PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



27 November 2009

Ucapan Raya

Ketua Satu dan seluruh ahli jawatankuasa tertinggi IPS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua ahli, sahabat dan kepada para sasterawan yang sentiasa menyokong IPS di mana juga anda berada.



SELAMAT HARI RAYA
AIDIL ADHA


10 Zulhijah 1430H
27 November 2009

24 November 2009

Bahasa Melayu 'diserang'

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my




Ada gerakan antibahasa kebangsaan dalam menggagalkannya wibawanya

DALAM usaha Malaysia mencapai sasaran untuk tampil sebagai negara maju, semakin banyak serangan ke atas bahasa Melayu dilakukan oleh pihak tertentu sedangkan fungsi bahasa kebangsaan bertujuan melambangkan jati diri sesebuah negara.

Melalui beberapa perkembangan terkini, dapat dilihat secara jelas serangan terhadap bahasa Melayu berlaku dalam pelbagai penjuru sedangkan tembok yang digunakan untuk menghalang serangan itu tidak sekukuh Tembok Besar Negeri Cina.

Kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar negara ini pernah dikatakan berpunca daripada langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah kerajaan seperti dibangkitkan akhbar The Star bertarikh 23 Jun dalam ruangan Other News and Views yang memetik laporan dalam Nanyang Siang Pau.

Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, pada 19 Julai lalu menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak munasabah kerana kerana faktor penguasaan bahasa banyak bergantung kepada pelajar dan yakin ada gerakan mahu menafikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Arba’ie Sujud, berkata antara faktor yang menyebabkan pertikaian terhadap bahasa Melayu adalah kerana adanya persepsi di kalangan masyarakat bahawa ia tidak mampu digunakan sebagai bahasa ilmu.

“Persepsi ini lebih ketara terutama di kalangan generasi muda yang beranggapan bahasa Melayu tidak penting pada era teknologi maklumat yang memartabatkan sains dan teknologi sehingga terpancar pada perubahan dasar kerajaan yang menggunakan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek itu,” katanya ketika ditemui Sastera di Serdang, baru-baru ini.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila bahasa Melayu tidak lagi dilihat sebagai lingua franca seperti pernah dinikmatinya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika negeri terbabit menjadi pusat dagangan dunia sehingga dicemburui kuasa luar, lalu ia turut mempengaruhi pandangan generasi muda hari ini kepadanya.

Baginya tanggapan serong terhadap bahasa Melayu ini sukar diubah dan semakin hari, bilangan individu bertanggapan sedemikian terus meningkat sehingga memudaratkan ekoran negara berada dalam zon selesa sehingga bertanggapan bahasa Melayu tetap selamat dan tidak diganggu gugat kerana sudah dijamin dalam Perlembagaan Negara.

Dr Arba’ie yakin bahawa gerakan antibahasa Melayu yang berlaku pada masa ini bertujuan mengikis kekuatan ikatan di kalangan rakyat Malaysia yang menjadi teras perpaduan dan semangat setia kawan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.

“Kita juga kena melihat ada hikmahnya jika anggapan bahawa ada gerakan antibahasa Melayu kerana setidak-tidaknya akan menyedarkan banyak pihak pada peringkat atasan hingga bawahan bahawa kita perlu mendukung dan menjaga bahasa kebangsaan kerana ia lambang tamadun sesuatu bangsa itu,” ujarnya.

Pensyarah, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Maslida Yusof, menyifatkan penerimaan positif dan negatif masyarakat terhadap sesuatu dasar yang dilontarkan kerajaan adalah suatu perkara biasa.

Gerakan antibahasa Melayu itu dikatakan berkemungkinan disebabkan golongan berkenaan mempunyai asas kukuh untuk tidak menyokong perubahan dasar kerajaan terutama ketika kerajaan bakal mengumumkan dasar ‘Memartabatkan bahasa Melayu, Memperkukuhkan bahasa Inggeris’.

“Sebenarnya, mereka ini bukanlah menolak secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi faktor ini sedikit sebanyak berpunca daripada kegagalan mereka untuk menerima kenyataan dasar kerajaan yang cuba memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan,” katanya.

Beliau berharap golongan yang termasuk dalam gerakan antibahasa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya menerima hakikat bahawa kerajaan bukan saja mahu melahirkan bangsa Malaysia, tetapi juga merealisasikan impian adanya satu bahasa dan budaya Malaysia.

