan pertemuan bagi berbincang dan menyumbang idea sesama sendiri . Ia boleh dianjurkan secara santai seperti di warung kopi,” jelasnya.

Syarifah Salha berkata, kekurangan anugerah penulis muda berlaku akibat badan korporat beranggapan penajaan program berunsur sastera tidak berbaloi dan kurang mendapat liputan media massa kerana bidang terbabit dipandang dingin masyarakat secara amnya.

Justeru, beliau yakin sekiranya pihak berkenaan dapat menaja acara sastera dengan hadiah lumayan, sudah tentu ia mendapat sambutan dan penyertaan ramai, sekali gus menarik minat remaja untuk bergiat dalam aktiviti sastera.

“Kelompok penulis muda perlu meyakini kebolehan dan nikmat menulis adalah anugerah tertinggi kurniaan Allah, sekali gus bakat yang diperoleh itu menjadi sia-sia sekiranya tidak dimanfaatkan kerana tanggungjawab menulis dan berdakwah melalui pena terletak di bahu kita.

“Anugerah dan pengiktirafan pula hanya sekadar bonus kepada penulis, manakala keutamaan perlu ditumpukan kepada usaha mengembalikan kandungan sastera kepada ilmu agar sastera dapat dimartabatkan ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.

Berita Harian Online

04 Januari 2010

Seniman jauhi isu remeh

oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my





SEBAHAGIAN khalayak ikuti Forum: Malaysia-Indonesia Damai Melalui Penulisan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kelompok karyawan tak harus cetus polemik jejas hubungan negara serumpun

FORUM: Malaysia-Indonesia Damai Melalui Penulisan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, baru-baru ini, meminta seniman termasuk pengarang untuk tidak terbawa-bawa dalam isu remeh tanpa noktah yang mencetuskan polemik dan pergeseran antara dua negara seperti isu hak milik tarian.

Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman, menyifatkan isu kecil dan remeh seperti tarian pendet yang menimbulkan kerenggangan hubungan antara dua negara berjiran itu, disebabkan ketiadaan hubungan budaya dan diganggu oleh naluri, kepentingan serta dominasi politik.

“Sebelum ini, dunia budaya dan sastera antara Malaysia dengan Indonesia digerak dan dibangunkan oleh naluri budaya yang tinggi. Bagaimanapun, hubungan budaya dua negara pada masa kini tidak lagi berpanjangan. Ini kerana orang budaya tidak menjadikan isu seperti tarian sebagai faktor yang boleh menimbulkan permusuhan,” katanya pada forum yang diadakan sempena Festival Hak Asasi Manusia (Faham) anjuran Oxygen Media dan Kumpulan Frinjan.

Syed Mohd Zakir menolak konsep ‘curi’ dalam budaya kerana budaya bergerak mengikut pergerakan masyarakat sosial termasuk pergerakan masyarakat dari Sumatera dan Jawa ke Tanah Melayu, sekali gus istilah yang selalu digunakan ialah penyerapan.

Justeru, beliau menyarankan generasi muda mengambil contoh daripada pendekatan yang diambil Eropah untuk menyatukan mereka demi manfaat semua daripada pelbagai bidang seperti politik melalui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan ekonomi melalui mata wang Euro.



“Kini muncul gerakan untuk mewujudkan budaya Eropah dan dimulai dengan gabungan intelektual politik dan budaya, iaitu bagaimana mahu mewujudkan budaya Eropah yang tidak lagi dilihat berdasarkan negara seperti budaya Jerman, Perancis dan Itali.

“Malangnya, kita di rantau ini saling menjarakkan dan sering memperkotakkan hubungan sehingga saya tidak nampak bagaimana kita dapat memanfaatkan budaya, politik dan ekonomi serumpun, sebaliknya bercakaran dalam isu yang remeh dan tiada noktah,” katanya.

Pengerusi Yayasan Karyawan Perak (YKP), Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, pula berkata tugas seniman termasuk budayawan dan pengarang ialah meredakan suasana hangat dan menjadi jambatan penghubung antara masyarakat termasuk dalam isu perhubungan antara negara yang memerlukan kearifan serta kebijaksanaan semua pihak.

