MENGAPAKAH kita masih bercakap tentang hala tuju? Apakah selama ini sastera Melayu di Sabah khususnya tidak menemukan sasarannya, gagal mengenengahkan misi sastera dan intipatinya kepada masyarakat, nilai seninya tidak dinikmati, penulis syok sendiri tanpa visi, misi percetakan yang ikut cuaca kepimpinan organisasi percetakan berkenaan, atau disebabkan penulis Sabah dipinggirkan dalam arus sastera perdana?Apabila membicarakan tentang masa depan atau hala tuju (?) mahu tidak mahu hal-hal berkaitan dengannya ialah soal masa sudah.
Masa sudah yang panjang pernah menjadi kebanggaan dalam konteks sastera dan perkembangannya. Lahir pada zaman-zaman gemilang penulis-penulis hebat diikuti generasi seterusnya juga melahirkan barisan penulis yang disegani. Malangnya di Sabah keriuhan itu terhenti di akhir abad 20. Dunia sastera di Sabah hanya digahkan oleh promosi sejarah masa sudah. Bukan bererti melupakan masa sudah yang bergema emas, generasi malah wajar mengetahui, memahami, mendalami warna sastera, warna fikrah generasi penulis yang kini telah meninggalkan masa lalu mereka. Namun dampak kecetekan dalam memaudukkan citra jika tanpa mengaitkan hal-hal lapuk yang telah pun damai bersama sejarahnya. Sekarang kita sepatutnya menggarap mauduk bernas sastera mutakhir. Paling tidak abad 21 ini, sepatutnya kita boleh dengan bangga mengangkat sasterawan Sabah bersama kejayaan karya mereka sebagai khazanah sastera yang diakui perkasa di Nusantara.
Namun setelah 10 tahun berlalu, cuba buktikan berapa ramaikah sasterawan Sabah yang telah dilahirkan, berapa buah buku terbaik yang telah diterbitkan dan diperkasakan? Dalam tempoh dekad yang sama ini, buktikan juga program penataran sastera yang konsisten bagi melahirkan penulis sebagaimana meriahnya penataran sastera sebelum ini melalui Minggu Penulis Remaja (MPR) dan yang seumpama dengannya yang diakui berjaya. MPR telah hilang begitu sahaja, begitu juga Program Penulis Anak Angkat. Sayang sekali.Penulis datang dan pergi, itu bagi insan yang tidak berhala tuju kerana satu ketika ia menjadikan medan penulisan sebagai katarsis diri semata-mata. Realitinya begitulah, nilai sastera telah jauh menyimpang, pada zaman awal semangat bersastera berorientasikan 'seni untuk seni' dan 'seni untuk masyarakat' sebagaimana angkatan awal di Semenanjung Tanah Melayu. Kini ia kian tumpul, soal seni dan masyarakat tidak lagi bernaung sebagai niat atau moral tetapi lebih kepada nilai material, atas alasan keperluan zaman. Penulis menunggu peraduan, penulis menunggu honororium, bila semua ini tiada mereka kurang berkarya. Media massa diisi oleh penulis generasi baru tetapi tidak diimbangi kehadiran penulis-penulis mapan. Pertemuan penulis jauh berjarak, penulis juga jarang berjumpa, jarang mengikuti program-program serasehan yang jarang dilakukan menjadi bahagian-bahagian kecil senario sastera di Sabah bergerak perlahan.
Memang benar antara persoalan yang sentiasa berlegar dalam pemerhatian kita ialah penganalisis khazanah sastera di Sabah. Sayang sekali Sabah mempunyai pusat pengajian yang mengajar sastera, Sabah juga tidak kurang graduan, guru-guru cemerlang namun semua ini tidak memberikan sumbangan yang sungguh-sungguh. Khazanah sastera kita hanya mengisi rak-rak buku dan rak-rak fail di perpustakaan dan pusat dokumentasi. Kita perlu mencari jawapan kerana khazanah sastera itu akan diusik apabila ia diperlukan oleh para pelajar pusat pengajian atau individu yang menyiapkan kerja kuliah. Buku-buku yang bertahun terbit tidak pernah diperkatakan melainkan bagi penulis-penulis yang terpilih. Ironinya lagi bila bercakap tentang karya kreatif terutama oleh sarjana di luar mereka hanya kenal Amil Jaya, Harun Hj Salleh, Azmah Nordin, Jasni Matlani (sekadar menyebut beberapa nama). Padahal kita memiliki nama-nama lain misalnya Emin Madi, Chacho Hj Bullah, Obasiah Hj Osman, Juri Durabi, Soibil Madun, Awang Karim Kadir, Raden Othman (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka merupakan penulis mapan yang dikenali melalui novel, puisi, cerpen dan drama. Namun tiada analisis terperinci dilakukan terhadap karya penulis-penulis ini.
Akhir-akhir ini senario peraduan mengembalikan demam sayembara yang turut melahirkan penulis sayembara. Dari segi kehadiran dalam gelanggang sastera ia dilihat amat positif namun keadaan ini tidak boleh merobah kecenderungan moral kepenulisan, jika karya-karya yang diakui terbaik itu tidak dibawa lebih jauh ke dalam sukma penelitian. Dalam dekad terakhir ini kita gagal menentukan karya atau buku yang terbaik dan menyebut sasterawan yang terbaik bagi mewakili dekad atau generasinya. Satu ketikaa dulu saya pernah mempersoalkan karya-karya besar kita dan hingga kini ia hanya sekadar untaian rasa kerana tidak melihat usaha meletakkan tingkat karya para penulis Sabah. Nah, lihat sekarang hasilnya kita hanya hebat pada segala pesta, persidangan, perkampungan dan sebagainya tetapi apakah yang ada ungkapan yang lebih baik daripada itu yakni masa dan wang ringgit yang dihabiskan. Apakah akan berlaku nanti ialah apabila sastera hanya dipandang apabila 'nilai perlu' begitu menguntungkan dan menjadi nilai bantu mencapai hasrat yang tersirat sedangkan kita tidak menyedarinya.
Perjuangan sekarang sudah tidak dapat disekat, misi: mahu mendapatkan hadiah dan anugerah. Ada penulis yang berhempas pulas dalam satu tempoh menghasilkan karyanya, dicetak, dipasarkan dan mendapat anugerah sastera, selepas itu dia bercuti. Mungkin ini hala tuju penulis seperti ini dan pilihannya begitu. Bukan bererti penilaian terhadap produk sastera tidak penting, ia sebagai usaha meletakkan produk sastera menjadi khazanah yang terbaik, namun penilaian tidak memberikan nilai tambah penulis jika sekadar memikirkan satu perkara iaitu wang, nama dan populariti. Bagaimana dengan intipati karya? Begitu juga soal perjuangan.
Apakah perjuangan penulis sekarang? Penulis mahu karyanya dihargai, tidak diperlekeh, perlunya gerakan yang relevan dengan kehidupan semasa bukan keperluan politik yang merugikan kreativiti mereka yang memilih menang menang, pengurus sastera yang bijak, berfikiran jauh bukan bermusim atau menanti sekumpulan tenaga kerjanya yang gigih sahaja. Sebab itu kesinambungan gerakan kesusasteraan tidak berlangsung sebagaimana hebatnya gerakan sastera di Indonesia - sasterawan, karya, cetakan buku, pasaran buku berarus selari, ini belum lagi bercakap tentang karya terjemahan. Ada pembaca tegar berkata dia ingin dapatkan karya asal novel dari negara jiran itu walaupun sudah ada terjemahan dalam versi Malaysia. Pengurus sastera, pengkaji, pembuat dasar, para sarjana wajar melakukan terjemahan masa depan lebih jelas. Jika tidak percakapan tentang hala tuju penulis, sastera dan seumpama dengan tiada akhirnya, dan bercakap tentang perkara yang sama hanya membuang masa sahaja apabila perbincangan mengenainya tidak berterusan dengan susulan atau tindakan.
Agenda yang besar memerlukan pelaksana yang mahir, berfikiran jauh, terkini dan komited. Semua orang boleh berubah dalam meningkatkan usah dengan suntikan baru. Inilah situasinya yang menjadi kelaziman. Ditambah lagi dengan enigma modal atau dana, ini juga agak menghairankan. Sebab itu, yang berjaya dihasilkan boleh dikatakan alang-alang dan apa yang selalu saya katakan sebagai asal jadi. Mengapa tidak buat pendekatan untuk mengajak para sarjana, atau sasterawan mapan dan veteran terlibat. Paling tidak mengajak duduk bersama-sama dan bertindak dalam jawatankuasa pelaksana sesebuah program khususnya yang mempunyai kepentingan semasa. Bukan tidak ada, gerakan sedang berlaku, yang kurang hanyalah penglibatan yang dinamik, jelas dan bukan sembunyi-sembunyi, hinggakan aktiviti lebih kepada seronok-seronok atau syok sendiri. Sarat dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan. Sirnanya elemen profesionalisme. Tidak hairan, akibat jumudnya idea mengundang terjadinya hal-hal yang sama, berulang dan begitu membosankan.
Kebosanan ini boleh diatasi. Kelengangan aktiviti sastera di DBP Cawangan Sabah juga boleh diatasi sekiranya pihak pengurusan menganjurkan program 'Bersama Penulis' setiap bulan. Penulis terpilih pelagai genre secara bergilir-gilir menjadi hos yang bakal menghadirkan para pelajar, insitusi awam dan swasta. Penulis-penulis ini bolehlah berinteraksi dengan pembacanya atau mereka yang ingin tahu proses penciptaan dan hal-hal yang berkaitan dengan pengalaman sebagai penulis. Program ini amat baik selain menarik minat orang ramai yang mempunyai minat dalam bidang penulisan bahkan salah satu komitmen penulis menyemarakkan dunia sastera itu sendiri.
Sebagai agensi yang mempunyai autoriti terhadap hal-hal kesusasteraan dan bahasa, DBP mempunyai kuasa untuk menentukan aras kemajuan sastera di Sabah malah di mana jua. DBP Sabah misalnya wajar mempunyai galerai penulis. Galeri ini memberikan kemudahan bantu kepada pelawat yang mengunjungi DBP. Kita memerlukan bahan-bahan yang kita nampak. Galeri ini boleh menempatkan peralatan, bahan, artifek para penulis. Kewujudan galeri yang dimaksudkan ini bakal menjadi pemangkin adanya premis yang indah tetapi penuh dengan peluang ilmu. Barulah kita boleh merasa berbangga untuk menyatakan potensi negeri Sabah sebagai dataran sastera di Nusantara.
Program bedah karya juga wajar kerap dilakukan. Betapa perlunya analisi dan perdebatan yang ilmiah selain bersifat alamiah, antara fakta dan persepsi. Saya fikir segala berbincangan harus dibawa keluar, tidak diam dalam kertas, dalam bilik perdebatan malah dalam segala kebiasaan sehabis acara. Mencari dan terus mencari dan tiada sudahnya harus difikirkan kembali. Apa jua dapatan wajar dilestari, misalnya karya-karya terbaik penulis Negeri Sabah kini, apakah masih berada di belakang atau jauh mendahului yang lain, atau lebih berani ia tidak bergerak ke mana-mana bersumberkan fakta yang dikaji. Soalnya apakah kajian telah dilakukan. Saya ikut berfikir wadah inilah sebuah gelanggang yang sesuai merungkai persoalan yang dimaksudkan. Bukan sekadar monolog tetapi kita perlu menuju arus perdana sambil membuka selebarnya andatila persepsi yang lebih luas dan bernas.
Kita sama-sama berharap Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan ke 2 anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah yang dijangka berlangsung hujung bulan Mei disusuli dengan Perkampungan Sasterawan pada bulan Jun depan memberikan anjakan mutakhir literasi kesusasteraan di Sabah.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan