PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



22 Julai 2011

Merekayasa Keperluan Penulis

Agak tragik juga. Kehidupan ini sering berhadapan dengan teka teki. Kita fikir sudah menemukan jawapan dan percaya berada pada kedudukan yang selesa. Rupanya tidak. Begitu kita yakin bahawa satu pandangan sudah cukup sebagai menjelaskan kewibawan seseorang bahkan ramai lagi, tetapi menerima tanggapan yang lain pula. Saya fikir ini natijah sebuah suguhan semangat yang sukar dibendung. Akhirnya wujud beda tanggap hingga menemukan jalur-jalur polemik yang bukan-bukan.

Pada 90an kita juga berhadapan satu situasi yang hampir sama - gerakan penulis muda merisaukan penulis mapan. Bezanya satu, dulu penulis muda terjumlah ramai dan gerakan itu bersifat nasional sedangkan era ini, penulis mapan lebih menonjol berbanding yang menganggapnya muda. Dari aspek ambil peduli pengurus sastera, usaha meninjau delima yang dihadapi penulis muda merupakan satu usaha yang baik. Cuma, apakah penulis mapan tidak menghadapi delima yang sama? Soal penerbitan, penampungan karya, sifat ambil peduli pengurus sastera, apakah telah mereka terima dengan memuaskan? Kerana itu meletakkan gap-gap tertentu tidak akan menyelesaikan keperluan-keperluan kelompok-kelompok ini. Saya fikir jika masalah.media, mengapa tidak menerbitkan Wadah setiap bulan berbanding sifatnya berkala masa ini. Tidak perlu menerbitkan buletin khas semata-mata untuk menempatkan karya-karya penulis muda. Jika demikian, penulis mapan barangkali tidak salah menuntut pekara yang sama. Akhirnya usaha yang murni berubah menjadi keadaan rasa mahu yang berlambak.

Apabila karya penulis muda diterbitkan dalam bentuk buku, bagaimana penulis yang mapan, jika mahu kategori penulis diteruskan. Kehendak penulis mapan juga belum dilaksanakan sekian lama menghambat kreativiti penulis, apatah lagi kelembaban penangan karya kreatif tidak seagresif sebelumnya. Jika pengurus sastera kita mahu berlaku adil, fikirkan perkara-perkara pokok sebelum ini, misalnya merekayasa semula penataran untuk para penulis. Ia perlu dilakukan secara telus dan terancang. Konsep mentor boleh dilakukan. Penerbitan buku juga demikian. Satu perkara lagi yang perlu difikirkan iaitu mewujudkan dana untuk penulis Sabah. Dana inilah menjadi sokongan aktiviti pemerkasaan karya dan inovasi penulis. Jika tidak, jangan harap apa yang penulis hasratkan tercapai, melainkan ungkapan yang klise, semangat menjadi luntur. Beberapa tahun akan datang wujud lagi gerakan yang sama. Sampai bila-bila pun penulis tidak dapat memperkasa bakat mereka. Ini menjadi bertambah parah lagi apabila wujud ketidak sepakatan di pihak pengurus sastera, misalnya siapakah pegawai yang benar-benar bertanggungjawab mengurus penulis, karya dan aktiviti mereka. Jika bumbung rumah penulis retak di mana lagi tempat penulis bernaung?


Ketua Satu IPS

13 Jun 2011

Malam Apresiasi Puisi





DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Ikatan Penulis Sabah (IPS) telah menganjurkan program baca puisi bertemakan jenaka menerusi slot Malam Apresiasi Puisi. Program ini berlangsung di Taman Perdana Tanjung Aru Kota Kinabalu. Malam Apresiasi Puisi ini antaranya bertujuan memasyarakatkan puisi di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat setempat.

Program ini merupakan yang keempat dikendalikan oleh DBP Cawangan Sabah dan yang kedua diadakan di taman yang sama. Tempat-tempat lain ialah di Wilayah Persekutuan Labuan dan Kudat.

Antara penyair yang mengambil bahagian ialah pelopor sajak-sajak jenaka (sajen) Mohd Fuad Bebit, aktivis puisi-puisi spontan Abd Naddin Shaiddin, Hasyuda Abadi, Jaleha Jaman, Ony Latifah Osman, Mohamed Haji Salleh (Mat Konggo) dan Ali Amat Anas. Penerbit, penggubah lagu dan penyanyi terkenal tanah air Julfekar Ahmad Shah juga turut mengambil bahagian dengan lagu-lagu puisinya. Kumpulan Lagu Puisi DBP Cawangan Sabah menampilkan sebuah lagu puisi berjudul Gong Dari Matunggong.

Khabar dari Ketua Satu

Salam sejahtera, salam sastera....

Ikatan Penulis Sabah (IPS) akan mencetak kad ahli bermutu tinggi untuk memantapkan imej keahlian dan persatuan. Sehubungan dengan itu diperlukan kerjasama semua ahli yang lama tetapi masih aktif dan ahli yang baru untuk menghantar maklumat peribadi anda seperti berikut:

NAMA:

NO KAD PENGENALAN:

ALAMAT SURAT MENYURAT:

NO TELEFON BIMBIT:

Hantar maklumat ringkas ini kepada Ketua Satu atau Setiausaha IPS di alamat seperti berikut:

Ketua Satu:    hasyuda@yahoo.com
Setiausaha:    hageda89@yahoo.com

Terima kasih.

22 Mei 2011

Pasca Diskusi Sastera Sabah Sudah Mati

Dinogsis Kematian Sastera di Sabah
mengikut bacaan Dr.Ramzah Dambul


Judul diskusi yang penuh kontroversi

Dr. Chacho tidak setuju istilah 'mati' digunakan
untuk diskusi sastera.

Henry Bating mengupas prestasi komitmen
kerajaan Negeri Sabah

Dr.Ramzah Dambul siaga membedah
sastera yang telah 'mati' melalui diagnosisnya

Daniel Jebon Janaun, pengantara yang berjaya
membuat gelanggang diskusi bertenaga

oleh
Dr.Ramzah Dambul
UMS

Wacana sastera semalam berjalan lancar. Dari segi teknikal dan logistik. Dari segi pengisian, saya tidak mau komen. Sebab saya adalah panelnya. Tentu tidak telus (bahkan tidak adil!) kalau kita menghakimi diri sendiri, kan?

Tetapi ada juga rakan yang telah membuat catatan awal tentang acara tersebut: i.e. Hasyuda Abadi. Gambar-gambar pula boleh dinikmati bersama Pena Alam. Lihatlah para panel yang tampan!

i
Rupanya perkataan 'mati' telah mengundang rasa tidak senang dalam kalangan beberapa aktivis sastera Sabah. Ia ditanggap sebagai ungkapan yang tiada estetik sastera (mungkin bunyinya terlalu gasar?). Atau kononnya bernada pesimis dan negatif.

Bagi kumpulan individu ini, kata kunci wacana semalam (iaitu 'mati') secara umumnya dilihat sebagai destruktif (membinasa), dan bukan konstruktif (membina). Bila ia diguna dalam konteks memperkatakan aspek kesusasteraan Sabah.

Saya fikir itu satu pandangan yang wajar dihormati. Kerana mereka juga adalah sebahagian entiti penting dalam domain sastera Sabah. Tentu sekali buah-fikir itu relevan dan signifikan.

Tetapi saya juga ada pendapat tersendiri. Tentang kontroversi 'mati' dalam konteks wacana semalam.

ii
Pertama, saya fikir mentaliti begitu menunjukkan ketidakterbukaan kita kepada kepelbagaian proses menggali ilmu. Kata Plato, cara terbaik untuk mencari kebenaran ialah dengan menyoal.

Tentu sekali nilai tersirat filsuf yang dimaksudkan oleh Plato dengan kata-kata ini bukanlah sekadar 'menyoal secara basa-basi'. Tetapi melontarkan persoalan yang berbentuk cabaran dan provokasi.

Tidak ada yang negatif atau positif tentang istilah 'mati'. Ia hanya satu ungkapan neutral. Sama seperti 'hidup', 'lesu', 'tenat' atau sebutlah seribu lagi kosakata yang lain. Itu semua hanya satu kata-kata. Ia tidak membawa sebarang konotasi. Sama ada buruk atau baik.

Yang bakal memberi konteks dan perspektif kepada 'mati' (atau apa juga istilah yang dipilih) ialah tindakan kita. Perkataan 'mati' dan 'hidup', kedua-duanya mempunyai kebarangkalian yang sama tinggi untuk menghasilkan konotasi negatif atau positif.

Bergantung kepada bagaimana kita mengoperasikannya dalam wacana.

iii
Kedua, mati itu sendiri bukan semestinya bersifat mutlak. Ia boleh menjadi satu konsep relatif yang sangat terbuka. Relatif kepada apa? Itulah tugas kreativiti dan daya penilikan kita. Mencari dan menggali asas sandaran kepada 'mati' itu. Agar wacana diolah dalam satu satah pandangan yang, jikapun tidak tuntas sepenuhnya, sekurang-kurangnya menuju satu arah yang tidak tersongsang.

Dalam wacana semalam, kecuali pihak yang tidak menyukai istilah 'mati' - semua yang lain bersetuju untuk melihat judul wacana sebagai satu persoalan retorik. Ya, sesuatu yang bukan menuntut jawapan atau pembuktian empirikal. Tapi sesuatu yang lebih menuntut penaakulan, penilikan dan perkongsian isu. Saya melihat itu sebagai satu pendekatan yang sangat baik.

Dalam ertikata sebenar-benarnya, tindakan majoriti audien inilah yang dirujuk sebagai "thinking out of the box". Maksudnya, bila berdepan dengan sesuatu yang secara lahiriahnya provokatif - kita tidak melatah atau melenting. Sebaliknya kita bawa minda kita keluar daripada 'kotak dogma' yang kita bina dalam diri sendiri. Kemudian berusaha mencari sudut yang positif untuk memesrai persoalan tersebut.

iv
Transformasi paling penting yang dituntut dalam dunia sastera Sabah (kalau benar kita ghairah berbicara tentang tranformasi): ialah anjakan paradigma. Saya namakan ini proses liberalisasi pemikiran, iaitu membebaskan minda kita daripada sebarang bentuk kongkongan dan sekatan. Maksudnya, kita robohkan semua idealisme yang bersifat 'personal preference' (kecenderungan peribadi). Kita harus bersedia untuk menjadi sebahagian entiti penggerak dalam kelompok massa. Tidak mengapa kalau anutan pemikiran kita berbeza. Kita lakukan gerakan dengan cara kita sendiri. Yang penting, kita mesti bersama-sama dalam arus itu. Jangan ada peminggiran dan pengasingan.

Polemik yang provokatif sebenarnya boleh jadi satu elemen yang sangat sihat untuk sastera Sabah. Asalkan saja ia dioperasikan dalam bentuk wacana. Saling menentang dan berlawan, tapi dalam diskusi secara profesional. Apa yang tidak sihat, pada hemat saya, bila kita memilih untuk berlawan dengan tidak ilmiah. Misalnya, memulaukan wacana kerana kita tidak bersetuju dengan polemik yang dibawa.

'Escapism' (melarikan diri) adalah sifat dayus paling rendah dalam diri seorang pemikir. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan sesuatu gagasan, kita tidak boleh menjauhi gelanggang. Kerana jika itu berlaku, kekuatan kolektif tidak dapat dipupuk dan dibina. Sebaliknya, kita semua akan menjadi entiti-entiti terpisah yang tidak akan mampu menjana kebangkitan bersama.

Sebagai seorang ahli akademik dan peminat tegar sastera, saya sedikit kecewa dengan situasi ini. Persoalan linguistik dan semantik sekecil begini pun boleh menjadi sedemikian besar. Seolah-olah debat hurufiah diangkat menjadi lebih penting daripada debat tentang isu dan gagasan. Pada fikiran saya, tidak perlu sampai bermain "drama" segadang ini, hanya untuk satu istilah yang remeh.

v
Selagi segregasi, konflik dan keengganan berkompromi (dalam kalangan aktivis) - terus menjadi warna-warna utama dalam dunia kesusasteraan Sabah; maka selagi itu asas sastera negeri ini akan terus kelabu kabut. Penyatuan tidak akan tercapai, dan kekuatan tidak terbina.

Justeru, sastera Sabah berkemungkinan akan terus sukar untuk menjadi releven (dalam konteks memasyarakatkan nilai sepunya), jarang dirujuk (dari segi pembudayaan dan perkongsian ilmu) dan kurang dihormati (dari sudut menarik pengiktirafan pihak yang memegang kuasa pentadbiran).

Kalau 'asas internal' pun belum dibangunkan: setegar manakah kita boleh mempersoalkan faktor eksternal, misalnya peranan institusi (badan-badan yang mendokong urus-tadbir dan iltizam politik)? Perubahan dan transformasi itu harus bermula dengan 'saya'.

Bukan 'dia' atau 'mereka' atau 'korang'. Bukankah?


20 Mei 2011

Kematian Sastera di Sabah: sebuah penilaian

oleh Hasyuda Abadi


DUNIA sastera mengalami evolusinya. Sementelahan orang tidak faham bahawa sastera sebagai mekanisme kehidupan yang telah wujud semenjak manusia dilahir di dunia. Ia lahir bersama tangisan pertama bayi. Ia wujud terus hinggalah pada satu tahap kita sudah boleh berkata-kata dengan baik, mendengar suara merdu alam, menikmati makna setiap kata berdasarkan acuan yang dia ada, semua ini menjadi pengalaman dan menyebabkan dia bermakna dalam kehidupannya dan kehidupan manusia yang lain malah semakin ia matang dan dewasa, fikiran dan tingkahlakunya menjadi cermin orang lain dan masyarakat yang besar. Kini mereka menjadi pemimpin dirinya, bangsanya, agama dan negaranya. Namun sastera diberikan jenama yang lain yang dikeluarkan daripada jati diri seseorang hingga sastera itu sendiri telah mati. Satu kesedihan dan elegi ini untuk kita semua.Tapi benarkah ia telah mati? Selagi kita masih boleh berkata-kata dengan indah, selagi kita masih menikmati makna falsafah kemanusiaan dan selagi kita bahagia menjadi insan yang berfikir, sastera tetap hidup.Sastera tidak mati, percayalah.

'Hidup'nya sastera berupa dunia yang tidak kelihatan tetapi ia dirasai dan dinikmati. Dari segi intrinsiknya, acuan menikmati itu juga tidak sama antara pembaca atau penikmat yang lain, yang berbeza latar kehidupan, latar pendidikan dan status dalam masyarakat mereka khususnya berkaitan dengan sikap, nilai dan dorongan. Dalam Puitika Sastera Malayu, Dr. Mohammad Haji Salleh (2006:38) meletakkan sastera sebagai alatan dan ekspresi bangsa Melayu yang terpenting, kerana di dalamnya juga tercakup karya-karya agama, adat istiadat, hukum, sejarah, salasilah, perubatan dan sebagainya. Ke dalamnya dicurahkan segala fikiran orang Melayu tentang tatanilai untuk dijadikan teladan, hubungan antara manusia yng melancarkan perjalanan masyarakat, malah hal-hal harian yang dapat membantu seseorang pembaca atau pendengar dalam hidupnya. Pramoedya Ananta Toer dalam novelnya Bumi Manusia dalam konteks sastera beliau menyatakan bahawa hasil sastera dan seni itu ialah keindahan. Pengalaman merasa wujud indah itu terlalu kompleks, malah menjadi persoalan yang abstrak dan boleh sekaligus konkrit. Pengalaman estetik dalam dunia sastera menjadi persoalan falsafah dan menjadi teka-teki intelektual yang dibahaskan dengan hangat sejak zaman Yunani Purba hingga kini.

Wellek dan Warren (1956:240) juga menyebutkan bahawa sastera ialah ‘aksi sosial dan etika’, suatu lakuan atau perbuatan sosial sesuatu bangsa. Aksi boleh berupa tindakan jasmaniah, pemberontakan, perebutan kuasa atau serahan untuk memajukan bangsa. Secara abstrak, aksi juga boleh merupakan usaha memilih yang baik daripada yang buruk, yang lurus daripada yang berliku-liku. Dalam hal lain, sastera juga tidak silu-silu memberikan gagasan, contoh dan petunjuk ke arah bagaimana manusia dapat menjadi lebih sempurna, lebih maju dan lebih baik. Dalam berbuat demikian sastera menggerakkan manusia berfikir, dan seterusnya bertindak ke arah kesempurnaan, kemajuan dan kebaikan. Mauduk yang di angkat dalam perbincangan sastera baru-baru bersifat provokatif - Sastera Sabah sudah mati! Bunyinya sungguh tidak masuk ke akal, bagaimana sastera boleh mati? Namun sewajarnya kita tidak memejamkan mata dan melupakan hujah-hujah yang pernah dilontarkan seorang pelajar tahun akhir Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah. Selain provokatif, kalimat ini merupakan pernyataan yang menggambarkan perjalanan kehidupan sastera di Sabah yang selama ini melalui keadaan simpang-siur yang akhirnya kabur dari pandangan. Tindakan DBP menjadikan mauduk ini sebagai landasan perbincangan mutakhir walaupun agak betat tapi masih belum terlewat, memberikan ruang terbaik untuk menemukan fokus yang sebenar di kalangan khalayak sastera.

Menghayati perbincangan sastera mutakhir di Sabah ia tidak sekadar membaiki pintu tetapi mengajak kita membukanya dengan berhemah. Alangkah besar dan luasnya dunia sastera itu sebenarnya. Pasti tidak semudah menyusun diksi oleh seorang penyair atau calitan warna-warni seorang pelukis menerusi kemahiran masing-masing. Benar bahawa 'Sastera Sabah sudah mati' perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas. Sastera harus mampu dimanipulasi secara sehat dan jujur. Memang benar juga, ramai tidak menyedari 'kematian' itu sebenarnya terus terjadi, hinggakan kita tidak benar-benar merasai 'roh' sastera wujud. Semua ini berpunca daripada tipisnya program pengisiandalam satu tempoh yang amat panjang menyebabkan sambutan masyarakat semakin mengecil. Masyarakat yang dimaksudkan termasuklah penggiat, pelanggan sastera malah pengurus sastera itu sendiri. Apa yang terjadi, wujud sikap asal jadi, tidak serius, melepas batuk ditangga di peringkat pengurusan sastera.Cuma akhir-akhir ini sudah kelihatan adanya penjernihan, mungkin bagus juga, tetapi mana hari-hari yang telah dilalui itu, yang tempohnya memberi kerugian yang teramat banyak sekali. Dalam tempoh dua dekad atau dua puluh tahun sastera di Sabah banyak kehilangan hinggakan satu ketika paling meruncing terpaksa mencari hala tujunya. Mana hala tuju yang lampau?

Penggiat tegar oleh aktivitis persatuan penulis merasakan tidak menerima layanan yang diperlukan padahal pengorbanan yang mereka lakukan bersifat sukarela semata-mata mendambakan agar dunia sastera terus bernafas dengan segar di bumi yang mewah dan merdeka. Sedangkan segala kemewahan itu hanya dinikmati segelintir pihak yang bijaksana menggunakan peluang, manakala penulis khususnya terus dihantui peluang terbaik, sampai bila, kita tidak tahu. Ramai penulis yang merajuk dan tidak mungkin terpujuk, mereka ini merupakan penulis yang begitu berwibawa pada satu tempoh.Jika pandangan luar mengatakan Sabah mempunyai kumpulan penulis yang hebat saya fikir ia tidak semudah sekadar tanggapan tanpa merujuk kepada roh kegiatan sastera yang lebih menyeluruh. Kita perlu melahirkan lebih ramai penulis, bukan setakat ramai bahkan perlu mengangkat mereka dengan prasarana-prasarana sedia ada. Memang tidak mudah. Pengurus sastera termasuklah pempimpin kerajaan yang berkaitan, yang hanya faham tentang tanggungjawab kerana mereka dibayar gaji barangkali hanya mampu melakukan pada tahap-tahap yang telah ditentukan. Nilai tambah yang diperlukan oleh pelanggan mereka amat sukar ditemui saat ini. Natijahnya, para penulis dan penggiat sastera mahu tidak mahu perlu menjana kewibawaan mereka menggerakkan aktiviti mereka sendiri. Penulis tetap berkarya. Mereka mengadakan pertemuan-pertemuan sesama rakan, berbincang dan menjalani proses penciptaan mengikut acuan mereka. Kumpulan-kumpulan membaca buku di lokasi-lokasi strategik juga membantu menyemarak nikmat sastera itu sendiri.

Semua ini hanya berupa elemen-elemen sokongan yang menyebabkan aktiviti sastera dirasai kewujudanya. Apa yang sering dipertikaikan hanya berhubung dengan soal pengisian bukan bertujuan mencari salah siapa. Mencari langkah terbaik agar kita boleh meneruskan acuan yang pernah dibina oleh generasi masa lalu. Tanpa sastera, sebahagian besar daripada ilmu bangsa Melayu tidak akan sampai kepada kita hari ini, atau kepada berpuluh generasi sebelum kita yang memerlukannya. Sekiranya pupus cerita-cerita lisan dan tulis dalam bentuk manuskrip, maka akan hilang pulalah ilmu bangsa itu. Di sisi kemegahan yang kita diterima dalam apa juga bidang, kita juga terlupa bahawa masih banyaak kelemahan terjadi di luar sedar. Kita tahu tidak pernah ada kesempurnaan untuknya. Kita namun boleh memperbaiki ketika kita terlupa untuk melakukan kebaikan tetapi segala kelemahan itu natijah lantaran cabaran-cabaran yang hebat.

Setiap hari kita akan berbicara dalam ungkapan sastera, ambuigiti - berlapis makna tetapi ada masanya kita terpaksa berkata di luar sastera, kita berdebat secara sehat. Kewajarannya sentiasa kita fikirkan berdasarkan hujah-hujah yang membawa kedewasaan lebih matang.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

19 Mei 2011

IPS, Penulis dan Perjuangannya

Tersiar di UB - 24/3/2011


SAYA tidak meminta banyak atau menjangkakan sesuatu yang besar ketika mahu meneruskan memimpin IPS bagi tahun ke-13 sejak 1998. Komitmen yang tinggi sering sahaja dikendalai rintangan-rintangan yang saya fikir disengajai padahal segala rintangan itu sepatutnya telah menjadi 'arwah'. Ya walaupun barangkali akan terlahir kemudiannya rintangan-rintangan baru. Dalam segala bentuk catatan, saya tidak serik untuk menarik perhatian orang supaya lebih berani menanggung beban yang sengaja juga dicari. Memimpin sebuah persatuan penulis yang miskin, tentulah membosankan bagi ramai orang. Apa tidaknya, sebagai ketua saya akhirnya akur untuk mengeluarkan apa sahaja keperluan. Memang sahabat-sahabat memahami itu dan saya juga faham kemampuan para sahabat. Memadainya jika segala pengorbanan didekati dengan sokongan dan kesetiaan, sambil sanggup bekerja lebih gigih.


Ada ketikanya saya bertanya apakah perjuangan para penulis masa ini? Saya mencari-cari, di sana-sini membaca catatan teman-teman lain, mereka terus juga menulis tanpa peduli apakah mereka juga punya perjuangan. Dalam tulisan mereka adakah tersemat sebarang niat memperkatakan sesuatu yang besar dan hebat. Apakah isu-isu atau persoalan yang sedang dan bakal didepani masyarakat kita terus perlu dipertingkat. Atau sebaiknya mendahului zaman ini agar zaman mendatang tidak begitu mengejutkan anak cucu kita. Mungkin sahaja ada sambil saya sendiri rupanya yang terpenjara dalam pencariannya.


Sesering bercakap, sesering itu juga saya berhadap agar sering terjadi perbualan-perbualan yang jitu mengenai apa yang maksudkan tadi. Agar dunia berfikir kita tidak buntu, lompang dan kosong. Paling tidak apabila mentelaah karya-karya penulis masa ini tidak banyak yang memperkatakan tentang dunianya yang serba mencabar melainkan hal-hal lapuk yang sewajarnya diketepikan. Terutama sekali kepada generasi penulis yang sudah bergelar mapan, lainlah jika anak-anak muda yang baru mengenal makna dalam kata-kata yang disusun indah baginya. Barangkali juga ada.

Masalahnya jika ada, ini disebabkan kita jarang sekali berbual dalam erti kata mengangkat sesebuah karya biar eceran sekalipun di tengah-tengah khalayak yang turut bersama berfikir, bercakap, memberi erti dan mencahayakan kegelapannya di sela-sela majalah atau surat khabar. Buku-buku bukan main berlambak. Nasib menyebelahi buku itu bila dibeli dan dibaca ramai orang dan mungkin sahaja nanti dijadikan teks sekolah. Entahlah kenapa saya begitu mengambil berat hal-hal ini, mungkin remeh bagi orang lain tapi penting kepada saya, saya fikir begitu. Tidak berhasrat mahu menyalahi sesiapa tapi sekadar menyampaikan bahawa tanggungjawab kita bukan kecil. Jika mahu memandang sastera sebagai ujana terbaik untuk masyarakat menikmati kebenaran lantaran ilmu dan sahsiah yang dibina, kita perlu melakukan lebih banyak dan lebih bijak.

Sebagai pemimpin pertubuhan penulis yang miskin, hanya kata-kata sahaja yang mampu dibuat. Kita tidak punya wang yang banyak untuk melakukan lebih daripada itu. Tiada siapa berani tampil untuk sekurang-kurang menyokong kerana dasar kepercayaan itu telah dileburkan oleh sikap prejudis, prasangka yang tinggi dan enggan menerima teguran. Benar itu teguran bukan kutukan. Namun setiap teguran atau kritikan yang sering dihitamkan persepsinya boleh menjelma kepada nilai-nilai kutukan. Mengapa perlu mengutuk kelemahan yang berlaku di 'rumah' sendiri. Biarlah kita saling bersapa dengan baik, memberi sangka yang baik, menyahut cabaran dengan rela dan besar hati.


Atas sebab itulah, saya tidak akan menyimpan sebarang harapan yang tinggi untuk memperkasa sastera khususnya di Sabah ini. Biarlah bersederhana. Buat sepaput-patutnya apabila kita perlu melakukannya. Apa yang penting kerja dan usaha yang bakal diungkayahkan nanti tetap mempunyai nilai-nilai yang sama.



PUSTAKA IQBAL NAZIM


18 Mei 2011

Perkampungan Sasterawan 2011


Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah akan menganjurkan PERKAMPUNGAN SASTERAWAN 2011 di Kota Kinabalu sebagaimana maklumat di bawah:.
Tarikh:
18 dan 19 Jun 2011
Tempat:
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah
Semua ahli IPS yang berminat digalakkan menyertai perkampungan ini. Sebarang pertanyaan boleh menghubungan Ketua Satu IPS (016-8120664) atau Setiausaha Satu IPS (019-8094249) untuk tujuan penyelarasan. Anda juga boleh menghubungi terus DBP Cawangan Sabah dan bercakap dengan Pegawai Projek, Encik Rusdi Awang (019 8432403/088 439314-317). Tema Perkampungan: SASTERA MENJANA 1MALAYSIA.

Terima kasih.


KETUA SATU IPS













08 Mei 2011

Puisi Bergema di Lintasan Deasoka Kota Kinabalu





MATNOR MAKBUL

DATU RUSLAN SULAI


HASYUDA ABADI

04 Mei 2011

Anugerah suatu yang tidak disangka – Kemala

KUALA LUMPUR 3 Mei – Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah, 70, melahirkan rasa terkejut atas pengiktirafan sebagai Sasterawan Negara ke-11 yang disifatkannya sebagai satu penghargaan yang tidak disangka-sangka.

Penyair yang popular dengan nama pena Kemala itu berkata, beliau secara peribadi tidak dimaklumkan mengenai penganugerahan tersebut dan hanya mengetahuinya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan.

‘‘Pada mulanya saya tidak percaya apabila rakan-rakan mengucapkan tahniah, sehinggalah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) sendiri memaklumkan, barulah saya yakin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kemala hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera ke-11 yang turut membawa gelaran Sasterawan Negara. Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemala menambah, beliau sebenarnya berkeyakinan anugerah Sasterawan Negara tahun ini akan menjadi milik sasterawan wanita selepas 10 anugerah terdahulu diberikan kepada sasterawan lelaki.

Ditanya sejauh mana anugerah paling berprestij dalam dunia sastera tanah air negara itu memberi impak kepadanya, Kemala berkata, beliau lebih gemar melihat pengaruh anugerah itu dari sudut perkembangan sastera serantau.

‘‘Saya berpandangan anugerah ini mampu mengangkat status sastera tanah air negara setanding atau lebih baik daripada sastera negara jiran. Indonesia yang sering menjadi ukuran dan perbandingan dengan sastera negara kita,” kata beliau.

Dilahirkan di Gombak, Selangor, Kemala sudah berkecimpung dalam dunia sastera tanah air selama hampir 60 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Tabung Data Penulis Sabah

Apakah yang boleh diberikan oleh persatuan penulis kepada ahli-ahlinya?

Saya ditanya soalan ini, tanpa sebarang jawapan, sambil melihat kembali bagaimana status sebuah persatuan yang ala kadar dan menjadikannya tempat untuk menggerakkan aktiviti sastera, penulisan dan pentas bermuzakarah. Sudah tentu apabila mengaitkannya tentang kebajikan penulis, soalan yang sama masih kedengaran. Persatuan penulis barangkali juga dijadikan landasan berjuang (?) Ahli-ahli boleh datang dan boleh juga menghilang. Tiada rekod yang terperinci tentang ahli, alangkah moleknya semua penulis berada dalam bumbung persatuan penulis yang ada, semua penulis mendaftar dan memberikan data peribadi sehinggalah hal-hal berkaitan dunia penulisan.

Saya fikir ini perlu. DBP Sabah mempunyai mekanisme mendapatkan maklumat para penulis Sabah namun mekanisme ini tidak begitu menjadi kerana cara mendapatkan maklumat kurang berkesan, apatah lagi gagal menghubungi para penulis yang telah lama meninggalkan pena mereka. Saya fikir persatuan penulis boleh membantu agensi berkenaan. Tabung maklumat begini wajar dikemaskini sepanjang masa walaupun gagal menemui penulis berkenaan dari dekat, seandainya persatuan mempunyai datanya sendiri.

Selain sumber daripada persatuan, agensi ini perlulah peka dan sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber lain seperti surat khabar, majalah, facebook ataupun blog. Cara menghebahkan keperluan data juga perlu kena dan sesuai, dalam erti kata lain praktikal. Jika sekadar mengisi borang yang mengandungi maklumat peribadi, alamat, genre sastera yang diceburi dan beberapa buah karya yang teringat oleh penulis, usaha mendapatkan data yang lengkap pasti tidak berhasil. Kita perlu pastikan dunia penulis itu memang jelas, misalnya telah berjaya menghasilkan karya yang banyak, konsisten malah diakui sebagai penulis yang berwibawa.

Meletakkan asas ini juga penting, apakah kriteria atau definisi gelaran penulis itu harus juga jelas. Apakah individu yang baru menulis sebuah sajak sudah boleh dikategorikan sebagai penulis? Deklamator puisi tanpa sebarang karya juga boleh digelar penulis? Bagaimana dengan aktivitis kebudayaan? Kita tidak mahu dijadikan momokan generasi akan datang kerana menghasilkan sebuah maklumat penulis yang tidak menggambarkan kumpulan penulis yang memang wajar digelar penulis.


KETUA SATU IPS



Dr Ahmad Kamal Sasterawan Negara

Oleh Nazmi Yaakub


PUTRAJAYA: Penyair tanah air, Datuk Dr Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Kemala, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN), sekali gus menjadi Sasterawan Negara (SN) ke-11. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkannya, berkata Kemala akan menerima Warkah Penghormatan Negara dan hadiah wang tunai bernilai RM60,000.


"Sekretariat ASN menerima sebanyak 14 pencalonan, iaitu lima pencalonan baru, selain sembilan calon sebelum ini.


"Pemilihan Kemala berdasarkan karyanya yang bermutu tinggi dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan," katanya pada sidang media di Kementerian Pelajaran di sini, sebentar tadi. Kemala yang dilahirkan di Gombak dan kini Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia, menghasilkan kumpulan puisi sebanyak 11 judul; antologi puisi (25); kajian sastera (10); kumpulan cerpen (4); antologi cerpen (8); drama (4)dan cerita kanak-kanak (3), selain 50 esei serta kritikan sastera.

03 Mei 2011

Sastera di Arus Perdana: Bukan sekadar monolog


MENGAPAKAH kita masih bercakap tentang hala tuju? Apakah selama ini sastera Melayu di Sabah khususnya tidak menemukan sasarannya, gagal mengenengahkan misi sastera dan intipatinya kepada masyarakat, nilai seninya tidak dinikmati, penulis syok sendiri tanpa visi, misi percetakan yang ikut cuaca kepimpinan organisasi percetakan berkenaan, atau disebabkan penulis Sabah dipinggirkan dalam arus sastera perdana?Apabila membicarakan tentang masa depan atau hala tuju (?) mahu tidak mahu hal-hal berkaitan dengannya ialah soal masa sudah.

Masa sudah yang panjang pernah menjadi kebanggaan dalam konteks sastera dan perkembangannya. Lahir pada zaman-zaman gemilang penulis-penulis hebat diikuti generasi seterusnya juga melahirkan barisan penulis yang disegani. Malangnya di Sabah keriuhan itu terhenti di akhir abad 20. Dunia sastera di Sabah hanya digahkan oleh promosi sejarah masa sudah. Bukan bererti melupakan masa sudah yang bergema emas, generasi malah wajar mengetahui, memahami, mendalami warna sastera, warna fikrah generasi penulis yang kini telah meninggalkan masa lalu mereka. Namun dampak kecetekan dalam memaudukkan citra jika tanpa mengaitkan hal-hal lapuk yang telah pun damai bersama sejarahnya. Sekarang kita sepatutnya menggarap mauduk bernas sastera mutakhir. Paling tidak abad 21 ini, sepatutnya kita boleh dengan bangga mengangkat sasterawan Sabah bersama kejayaan karya mereka sebagai khazanah sastera yang diakui perkasa di Nusantara.

Namun setelah 10 tahun berlalu, cuba buktikan berapa ramaikah sasterawan Sabah yang telah dilahirkan, berapa buah buku terbaik yang telah diterbitkan dan diperkasakan? Dalam tempoh dekad yang sama ini, buktikan juga program penataran sastera yang konsisten bagi melahirkan penulis sebagaimana meriahnya penataran sastera sebelum ini melalui Minggu Penulis Remaja (MPR) dan yang seumpama dengannya yang diakui berjaya. MPR telah hilang begitu sahaja, begitu juga Program Penulis Anak Angkat. Sayang sekali.Penulis datang dan pergi, itu bagi insan yang tidak berhala tuju kerana satu ketika ia menjadikan medan penulisan sebagai katarsis diri semata-mata. Realitinya begitulah, nilai sastera telah jauh menyimpang, pada zaman awal semangat bersastera berorientasikan 'seni untuk seni' dan 'seni untuk masyarakat' sebagaimana angkatan awal di Semenanjung Tanah Melayu. Kini ia kian tumpul, soal seni dan masyarakat tidak lagi bernaung sebagai niat atau moral tetapi lebih kepada nilai material, atas alasan keperluan zaman. Penulis menunggu peraduan, penulis menunggu honororium, bila semua ini tiada mereka kurang berkarya. Media massa diisi oleh penulis generasi baru tetapi tidak diimbangi kehadiran penulis-penulis mapan. Pertemuan penulis jauh berjarak, penulis juga jarang berjumpa, jarang mengikuti program-program serasehan yang jarang dilakukan menjadi bahagian-bahagian kecil senario sastera di Sabah bergerak perlahan.

Memang benar antara persoalan yang sentiasa berlegar dalam pemerhatian kita ialah penganalisis khazanah sastera di Sabah. Sayang sekali Sabah mempunyai pusat pengajian yang mengajar sastera, Sabah juga tidak kurang graduan, guru-guru cemerlang namun semua ini tidak memberikan sumbangan yang sungguh-sungguh. Khazanah sastera kita hanya mengisi rak-rak buku dan rak-rak fail di perpustakaan dan pusat dokumentasi. Kita perlu mencari jawapan kerana khazanah sastera itu akan diusik apabila ia diperlukan oleh para pelajar pusat pengajian atau individu yang menyiapkan kerja kuliah. Buku-buku yang bertahun terbit tidak pernah diperkatakan melainkan bagi penulis-penulis yang terpilih. Ironinya lagi bila bercakap tentang karya kreatif terutama oleh sarjana di luar mereka hanya kenal Amil Jaya, Harun Hj Salleh, Azmah Nordin, Jasni Matlani (sekadar menyebut beberapa nama). Padahal kita memiliki nama-nama lain misalnya Emin Madi, Chacho Hj Bullah, Obasiah Hj Osman, Juri Durabi, Soibil Madun, Awang Karim Kadir, Raden Othman (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka merupakan penulis mapan yang dikenali melalui novel, puisi, cerpen dan drama. Namun tiada analisis terperinci dilakukan terhadap karya penulis-penulis ini.

Akhir-akhir ini senario peraduan mengembalikan demam sayembara yang turut melahirkan penulis sayembara. Dari segi kehadiran dalam gelanggang sastera ia dilihat amat positif namun keadaan ini tidak boleh merobah kecenderungan moral kepenulisan, jika karya-karya yang diakui terbaik itu tidak dibawa lebih jauh ke dalam sukma penelitian. Dalam dekad terakhir ini kita gagal menentukan karya atau buku yang terbaik dan menyebut sasterawan yang terbaik bagi mewakili dekad atau generasinya. Satu ketikaa dulu saya pernah mempersoalkan karya-karya besar kita dan hingga kini ia hanya sekadar untaian rasa kerana tidak melihat usaha meletakkan tingkat karya para penulis Sabah. Nah, lihat sekarang hasilnya kita hanya hebat pada segala pesta, persidangan, perkampungan dan sebagainya tetapi apakah yang ada ungkapan yang lebih baik daripada itu yakni masa dan wang ringgit yang dihabiskan. Apakah akan berlaku nanti ialah apabila sastera hanya dipandang apabila 'nilai perlu' begitu menguntungkan dan menjadi nilai bantu mencapai hasrat yang tersirat sedangkan kita tidak menyedarinya.

Perjuangan sekarang sudah tidak dapat disekat, misi: mahu mendapatkan hadiah dan anugerah. Ada penulis yang berhempas pulas dalam satu tempoh menghasilkan karyanya, dicetak, dipasarkan dan mendapat anugerah sastera, selepas itu dia bercuti. Mungkin ini hala tuju penulis seperti ini dan pilihannya begitu. Bukan bererti penilaian terhadap produk sastera tidak penting, ia sebagai usaha meletakkan produk sastera menjadi khazanah yang terbaik, namun penilaian tidak memberikan nilai tambah penulis jika sekadar memikirkan satu perkara iaitu wang, nama dan populariti. Bagaimana dengan intipati karya? Begitu juga soal perjuangan.

Apakah perjuangan penulis sekarang? Penulis mahu karyanya dihargai, tidak diperlekeh, perlunya gerakan yang relevan dengan kehidupan semasa bukan keperluan politik yang merugikan kreativiti mereka yang memilih menang menang, pengurus sastera yang bijak, berfikiran jauh bukan bermusim atau menanti sekumpulan tenaga kerjanya yang gigih sahaja. Sebab itu kesinambungan gerakan kesusasteraan tidak berlangsung sebagaimana hebatnya gerakan sastera di Indonesia - sasterawan, karya, cetakan buku, pasaran buku berarus selari, ini belum lagi bercakap tentang karya terjemahan. Ada pembaca tegar berkata dia ingin dapatkan karya asal novel dari negara jiran itu walaupun sudah ada terjemahan dalam versi Malaysia. Pengurus sastera, pengkaji, pembuat dasar, para sarjana wajar melakukan terjemahan masa depan lebih jelas. Jika tidak percakapan tentang hala tuju penulis, sastera dan seumpama dengan tiada akhirnya, dan bercakap tentang perkara yang sama hanya membuang masa sahaja apabila perbincangan mengenainya tidak berterusan dengan susulan atau tindakan.

Agenda yang besar memerlukan pelaksana yang mahir, berfikiran jauh, terkini dan komited. Semua orang boleh berubah dalam meningkatkan usah dengan suntikan baru. Inilah situasinya yang menjadi kelaziman. Ditambah lagi dengan enigma modal atau dana, ini juga agak menghairankan. Sebab itu, yang berjaya dihasilkan boleh dikatakan alang-alang dan apa yang selalu saya katakan sebagai asal jadi. Mengapa tidak buat pendekatan untuk mengajak para sarjana, atau sasterawan mapan dan veteran terlibat. Paling tidak mengajak duduk bersama-sama dan bertindak dalam jawatankuasa pelaksana sesebuah program khususnya yang mempunyai kepentingan semasa. Bukan tidak ada, gerakan sedang berlaku, yang kurang hanyalah penglibatan yang dinamik, jelas dan bukan sembunyi-sembunyi, hinggakan aktiviti lebih kepada seronok-seronok atau syok sendiri. Sarat dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan. Sirnanya elemen profesionalisme. Tidak hairan, akibat jumudnya idea mengundang terjadinya hal-hal yang sama, berulang dan begitu membosankan.

Kebosanan ini boleh diatasi. Kelengangan aktiviti sastera di DBP Cawangan Sabah juga boleh diatasi sekiranya pihak pengurusan menganjurkan program 'Bersama Penulis' setiap bulan. Penulis terpilih pelagai genre secara bergilir-gilir menjadi hos yang bakal menghadirkan para pelajar, insitusi awam dan swasta. Penulis-penulis ini bolehlah berinteraksi dengan pembacanya atau mereka yang ingin tahu proses penciptaan dan hal-hal yang berkaitan dengan pengalaman sebagai penulis. Program ini amat baik selain menarik minat orang ramai yang mempunyai minat dalam bidang penulisan bahkan salah satu komitmen penulis menyemarakkan dunia sastera itu sendiri.

Sebagai agensi yang mempunyai autoriti terhadap hal-hal kesusasteraan dan bahasa, DBP mempunyai kuasa untuk menentukan aras kemajuan sastera di Sabah malah di mana jua. DBP Sabah misalnya wajar mempunyai galerai penulis. Galeri ini memberikan kemudahan bantu kepada pelawat yang mengunjungi DBP. Kita memerlukan bahan-bahan yang kita nampak. Galeri ini boleh menempatkan peralatan, bahan, artifek para penulis. Kewujudan galeri yang dimaksudkan ini bakal menjadi pemangkin adanya premis yang indah tetapi penuh dengan peluang ilmu. Barulah kita boleh merasa berbangga untuk menyatakan potensi negeri Sabah sebagai dataran sastera di Nusantara.

Program bedah karya juga wajar kerap dilakukan. Betapa perlunya analisi dan perdebatan yang ilmiah selain bersifat alamiah, antara fakta dan persepsi. Saya fikir segala berbincangan harus dibawa keluar, tidak diam dalam kertas, dalam bilik perdebatan malah dalam segala kebiasaan sehabis acara. Mencari dan terus mencari dan tiada sudahnya harus difikirkan kembali. Apa jua dapatan wajar dilestari, misalnya karya-karya terbaik penulis Negeri Sabah kini, apakah masih berada di belakang atau jauh mendahului yang lain, atau lebih berani ia tidak bergerak ke mana-mana bersumberkan fakta yang dikaji. Soalnya apakah kajian telah dilakukan. Saya ikut berfikir wadah inilah sebuah gelanggang yang sesuai merungkai persoalan yang dimaksudkan. Bukan sekadar monolog tetapi kita perlu menuju arus perdana sambil membuka selebarnya andatila persepsi yang lebih luas dan bernas.

Kita sama-sama berharap Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan ke 2 anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah yang dijangka berlangsung hujung bulan Mei disusuli dengan Perkampungan Sasterawan pada bulan Jun depan memberikan anjakan mutakhir literasi kesusasteraan di Sabah.


PUSTAKA IQBAL NAZIM