(Disampaikan semasa mempengerusikan Mesyuarat Agung IPS ke-25 di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah pada 8 Mac 2015)
Saya dengan penuh takzim merafakkan rasa syukur ke atas Hadrat Allah
SWT kerana dengan izin-Nya, kita diberikan iltizam dan kekuatan jiwa untuk
menyempurnakan amanah pada hari ini. Kehadiran anda dari merata daerah negeri
Sabah yang kita cintai menjadi petanda bahawa tanggungjawab kita bukan
semata-mata untuk persatuan kita tetapi lebih daripada itu. Kita ingin terus
berjuang merapatkan saf anggota seiring dengan gerakan sastera tanah air yang
sedang hebat gelora dan gelombangnya.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati.
Sepertimana yang kita sama-sama maklum, IPS kini berusia 25 tahun
yang tepatnya pada 23 Mac yang akan datang ini. Tahun ini ini kita akan
merayakan Jubli perak IPS. Sudah tentu setiap anggota persatuan mempunyai
perasaan yang tinggi untuk memperagakannya kepada masyarakat, samada sesuatu
yang telah kita lakukan dan gerakan kita selepas ini. Kita tidak harus gentar
memandang kembali ke belakang. Antara kegembiraan tercalit juga duka yang tidak
dapat dielakkan. Sebab, kehidupan juga demikian, dan kehidupan dalam persatuan
kita tidak terlepas daripada meningatinya. Cuma, saya fikir dan tuan-tuan dan
puan-puan juga pasti bersetuju bahawa masa lalu biarlah ia berlalu sebagai satu
sempadan dan motivasi buat kita semua dan IPS sendiri. Kita perlu melihat jauh
ke hadapan. Namun semua ini perlu bermula daripada sekarang. Jika kelmarin
adalah pengalaman yang mengingatkan kita tentang kekurangan tetapi tidaklah
bersalahan agar kita terus berusaha memperbaiki segala kekurangan itu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Menjadi Ketua Satu IPS selama
hampir dua dekad, saya cukup dewasa untuk memperkatakan sumbangan IPS. Saya
mempunyai satu sikap bahawa apabila sesebuah organisasi ditubuhkan ia harus
memberikan sesuatu kepada mereka yang menjadi tonggak selain memastikan semua
objektif yang termaktub dalam perlembagaannya dipenuhi. Kemudian, bagi saya
sumbangan daripada sebuah persatuan yang sederhana dalam segala segi tidak
semestinya ia dilihat hanya melalui program-program yang besar. Walaupun
kemampuan IPS itu kecil namun ia tetap meninggalkan sesuatu yang berguna kepada
masyarakat, kepada ahli-ahlinya dan kepada negara, dengan kata yang mudah dan
mulia iaitu menghasilkan impak yang besar. IPS tidak mungkin mampu bergerak
sehingga ke hari ini seandainya cabaran untuk mengekalkan sikap sedia ada
melalui semangat kesetiaan, keseiaan dan paling penting kesederhanaannya tidak
dihadapi dengan bijaksana.
Sesuai dengan sebuah motto yang
saya perkenalkan iaitu 'Wastiyyah Kesejagatan Sastera', intisari motto menjadi
landasan kebersamaan melalui semangat kekeluargaan dan persahabatan. Persatuan
dalam fikiran saya bukan untuk meraih faedah persaingan apatah lagi keuntungan
bersifat material. Apakah yang kita faham tentang kebersamaan dalam IPS?
Walaupun saya memimpin persatuan kecil ini namun, segala keputusan menjadi
agenda semua orang dalam persatuan. Saya selalu berkongsi idea, info, saranan
dan sebagainya di FB, melalui whatapps atau catatan saya di media. Mungkin
sesetengah orang menganggap saya tidak layak kerana menuduh kononnya kelemahan
saya membangunkan IPS agar lebih hebat, memiliki aset, mempunyai wang yang
banyak sehingga boleh memberikan kemewahan kepada ahli-ahli, mempunyai itu dan
ini, melaksanakan aktiviti bertaraf serta pelbagai gambaran yang ingin
meletakkan IPS itu sudah berada pada landasan yang tidak tepat.