“Masalahnya, wacana tidak lagi dikuasai golongan intelektual dan budayawan yang lebih murni sehingga menimbulkan tanda tanya mengapa media massa tidak memberi ruang kepada seniman dan intelektual untuk mengutarakan pandangan mereka.

“Saya memiliki dan gembira terhadap hubungan secara peribadi dengan seniman di Indonesia serta dapat bertukar-tukar pemikiran serta idea mereka. Seniman sewajarnya menyumbang dengan berfikir di luar kotak, manakala orang politik dan pengamal media biarlah dengan fungsi mereka sendiri,” katanya.

Wartawan Kanan, Kumpulan Kompas-Gramedia, Seno Gumira Ajidarma, pula turut mengutarakan pandangan agar khalayak seniman dan pengarang menjadi lebih progresif dalam soal perdamaian dan membuat kajian mendalam terhadap kebudayaan di rantau ini tanpa mengutamakan asal usulnya.

“Istilah hak cipta atau paten bukan budaya Melayu atau Jawa, sebaliknya lahir daripada budaya yang mengagungkan seniman sebagai pencipta, manakala konsep romantisme dalam kesenian itu sendiri sudah luntur,” katanya.

03 Januari 2010

Bila poligami dikomedikan


FILEM Ayat-ayat cinta.

Pada suatu malam, si suami balik lewat, lalu tidur di dalam bilik tetamu di tingkat bawah rumahnya tanpa menyedari isteri keduanya turut tidur di dalam bilik tersebut. Setelah tiba waktu pagi, barulah si suami tahu bahawa isteri pertama dan keduanya saling kenal mengenali antara satu sama lain. Begitu juga, si isteri kedua baru mengetahui bahawa suaminya itu adalah suami kepada sahabat karibnya.

Lalu berlakulah babak-babak komedi ekoran peristiwa tidur sekatil tersebut dan usaha kedua-duanya bagi mengelak si isteri pertama daripada mengetahui cerita yang sebenarnya.

Itu adalah babak komedi dalam salah satu drama bersiri di stesen televisyen di negara ini dan itulah juga sebahagian daripada realiti dunia poligami di negara ini. Bagi sesetengah pihak, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bagi kebanyakan wanita, dunia poligami sinonim dengan pembohongan, tipu muslihat, strategi, tragedi, kepura-puraan, ketidaksetiaan, dan seribu satu lagi istilah yang sebahagian besarnya lahir daripada emosi, dan kemarahan. Pendek kata, poligami adalah ibu segala maksiat, kejahatan, dan kerakusan nafsu.

Manifestasi daripada pemikiran seperti inilah, banyak pengarah drama dan filem di negara ini menjadikan isu poligami sebagai komedi dalam drama dan filem arahan mereka. Lalu tunjukkanlah bagaimana susahnya seorang suami yang berpoligami untuk berkomunikasi dan berasmara dengan isteri kedua yang biasanya jauh lebih muda daripada isteri pertama. Untuk tujuan tersebut, si suami terpaksa melakukan berbagai- bagai tipu helah, termasuk "berbohong sunat" kononnya.

Pada masa yang sama, amat jarang sekali kita mendengar poligami dikaitkan dengan keperluan pasangan, perkongsian hidup dan kasih sayang, ketaqwaan kepada Allah, tuntutan agama, pembelaan terhadap anak yatim dan ibu tunggal, penambahan zuriat dan punca rezeki, peluasan kaum keluarga dan saudara mara, dan seribu satu lagi istilah dan frasa yang baik-baik dan menyenangkan. Pendek kata, bagi mereka yang menyokong poligami, poligami adalah sebahagian daripada penyelesaian terhadap isu-isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Antara mereka yang nampaknya menganuti fahaman poligami ini ialah Habiburrahman El-Shirazy dalam novel tersohor beliau Ayat-Ayat Cinta. Novel yang kemudiannya difilemkan dengan judul yang sama ini telah menyebabkan masyarakat negara ini seolah-olah diserang histeria dengan pemikiran dan pendekatan yang diambil oleh pengarang Indonesia tersebut. Ayat-Ayat Cinta seolah-olah menyedarkan rakyat negara ini daripada dilamun mimpi buruk institusi poligami.

