Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR dan ihsan MHz FILM
|
JURUSOLEK terkenal, Hathim Thai menambahkan efek di kepala botak Sharifah Amani sewaktu penggambaran dua tahun lalu. |
SAYA merupakan antara orang yang paling gembira saat mendapat tahu filem Muallaf akhirnya berjaya ditayangkan di negara ini.
Masakan tidak, sebelum dapat ditayangkan di negara kelahiran pembikin ceritanya, Allahyarham Yasmin Ahmad, filem ini terlebih dahulu sudah jauh berkelana serata dunia.
Apa yang membanggakan filem ini mendapat sambutan di luar dugaan ketika ditayangkan di Singapura, tidak salah saya pada tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, Muallaf diulang tayang di sana untuk kali kedua atas permintaan rakyat republik itu sendiri yang begitu menyanjung dan mengagumi filem kelima arahan Allahyarham Yasmin ini.
Sebetulnya, sewaktu menghadiri tayangan prebiu di Cathay Cineleisure, The Curve, Damansara, minggu lalu, ia merupakan kali kedua saya menonton filem ini.
Kali pertama, saya menontonnya di pejabat Allahyarham Yasmin, jika tidak silap saya sekitar dua tahun lalu iaitu beberapa bulan selepas Muallaf disiapkan.
Masih jelas terbayang di minda saya saat Allahyarham Yasmin mengirimkan khidmat pesanan ringkasnya kepada saya bertanyakan sama ada mahu menonton Muallaf.
Sudah pasti saya memberikan jawapan saya dengan pantas dan saya menyifatkan diri saya bertuah kerana menjadi salah seorang daripada mereka yang sempat menonton filem ini sebelum ia terperap dua tahun.
Seperti biasa, sebaik sahaja filem tamat, Allahyarham meminta pandangan saya tentang filem Muallaf.
"Filem ini berat tapi saya suka, Cik Min (panggilan saya untuk Allahyarham). Lain daripada filem-filem Cik Min sebelum ini." Itulah komen saya kepadanya dan dia hanya tersenyum sambil memeluk saya.
"I tahu bukan semua orang akan dapat terima Muallaf tapi I buat filem ini ada sebabnya. Semuanya tentang kemaafan dan keampunan.
"Apa sahaja yang kita lakukan keampunan serta kemaafan itu penting agar kita dapat hidup aman dan tenang di muka bumi ini dan juga di alam yang abadi," katanya dengan penuh jujur.
Maaf jika tulisan ini berbaur peribadi dan pasti akan ada yang tidak suka tetapi saya fikir ini adalah satu luahan saya untuk filem ini dan juga untuk Allahyarham.
Benar. Muallaf adalah tentang kemaafan dan keampunan. Sejahat mana pun seseorang itu atau betapa kecewanya perasaannya atas tindakan seseorang, namun jauh di sudut hatinya akan terselit juga kebaikan dan perasaan untuk memaafkan.
Kemaafan dua beradik terhadap bapa mereka biarpun sebelum ini puas mereka didera mental dan fizikal kesan daripada sikap bapa mereka yang panas baran serta tidak mengamalkan cara hidup Islam yang betul.
Kisah yang lain pula adalah tentang keampunan seorang anak kepada ibunya biarpun selama dia hidup, dia menyimpan dendam terhadap ibunya hanya kerana satu kesilapan sahaja.
Itulah yang cuba ditonjolkan oleh Allahyarham Yasmin menerusi filem Muallaf ini. Mungkin mendengarkan tajuknya ramai yang akan berfikir tentang kisah mereka yang memeluk agama Islam.
Sebelum ini, ramai yang berpendapat filem ini mampu mencetuskan kontroversi dan provokasi menerusi watak Rohani dan Rohana yang dilakonkan oleh adik-beradik, Sharifah Amani dan Sharifah Aleysha.
Masakan tidak, kedua beradik ini gemar mengungkapkan rangkap-rangkap dari al-Quran dan kitab Injil dalam mencari jawapan kepada masalah yang mereka tempuhi.
Kehebatan mereka itu ternyata cukup mengagumkan seorang cikgu bernama Brian Goh (lakonan Brian Yap) yang memiliki pengalaman silam yang cukup pahit sewaktu zaman kanak-kanak.
Di sini terletaknya keberanian Allahyarham Yasmin apabila cuba menonjolkan watak-watak ini yang cuba membicarakan tentang soal agama dari perspektif anutan yang berbeza.
Mungkin ramai yang tidak boleh menerimanya tetapi setiap rangkap yang diungkapkan seharusnya diteliti dan diperhalusi maksudnya yang akhirnya membawa kepada kuasa Sang Pencipta.
Percayalah, bukan semua boleh menerima Muallaf dengan terbuka kerana untuk menonton filem ini ia sememangnya mencabar minda penonton untuk menghayati maksud yang tersirat serta tersurat.
Filem ini masih lagi mengekalkan sentuhan Allahyarham Yasmin. Apa yang membezakan Muallaf dengan filem-filemnya terdahulu hanyalah konteks jalan ceritanya sahaja.
Muallaf merupakan naskhah paling berat yang pernah diarahkan oleh Allahyarham Yasmin. Menurut adiknya, Datin Orked Ahmad, dua bulan sebelum meninggal dunia, Allahyarham Yasmin merupakan orang yang paling gembira apabila mendapat tahu filem ini akan dipertontonkan kepada khalayak negara ini.
Allahyarham Yasmin (meninggal dunia pada 25 Julai lalu ) berdepan dengan rintangan dan cabaran dalam menghasilkan filem ini. Sudah pasti, siapa yang dapat lupa kontroversi Sharifah Amani yang membotakkan kepalanya dalam membawakan watak Rohani.
Kisah itu telah mencetuskan polemik dan perdebatan sehingga menjadi isu nasional dan berlarutan untuk beberapa ketika.
Namun, jangan berharap untuk melihat adegan rambutnya dicukur itu secara keseluruhan dalam filem ini kerana pastinya anda akan berasa hampa.
Sebaliknya, anda akan tahu serta sedar rasionalnya Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 itu berbuat demikian dan mengapakah ia begitu penting dalam menggerakkan filem ini.
Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) ternyata cukup 'baik hati' untuk meluluskan filem ini tanpa sebarang potongan biarpun pada mulanya mereka mahu mencincang dua adegan filem ini kerana dianggap provokatif.
Mujurlah mereka sedar atas permintaan penerbit filem ini, MHz Film yang berjaya menyakinkan filem ini akan cacat seandainya ia dipotong.
Cuma ada dua adegan sahaja yang dipadamkan dialognya kerana ia dilihat mampu menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.
Usai menonton filem ini, saya menjadi sebak dan tanpa saya sedar air mata saya bergenang. Dalam masa yang sama, saya gembira kerana filem ini berjaya juga ditayangkan.
Malah, suasana ketika sidang media juga suram dan tidak seperti mana ketika tayangan pra tonton Talentime di tempat yang sama beberapa bulan sebelum itu.
Sedih kerana tiada lagi pengkarya yang menghasilkan filem-filem yang begitu indah dan memiliki semangat serta sarat dengan kasih sayang dan cinta.
Juga tiada lagi seorang bijak pandai yang mampu menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya tanpa disedari jawapannya itu membuatkan kita berfikir di sebaliknya.
Jika anda mahu menonton filem yang memulakan tayangannya hari ini (24 Disember), tontonilah ia dengan minda dan hati yang terbuka kerana anda akan mendapat sesuatu daripadanya.
Juga, jangan sesekali membanding-bandingkan Muallaf dengan karya Allahyarham Yasmin yang lain kerana kesemua filemnya iaitu Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin dan Talentime bergerak di atas landasan yang berbeza.
Untuk Allahyarham Yasmin Ahmad, jasamu akan terus dikenang sebagai pengkarya yang genius, berwawasan dan kreatif.
Dirimu hanya satu dan kamu tiada galang gantinya. Semoga roh kamu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah...
Utusan Malaysia Online