Berita Harian Online


23 November 2009

Penulis blog perlu berani bertanggungjawab

Oleh: Nazimi Yaakub

PENULISAN di blog terutama membabitkan penyebaran berita dan maklumat sewajarnya menggunapakai kod etika kewartawanan dan mendedahkan identiti penulis agar masyarakat boleh mempercayai kebenarannya terutama untuk jangka masa panjang.

Pandangan itu dilontarkan pada Kolokium Media Ke-21 di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, baru-baru ini, sekali gus menegaskan media konvensional dan formal masih perlu mendapat kepercayaan daripada masyarakat sekiranya maklumatnya benar.

Ahli panel pada kolokium bertema Media Sekarang Gagal Mendidik Masyarakat itu juga, turut menolak tanggapan bahawa media masa kini tidak berjaya mendidik masyarakat, sebaliknya realiti menunjukkan fungsi itu dijalankan semua pihak termasuk khalayak pembaca itu sendiri.

Pengarang The Malay Mail, Ahirudin Attan, berkata penulis blog perlu mengguna pakai kod etika kewartawanan dalam penulisan dan penyiaran tulisan mereka, sekali gus menunjukkan mereka menerima tanggungjawab dalam menyampaikan maklumat.

“Sekiranya kita tidak ada etika dalam penulisan blog, bagaimana kita mahu mengharapkan orang pembaca mempercayainya, sedangkan kita tidak memberi sebarang jaminan bahawa maklumat itu boleh diterima pakai.

Ahirudin Attan

“Meskipun internet ada data track personality, ia masih belum cukup kerana kita mahukan situasi sekiranya ada kesilapan dalam penulisan blog, penulis blog boleh bersedia memikul tanggungjawab itu,” katanya pada forum yang dipengerusikan Fayad Abdul Manaf.

Ahirudin mengakui realiti dunia penulisan blog di negara ini, masih belum menunjukkan kesediaan untuk menerima pakai kod etika dan sekiranya hal itu diajukan kepada penulis blog, sebahagian daripada mereka akan menganggapnya sebagai ejen kerajaan.

“Pada masa ini, kita terpaksa percaya kepada media yang lebih tradisional dan formal kerana berita yang disiarkan itu ditulis wartawan yang profesional dan sekiranya ada unsur ‘putar belit’ pun, akhbar masih tetap mendahulukan kebenaran.

“Sekiranya hari ini, kita percaya kepada blog lebih daripada media arus perdana, kita sebenarnya melakukan kesilapan besar kerana masih banyak perlu dibuat sebelum blog diterima pakai sebagai medium yang boleh dipercayai,” katanya yang turut menulis di blog rockybru.com.my.

Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar

Beliau mengakui dunia media masa kini mengalami perubahan besar sehingga media yang dikenali pada dekad 1960-an hingga 1980-an jauh berbeza, sekali gus menyebabkan tanggapan fungsi media untuk mendidik sudah menjadi definisi usang.

“Tugas mendidik bukan lagi dipertanggungjawab kepada media, bahkan khalayak sendiri akan mendidik media dan begitu juga kerajaan seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008,” katanya pada forum yang turut dihadiri Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Prof Madya Mohd Adnan Hashim.

Hos Di Luar Lingkungan, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, berkata tulisan dalam media perdana dan media baru menjadi draf utama kepada sejarah, sekali gus paparan terhadap realiti semasa itu menyumbang dalam membentuk fikiran.

“Perdebatan mengenai sama ada media benar-benar mendidik, mempunyai dua kecenderungan utama, iaitu dipengaruhi kecenderungan politik atau pandangan media memaparkan banyak unsur hiburan.

Sebagai penggiat media, Sayed Munawar berkata, mereka mempunyai tanggungjawab mendidik dalam konteks luas kerana situasi masa kini menyaksikan adanya proses kematangan masyarakat dan jika memperbudakkan penonton atau pembaca, masyarakat akan menolaknya.

Pandangan Sayed Munawar itu diperakui Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Norila Daud, yang menolak tanggapan bahawa masalah sosial kini berpunca daripada pendedahan dan penyiarannya di media.

“Jangan ambil apa-apa yang tersiar itu secara negatif, sebaliknya ambil ia sebagai pengajaran untuk menangani masalah jenayah atau sosial secara bersama dan serentak itu, kita tidak boleh menjadi manusia stereotaip yang melihat hanya dengan satu pandangan,” katanya.

