SEPERTI
yang telah dirancangkan, bermula pada 26 September 2013 bersamaan hari Sabtu, Ikatan
Penulis Sabah (IPS) mengadakan program kunjungan Muhibbah ke Negara Brunei Darussalam. Antara objektif kunjungan ini adalah untuk mengukuhkan jalinan
muhibah antara IPS dan Asterawani. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk
meneroka kerjasama jangka panjang dalam kesusasteraan dan kesenian serumpun. Rombongan bertolak ke Brunei dengan menaiki sebuah van.
Seramai 12 orang ahli menyertai kunjungan tersebut. Antaranya ialah saya, Ketua
Satu, Hasyuda Abadi, Ketua Dua, Abd. Naddin Shaiddin, Ahli Kehormat IPS Laliman
Ahmad dan isteri, Jaliha Jaman dan suami,
Mabulmaddin Shaiddin, Sofiah Talib, Rufiah Nurullah, Elni Maryani Mahmud, dan Laila Elok. Jadual pertama rombongan ialah menghadiri
majlis Makan Malam di rumah DP Haji Kassim Bin Haji Johan dan Datin Hajah
Rosmah Binti Haji Sulaiman selaku Penasihat Majlis Perundingan Kg Sengkurong di
Kg Pasai 1, Kampung Sengkurong.
Memandangkan
saya dan Ain Sofiya masih bertugas, kami memutuskan untuk menyusul rombongan
dengan menaiki kapal terbang pada sebelah malamnya. Saya bertolak dari Sandakan
pada jam 4.35 petang. Memandangkan penerbangan saya singgah sebentar di
Lapangan terbang Kudat maka saya tiba di Lapangan terbang Kota-Kinabalu
kira-kira jam 6.05 petang.
Jam
9.30 malam, kami bertolak dari Lapangan Terbang Kota-Kinabalu ke Miri. Sekali
lagi, penerbangan kami singgah di Lapangan terbang, Labuan. Betapa hati begitu
menggamit untuk singgah di Pulau Labuan. Namun sayang seribu kali sayang, hajat
di hati tidak kesampaian.
Lebih
kurang pukul 10.30 malam, kami selamat tiba di Lapangan Terbang Miri. Memandangkan
pintu masuk ke Brunei telah ditutup, maka saya dan Ain sofiya mengambil
keputusan untuk bermalam di Hotel Palace In, Miri.
27
September 2013, rombongan Ikatan Penulis Sabah mengadakan kunjungan ke Lamin
Warisan Bendahari Haji Ghafar Bin Haji Sidi, di Tanjung Maya, Tutong dan ke
Lamin Sastera K. Manis, Tanjung Maya Tutong, di mana Lamin sastera ini adalah milik
Haji Moksin Bin Kadir. Dalam kunjungan tersebut, Tuan Haji Yahya Bendahari Haji
Ghafar bertindak sebagai orang penting untuk membawa rombongan. Sekali lagi,
saya dan Ain Sofiya tidak dapat menyertai kunjungan ke Lamin Warisan.
Tepat
jam 10.35 pagi, kami bertolak dari Miri ke Brunei. Sepanjang perjalanan, saya
cuba membayangkan lagi detik-detik manis yang bakal tercipta ketika berada di
Brunei nanti.
Lebih
kurang pukul 12.30 tengahari, kami pun selamat tiba di Lamin Sastera K. Manis.
Saya hanya berkesempatan menyaksikan seorang penyair Brunei menyampaikan syair.
Saya begitu teruja
menghayati syair yang disampaikan. Saya begitu terharu dengan sambutan yang
diberikan di mana rombongan dihidangkan dengan beraneka hidangan yang amat lazat.
Jam
4.00 petang rombongan menghadiri Jamuan Minum Petang di rumah Cikgu Pengiran Haji
Mahmud Bin Pengiran Haji Damit, selaku Jawatankuasa Tadbir Asterawani di Kampung
Manggis Dua Jalan Muara, Brunei Darussalam. Kedatangan IPS agak terlewat kerana
tidak menjumpai jalan untuk menuju ke rumah berkenaan. Sekali lagi, IPS begitu
teruja dengan layanan yang diberikan oleh Pengiran. Kelihatan ahli keluarga dan
ahli Asterawani yang lain turut menyambut kedatangan rombongan. Melalui
perbualan saya dengan anak perempuan kedua Pengiran Haji Mahmud, saya begitu tertarik dengan kisah perjuangan
Pengiran Haji Mahmud dalam dunia pendidikan dan sastera. Maka, tidak hairanlah
jika kesemua anak-anak beliau menjadi orang yang berjaya. Sebelum berpisah,
rombongan merakamkan foto kenangan dan sebagai tanda ingatan, IPS diberikan
cenderahati iaitu foto kenangan perkahwinan dengan isterinya serta sebuah buku
antologi puisi beliau berjudul ’70 Wajah’.
Pada
sebelah malamnya pula, rombongan dibawa ke acara persembahan di Pentas Perayaan
Hari Keputeraan Sultan Dan Yang diPertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-67
di Dermaga Diraja. Dalam pada itu, beberapa peserta rombongan telah
menyampaikan puisi di atas pentas.
Pada
28 September 2013, bersamaan hari Sabtu, tepat jam 7 pagi, rombongan bergerak dari
rumah penginapan ke Rangkaian Televisyen dan Radio Brunei, Darussalam.
Sementara menunggu masa untuk berjumpa dengan pegawai penyiaran, rombongan
sempat bersarapan pagi di kafe RTB.
Melalui
penerangan yang diberikan oleh pegawainya, IPS difahamkan bahawa stesen RTB
telah dirasmikan oleh Al Marhum Sultan Haji Omar Bin Ali Saiffudin pada 2 hb
Mei 1957 di mana RTB mengamalkan konsep ‘Melayu Beraja’ dan semua rangkaian
perhubungan adalah antara RTB dan rakyat.
Pada
jam 1.30 petang, rombongan bertolak ke Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Kemudian pada jam 2.30 petang, Majlis Dialog Sastera di antara Dewan Bahasa dan
Pustaka, Asterawani dan Ikatan Penulis Sabah berlangsung. Majlis diselajurkan
dengan pelancaran Antlologi Puisi IPS dan Asterawani yang bertajuk ‘Menjilbab
Cinta’. Pastinya, saya merasa gembira kerana saya dan Tuan Haji Mohd Firdaus OKK
Haji Nordin telah berjaya menyelenggarakan buku tersebut.
Dalam
dialog IPS bersama Asterawani dan DBP Brunei, disentuh mengenai penerbitan buku
sastera. Menurut maklumat daripada Ketua Satu, DBP Brunei Darussalam pernah menerbitkan dua buah
buku antologi cerpen dan puisi melibatkan para pengarang Brunei, Sabah, Sarawak
dan Labuan. Pada tahun 1989 melalui antologi cerpen 'Rantau Utara' yang diusahakan
agensi berkenaan dan pada tahun 1994 diusahakan pula sebuah antologi puisi
berjudul 'Nafas Utara Borneo'. Beliau berharap agar sinergi persuratan ini
dapat diteruskan melalui penerbitan DBP Negara Brunei Darussalam.
Kemudian,
pada jam 8 malam, rombongan menghadiri majlis Makan Malam sumbangan Yang
Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Mohd.
Zain bin Hj. Serudin (SHUKRI ZAIN) di Simpang 168, Kg.Lamba. Kedatangan IPS
disambut dengan senyuman manis oleh Pehin dan isterinya. Pastinya saya begitu
teruja kerana ini adalah kali kedua saya berkunjung ke kediaman YB Pehin
selepas Dialog Teluk pada tahun lepas.
Saya
dapat melihat betapa seriusnya seorang penyair mengutuk negara-negara barat
terhadap segala perang di Asia Barat. Beliau banyak meluahkannya di dalam buku
puisinya. Rombongan turut disajikan hidangan yang enak iaitu makanan kegemaran
saya, sup tulang, nasi minyak dan semestinya buah-buahan kesukaan saya iaitu
anggur dan tembikai susu. Di samping itu, majlis santai baca puisi, menambang
syair, gurindam dan mengikuti sembang ucapan-ucapan bersejarah YB Pehin sebagai
pelajar Brunei pertama di Singapura dan Al-Azhar. Sedikit sebanyak, kami
mengetahui sejarah beliau.
Ahad,
29 September, 2013. Hari terakhir rombongan kami berada di Negara ini. Tepat
jam 7 pagi, rombongan berkesempatan menghadiri Majlis Bersama Rakyat sempena
Sambutan Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan NBD Ke-67 Tahun. Rombongan ditempatkan
di gerai bernombor 55 bersama Majlis Belia Brunei. Sesungguhnya, saya sendiri
tidak pernah bermimpi untuk menghadiri majlis besar seumpama itu. Rombongan
merasa gembira kerana mendapat jemputan makan tengah hari di Lapau (tempat
Majlis Mesyuarat Negara yang lama) atas usaha Majlis Belia Brunei. Pastinya,
IPS juga tidak akan melupakan
detik-detik manis kerana dapat bersalaman dengan Sultan Brunei dan
anakanda-anakanda Sultan. IPS turut menyumbangkan cenderahati kenangan kepada
DYMM Sultan. Di kesempatan itu juga, saya berjaya mendapatkan tanda tangan
daripada DYMM Sultan. Ternyata, sultan amat peramah dan tidak lokek untuk
senyum dan menurunkan tanda tangannya.
Setelah
acara selesai, rombongan pun bertolak balik ke Sabah. Manakala, saya dan Ain
meneruskan perjalanan dengan menaiki kapal terbang. Sesungguhnya, inilah
perjalanan seorang insan seni. Berkat kekuatan dan izin-Nya, akhirnya rombongan
IPS dapat mencipta beberapa kenangan yang pastinya menjadi sejarah dalam dunia
sastera khasnya Ikatan Penulis Sabah dan Asterawani. Untuk itu, saya selaku Ketua
Penerangan Ikatan Penulis Sabah ingin mengucapkan sekalung budi kepada
Setiausaha Asterawani, Tuan Haji Mohd Firdaus OKK Haji Nordin yang telah banyak
membantu, mengatur dan memudahkan program dan perjalanan rombongan IPS.
Sesungguhnya, matlamat IPS telah tercapai. Pastinya, kejayaan ini adalah milik
kita. Di mana ada budi, di situ anda dihargai. Biarlah kita sama-sama mengenang
apa yang telah tertulis oleh-Nya. Amin.