Melalui novel dan filem Ayat-Ayat Cinta, kita diberitahu bahawa poligami adalah sesuatu yang serius. Mereka yang telah memutuskan untuk mengamalkan poligami seharusnya memikirkan perkara tersebut dengan serius dan semasak-masaknya, malah lebih serius berbanding perkahwinan yang pertama. Tidak ada babak-babak komedi dan lawak jenaka dalam filem Ayat-Ayat Cinta, namun filem ini menggamit perhatian seluruh kelompok masyarakat daripada yang muda hinggalah yang tua, lelaki dan wanita.

Aliran pemikiran poligami dalam Ayat-Ayat Cinta ini kemudiannya diikuti pula oleh Kabir Bhatia dalam drama bersiri Nur Kasih. Jika novel Ayat-Ayat Cinta mencatat hasil jualan dan jumlah pembaca yang tinggi, drama bersiri Nur Kasih pula mencatat rating penonton yang tinggi sehingga ke angka jutaan orang. Kenapakah kedua-dua genre yang memilih tema poligami tanpa lawak jenaka ini sangat diminati oleh masyarakat?

Selain kekuatan cerita dan mesej di sebalik kedua-dua novel dan drama tersebut, masyarakat kini sebenarnya sudah muak dan juak dengan adegan-adegan komedi yang berkaitan dengan poligami. Masyarakat sebenarnya sudah lama mendambakan sebuah filem atau drama yang menampilkan pergolakan kejiwaan isteri-isteri yang terpaksa hidup bermadu dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit dalam rumahtangga. Begitu juga dengan peranan si suami dalam memberi bimbingan dan menyelesaikan kemelut yang melanda.

Justeru itu, apabila Ayat-Ayat Cinta dan Nur Kasih hadir dalam wajah yang berbeza berbanding wajah-wajah poligami yang penuh dengan komedi sebelumnya, masyarakat pastinya akan tercari-cari jawapan yang sudah lama terpendam melalui kedua-dua genre tersebut. Maka fahamlah kita bahawa poligami memerlukan pengorbanan, kesabaran, ketaqwaan, keikhlasan, tolak ansur, kekuatan mental dan rohani, saling hormat menghormati dan faham memahami, dan sebagainya. Manakala, kasih sayang pula boleh dipupuk jika semua pihak sanggup merendahkan ego masing-masing.

Filem dan drama komedi poligami sebenarnya tidak banyak membantu masyarakat memahami erti sebenar hidup berpoligami. Malah, filem dan drama seperti inilah yang banyak mendatangkan kekeliruan terhadap keperluan poligami dan tujuan sebenar Islam menghalalkan poligami. Filem dan drama komedi poligami menyebabkan masyarakat menganggap poligami tidak lebih daripada memuaskan hawa nafsu, merebut harta kekayaan, membalas dendam, merosakkan kebahagiaan rumahtangga, mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dan sebagainya.

Oleh itu, sudah sampai masanya pengarah drama dan filem menilai kembali adegan-adegan komedi poligami agar nilai humor yang dikemukakan tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam institusi poligami. Para pengarah drama dan filem sepatutnya berusaha menonjolkan tingkahlaku-tingkahlaku dan sifat-sifat yang sepatutnya dimiliki oleh mana-mana lelaki yang berazam untuk berpoligami, khususnya syarat berkemampuan dan adil seperti yang diwajibkan oleh agama Islam.

Oleh itu, maaf kalau saya mengatakan bahawa lelaki yang ingin berpoligami tetapi tidak mahu atau takut menceritakan hasratnya itu kepada isteri dan kaum keluarga, dia sebenarnya awal-awal lagi sudah gagal dalam temuduga untuk berpoligami. Hal ini kerana lelaki seperti ini sebenarnya tidak memiliki mental yang kuat untuk melaksanakan keadilan seperti yang sepatutnya.

Dalam hal ini, kemampuan tidak boleh hanya diukur dari sudut kewangan semata-mata, tetapi dalam kehidupan berpoligami, kemampuan dan ketahanan mental dalam menghadapi masalah rumah tangga adalah lebih utama, khususnya ketika menghadapi karenah para isteri yang mengamuk, merajuk, mengancam, menggertak, memberontak, mengurungkan diri, meracau-racau dan sebagainya.

Sebagai seorang yang mengamalkan poligami, saya lebih memahami kenapa sesetengah lelaki perlu, malah kadang-kadang wajib berpoligami. Kenapa? Kerana poligami bukan untuk dikomedikan. Poligami adalah tanggungjawab. Tanggungjawab kepada diri sendiri, isteri-isteri, anak-anak, kaum keluarga, dan yang lebih penting, tanggungjawab kepada Allah swt.

*PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Utusan Malaysia Online

02 Januari 2010

Syiar Keadaan

untuk menghormati dan mengenang kepenyairan dan sosok widji thukul, kami forward kiriman puisi widji thukul yang disampaikan oleh:
Logika Metaforis 01 Januari jam 22:58
============================

Syair Keadaan

Kalimat-kalimat kotor
Menghambur dalam gelap
Membawa bau minuman
Keringat tengik
Dan kesumpekan
Ibu-ibu megap-megap
Mengurus dapur suami dan anaknya
Harga barang-barang kebutuhan makin tinggi
Kaum penganggur sambung-menyambung
Berbaris setiap hari
Dan parpol-parpol
Sibuk sendiri
Mengurus entah apa
Leleran keringat dan kacaunya pikiran
Keputusasaan dan harapan
Yang dipompakan iklan-iklan
Siang malam membikin tegang
Dan disana kaum tani
Dipaksakan menyerahkan tanahnya
Dan disana pabrik-pabrik memecat
Buruhnya, memanggil tentara
Karena ada aksi mogok
Di depan kantornya
Dan parpol-parpol
Sibuk sendiri
Mengurus entah apa
Hujan turun
Got-got meluap
Banjir datang
Bingunglah rakyat
Gunung-gunung digunduli
Hutan-hutan dibabati
Cukong-cukong kongkalikong
Para birokrat mengantongi uang komisi
Karena memberi lisensi
Dan para pemilik modal besar
Terus mengaduk-aduk
Menguras mengisap isi perut bumi
Dan parpol-parpol
Halo!
Selamat pagi!
Hujan turun
Got-got meluap banjir datang
Menenggelamkan rumah-rumah rakyat
Dan parpol-parpol
Hallo!
Kita nanti ketemu
Dalam pemilu
Lima tahun lagi!

(Solo, Jagalan Kalangan, 02-02-1989)


Widji Thukul, bernama asli Widji Widodo, lahir di kampung Sorogenen Solo, 26 Agustus 1963 dari keluarga tukang becak. Mulai menulis puisi sejak SD, dan tertarik pada dunia teater ketika duduk di bangku SMP. Bersama kelompok Teater Jagat, ia pernah ngamen puisi keluar masuk kampung dan kota. Sempat pula menyambung hidupnya dengan berjualan koran, jadi calo karcis bioskop, dan menjadi tukang pelitur di sebuah perusahaan mebel. Pendidikan tertinggi Thukul Sekolah Menengah Karawitan Indonesia (SMKI) jurusan tari sampai kelas dua lantaran kesulitan uang.

Kendati hidup sulit, ia aktif menyelenggarakan kegiatan teater dan melukis dengan anak-anak kampung Kalangan, tempat ia dan anak istrinya tinggal.

Lalu muncullah peristiwa kekacauan 27 Juli 1996. Thukul, Budiman Sujatmiko, dan Pius Lustri Lanang menjadi buronan utama pemerintah. Hal ini cukup mengejutkan dan kurang jelas hingga sekarang, karena Thukul sesungguhnya bukan pada 'kaliber' kedua buronan yang lain. Artinya, Budiman dan Pius sudah jadi aktivis taraf nasional, sementara Thukul hanyalah seniman lokal yang potensi ancamannya pada pemerintah tak begitu besar. Sejak itu, Budiman ditahan, diadili, dan dipenjarakan; Pius diculik orangnya Tim Mawar, Kopassus; sedangkan Tukul hilang – konon juga dihilangkan oleh Tim Mawar Kopassus. Secara resmi, Thukul masuk daftar orang hilang pada tahun 2000.

Sumber:

01 Januari 2010

Catatan Tahun Berganti Tahun di Likas

oleh Abd. Naddin Haji Shaiddin
Ketua Dua IPS

Lembar tahun 2009 telah pun tertanggal. Kini gerimis membasahi halaman awal tahun baru 2010. Tetapi semakin dewasakah kita dalam menafsir usia yang semakin meningkat tetapi berkurang? Meningkat angkanya tetapi makin berkurang jumlahnya.

Rasanya masih banyak yang tertangguh dan tertunda.Tapi jikalau saya dapat menyempurnakan "sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah, Tuhan sekalian Alam" seperti yang diikrarkan lima kali sehari itu, itu akan memadai dalam menggapai harapan tahun ini.

Pada penghujung tahun,diambang 2010, kami membuat sedikit kelainan dalam menyambut pergantian tahun yang biasanya disambut dengan gegap gempita. Tiada bunga api, yang nyalanya meskipun cantik tetapi sifatnya sementara,dan tidak mampu menerangi jiwa kami. Kali ini, kami mengajak orang untuk merenung ke dalam diri masing-masing. Tetapi bukan dengan khutbah melainkan mengajak mereka berpuisi.

Puisi pastilah boleh mengubat jiwa kita. Kerana itu,majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Likas itu amat bermakna. Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang merayakan ulang tahunnya yang ke-20 tahun ini telah membina kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkasa budaya, bahasa dan sastera dalam usaha pembinaan negara bangsa.
Imbang Penuh
Kali ini, UMNO Sepanggar yang dipimpin saudara Jumat Haji Idris telah menjayakan majlis pengucapan puisi cinta negara diambang 2010. Majlis yang dianjurkan oleh Biro Kebudayaan,Kesenian dan Warisan UMNO Sepanggar yang diketuai saudara Jamrin Haji Wahid dan Biro Politik Wanita UMNO dengan kerjasama IPS dianggap berjaya memulakan sesuatu yang baru bagi kalangan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid turut menyampaikan puisi yang menarik. Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin juga tampil membacakan puisi. Antara pembaca puisi yang sudah lama tidak muncul di pentas tapi kali ini membaca puisi ialah Jati Ejan, Datu Masdan Nurasin, Sharif Asmawan Sharif Doki, Laliman Haji Ahmad. Suara muda diwakili oleh Zhamriee Gulam Rasul, Ampuan Awang. Namun puisi yang dibaca oleh Mohammad DSP Ahmad Ayid mengenang jasa Tun Mustapha amat menyentuh.

Bagaimanapun, puisi yang dibacakan oleh Ketua Bahagian Jumat Idris bertajuk Aku Bimbang Aku Khuatir karya Prof.Dr.Wan Moh Nor Wan Daud meninggalkan kesan kepada para hadirin kerana ia mampu mengajak hadirin untuk merenung nasib bangsa. Jumat memang sangat sesuai untuk membawakan puisi itu.

Lagu puisi Kumpulan Heritage yang membawakan dua lagu puisi dan sajak juga turut memeriahkan acara. Acara tarian Pakiring dari Rukun Tetangga Kampung Tebobon di bawah pimpinan Ideris Majani, Kumpulan Igal-Igal dari Kampung Cenderamata Dua di bawah pimpinan Haji Hashim dan Kumpulan Penari Manuk-manuk Limbukun dari Kampung Gusung dibawah pimpinan puan Normah memberikan persembahan terbaik mereka. Tidak kurang menariknya ialah Persembahan Koir Satu Malaysia Biro Kebudayaan UMNO Sepanggar, dan nyanyian lagu patriotik oleh Palimbang Brunei, Awang Khamis dan ramai lagi. kehadiran Timbalan Ketua Bahagian, Yakub Khan, Setiauasaha Bahagian, Razali Haji Razi, Mentoh Aru, Ustaz Ramli Ungking, Saidon Haji Kadis, Ketua Kampung Likas, Abd Mumin Rasam, Awang Lamin, Awang Bebing dan kenamaan lain amatlah bererti. Kehadiran penulis seperti Mat Congo, Jasni Yakub. Majlis pengucapan puisi itu cinta negara itu, yang diadakan bagi menyambut 2010, mudah-mudahan mampu menumbuhkan minat generasi baru, mengukuhkan jati diri mereka dan mengisian nilai nilaikesedaran akan kebenaran, keindahan, keharmonian, persaudaraan, kekitaan dalam jiwa mereka.

Ehsan Abd. Naddin Haji Shaiddin