Berita Harian Online


22 November 2009

Antara fakta dan fiksyen

SEBUAH cerpen adalah sebuah dunia baru yang dibangunkan dari himpunan realiti yang dibaur dan dicernakan di dalam imaginasi pengarangnya. Realiti yang dihimpunkan adalah realiti yang sehari-hari dilewati pengarang dengan segala deria, indera dan penghayatannya.

Dengan deria dan inderanya, pengarang tidak hanya melihat, mendengar apa yang terpapar di permukaan tetapi juga apa yang tersirat di bawah kenyataan.

Dengan deria dan inderanya, pengarang cuba mengesani raung dan tangis, suka dan ria, gelisah dan resah, rindu dan cinta yang mungkin tidak mudah diucapkan manusia yang bukan pengarang kerana rasa malu, ketakutan dan ketiadaan rasa percaya dirinya sendiri.

Apa yang telah dicernakan pengarang di dalam imaginasinya adalah inti dari suatu realiti dan ketika dibangunkan kembali menjadi sebuah cerpen, ia telah bertukar menjadi suatu refleksi yang hanya memaparkan cebisan dan imbasan yang dianggap penting serta mampu menjadi bayangan bagi sebuah dunia baru dan lain.

Realiti hanyalah titik tolak tetapi bukan keseluruhan. Kerana itulah, pengarang yang menyalin sepenuhnya realiti sebagai bahan cerpennya adalah pengarang yang kering daya kreatif dan kreativiti. Tugasnya hanyalah sebagai mesin yang menyalin secara patuh.

Cara memandang sesuatu realiti menjadi titik tolak karya dan sikap kreatif pengarang ketika berhadapan dengan realiti juga menentukan bentuk dan cara sebuah cerpen dipersembahkan kepada khalayak.

Pengarang yang memandang realiti sebagai sumber asli yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan hakikatnya dan juga hanya melihat makna dan erti yang terpapar di permukaan, pastilah menerima realiti secara apa adanya.

Ini berlainan dengan pengarang yang menerima realiti hanya sebagai asas tetapi bukan sebagai suatu ikatan yang memaksanya menjadi manusia yang mesti menaruh kepercayaan terhadap apa yang terpapar di hadapan penglihatan secara permukaannya.

Di mata pengarang golongan ini, realiti akan diobrak dan diabrik untuk menyelongkar makna dan erti lain yang mungkin tersembunyi di sebalik atau di bawah permukaan yang kelihatan pada mata kasar. Realiti bukanlah sesuatu yang mesti dipercayainya seratus peratus. Realiti yang sedia ada tidak mustahil juga merupakan suatu manipulasi, suatu sulapan. Kerana itu realti yang sedia ada perlu diselongkar demi untuk menemukan makna-makna lain dan baru.

Penemuan erti dan makna yang lebih baru ini akan pula menzahirkan suatu bentuk realiti yang baru dan polisemi, bermakna ganda, sifatnya.

Dengan begini juga, cerpen sekaligus boleh berupa satu genre yang berbaur dengan genre lain seperti puisi, drama, esei atau fotografi. Ini bererti sebuah cerpen perlu dan bersedia untuk berubah, melakukan pelanggaran dan sekaligus penerokaan terhadap bentuk dan genrenya.

Penerokaan

Untuk melakukan penerokaan dan pelanggaran, sekaligus juga berusaha menampilkan sisi lain dari sebuah cerpen, pastilah seorang pengarang memerlukan kekuatan dan keberanian di dalam jiwa kreatifnya.

Namun dari sisi yang lain, sebelum mampu untuk memiliki apa yang dinamai kekuatan dan keberanian di dalam berkreatif, tanpa kekuatan dan keberanian untuk menantang segala duga hidup dan dalaman jiwa pengarangnya sendiri, mana mungkin sebuah cerpen mampu dizahirkan sebagai bentuknya yang berbeza dari kebiasaan.

Melawan kemalasan di dalam diri yang selalu menggoda agar bertangguh dengan alasan seronok dan kesantaian, atau ketidakupayaan untuk bangkit melawan segala rasa takut dan getir ketika bersunyi-sunyian menghadapi alam pengkaryaan, merupakan sebahagian duga permulaan sebagai penulis cerpen.

Belum lagi mendepani kritik dan gugah yang selalu mencabar yakin penulis yang belum punya kekuatan di dalam jiwa dan diri.

Pemisahnya, walaupun cerpen itu tidak lain adalah sebuah cerita atau bertolak dari sebuah "cerita", tetapi cerita yang dijadikan "cerpen" (tentu saja cerita + pendek) adalah cerita yang telah pun diberikan bumbu atau solekan. Tanpa bumbu atau solekan tersebut, cerita baru dalam bentuk bahan mentah sang fakta.

Jadinya, untuk mengelak sifat "bahan mentahnya" itu, sebagai sifat tambah yang baru, cerita yang dijadikan cerpen telah dipakaikan baju imaginasi, penyamaran, pelupusan, malah kadang-kala dilebih-lebihkan pula. Kerana itu jugalah, kalau mahu dicari sesuatu yang benar-benar sreg, fit, kena serta aktual dengan sesuatu yang faktual, dari sebuah cerpen yang lahir dari tangan seorang pengarang yang benar-benar menginsafi keterbatasan sifat maknusiawinya, tentu saja fakta itu sudah jauh berputar atau tergelincir 180 atau 360 darjah.

Maksudnya dari kalangan pengarang yang benar-benar memahami peranannya sebagai manusia kreatif, mereka tidak mahu membawa peranan meniru atau menyalin realiti. Sebaliknya, apa yang diusahakan hanya mengemukakan sedikit biasan atau kesan dari sesuatu, hanya sedikit. Seperti menggambarkan api, apa yang dipaparkan hanyalah kesannya, yang hangus, yang terbakar, tetapi bukan (kononnya) mahu menyalin api itu sendiri.

Tentu saja sebahagian orang merasa kecewa dengan sikap pengarang yang begini. Mereka berkobar dan bertanya: Mana realiti sosial dalam cerpen-cerpen kita? Wah, hebatnya. Walhal, realiti itu sendiri merupakan kata yang sangat abstrak dan tak sepenuhnya mereka mengertikan luar dalamnya.

Apa pun, pokok dan hakikatnya terserah masing-masing pengarang. Apakah mahu mengarang cerpen atau mengarang cerita. Kitakan hidup di negara demokrasi. Jadi bebas memilih. Kita tidak perlu saling mengacung tinju dan mengatakan mereka lebih suci, mulia dan terhormat ke timbang diri orang lain, semata-mata kerana sebuah cerpen.

Utusan Malaysia 8 November 2009

21 November 2009

Mengangkat warisan ke persada dunia

PETIKAN pidato penerimaan Anugerah Sastera Negara
oleh Sasterawan Negara Ke 10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan
pada 20 Oktober lalu.

Bismillah itu permulaan kalam,
Dengan nama Allah Khalikulalam,
Berkat Muhammad Sayid Alanam,
Memberi rahmat siang dan malam.

Awal bismillah fakir menyusun,
Di pangkal jalan memohon ampun,
Maklum bahasa tidak tersusun,
Banyak perkara hendak dihimpun.

Majlis permai fakir mengisi,
Kata dan fikir dengan puisi,
Kerana fakir bertugas di institusi,
Yang "melangkah ke hadapan bersama tradisi."

I: Citra Sastera

Sastera itu adab persuratan,
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan,
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.

Bakat dan karya ada tanggungjawab,
Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,
Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,
Bantu membimbing umat manusia.

Hindari kutukan kepada penyair sesat,
Dalam Al-Syu'ara telah tersurat,
Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,
Takwa itu memandu pena menyurat.

Dengan akal pena menukilkan,
Seperti lidah wajar berperaturan,
Pena yang jujur lebih dimuliakan,
Bukan pedang melibas sembarangan.

Persuratan itu mengandung ilmu,
Juga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu.

Hamzah Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani,
Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji,
Karya persuratan padat berisi,
Tanda pujangga seorang insani.

Persuratan tidak mengulang yang lama,
Atau hanya alam dan watak semata,
Fikrah falsafah itu lebihlah mulia,
Disulam keindahan membijaksanakan manusia.

Dibantu ilmu karya terkarang,
Piawai Melayu ini jangan dibuang,
Nyata dan magis silang bersilang,
Ke pentas dunia masuk gelanggang.

Melayu menyediakan atur hukum sastera,
Dalam puisi dan hikayat warisan bangsa,
Ditambah ilmu bantu dan prinsip semasa,
Ciptakan karya bertaraf dunia.

Ibn Tufail, Ibn al-Nafis,
Menyelami dasar falsafah menulis,
Apungkan ilmu madahnya pun majlis,
Keadilan hakiki pencarian penulis.

II: Keprihatinan Sastera Malaysia

Sastera bukan khayali ke dalam diri,
Nasib alam dan ummah diperhati,
Peka akan gejolak yang mengelilingi,
Dicipta persuratan untuk dihayati:

(i)

Asas tamadun sudah bertunas,
Melayu bersyarak kepada nas,
Lenyap kegelapan oleh nur yang bernas,
Hablum min Allah, Hablum min al-nas.

Pusat intelektual bermula di istana,
Lahirkan ulama, pemikir dan pujangga,
Muamalat, munakahat, siasah dijana,
Hukum jinayat, adab, persuratan juga.

Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?
Akidah mencair atas nama hak asasi,
Islam liberal dan sekularisme mencemari,
kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.

Ada yang mencabar hukum syariah
Anggap hukum duniawi lebih indah,
Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,
Di atas segalanyalah asma'ilahiyyah.

(ii)

Kita mengenal Suhaif al-Rumi,
Begitu juga Salman al-Farisi,
Beserta dengan Bilal al-Habashi,
Begitu pelbagainya wajah insani.

Allah ciptakan pelbagai bangsa,
Allah hembuskan seribu bahasa,
Untuk berkenalan sesama manusia,
Jangan sampai abaikan hak milik kita.

Semenanjung Melayu ini di Alam Melayu,
Sebab musababnya jelas bagi yang tahu,
Sejak abad ke-VII kembangkan tradisi ilmu,
Kuasai ekonomi Nusantara delapan penjuru.

Majapahit, Sriwijaya, Langkasuka dan Melaka,
Corakkan wajah kebudayaan kita,
Sehingga penjajah membawa tenaga kerja,
Bekerja demi kepentingan ekonomi mereka.

Kini tenaga kerja asing terus penuhi negara,
Pada tempat dan ketika lebih ramai mereka,
Rakyat rasa tak selamat tak rasa bebas merdeka,
Berbuatlah sesuatu agar negara ini tenang semula.

(iii)

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,
Kuasa-kuasa Barat dan Timur datang menjarah,
Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,
Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah.

Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,
Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,
Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,
Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika.

Melayu dengan kedaulatan dan ketuanan,
Ihsan memberi taraf kerakyatan,
"Kontrak Sosial" menjadi ikatan,
Diikat kukuhlah jangan rungkaikan.

Maka teguh-kukuhkan perkara yang empat,
Kedudukan Raja-Raja Melayu menjamin daulat,
Islam agama rasmi, Melayu Bahasa Kebangsaan dinobat,
Hak istimewa Melayu dan bumiputera mendapat tempat.

Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,
Hubbul watan minal iman peganglah ia,
Berhujahlah Melayu baru dengan akal dan fakta,
Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.

Namun bertimbang rasalah kepada taulan,
Pelbagai bangsa jiran dan kenalan,
Pada zamannya Nabi telah tunjukkan,
Islam menjalin indah perpaduan.

(iv)

Melayu itu beradab, berperaturan, berkerajaan,
Di alam Melayu ribuan tahun kekuasaan,
Khalifah Allah segala raja dan sultan,
Patut dibantu orang-orang besar bijaksana lagi budiman.

Jangan sekali-kali bertindak atas hukum rimba,
Matlamat dan cara mesti halal belaka,
Tersurat hukum kanun dan undang-undang mulia,
Pangkal peraturan bagi segala raja-raja dan rakyatnya.

(v)

Pendidikan Melayu itu berliku lorongnya,
Pada zaman penjajah, hanya vernacular kastanya,
Pribumi sengaja ditolak dari bandar dan kotanya,
Sentiasa mengekori pelajar kota yang pantas lariannya.

Terfikir fakir akan nasib bahasanya,
Ratusan tahun melakar wacana,
Tanpa menjadi bahasa ilmu akan ke mana?
Cukuplah jadi bahasa basahan sahaja?

Pada abad XVI Valentin terpesona,
Di sebelah sini bahasa Melayu berkuasa,
Dari timur Parsi hingga ke Kepulauan Filipina,
Kini mesti lebih perkasa di negaranya dan dunia.

Ilmu sekular moden Melayu wajar berhati-hati,
Kerana akhirat itu pasti dihadapi,
Atas ilmu ukhrawi dirikan ilmu duniawi,
Baharulah barakah hingga ke kampung kekal abadi.

(vi)

Asal asali itu Melayu teras jua,
Bangsa besar lagi majoriti jumlahnya
Patutlah teras segala citra budaya,
Entah kenapa kini digerhanakan seri wajahnya.

Budaya itu bersendi adat berpangkal agama,
Tanda bangsa beradab lagi mulia,
Tapi hedonisme tampak dibiarkan merajalela,
Budi bahasa amat ketara lunturnya.

Segalanya bermula darinya rumah,
Mencipta kasih sayang mawaddah war-rahmah,
Tahzibul akhlak tanggungjawab ummah,
Akhiran terpuji husnul khatimah.

(vii)

Persuratan dan bahasa "azwar" yang baik,
Tamsil makhluk dengan yang Khalik,
Perjuangan bahasa bukanlah pelik,
Kuasai yang asing, tak tercicir milik.

Hang Tuah kuasai berbelas bahasa,
Melalui munsyi bahasa yang berjasa,
Bukan dengan "pandai besi" berbadan sasa,
Bukan dengan "pandai emas" mencanai suasa.

Kuasai bahasa Arab di dalam dada,
Bahasa Barat dan Timur di dalam minda,
"Seribu bahasa kita bicara,
Manakan sama bahasa bonda".

Ke manakah arah bahasa Melayu?
Dipandang rendah tak banyak yang mahu,
Sesekali dipakai miskinnya mutu,
Nama tempat, jalan dan bangunan tidak menentu.

Alangkah molek bercitra kebangsaan,
Setiap bangsa rohnya diciptakan Tuhan,
Tercabut rohnya citra pun kehilangan,
Bagaikan tanah ini tidak bertuan.

(viii)

Sebelum mengundur diri fakir rakamkan,
Ucapan "terima kasih" kepada sekalian,
Pengkritik, penterjemah, editor dan panel budiman,
Isteri, anakanda dan menantu pemberi sokongan.

Serta sahabat fakir Cina dan India,
Kadazandusun dan Iban juga,
Dengan bakat, akal, bahasa dan karya,
Perkasakan tamadun bangsa kita.

Sudah sampai ke hujung fakir bermadah,
Pada malam bersejarah menjunjung Anugerah,
Jutaan ampun atas silap dan salah,
Yang Maha Sempurna Terpuji itu miliknya Allah.

Wahai segala arif permata,
janganlah apa fakir dikata,
Kalam buruk kertasnya lata,
Menyuratnya tiada ada pelita.

Sudahlah dengan takdir Allah,
Tiadalah dapat lagi disalah,
di Lohmahfuz suratan terjumlah,
Barang yang datang disyukurkanlah.

11 November 2009

Penulis didahulukan, pencapaian karya diutamakan

Kita inginkan juga kemeriahan dunia persuratan sebagaimana pernah dilalui pada dekad-dekad yang lalu. Terlalu banyak peristiwa untuk sastera yang dirakam tidak terjadi lagi ketika ini. Maksud saya, peristiwa yang seharusnya diwarisi generasi kini telah senyap, bahkan boleh juga diungakapkan sebagai telah berkubur tanpa sebarang tanda.

Selalu dicari jawapan kepada pertanyaan ini: di manakah silapnya? Sekali lagi saya ingin berkata bahawa mencari kesilapan menyebabkan terlalu banyak hal-hal remeh-temeh ditemui. Menyalahkan pihak itu dan ini, individu itu dan ini yang hanya membuang waktu tanpa titik padahal jawapannya yang tepat ialah bagaimana mengatasinya.

Sering kedengaran masalah besar kegiatan sastera buntu, berbantut dengan ketara sekali disebabkan kendala kewangan. Mana-mana agensi berkaitan akan mencatatkan demikian. Seakan-akan sudah ada cop untuk meletakkan jawapan yang sama. Tetapi memang benar jawapan ini betul-betul 'kurang tepat'. Ironinya ada aktiviti yang tidak begitu berkaitan tetapi tidak timbul pula soal kewangan. Inilah yang menyebabkan aktiviti persuratan menjadi layu, lesu, malas, lemas dan sebagainya lagi. Namun begitu bila mengingatkan wujud satu tanggungjawab yang lain bahawa dunia sastera tidak semestinya tertakluk kepada ada atau tidak ada kewangan, kita tidak menghadapi masalah untuk melakukan apa juga program berkaitan. Kita sudah begitu lali dengan ungkapan klise, kami minta maaf kerana tidak dapat menyediakan dana dan seterusnya. Dan apabila memberikan dana, kita dikejar pula untuk memberikan laporan tentang aktiviti yang dijanjikan padahal kita telah pun melakukan banyak aktiviti yang masih relevan dan menepati keperluan pemberian sesuatu dana itu.

Kerana itu saya setuju, para penulis atau penggiat bidang persuratan buat kerja dengan gigih. Kita perlu menyatukan buah fikiran kita untuk mengangkat dunia sastera, dunia penulis itu dengan cara kita sendiri. Kita perlu wujudkan gerakan bertindak yang lebih efisyen, berhala tuju, bernas, berani, bermutu, tepat, telus dan sebagainya lagi kerana inilah jalan terbaik untuk menentukan dunia penulisan itu lebih dihormati. Berbeza dengan dunia kewartawanan, penulisan kreatif tidak dilihat boleh memberikan sebarang pulangan kepada mereka yang berkepentingan. Padahal inilah dunia yang sukar diterokai, hanya mereka yang memiliki bakat hebat sahaja boleh melakukannya. Sayangnya bakat yang hebat itu sering sekali diperlekeh. Jika seorang menteri boleh mengatakan kaum penulis ini tempatnya di muzium, apatah lagi orang awam yang lain, memperlihatkan sejauh mana sikap seseorang itu terhadap sastera kreatif. Apabila menteri yang bercakap tentang retorika seni budayanya ia hanya berupa salutan emas sedang di dalamnya kosong belaka. Seni budaya masih tertumpu hanya kepada busana dan aksesori, alatan muzik, irama etnik, tarian tradisi, langskap warisan dan tidak ketinggalan gambar-gambar kuno yang lusuh dalam lipatan sejarah masa sudah. Ini perlu diubah, perlu juga dibetulkan sebagai persepsi yang lebih sempurna, menyeluruh agar dunia mengetahui bahawa dalam keunikan bangsa kita terwujud di dalamnya pelbagai elemen yang perlu didalami.

Cerita-cerita rakyat merupakan bahagian penting kehebatan sastera bangsa kita yang harus dibanggakan, yang telah pun berkembang sesuai dengan peredaran masa. Kreaviiti rakyat mencipta kisah berdasarkan peristiwa demi peristiwa membentuk sahsiah dan pemikiran masyarakat yang mewakili bangsanya. Mengapa kita tidak merasa bahagia atau setidak-tidaknya beruntung memiliki kumpulan genius yang kreatif menerusi mata pena para penulis hebat tersebut.

Malangnya kehadiran para sasterawan tidak begitu ketara berbanding profesion yang lain dalam sebarang upacara rasmi negeri. Saya melihat apabila para penulis sendiri tidak dilibatkan dalam upacara sastera itu sendiri apatah lagi bagi majlis-majlis rasmi kerajaan! Kepelikan ini pada saya perlu dibetulkan dan siapakah yang membetulkannya? Melihat kembali peranan yang perlu difikiran oleh mana-mana agensi yang diberikan amanah mengikut bidang masing-masing. Kita mungkin boleh mengingatkan jangan sekali-kali mengabaikan golongan apa pun yang mereka benar-benar terlibat. Dalam konteks sastera, penulis wajar diutamakan. Sealiran dengan slogan 1 Malaysia, kita selaraskan slogan ini: Penulis didahulukan, pencapaian karya diutamakan. Apabila ramai tokoh sasterawan veteran kita meninggalkan kita dan dunia sastera selamanya, kita tidak dapat meletakkan sesiapa kerana siapakah 'sesiapa' itu dalam barisan utama penulis yang ada masa ini. Tolong bantu saya barisan penulis yang telah mencapai status yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Haji Ismail Abas (Amil Jaya), Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Haji Harun Haji Salleh, K.Bali (menyebut beberapa nama utama).

Catatan ini akan bercambah dari semasa ke semasa. Kita berharap terserlah pandangan-pandangan lain yang lebih mencabar dapat diutarakan. Dari medan ini kita ingin menggarap buah fikiran untuk diimarahkan demi kelestarian dunia sastera, dunia persuratan dan dunia penulis itu sendiri.


~ Hasyuda Abadi ~
Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu.