PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



08 Mac 2015

UCAPAN DASAR KETUA SATU IPS (8 MAC 2015)



(Disampaikan semasa mempengerusikan Mesyuarat Agung IPS ke-25 di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah pada 8 Mac 2015)

Saya dengan penuh takzim merafakkan rasa syukur ke atas Hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita diberikan iltizam dan kekuatan jiwa untuk menyempurnakan amanah pada hari ini. Kehadiran anda dari merata daerah negeri Sabah yang kita cintai menjadi petanda bahawa tanggungjawab kita bukan semata-mata untuk persatuan kita tetapi lebih daripada itu. Kita ingin terus berjuang merapatkan saf anggota seiring dengan gerakan sastera tanah air yang sedang hebat gelora dan gelombangnya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati.

Sepertimana yang kita sama-sama maklum, IPS kini berusia 25 tahun yang tepatnya pada 23 Mac yang akan datang ini. Tahun ini ini kita akan merayakan Jubli perak IPS. Sudah tentu setiap anggota persatuan mempunyai perasaan yang tinggi untuk memperagakannya kepada masyarakat, samada sesuatu yang telah kita lakukan dan gerakan kita selepas ini. Kita tidak harus gentar memandang kembali ke belakang. Antara kegembiraan tercalit juga duka yang tidak dapat dielakkan. Sebab, kehidupan juga demikian, dan kehidupan dalam persatuan kita tidak terlepas daripada meningatinya. Cuma, saya fikir dan tuan-tuan dan puan-puan juga pasti bersetuju bahawa masa lalu biarlah ia berlalu sebagai satu sempadan dan motivasi buat kita semua dan IPS sendiri. Kita perlu melihat jauh ke hadapan. Namun semua ini perlu bermula daripada sekarang. Jika kelmarin adalah pengalaman yang mengingatkan kita tentang kekurangan tetapi tidaklah bersalahan agar kita terus berusaha memperbaiki segala kekurangan itu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Menjadi Ketua Satu IPS selama hampir dua dekad, saya cukup dewasa untuk memperkatakan sumbangan IPS. Saya mempunyai satu sikap bahawa apabila sesebuah organisasi ditubuhkan ia harus memberikan sesuatu kepada mereka yang menjadi tonggak selain memastikan semua objektif yang termaktub dalam perlembagaannya dipenuhi. Kemudian, bagi saya sumbangan daripada sebuah persatuan yang sederhana dalam segala segi tidak semestinya ia dilihat hanya melalui program-program yang besar. Walaupun kemampuan IPS itu kecil namun ia tetap meninggalkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat, kepada ahli-ahlinya dan kepada negara, dengan kata yang mudah dan mulia iaitu menghasilkan impak yang besar. IPS tidak mungkin mampu bergerak sehingga ke hari ini seandainya cabaran untuk mengekalkan sikap sedia ada melalui semangat kesetiaan, keseiaan dan paling penting kesederhanaannya tidak dihadapi dengan bijaksana.

Sesuai dengan sebuah motto yang saya perkenalkan iaitu 'Wastiyyah Kesejagatan Sastera', intisari motto menjadi landasan kebersamaan melalui semangat kekeluargaan dan persahabatan. Persatuan dalam fikiran saya bukan untuk meraih faedah persaingan apatah lagi keuntungan bersifat material. Apakah yang kita faham tentang kebersamaan dalam IPS? Walaupun saya memimpin persatuan kecil ini namun, segala keputusan menjadi agenda semua orang dalam persatuan. Saya selalu berkongsi idea, info, saranan dan sebagainya di FB, melalui whatapps atau catatan saya di media. Mungkin sesetengah orang menganggap saya tidak layak kerana menuduh kononnya kelemahan saya membangunkan IPS agar lebih hebat, memiliki aset, mempunyai wang yang banyak sehingga boleh memberikan kemewahan kepada ahli-ahli, mempunyai itu dan ini, melaksanakan aktiviti bertaraf serta pelbagai gambaran yang ingin meletakkan IPS itu sudah berada pada landasan yang tidak tepat.

Saya ingin berkata bahawa semua gambaran itu dilakukan oleh orang 'silap mata.' Hanya yang selalu bermain silap mata sahaja berusaha untuk mengaburi pandangan bagi meraih kepercayaan orang terhadap perbuatannya itu. Saya tidak ingin menyentuh siapakah pemain silap mata itu, kerana apa yang paling penting adalah ingin membawa IPS meneruskan perjalanannya pada satu landasannya sendiri. Bukan landasan yang dikatakan dimiliki pihak lain. IPS harus mempunyai produk, disiplin dan sikapnya sendiri. Ketiga-tiga hal ini harus dihormati dan wajib IPS perhebatkan walaupun dalam skala yang sifatnya sederhana namun IPS tetap akan menempatkan kesemuanya dalam hati orang ramai dengan ketelusan dan amanah menjadi keutamaan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pada 7 Februari yang lepas, persatuan telah mengadakan program motivasi khas buat semua ahli dana sahabat-sahabat penulis kita. Program ini telah dipimpin oleh sahabat kita iaitu Cikgu Mohd Khaidir seorang kauseler dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Matlamat program ini adalah untuk memberikan idea dan input yang membina kepada semua peserta tentang hala tuju. Mengapa kita menyertai perstuan penulis atau apa juga pertubuhan bukan kerajaan yang lain? Apakah kerana adanya tarikan istimewa di dalam pertubuhan berkenaan seperti memberi tunjukajar mengenai sesuatu bidang, sebagai keperluannya menambah nilai dalam hidupnya. Atau apakah sekadar suka-suka semata-mata. Barangkali disebabkan peluang untuk makan angin terbuka luas dan sebagainya lagi. Nah, sebab itu kita, saya dan seluruh anggota persatu harus jelas peranannya sebagai ahli dan sebagai ahli jawatankuasa sekira memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan. Dalam konteks IPS, kita ingin membentuk satu pasukan yang mantap berdasarkan sejauh mana kecenderungan yang ada dalan fikiran setiap anggota. Ahli dan AJK yang memiliki hala tuju dalam kehidupannya sudah pasti tidak menjadi masalah yang besar agar ditranformasi dalam kehidupan yang lebih besar dan global. Peranan kita mungkin kelihatannya sedikit atau kecil dalam pertubuhan namun kita tidak sedari bahawa peranan yang sedikit dan kecil itu sebenarnya memberikan kesan tertentu sehingga pertubuhan disegani. Mungkin disebabkan ciri-ciri kesederhanaan kita atau atas penerimaan masyarakat gerakan kita sesuai apabila komuniti sasaran kita jelas dan bertumpuan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Kita harus fokus kepada setiap bidang yang ingin kita laksanakan. Tidak mengapa status aktiviti itu berskala yang kecil dan tidak kelihatan terlalu hebat. Hebat berhasilkan sesuatu yang tidak banyak manfaatnya sudah tentu lebih baik kita memilih jalan yang sederhana tetapi hebatnya kita telah melaksanakan satu amanah dengan tepat.

Dengan syarat semua anggota mempunyai sikap yang tegap yakni merasa memiliki dan dimiliki. IPS tidak mengongkong ahli-ahli menyertai mana-mana gerakan namun suka saya ingatkan kepada diri saya dan anda semua, agar mengutamakan persatuan adalah sewajarnya. Namun ini bukanlah satu arahan yang mandatori, pilihan terletak di tangan tuan-tuan dan puan-puan. Bagi saya ilmu berada di mana-mana, seandainya peluang terbuka, rebutlah peluang itu. Akhirnya tatkala menerima ilmu atau pengalaman baharu, kita kongsikan dengan rakan-rakan dalam persatuan. Kita harus berada dalam kesatuan. Apalah gunakan persatuan yang telah kita bangunkan lebih 2 dekad ini andainya kecintaan kita tidak berada di situ.

Ada ahli kita yang saya tidak mahu sebutkan namanya di sini, menyatakan hasratnya keluar dari IPS semata-mata berkecil hati kerana tidak diurus semasa menyertiai aktiviti di luar negara. Saya tidak faham mengapa begini sikap yang ada pada seorang ahli yang sudah dewasa dan waras. Sebab itu, kita harus memahami motif kita berpersatuan. Hanya bersebab yang kecil lantas berfikiran untuk nyah daripada kumpulan kita. Saya tidaklah berkira sangat kerana gerakan kita bersifat sukarela, tanpa sebarang paksaan, namun kita seperti juga mana-mana pertubuhan juga tertakluk kepada peraturan-peraturan perlembagaan persatuan. Kita ada satu kitab panduan yang jelas, agar setiap tindakan tidak melepasi peraturan-peraturan yang sedia ada. Jika ada ahli yang ingin keluar kita akan merujuk kepada peraturan misalnya memberi masa yang sesuai sebelum sebarang tindakan diambil.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Apakah yang dimaksudkan dengan bitara? Bagi guru-guru kata bitara bukanlah satu istilah jargon atau terlalu baharu buat mereka. Kita perlukan bitara ini. Dalam kehidupan kita juga, bitara menjadi tanda aras dan juga hala tuju sejauh mana kemantapan kita terhadap sesuatu matlamat. Dalam IPS, apa pentunjuk penting bitara yang kita kehendaki. Dengan kedudukan kewangan yang kecil, apakah bitara yang kita mahu capai? Dengan bilangan ahlinya yang sederhana, bolehlah kita katakan kita mesti bitarakan gerakan objektif kita sepenuhnya? Dan dalam konteks yang lebih besar, apakah hala tuju persatuan sebenarnya?

Semua persoalan ini mudah kita jawab apabila setiap daripada kita memiliki sikap dan sifat bitara dalam kehidupan. Bitara yakni mencapai tahap paling tinggi dalam sasaran. Bukan bererti tahap yang kita tidak boleh capai. Kita tujui berdasarkan kemampuan kita. Apakah bitara kita?

Mungkin untuk mencapai dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, kita mampu menjenamakan persatuan lebih daripada sebagai sebuah persatuan yang kecil. Kita mempunyai asset yang tersendiri seperti bangunan, rumah dan aktiviti yang menyeluruh. Anggota kita berkualiti. Aktiviti-aktiviti kita juga demikian. Namun semua ini berpunca daripada sejauh mana kukuhnya ekonomi kita yakni kedudukan kewangan kita mantap. Mulai sekarang kita harus letakkan peranan semua untuk mencari jalan terbaik bagaimana mengukuhkan kewangan dalam persatuan. Kita tidak harus terlalu bergantung kepada bantuan pihak lain, yang kadang-kadang kita ini seumpama pengemis, melukut di tepian gantang dan amat memalukan apabila mendengar omelan 'ini tiada lain, mesti minta duit'.

Kedua, aktiviti-aktiviti kita perlu dimantapkan dari segi kualiti penganjuran. Setakat ini alhamdulillah, kita melakukan aktiviti dengan lancar tanpa sebarang isu yang timbul. Namun kita perlu bitarakan aktiviti kita. Misalnya program Santai Minda yang kita telah anjurkan dua kali pada tahun sudah. Santai Minda ini kita boleh pelbagaikan skopnya, dalam kata lain pengisiannya tidak tertakluk kepada bidang persuratan tetapi juga disiplin seni yang lain. Tahun ini saya mencadangkan Santai Minda diisi dengan penampilan para pengarang novel popular, apresiasi kearifan tempatan dan juga membicarakan seni tari Sabah.

Membicarakan karya seperti novel-novel terpilih, karya-karya ahli dalam bentuk buku dan eceran juga wajar diketengahkan. Ini sering saya sebut dan di sini ingin saya ulangi pentingnya usaha ini digembeling. Walaupun sebagai persatuan penulis kita ingin membantu agensi yang berkaitan kerana ini tugas mereka, namun kita juga mempunyai amanah tertentu mengenai hal ini. Ramai ahli kita menulis puisi, karya mereka jarang diambil perhatian untuk dibuatkan resensi, apatah lagi melalui penilaian kritis. Sudah ramai juga ahli-ahli yang mempunyai buku sendiri dan sekali lagi kita tidak mengangkat buku tersebut dalam satu gelanggang atau forum yang sesuai. Sewajarnya juga kita melibatkan para sarjana di UMS atau para siswa-siswi di menara gading ini.

Ketiga, penerbitan. Sempena 25 tahun penubuhan IPS, kita telah mencadangkan penerbitan sebuah antologi puisi khas yang melibatkan ahli-ahli dan para penulis yang akrab dengan persatuan sebagai penyumbang. Alhamdulillah, buku ini telah dalam proses percetakan, mudah-mudahan dapat disiapkan percetakannya sebelum 28 Mac nanti di mana kita akan mengadakan satu majlis pelancarannya. Selain buku antologi puisi, persatuan juga akan menerbitkan semula Majalah Komposisi. Untuk makluman, majalah ini pernah diterbitkan secara stensilan selepas sahaja persatuan ditubuhkan. Pada tahun 1998, majalah Komposisi dinaiktaraf sebagai majalah yang versatil namun tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Memang ada usaha setelah itu, dan akhirnya dengan iltizam yang tinggi, saya memandu rakan-rakan termasuklah Ketua Dua dibantu sdr Ali Karim dan sdr Yatim Ahmad, majalah Komposisi akan menjadi kenyataan. Juga, mudah-mudahan percetakannya dapat disiapkan sebelum penghujung bulan ini. Komposisi akan terbit setiap tiga bulan. Majalah ini kapasitinya sederhana sahaja kerana peruntukan yang amat terhad. Saya yakin dan beberapa orang rakan kita yakin, majalah ini mampu diletakkan sebagai wacana yang penting di wilayah kita jika kita mahu melakukannya. Untuk ini, selepas mesyuarat besar kita pada hari ini, kita akan melantik seorang yang akan mengetuai sebuah Biro Penerbitan. Biro ini akan memperkasakan lagi hala tuju majalah Komposisi sebagai lidah rasmi IPS. Di samping itu kita juga akan merancakkan penerbitan buku selain antologi. Saya suka menggalakkan semua ahli yang menulis, serius menghasilkan buku. Sekiranya berhasrat menerbitkan sendiri, persatuan akan memberikan bantuan kepakaran sehingga buku anda terbut dengan kos tertentu yang akan dikenakan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tiga isi teras dalam ucapan ini diharapkan dapat kita laksanakan. Saya tidak mengharapkan apa-apa yang besar tetapi biarlah kita sama-sama bekerja dan sama-sama merasai hasilnya. Tidak semua hal sepanjang 25 tahun yang lalu kita lalui bersama-sama namun sebagai generasi IPS berikutnya, tempoh itu kita rasai bersama atas beberapa kejayaan dan ingin membantu sedaya kita agar segala kekurangan mampu diatasi.

Untuk makluman, saya tentu sahaja tidak ingin berlama sangat memimpin IPS. Mungkin sampai masanya saya mengundur diri sekiranya ada yang tuan-tuan dan puan-puan fikir ada dalam kalangan ahli-ahli yang boleh memimpin persatuan lebih cemerlang lagi. Namun, untuk dua tahun mendatang saya masih bersedia menjalankan tugas sebagai Ketua Satu. Pada masa ini, saya ingin memberikan tumpuan kepada aktiviti-aktiviti teras kita seperti Santai Minda, Bicara Karya, penebritan Majalah Komposisi dan Bengkel Penulisan. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan mempunyai usul atau saranan untuk IPS sila ajukan dalam mesyuarat ini. Kongsikan pandangan tuan-tuan dan puan-puan. InshaAllah kita akan sama-sama perincikan dan laksanakan mana-mana yang sesuai dan memberikan manfaat buat kita dan seluruh masyarakat sebagai aset sasaran persatuan.

Ini sahaja ucapan saya, agar IPS terus relevan dalam gerakan sastera tanah air, marilah berganding bahu dan mara siaga ke hadapan. Ke arah IPS bitara dengan slogan besar kita 'wasatiyyah kesejagatan sastera'.

Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum wbkth.

AHLI JAWATANKUASA TERTINGGI IPS BAGI SESI 2015/2017


KETUA 1: ENCIK SUKOR BIN HAJI USIN @ HUSSIN
KETUA 2: MOHAMAD PUAD BEBIT
KETUA PENERANGAN: PUAN JALIHA JAMAN
SETIAUSAHA:  ENCIK MOHD NURAZWAN AUGUSTINE 
BENDAHARI:  ENCIK MOHD ASHRAFI HARUMIN 
PEN. SETIAUSAHA: ENCIK MOHD IZZUDDIN ABD AZIZ
PEN. BENDAHARI: PUAN AMINA ALI


6 AJK DIPILIH:

1. ENCIK ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN
2. ENCIK NORAWI HAJI KATA
3. ENCIK ERWAN AZZALY HAJI AWANG TAIP
4. ENCIK ALI KARIM
5. ENCIK AZSLAN SELAMAT
6. PUAN SAHARA JAIS

4 AJK DILANTIK:
1. DR RAMZAH DAMBUL
2. ENCIK JUILIS MOKUJAL
3. ENCIK MABULMADDIN HAJI SHAIDDIN
4. CIK DAYANG UZIAH HARAPAN

AHLI KEHORMAT IPS:
1. DATO' HAJI DR JANATHAN KANDOK
2. PROF DR SITI ZAINON ISMAIL
3. ENCIK LALIMAN AHMAD
3. ENCIK MOHAMED HAJI SALLEH
4. ALI AMAT ANAS
5. PUAN HAJAH DAYANG SALMAH SALAM

PEMERIKSA KIRA-KIRA:
1. ENCIK MOHD SYAHIRUL DJIWAN
2. ENCIK IZZ DANISH MOGUSUN