Saya ingin berkata bahawa semua
gambaran itu dilakukan oleh orang 'silap mata.' Hanya yang selalu bermain silap
mata sahaja berusaha untuk mengaburi pandangan bagi meraih kepercayaan orang
terhadap perbuatannya itu. Saya tidak ingin menyentuh siapakah pemain silap
mata itu, kerana apa yang paling penting adalah ingin membawa IPS meneruskan
perjalanannya pada satu landasannya sendiri. Bukan landasan yang dikatakan
dimiliki pihak lain. IPS harus mempunyai produk, disiplin dan sikapnya sendiri.
Ketiga-tiga hal ini harus dihormati dan wajib IPS perhebatkan walaupun dalam
skala yang sifatnya sederhana namun IPS tetap akan menempatkan kesemuanya dalam
hati orang ramai dengan ketelusan dan amanah menjadi keutamaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pada 7 Februari yang lepas,
persatuan telah mengadakan program motivasi khas buat semua ahli dana
sahabat-sahabat penulis kita. Program ini telah dipimpin oleh sahabat kita
iaitu Cikgu Mohd Khaidir seorang kauseler dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Matlamat program ini adalah untuk memberikan idea dan input yang membina kepada
semua peserta tentang hala tuju. Mengapa kita menyertai perstuan penulis atau
apa juga pertubuhan bukan kerajaan yang lain? Apakah kerana adanya tarikan
istimewa di dalam pertubuhan berkenaan seperti memberi tunjukajar mengenai
sesuatu bidang, sebagai keperluannya menambah nilai dalam hidupnya. Atau apakah
sekadar suka-suka semata-mata. Barangkali disebabkan peluang untuk makan angin
terbuka luas dan sebagainya lagi. Nah, sebab itu kita, saya dan seluruh anggota
persatu harus jelas peranannya sebagai ahli dan sebagai ahli jawatankuasa
sekira memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan. Dalam konteks IPS, kita
ingin membentuk satu pasukan yang mantap berdasarkan sejauh mana kecenderungan
yang ada dalan fikiran setiap anggota. Ahli dan AJK yang memiliki hala tuju
dalam kehidupannya sudah pasti tidak menjadi masalah yang besar agar
ditranformasi dalam kehidupan yang lebih besar dan global. Peranan kita mungkin
kelihatannya sedikit atau kecil dalam pertubuhan namun kita tidak sedari bahawa
peranan yang sedikit dan kecil itu sebenarnya memberikan kesan tertentu
sehingga pertubuhan disegani. Mungkin disebabkan ciri-ciri kesederhanaan kita
atau atas penerimaan masyarakat gerakan kita sesuai apabila komuniti sasaran
kita jelas dan bertumpuan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Kita harus fokus kepada setiap
bidang yang ingin kita laksanakan. Tidak mengapa status aktiviti itu berskala
yang kecil dan tidak kelihatan terlalu hebat. Hebat berhasilkan sesuatu yang
tidak banyak manfaatnya sudah tentu lebih baik kita memilih jalan yang
sederhana tetapi hebatnya kita telah melaksanakan satu amanah dengan tepat.
Dengan syarat semua anggota
mempunyai sikap yang tegap yakni merasa memiliki dan dimiliki. IPS tidak
mengongkong ahli-ahli menyertai mana-mana gerakan namun suka saya ingatkan
kepada diri saya dan anda semua, agar mengutamakan persatuan adalah sewajarnya.
Namun ini bukanlah satu arahan yang mandatori, pilihan terletak di tangan
tuan-tuan dan puan-puan. Bagi saya ilmu berada di mana-mana, seandainya peluang
terbuka, rebutlah peluang itu. Akhirnya tatkala menerima ilmu atau pengalaman
baharu, kita kongsikan dengan rakan-rakan dalam persatuan. Kita harus berada
dalam kesatuan. Apalah gunakan persatuan yang telah kita bangunkan lebih 2
dekad ini andainya kecintaan kita tidak berada di situ.
Ada ahli kita yang saya tidak mahu
sebutkan namanya di sini, menyatakan hasratnya keluar dari IPS semata-mata
berkecil hati kerana tidak diurus semasa menyertiai aktiviti di luar negara.
Saya tidak faham mengapa begini sikap yang ada pada seorang ahli yang sudah
dewasa dan waras. Sebab itu, kita harus memahami motif kita berpersatuan. Hanya
bersebab yang kecil lantas berfikiran untuk nyah daripada kumpulan kita. Saya
tidaklah berkira sangat kerana gerakan kita bersifat sukarela, tanpa sebarang
paksaan, namun kita seperti juga mana-mana pertubuhan juga tertakluk kepada
peraturan-peraturan perlembagaan persatuan. Kita ada satu kitab panduan yang
jelas, agar setiap tindakan tidak melepasi peraturan-peraturan yang sedia ada.
Jika ada ahli yang ingin keluar kita akan merujuk kepada peraturan misalnya
memberi masa yang sesuai sebelum sebarang tindakan diambil.
Tuan-tuan dan puan-puan.
Apakah yang dimaksudkan dengan
bitara? Bagi guru-guru kata bitara bukanlah satu istilah jargon atau terlalu
baharu buat mereka. Kita perlukan bitara ini. Dalam kehidupan kita juga, bitara
menjadi tanda aras dan juga hala tuju sejauh mana kemantapan kita terhadap
sesuatu matlamat. Dalam IPS, apa pentunjuk penting bitara yang kita kehendaki.
Dengan kedudukan kewangan yang kecil, apakah bitara yang kita mahu capai?
Dengan bilangan ahlinya yang sederhana, bolehlah kita katakan kita mesti
bitarakan gerakan objektif kita sepenuhnya? Dan dalam konteks yang lebih besar,
apakah hala tuju persatuan sebenarnya?
Semua persoalan ini mudah kita
jawab apabila setiap daripada kita memiliki sikap dan sifat bitara dalam
kehidupan. Bitara yakni mencapai tahap paling tinggi dalam sasaran. Bukan
bererti tahap yang kita tidak boleh capai. Kita tujui berdasarkan kemampuan
kita. Apakah bitara kita?
Mungkin untuk mencapai dalam tempoh
10 tahun dari sekarang, kita mampu menjenamakan persatuan lebih daripada
sebagai sebuah persatuan yang kecil. Kita mempunyai asset yang tersendiri
seperti bangunan, rumah dan aktiviti yang menyeluruh. Anggota kita berkualiti.
Aktiviti-aktiviti kita juga demikian. Namun semua ini berpunca daripada sejauh
mana kukuhnya ekonomi kita yakni kedudukan kewangan kita mantap. Mulai sekarang
kita harus letakkan peranan semua untuk mencari jalan terbaik bagaimana
mengukuhkan kewangan dalam persatuan. Kita tidak harus terlalu bergantung
kepada bantuan pihak lain, yang kadang-kadang kita ini seumpama pengemis,
melukut di tepian gantang dan amat memalukan apabila mendengar omelan 'ini
tiada lain, mesti minta duit'.
Kedua, aktiviti-aktiviti kita perlu
dimantapkan dari segi kualiti penganjuran. Setakat ini alhamdulillah, kita
melakukan aktiviti dengan lancar tanpa sebarang isu yang timbul. Namun kita
perlu bitarakan aktiviti kita. Misalnya program Santai Minda yang kita telah
anjurkan dua kali pada tahun sudah. Santai Minda ini kita boleh pelbagaikan
skopnya, dalam kata lain pengisiannya tidak tertakluk kepada bidang persuratan
tetapi juga disiplin seni yang lain. Tahun ini saya mencadangkan Santai Minda
diisi dengan penampilan para pengarang novel popular, apresiasi kearifan
tempatan dan juga membicarakan seni tari Sabah.
Membicarakan karya seperti
novel-novel terpilih, karya-karya ahli dalam bentuk buku dan eceran juga wajar
diketengahkan. Ini sering saya sebut dan di sini ingin saya ulangi pentingnya
usaha ini digembeling. Walaupun sebagai persatuan penulis kita ingin membantu agensi
yang berkaitan kerana ini tugas mereka, namun kita juga mempunyai amanah
tertentu mengenai hal ini. Ramai ahli kita menulis puisi, karya mereka jarang
diambil perhatian untuk dibuatkan resensi, apatah lagi melalui penilaian
kritis. Sudah ramai juga ahli-ahli yang mempunyai buku sendiri dan sekali lagi
kita tidak mengangkat buku tersebut dalam satu gelanggang atau forum yang
sesuai. Sewajarnya juga kita melibatkan para sarjana di UMS atau para
siswa-siswi di menara gading ini.
Ketiga, penerbitan. Sempena 25
tahun penubuhan IPS, kita telah mencadangkan penerbitan sebuah antologi puisi
khas yang melibatkan ahli-ahli dan para penulis yang akrab dengan persatuan
sebagai penyumbang. Alhamdulillah, buku ini telah dalam proses percetakan,
mudah-mudahan dapat disiapkan percetakannya sebelum 28 Mac nanti di mana kita
akan mengadakan satu majlis pelancarannya. Selain buku antologi puisi,
persatuan juga akan menerbitkan semula Majalah Komposisi. Untuk makluman,
majalah ini pernah diterbitkan secara stensilan selepas sahaja persatuan
ditubuhkan. Pada tahun 1998, majalah Komposisi dinaiktaraf sebagai majalah yang
versatil namun tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab yang tidak dapat
dielakkan. Memang ada usaha setelah itu, dan akhirnya dengan iltizam yang
tinggi, saya memandu rakan-rakan termasuklah Ketua Dua dibantu sdr Ali Karim
dan sdr Yatim Ahmad, majalah Komposisi akan menjadi kenyataan. Juga,
mudah-mudahan percetakannya dapat disiapkan sebelum penghujung bulan ini.
Komposisi akan terbit setiap tiga bulan. Majalah ini kapasitinya sederhana
sahaja kerana peruntukan yang amat terhad. Saya yakin dan beberapa orang rakan
kita yakin, majalah ini mampu diletakkan sebagai wacana yang penting di wilayah
kita jika kita mahu melakukannya. Untuk ini, selepas mesyuarat besar kita pada
hari ini, kita akan melantik seorang yang akan mengetuai sebuah Biro
Penerbitan. Biro ini akan memperkasakan lagi hala tuju majalah Komposisi
sebagai lidah rasmi IPS. Di samping itu kita juga akan merancakkan penerbitan
buku selain antologi. Saya suka menggalakkan semua ahli yang menulis, serius
menghasilkan buku. Sekiranya berhasrat menerbitkan sendiri, persatuan akan
memberikan bantuan kepakaran sehingga buku anda terbut dengan kos tertentu yang
akan dikenakan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Tiga isi teras dalam ucapan ini
diharapkan dapat kita laksanakan. Saya tidak mengharapkan apa-apa yang besar
tetapi biarlah kita sama-sama bekerja dan sama-sama merasai hasilnya. Tidak
semua hal sepanjang 25 tahun yang lalu kita lalui bersama-sama namun sebagai generasi
IPS berikutnya, tempoh itu kita rasai bersama atas beberapa kejayaan dan ingin
membantu sedaya kita agar segala kekurangan mampu diatasi.
Untuk makluman, saya tentu sahaja
tidak ingin berlama sangat memimpin IPS. Mungkin sampai masanya saya mengundur
diri sekiranya ada yang tuan-tuan dan puan-puan fikir ada dalam kalangan
ahli-ahli yang boleh memimpin persatuan lebih cemerlang lagi. Namun, untuk dua
tahun mendatang saya masih bersedia menjalankan tugas sebagai Ketua Satu. Pada
masa ini, saya ingin memberikan tumpuan kepada aktiviti-aktiviti teras kita
seperti Santai Minda, Bicara Karya, penebritan Majalah Komposisi dan Bengkel
Penulisan. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan mempunyai usul atau saranan untuk
IPS sila ajukan dalam mesyuarat ini. Kongsikan pandangan tuan-tuan dan
puan-puan. InshaAllah kita akan sama-sama perincikan dan laksanakan mana-mana
yang sesuai dan memberikan manfaat buat kita dan seluruh masyarakat sebagai
aset sasaran persatuan.
Ini sahaja ucapan saya, agar IPS
terus relevan dalam gerakan sastera tanah air, marilah berganding bahu dan mara
siaga ke hadapan. Ke arah IPS bitara dengan slogan besar kita 'wasatiyyah
kesejagatan sastera'.
Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum wbkth.