PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



28 September 2013

Diskusi Sastera bersama Ikatan Penulis Sabah

PENGARAH Dewan Bahasa dan Pustaka, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin semasa hadir pada Majlis Diskusi Sastera antara DBP, Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam dan Ikatan Penulis Sabah (IPS) di Balai Sarmayuda DBP. (Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said)
 
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 September. - Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP), petang tadi menerima kunjungan daripada Ikatan Penulis Sabah (IPS) sebagai salah satu program yang bertujuan untuk meneroka kerjasama jangka pendek dan panjang dalam bidang kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan serumpun antara kedua-dua negara.

Pada Majlis Diskusi Sastera antara DBP, Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam dan IPS yang diadakan di Balai Sarmayuda DBP, di sini ialah Pengarah DBP, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin dalam ucapan alu-aluannya berharap kunjungan IPS Sabah ke negara ini khususnya dalam diskusi sastera tersebut akan memberikan hasil dan manfaat yang lebih baik dalam hubungan kerjasama antara persatuan-persatuan penulis di rantau ini.

Sementara itu, Ketua I, IPS Awang Sukor bin Usin (Hasyuda Abadi) dalam ucapan balasnya pula menjelaskan hasrat IPS untuk lebih aktif lagi dan membuat kolaborasi dengan penulis-penulis di kawasan Borneo ini.

Menurutnya, IPS memang sudah lama berhasrat untuk mengadakan kunjungan ke Negara Brunei Darussalam dan baru ini ianya tercapai dan dapat melihat bahawa generasi-generasi penulis/sasterawan di negara ini memang masih aktif berkarya.

Melalui pertemuan dan kunjungan tersebut, IPS, jelasnya berharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan bersama ASTERAWANI Brunei serta meneroka peluang-peluang dalam bidang yang dapat dimanfaatkan bersama.
RIZAL39 280913 DBP Majlis Diskusi Sastera antara DBP, ASTERAWANI Brunei Darussalam dan IPS.
(Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said)
Pada majlis tersebut, sebuah buku bertajuk 'Menjilbab Cinta' turut dilancarkan dan disempurnakan oleh Pengarah DBP yang mengandungi sebanyak 63 buah antologi Puisi hasil penyair-penyair IPS dan ASTERAWANI.

Kunjungan Muhibah IPS ke Negara Brunei Darussalam bermula dari 26 hingga 29 September 2013 dan disertai oleh seramai 13 orang penulis yang diketuai oleh Awang Sukor bin Husin.

Antara tujuan kunjungan tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan setia kawan dan dua hala di antara IPS dengan pihak ASTERAWANI di Negara Brunei Darussalam, di samping meneroka kerjasama antara kedua-duanya serta memartabatkan sastera dan sasterawan tempatan ke persada dunia.

IPS merupakan sebuah persatuan penulis yang amat aktif terdiri daripada penulis-penulis muda dan berwibawa dan kini mempunyai hampir 200 ahli dari seluruh negeri Sabah dan di Semenanjung.
Ditubuhkan pada 24 Mac 1990, IPS mempunyai matlamat untuk terus mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, meningkatkan mutu sastera berbahasa Melayu di Sabah sebagai teras Bahasa Kebangsaan, di samping menggalakkan penghasilan karya sastera berunsur pembangunan insan serta melahirkan bakat penulis sastera kebangsaan yang bermutu melalui bengkel penulisan dan sebagainya.

24 September 2013

Siaran Media: Lawatan Muhibbah IPS ke Negara Brunei Darussalam


IKATAN PENULIS SABAH (IPS) akan mengadakan kunjungan muhibbah ke Negara Brunei Darussalam selama 4 hari bermula 26 September ini. Pengarah Projek program ini, Elni Maryani Mahmud, memaklumkan objektif lawatan ini antaranya ialah untuk mengeraktkan lagi hubungan setiakawan dan dua hala di antara IPS dengan pihak Angkatan Sasterawan dan Sasterawani Brunei (ASTRAWANI) di Negara Brunei Darussalam. Selain daripada itu, ia merupakan usaha ke arah meneroka kerjasama jangka masa pendek dan panjang dalam bidang kesusasteraaan, kesenian dan kebudayaan serunpun. Dan, untuk memartabatkan sastera dan sasterawan lokal ke persada dunia.

Lawatan ini akan diketuai oleh Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin. Antara yang turut serta dalam lawatan ini ialah Ahli Kehormat IPS, Laliman Ahmad dan Ketua Dua IPS, Abd Naddin Haji Shaiddin.

Menurut Elni, projek ini sudah lama diilhamkan namun hanya pada tahun 2013 ia disuarakan semula dan dapat dilaksanakan. Selain bertujuan untuk memulakan satu jalinan atau ikatan muhibbah dengan ASTERAWANI Bruni, kunjungan ini juga akan membawa suatu pengalaman yang amat berharga kepada ahli-ahli IPS yang terlibat dalam suasana perayaan Hari Keputeraan Sultan bagi Negara Brunei Darussalam.

Pelbagai program dan aktiviti telah diatur sepanjang lawatan ini, antaranya dialog sastera, pengucapan puisi, syair dan pelancaran sebuah buku antologi sajak karya ahli-ahli IPS dan ASTERAWANI. Buku usaha sama antara IPS dan ASTERAWANI ini telah berjaya mengumpul sebanyak 63 buah puisi karya 15 penyair IPS dan 14 penyair ASTERAWANI. Antologi sajak yang bertajuk 'Menjilbab Cinta' ini telah diselenggarkan oleh Azridah PS Abadi dan Firdaus HN dan akan dilancarkan oleh Pengarah DBP Brunei pada 28 September 2013 di  Balai Sarmayuda DBP Brunei.

23 September 2013

Sajak Hasyuda Abadi: MENJILBAB CINTA



Malam ini sebuah cinta telah kuberikan kepadamu, rindu, saat telah tiba menatapnya jangan berhenti merasai suatu jiwa telah mekar bukan sekuntum bunga bahkan sekuntum rahsia yang maha wangi mengagungi sunyi

menjejaki sebuah diri kutemui ketika kata-kata mencatatkan makna dibisikkan suara jiwa senyap sesenyapnya umpama embun terjadi suatu saat yang maha sepi sesepinya tiba-tiba sahaja memancar salju berkaca di permukaan bumi, flora dan fauna menyambutnya dengan baldu redha

begitu gumamnya rentak irama yang membangunkanmu rindu tanpa muzik tanpa lirik yang membaca detik-detik makna digemilangkan, nikmatilah sentuhan adunan gesekan biola redup melodi pengap senyap menjilbab rahsia yang mengalir melewati gurun-gurun waktu

dengarkan bisikan ini, rindu, agar mekar mawar menjiwa ke pelusuk benua mekar perjalanan menemani saujana bermulanya pengembaraan mulia.


Pustaka Iqbal Nazim
Telipok
24 Januari 2013

Bukan Sekadar Menulis





"Kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis." (Imam Al Ghazali).

HAKIKAT menulis sesungguhnya adalah untuk mempersembahkan fikiran, untuk mengatasi tekanan-tekanan hidup dan untuk mengungkapkan gagasan secara bebas. Lalu pada akhirnya menemukan konsep "mengikat makna" yang prinsipnya tidak mungkin kita hanya melakukan upacara membaca saja atau menulis saja. Dua kegiatan ini harus dipadukan agar kita langsung dapat merasakan manfaat membaca dan menulis.

Menurut Stephen King "ketika seorang penulis hanya menunggu waktu yang tepat atau menunggu datangnya inspirasi ketika hendak memulakan penulisan, maka sebenarnya ia belum menjadi dirinya sendiri." Dalam erti yang lain "kita tidak harus menunggu datangnya inspirasi itu, kita sendirilah yang menciptakannya."   Kata-kata ini selalu bermain dalam ingatan saya melalui pesan sasterwan Amil Jaya, "penulis harus berjalan, dengan berjalan dia merakam pengalaman. Penulis mesti melaluinya bukan sekadar duduk, melamun, menanti ilham tiba". Maka untuk menjadi penulis, dituntut kesungguhan, keseriusan, konsistensi dan kerja keras. Tidak ada alasan untuk tidak ada idea, kerana sesungguhnya hambatan kita itu adalah idea, ketidaktahuan kita itu juga merupakan idea, maka tulislah hambatan itu. Tulislah kerana kemudiannya akan menjadi solusi dari hambatan idea tersebut.

Mungkin secara sederhana untuk menulis hal yang perlu diperhatikan untuk pertama kali adalah "apa" lalu "bagaimana" dan yang paling penting adalah isi daripada tulisan. Dalam maksud, kita memang menulis kerana kepentingan itu agar kita tidak kaku dan jumuh, biarkan tulisan itu mengalir sesuai dengan kemahuan idea yang ada dalam kepala, lanjutkan terus kalau masih ada sisa di benak kita, jangan berhenti. Kebenaran tata bahasa jangan dulu diperhatikan, demikian juga keindahan dan gaya. Kerana hal itu akan mengganggu konsentrasi berkreatif. Biarkan otak dan tangan terus menulis merangkaikan kata demi kata.

Ada tiga hal yang setidaknya mempengaruhi perkembangan peribadi seseorang. Tiga hal itu berupa bakat, lingkungan, dan buku yang dibaca. Bakat mengarah kepada suatu pembawaan sejak lahir. Sedangkan lingkungan merupakan tindakbalas dalam merangsang bakat sebagai kesempurnaan kewujudan. Sementara buku adalah ruang khidmat untuk menandaskan idea dan gagasan-gagasan yang menawarkan ruang inspirasi.

Salah satu bakat yang dimiliki oleh seseorang iaitu kemampuan untuk berbahasa. Secara normal, semua orang yang dilahirkan ke dunia, kemampuan berbahasa menjadi bekal pokoknya. Hal itu menjadi saranan dalam mengembangkan potensi keperibadiannya yang lain. Tinggal di mana orang tersebut berada, maka bahasa yang terbentuk adalah sesuai dengan lingkungannya.

Sementara yang berkait dengan bahasa dan merupakan sebahagian bentuk dari pengembangan kemampuan berbahasa adalah sastera. Dalam mencipta karya sastera konstruksi bahasa tidak akan terlepas daripadanya. Bahasa sastera merupakan bahasa pengembangan peribadi manusia yang mengarah pada nilai estetika. Bahasa ini pada dasarnya dibentuk sama dengan bahasa-bahasa pada umumnya, iaitu melalui proses interaksi dengan lingkungan yang bertumpu pada pembawaan.

Seseorang menuturkan bahasa disebabkan oleh adanya wacana lingkungan, baik lingkungan fizik maupun psikik. Lingkungan itulah yang menjadi media pemicu akan hadirnya ujaran bahasa termasuk sastera. Orang tersebut bermaksud ingin menyampaikan pesan tertentu atas fenomena yang telah ditangkapnya. Oleh sebab itulah, estetika bahasa dalam sastera merujuk pada dua hal iaitu estetika struktural dan estetika semiotik. Estetika struktural (khasnya puisi) diwakili dengan adanya perwujudan nilai puitis yang berhubungan dengan diksi, rima, irama, aliterasi, asonansi, permajasan, enjambemen dan tipografi. Estetika semiotik pula berorientasikan pada makna dan nilai-nilai yang hendak disampaikan pengarang melalui karya sastera yang membekasinya.

Untuk mencapai kedua estetika tersebut, seorang pengarang tidaklah serta merta atau secara spontan menggenggamnya. Seorang pengarang harus menempuh proses tertentu dalam menggauli dan mengintimi sastera. Proses tersebut dapat ditempuh dengan dua jalan, iaitu menghujani fikiran dengan bacaan-bacaan dan bertukar fikiran atau bertukar pengalaman dengan kawan yang sama-sama berkecimpung dengan sastera. Kedua hal itu tentunya tidak terlepas dari faktor lingkungan juga. Sebab fenomena lingkunganlah yang mengilhami akan hadirnya sebuah karya dari peribadi seseorang.

Kedua-dua estetika di atas pada gilirannya akan menjelma sebagai suatu kekuatan yang sungguh luar biasa dalam karya sastera. Dapat dikatakan bahawa dua hal itu seiring sejalan. Yang satu sebagai jasad dan yang lainnya sebagai roh. Jasad tanpa roh maka tak ada kehidupan. Roh tanpa jasad maka tak tampak jejak keberadaannya.

Karya sastera adalah karya seni yang berbicara tentang masalah hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa sebagai mediumnya (Esten, 1980). Seirama dengan itu (Rusyana, 1982) menyatakan, "Sastera adalah hasil kegiatan kreatif manusia dalam pengungkapan penghayatannya tentang hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa." Daripada kedua-dua pendapat itu dapat ditarik pengertian bahawa karya sastera adalah karya seni, yang menggunakan alat ungkap bahasa sebagai alat penyampainya, yang esensinya adalah tentang hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan. Dari simpulan itu kemudian dapat dimunculkan pertanyaan, "Apakah seseorang perlu belajar sastera?" Jika ya, apa hasil akhir yang diharapkan daripada pembelajaran itu? Bagaimana pembelajaran itu dilaksanakan? Logikanya pembelajaran sastera memang tidak dapat dipisahkan dengan pembelajaran bahasa. Namun, pembelajaran sastera tidaklah dapat disamakan dengan pembelajaran bahasa. Perbezaan hakiki keduanya terletak pada tujuan akhirnya.

Menurut (Oemarjati, 1992), seperti berikut ini. "Pengajaran sastera pada dasarnya mengemban misi efektif, iaitu memperkaya pengalaman dan menjadikan (lebih) tanggap atau peka terhadap peristiwa-peristiwa di sekelilingnya. Tujuan akhirnya adalah menanam, menumbuhkan, dan mengembangkan kepekaan terhadap masalah-masalah manusiawi, pengenalan dan rasa hormatnya terhadap tata nilai – baik dalam konteks individual, mahupun sosial."

Jika diperhatikan ketiga pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pembelajaran sastera sangatlah diperlukan. Hal itu bukan saja ada hubungan dengan konsep atau pengertian sastera, tetapi juga ada kaitan dengan tujuan akhir dalam pembelajaran sastera. Dewasa ini sama-sama dirasakan, kepekaan manusia terhadap peristiwa-peristiwa di sekitar kita bahkan dalam konteks global semakin tipis, kepekaan terhadap masalah-masalah manusiawi semakin berkurangan. Apakah ada celah alternatif melalui pembelajaran sastera untuk menyentuh kembali kekurangpekaan itu? Perihal inilah barangkali yang perlu menjadi bahan renungan sebagai dasar untuk pembelajaran sastera. Dan, bagi penulis, tugas kita bukan sekadar menulis tetapi harus meniti, meneliti hal-hal pembelajaran yang berterusan tentang kehidupan, mengenai jati diri atau hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan dan kasih sayang atau ketuhanan sebagai puncaknya.


ANTOLOGI PUISI 'MENJILBAB CINTA' SINERGI SASTERA DUA NEGARA - MALAYSIA/BRUNEI




ALHAMDULILLAH, keberkatan dan dengan izin-Nya juga akhirnya Antologi Puisi Menjilbab Cinta ini dapat diselenggarakan tanpa mengharung banyak rintangan. Ini merupakan sinergi yang cukup bertenaga diungkayahkan oleh gerakan kerja di kedua-dua belah pihak yakni antara ahli-ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan juga di pihak Angkatan Sasterawan dan Sasterawani Brunei (ASTERAWANI) dan para penyair Negara Brunei yang lain.

Rencana awal untuk menghasilkan antologi ini pada mulanya bersifat adhoc atau semata-mata lembaran karya sebagai kenangan sempena kunjungan muhibbah ahli-ahli IPS ke Negara Brunei Darussalam khususnya menziarahi sahabat-sahabat sasterawan dan penulis ASTERAWANI. Namun setelah bersinergi melalui perbualan dan catatan-catatan di Facebook dalam kalangan Ahli Jawatankusa kedua-dua persatuan ini dan situasinya telah menjadi semakin memerikan semangat yang jitu untuk mendapatkan sebanyaknya karya. Saya hanya menjangkakan tidak lebih 50 buah karya untuk terbitan ini, tetapi atas komitmen, minat dan sambutan istimewa sahabat-sahabat penyair IPS dan ASTERAWANI, pihak penyelenggara yang diusahakan oleh Azridah PS Abadi dan saudara Firdaus HN, terkumpullah sebanyak 63 buah sajak. Menariknya penerbitan ini antaranya ialah para penyairnya terdiri daripada kalangan penerima-penerima SEA Write Award dan tokoh-tokoh penyair yang disegani daripada kedua-dua belah pihak.

Bagi pihak IPS, saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga khususnya kepada sahabat-sahabat penyair di ASTERAWANI menerusi Tuan Haji Firdaus Haji Nordin yang memanjangkan puisi-puisi daripada para penyair Brunei dan ASTERAWANI. Tidak dilupai keambilberatan sahabat-sahabat penyair IPS yang begitu bersemangat untuk menghasilkan antologi puisi ‘Menjilbab Cinta’ ini. Penghargaan saya kepada Ain Sofiya dan Jaliha Jaman kerana mengutarakan cadangan untuk kunjungan muhibbah sahabat-sahabat di ASTERAWANI. Begitu juga keungkayahan Azridah PS Abadi, Ketua Penerangan IPS, yang bersedia menggalas tugas menerima, mengumpul dan menyusun manuskrip awal antologi puisi ini. Terima kasih juga kepada Tuan Haji Firdaus OKK Haji Nordin atas kapasitinya sebagai jambatan penghubung antara ASTERAWANI dengan IPS.

Sesuai dengan judulnya, para penyair sentiasa menjaga keharmonian, persahabatan, kasih dan sayang melalui nilai cinta. Kita menjilbabkan cinta agar segala yang berhemah itu terpelihara dan terjamin keikhlasan serta kedamaian di dalamnya. InsyaAllah.

‘Berwasatiyyah Untuk Sastera Sejagat’

Ketua Satu,
Ikatan Penulis Sabah,
Kota Kinabalu.