Oleh
Hasyuda Abadi
TIDAK semua
pengalaman yang dilalui memberikan persepsi yang sama dalam semua keadaan oleh
semua orang yang mempunyai kecenderungan yang sama. Misalnya ketika
memperkatakan buku Antologi Sajak ‘Menjilbab Cinta’ karya para penyair Negara
Brunei dan Sabah baru-baru ini, Jasni Matlani tidak dapat lari daripada
lingkungan ini apabila hal yang sama dibicarakan oleh Profesor Madya Ampuan
Brahim Ampuan Tengah. Bahkan menggulati pandangan kedua-dua tokoh ini juga
tidak mungkin sama di hati atau dalam fikiran peserta program Bicara Karya yang
hadir. Mereka juga mempunyai persepsi yang berbeza, pandangan atau pendapat
yang tidak sealiran.
Ketika mula
mendekati dunia penulisan saya begitu terpegun dengan penyair Marzuki Ali dan
Jamdin B selain mengagumi puisi-puisi Suhani S, ABM Fajeer, Sairah Haji Antin,
Ismaily Bongsu, Amil Jaya, Musa Masran dan Ibrahim Mohamad pada hari-hari dunia
puisi semakin membuka selera intuisi fikir saya. Malah pada hari pertama
menyertai Kumpulan Anak Seni pada tahun 1979 saya tidak menyangka wanita di
hadapan saya adalah seorang penyair yang hebat. Hajah Zaiton Haji Ajamain pada
saya seorang guru pertama yang memberikan jambatan untuk saya menyeberangi
benua perpuisian. Sehingga akhirnya berpeluang pula mendalami puisi daripada
mentor saya, Kemala dan beberapa orang tokoh penyair lain seperti Taufik
Ismail, Sapardi Joko Damono, Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar dan Suhaimi Haji Muhammad.
Sudah pasti persepsi saya terhadap para tokoh yang disebutkan tidak sama
seperti yang mungkin diberikan oleh orang lain. Seperti sebuah kenangan, setiap
orang pernah melaluinya tetapi setiap orang juga mempunyai persepsi yang
berbeza apabila memperkatakan tentang kenangan waima pernah melaluinya
bersama-sama.
Begitu juga
puisi tidak semua dimulai oleh para penyair dalam permulaan yang sama.
Penerimaan orang terhadap karyanya juga demikian, lazimnya pada satu jangka
masa yang lama, baharulah puisinya diakui malah penulisnya sendiri diberikan
perhatian. Bagaimanapun dunia puisi bagi saya bukan suatu yang dipaksakan
kerana saya sendiri menemuinya pada waktu yang tidak disengajakan. Bagaimana
saya boleh jadi seperti sekarang ini menulis puisi dan hanya puisi. Apakah
puncanya? Mengapa puisi menjadi pilihan dan tidak kepada genre lain? Satu
pertanyaan yang selalu ditanya para junior dan teman-teman yang baru kenal,
apakah disebabkan oleh bengkel-bengkel penulisan?
Saya tidak dapat
menolak pada pertanyaan terakhir tetapi jawapannya tidak. Kursus atau bengkel
penulisan untuk saya datangnya kemudian. Pada saya apa gunanya kursus atau
bengkel bagi penulis yang tiada karya atau tidak pernah melahirkan karya. Apa
yang mahu dibengkelkan? Kita datang ke bengkel kereta tanpa membawa kereta yang
perlu dibaiki, jika tiada kereta, apa yang mahu diperbaiki? Hal ini juga berkait dengan persepsi. Persepsi yang
salah ialah apabila terlalu teruja dengan pertemuan-pertemuan yang dirinya
belum bersedia dan apabila selesai bengkel tidak ada apa-apa hasil yang boleh
dibuktikan.
Mungkin benar bahawa penulis
lahir kerana kewibawaannya sendiri, walau macam mana sekalipun hasrat
melahirkan penulis menerusi penataran ilmu seperti bengkel dilakukan, jika
bukan kerana keinginannya untuk menulis seterusnya diperakui sebagai penulis
yang berwibawa, kita tidak dapat melihat pada satu-satu fasa, tempoh atau dekad
tertentu lahir seorang atau beberapa orang penulis yang mewakili zamannya. Percayakah
tidak jika saya katakan bahawa novelis unggul Azman Nordin hanya sekali melalui
bengkel penulisan? Bagaimana pun peraih SEA
Write Award ini telah berjaya mengetepikan persoalan bahawa penulis tidak
sewajarnya menjadi begitu tidak kreatif kerana tidak menyertai sebarang kursus
atau bengekal penulisan.
Mantan Pengarah
DBP Cawangan Sabah, Zubaidi Abas mengakui tidak berjaya dalam usahanya
melahirkan penulis yang dibina melalui bengkel penulisan. Beliau pernah
mengharapkan agar melalui program bimbingan yang terancang mampu membentuk
penulis muda di Sabah. Padahal prasarana disediakan, pembimbing yang terkenal
diundang malah disediakan tempat latihan yang selesa. Sebagaimana kebiasaan,
peserta begitu berselera untuk menyertai tetapi selera itu tidak semarak
apabila nafsu berkarya tidak seperti yang diharapkan semasa dalam bengkel.
Namun hal ini
amat berbeza bagi mereka yang sudah pernah berkarya. Berapa lama sekali pun
tempoh berbengkel dilakukan, mereka tidak menghadapi masalah dari segi asas
penulisan. Bukan bermakna program penataran seperti kursus atau bengkel tidak
penting. Bagaimanapun program penataran begini harus terancang bukan direncanakan
secara semborono. Bukan juga menganggapnya sebagai program sastera asal ada
atau asal jadi.
Katakanlah diberikan tempoh satu
minggu, satu bulan bahkan satu tahun. Tujuan kita untuk melahirkan penulis yang
berwibawa. Bengkel atau kursus penulisan satu-dua hari selalu dibuat, tetapi
apakah hasilnya boleh melahirkan penulis? Tidak mungkin dengan satu-dua hari
mendengar panduan dan petua-petua mengenai penulisan, orang boleh menjadi
penulis. Satu minggu pun tidak boleh menjamin dapat melahirkan penulis. Tetapi
sekurang-kurangnya kemungkinannya lebih besar, dan kita mempunyai waktu yang
lebih banyak untuk menyalurkan ilmu-ilmu dan petua-petua penulisan yang perlu
kepada peserta bengkel.
Kelihatan juga bahawa rupanya
untuk mencapai apa jua perlu melalui langkah paksa. Mengasuh juga perlu
paksaan. Akhirnya kerana terpaksa akur dengan acuan yang ditetapkan menjadi
pula seperti yang dikejar tak dapat yang dikendong pula tercicir. Kerana itu
barangkali, biarlah penulis lahir dengan kemandiriannya, selepas itu mereka
akan mencari ruang dan peluang untuk merealisasikan hasrat menjadi novelis,
cerpenis atau penyair melalui apresiasi, bengkel, pugar idea sehinggalah
pemantapan karya. Lupakan soal persepi sehingga kita merasa begitu rendah diri
sehingga kemandirian itu membawa dunia penyair itu jauh daripada dunia yang
semula jadi.
Penulis pada hari ini mempunyai
banyak sekali peluang yang harus direbut. Apa yang penting mereka tahu di mana
peluang itu diperolehi, bagaimana peluang itu direalisasikan dan akhirnya
apakah peluang yang telah dicapai itu memberikan satu lagi persepsi yang
berkaitan dengan kejayaan dan kegagalan karyanya di hati khalayak.