PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



18 Oktober 2007

Profil IPS




P R O F I L
IKATAN PENULIS SABAH (IPS)
No. Pendaftaran: 21/92

PENGENALAN

GERAKAN sastera bermula di Sabah sebaik saja ANGKATAN GAYA BARU (AGABA) yang ditubuhkan pada tahun 1957. Kemudian Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) pula lahir pada tahun 1960an ekoran daripada kegagalan Angkatan Gaya Baru (AGABA) meningkatkan secara berkesan menangani sastera di negeri Sabah. Tetapi APMS juga terpaksa bersaing dengan PERPESA sehingga lahir dua badan penulis yang amat disegani iaitu Badan Bahasa Sabah (BAHASA) dan Gabungan Penulis Sedar (GAPURA).

PENUBUHAN IPS

MENJELANG tahun 1990an terdapat beberapa persatuan penulis lahir aktif khususnya di Kota Kinabalu. Persatuan-persatuan ini telah menyumbang dan membantu menyemarakkan aktiviti kesusasteraan di negeri Sabah. Salah satu persatuan yang dimaksudkan ialah Ikatan Penulis Sabah atau IPS. Idea penubuhan persatuan ini diutarakan oleh 3 orang penulis muda yang amat giat membicarakan mengenai perlunya sebuah persatuan yang akan membantu melahirkan dan membentuk keterampilan penulis-penulis muda ketika itu.
Jasni Matlani, Aliuddin Mohd Salleh dan Abd Naddin Haji Shaiddin mula membincangkan idea mereka ini pada Februari 1990 dan sebulan kemudian iaitu pada 24 Mac 1990 lahirlah IPS di Sudut Penulis Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) apabila diadakan mesyuarat jawatankuasa penaja yang dihadiri oleh kira-kira 23 orang peminat dan penggiat sastera yang aktif di Kota Kinabalu. IPS kemudiannya diiktiraf sebagai pertubuhan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan pada 24 Mac 1992. Nombor pendaftaran IPS ialah 21/92.

IPS selepas penubuhannya menjalankan aktiviti-aktiviti kesusasteraan, kebahasaan dan kesenian yang lebih menekankan kepada pembinaan penulis-penulis muda di Negeri Sabah. Sekarang IPS kini digalas oleh Sukor Haji Usin (Hasyuda Abadi), Abd Naddin Haji Shaiddin, Norawi Haji Kata, Mabulmaddin Haji Shaiddin, Oneh Latifah Osman, Mohd Puad Bebit, Alloy Erwan Haji Ag Taip, Warman Wagiman, Sahara Jais, Noor Rahim Haji Matlin, Dr.Ramzah Dambul, Juilis Mokujal, Abdul Muizz Awang Marusin, Rafi Harumin, Mohd Nurazwan Agustine, Jaliha Jaman, Ain Sofiya dan Redwan Abdullah.


MATLAMAT IPS
(Fasal (2)Peraturan dan Undang-undang IPS)
& MENDAULATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN
& MENINGKATKAN MUTU SASTERA BERBAHASA MELAYU DI SABAH SEBAGAI TERAS BAHASA KEBANGSAAN
& MENGGALAKKAN PENGHASILAN KARYA SASTERA BERUNSUR PEMBANGUNAN INSAN
& MENERBITKAN KARYA-KARYA AHLI
& MENGANJURKAN BENGKEL, DISKUSI, SEMINAR DAN SEBAGAINYA
& MENGANJURKAN SAYEMBARA SASTERA DENGAN KERJASAMA PIHAK-PIHAK TERTENTU
& MEMPERKENALKAN SASTERA SABAH DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN SERANTAU
& MELAHIRKAN BAKAT PENULIS SASTERA KEBANGSAAN YANG BERMUTU MELALUI BENGKEL PENULISAN
& MENJAGA KEBAJIKAN AHLI-AHLI DAN PENULIS KHUSUSNYA DI SEGI MASALAH PENULISAN
KALENDAR KEGIATAN IPS
Anugerah Sastera K.Bali
Baca Cerpen dan Penilaian Karya
Peraduan Menulis Puisi Ramadan
Temu Puisi – Siri Dondang Puisi Anjung
Apresiasi Sastera
Bengkel Penulisan Kreatif
Bengkel Kritikan Sastera
Bengkel Teater Bercerita
Ziarah Sastera
Kembara Sastera
Khemah Sastera IPS
PROSPEK MASA DEPAN IPS
Seperti persatuan-persatuan penulis lain di negara ini, IPS juga telah menentukan hala tuju dan juga wawasannya berasaskan kepada objektif persatuan. Tumpuan atau sasaran IPS ialah kepada golongan generasi muda yang mempunyai masa depan yang baik dalam bidang penulisan. Di bawah ini disenaraikan lima agenda utama IPS :-
? Melahirkan sasterawan muda yang berkaliber;
? Membentuk minda sasterawan muda dengan menjadikan bidang penulisan sebagai suatu profesion yang serius;
? Menggerakkan aktiviti sastera secara lebih terarah di samping meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap aktiviti-aktiviti sastera;
? Menjadi penggerak utama aktiviti sastera di Negeri Sabah dan meletakkan peranannya membantu badan-badan yang sedia ada sebagai salah satu pusat sumber rujukan berkaitan sastera tanah air; dan
? Memberi penilaian secara profesional terhadap karya sastera dan sasterawan melalui sebuah institusi yang telah ditubuhkan iaitu Institut Penilaian Sastera (INPES) atau The Registered Trustees of The Literary Evaluation Institute menerusi Amanah Raya Berhad (ARB). INPES telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan perkenan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah pada 28 November 2001.
BANTUAN DAN SOKONGAN PELBAGAI PIHAK
IPS tentu tidak dapat bergerak dalam usahanya mencapai wawasannya secara bersendirian tanpa bantuan dan sokongan material dan moral daripada beberapa pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS), Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah. Pada masa yang sama IPS di bawah kepimpinan yang dinamik dan progresif akan menjana fikiran dan tenaga untuk merealisasikan wawasan ini sebagai satu prospek penting penubuhannya.
PEMBINAAN LAMAN WEB, PORTAL BUDAYAWAN Sabah DAN KEMSAS
IPS juga telah membina laman webnya sebagai salah satu usaha mempromosikan persatuan dan aktiviti-aktiviti persatuan. Antara bahan-bahan yang dimuatkan di dalam laman web IPS termasuklah latar belakang IPS, objektif IPS, perlembagaan IPS, senarai Ahli Jawatankuasa IPS dan butir-butir perhubungan mereka, e-puisi, biodata penulis-penulis Sabah, karya-karya terbaik penulis-penulis terpilih, komposisi online di samping pautan-pautan yang amat berguna kepada pelayar laman web ini. IPS juga turut membina portal sasterawan dan budayawan Negeri Sabah bertujuan memperkenalkan sasterawan dan budayawan negeri Sabah yang akan memberi laluan singkat kepada para pengkaji budaya dan sastera di mana juga mereka berada. Pada masa ini IPS juga mengendalikan milis (mailing list) Kelab Maya Sastera Sabah (Kemsas). Kelab maya ini berfungsi sebagai medan perbincangan di kalangan penulis dan penggiat sastera di Sabah, turut memperkenalkan budaya dan sebagainya kepada ahli-ahlinya yang berada di merata di tempat seperti Indonesia, Singapura, Brunei, United Kingdom, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Tiada ulasan: