PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



30 Mac 2014

MAIN TAPUK-TAPUK


IDEA yang sederhana saja - main tapuk-tapuk. Sedar tak sedar dunia membesarkan kita sehingga mampu berjalan ke mana-mana sahaja. Dunia memberikan ruangnya yang nampak bahkan yang tak nampak. Yang tak nampak diberikan isyarat-isyarat agak yang nampak itu mencerahkan alam pemikiran yang lain. Secara bijaksana dunia juga memberikan ajarnya. Pengalaman meninggalkan waktunya, waktu yang pergi itu kembali dan kembali lagi.

Waktu tak akan kelihatan atau memperlihatkan wujudnya. Mungkin kita berfikiran usia itu bergerak sebagaimana objek bergerak. Ketika memandang burung-burung terbang atau helaian daun berguguran, begitukah waktu bergerak? Ketika memandu kereta dalam pergerakan yang laju atau kilat yang memancar di udara apakah sama seperti pantasnya pergerakan waktu? Memang tidak mampu bagaimana pantasnya setiap lintasan waktu dijadikan sebagai faktor matematik bahkan sainsnya. Kita hanya sedar kelmarin telah terjadi bahkan sebentar lagi dan lagi. Kita sering tewas walaupun berasa selalu menang. Selalu berjaya dan diberikan penghargaan padahal kita adalah seorang yang tewas seperti juga dengan yang lain. Berbangga dalam latar ketewasan yang amat sangat! Meskipun kita berjaya tetapi kita juga selalu tewas dimamah waktu. Bangga kerana menang padahal gagal menyaingi sang waktu. Kita menyembunyikannya. Kita main tapuk-tapuk daripada segala kemamahan waktu. Kita lebur, kita hancur, kita lumat!

Namun dunia sentiasa membawanya bermain tapuk-tapuk! Kelebihan diri yang dipunyai mudah merobahnya. Laksana karun yang angkuh dan lupa diri. Tanggang yang baik dibiakkan oleh tamak haloba. Haloba menapukkan kedaifan bangsanya dengan sumbangan yang tidak diredhai. Sesetengah insan cepat melupai pelajaran masa sudahnya. Masa depan itu bagaikan lautan yang melebar menjauh tetapi terus ingin digapai. Namun menjadi alpa lantaran dighairahi oleh suatu pencapaian. Sanggup meredah gelombang dengan mengendarai perahu-perahu sebagai pedagang tanggang. Dialah sinbad yang memahami bahasa gelombang. Saat berjaya segala perahu tidak diperlukan lagi. Dia mahukan kapal-kapal besar. Disebabkan kemahuan dan impian yang besar. Dia main tapuk-tapuk!

Saya mahu mencari jawab mengapa orang suka main tapuk-tapuk? Di sini impiannya menganga. Orang selalu mencari. Ia mengimpikan sesuatu walaupun rutin sifatnya. Ingat waktu kanak-kanak dulu? Mereka mencari jalan untuk meneka, mengagak-agak. Mereka mecari jejak dan boleh mengenalpasti di mana objek (baca: kawan-kawan sepermainannya) bersembunyi.

Pengalaman ini berkembang apabila beransur dewasa. Sebagai mahluk berakal, mereka terus mencari dan meneka. Mereka menyimpan cita-cita untuk mendapatkannya. Mereka sembunyikan harapan, cita-cita, impian bahkan kebenaran. Apabila bertemu apa yang diimpikan, mereka sembunyikan apa yang mereka ada. Mereka main tapuk-tapuk lagi ketika pada satu tahap yang lebih besar, mereka simpan ilmu pengetahuan mereka. Mereka sembunyikan muslihat dan tipu helah kerana pencapaian tidak semua harus dikongsikan atau diberitahu. Mereka lebih suka dalam kelompok-kelompok tertentu untuk kelompok-kelompok mereka semata-mata. Maka terjadilah rahsia yang diam tanpa diketahui. Rahsia yang diintai-intai manusia lain. Rahsia tapuk-tapuk ini mencipta enigma, spekulasi, prasangka, dongengan dan sebagainya. Ruang lingkupnya terus melebar selagi ia tak tersingkap. Selagi hijap kebenaran tidak dibongkar manusia lain memasang pelbagai sensor agar mampu mendapatkan jawapan. 

Kita sentiasa menemui keadaan ini, permainan tapuk-tapuk. Sang suami main tapuk-tapuk kerana takutkan isteri tidak merestui pernikahan yang lain. Namun isterinya bisa menjejak bau kelibat serta perubahan suaminya. Sang isteri juga demikian, bermain tapuk-tapuk di belakang sang suami. Perbuatan berterus terang itu memang selalu merisaukan. Rumit, sulit dan malah menakutkan. Anak-anak impikan pelbagai objek yang menjadi kegilaan mereka. Kadang membahayakan. Mereka tapuk-tapuk merokok hingga mendekati dadah. Akibatnya mereka terjebak dengan masalah moral. Tidak menghormati ibu bapa dan undang-undang negara. Mereka tapuk-tapuk merempit. Mereka ini yang sepatutnya menjadi aset besar sesebuah negara tetapi sanggup menjadi penentang kebaikan.
Permainan ini berkembang lagi dalam kerangka yang lebih hebat. Menyembunyikan perkara-perkara yang benar. Kebenaran juga bukan mudah dijelaskan dengan mengambilkira natijahnya. Kebenaran menyebabkan wujud pandangan-pandangan yang berbaur bagai. Apabila akal terus bermain-main, mengagak-agak, mendongeng dan akhirnya tercipta versi demi versi, kebenaran menjadi begitu sukar ditelaah, dibongkar dan diterjemahkan. Manusia yang kreatif mula mengeksploitasi versi demi versi agar pembongkaran yang ditemui untuk memihak kepada keburukan bukan kebaikan. Kerana apa? Kerana telah terungkai sebab akibat nawaitu daripada permainan tapuk-tapuk yang tidak disedari terjadi. Nawaitu itu merupakan satu gerak batin yang menjadi impian. Tatkala impian itu bersekongkol dengan kehadiran hawa (bukan adam) nafsu kemuliaan nawaitu dengan cepat sekali merobah segala-galanya. Maka jangan risau seandainya segala spekulasi atau titik pencarian orang lain atau masyarakat sebagai kelompok yang lebih memandang terus bergema. Jangan resah ketika citra kebenaran itu dimanipulasi sebagai bahan promosi yang negatif.

Memang payah menceritakan kepada akal yang dibiasakan oleh budaya agak-agak dan spekulasi. Akal-akal yang tajam sepatutnya membuka ruang kebenaran yang benar-benar benar bukan sebaliknya. Para pemimpin yang bijaksana yang menyembunyikan sikapnya terhadap rakyat yang dipimpinnya akan terbongkar apabila segala janjinya tidak dikotakan. Dia main tapuk-tapuk mengelak bertemu rakyatnya, dia mula enggan bersemuka dengan masalah pengundi-pengundinya, dia tidak bersedia mencurahkan jiwa raganya kepada orang-orang yang berjasa sehingga dia bergelar yang berhormat. Menyembunyikan semua ini menyebabkan pencarian mereka yang mengharapkan budi baiknya sebagai etos mungkar yang harus dipertanggjawabkan oleh individu berkenaan. Akhirnya akan dinafikan dalam pemilihan akan datang.

Apabila sesuatu yang benar disembunyikan tidak hairan ia akan berubah menjadi sebaliknya. Ini realiti dan semua akan mempercayainya apabila ia menjadi buah berbualan. Isu demi isu yang bergelora dalam satu-satu kelompok masyarakat akan terus membiak dan membuak bagai ombak tsunami yang merosak. Barangkali perlunya keberanian agar sikap yang sederhana dan telus diperkasa dan menjadi perisai dalam kehidupan. Dalam agama apapun yang dianut manusia, kesederhanaan sering menyelamatkaan umatnya. Sejarah turut membuktikan bahawa sikap keterlaluan selalu memberi padah dan jerat kepada bangsanya. Kerana demikian, sikap yang tidak keterlaluan dalam apa juga perbuatan sesama manusia itu sendiri memberikan wadah kesejahteraan.

Berwasatiyyah untuk kesejagatan umat patut diamalkan. Akibatnya amat jelas. Dengan sifat wasatiyyah ini, pandangan manusia tidak akan kesasar terlalu jauh. Kebenaran tetap kebenaran jua yang dilahirkan. Jika yang dimamah itu nasi putih yang bersih, setelah ditelan, diproses dalam perut, ia tetap menghasilkan kebaikan yakni keselesaan dari wujud kebersihan dalaman. Perut yang sehat meraih kesihatan yang meriah. Bukankah analogi kepada perut adalah nafsu? Perut yang serakah hanya untuk diisi semata-mata apatah lagi daripada bahan-bahan yang tidak halal (baca: bersih) akan merosakkan segala organ keseluruhannya.

Idea yang menjadi kali ini mudah-mudahan boleh dijadikan penilaian diri kita semua. Mungkin kita berada dalam kelompok itu yang bermain tapuk-tapuk walaupun dalam sebuah alam yang jelas dan benar. Yang penting mewajarkan niat kita. Niat yang diawali dengan kebenaran akan diakhiri hasil yang benar. InshaAllah.

Mukah, Sarawak,
29 April 2014.

25 Mac 2014

Ehsan Blog Abdul Muizz Awang Marasin

Saya dan Sastera

(sempena ulangtahun ke-24 penubuhan Ikatan Penulis Sabah)

Dulu dan Sekarang

Saya belum dilahirkan pada waktu Ikatan Penulis Sabah (IPS) diasaskan, pada hari ini pada tahun 1990. Allah SWT menakdirkan kelahiran saya pada pertengahan tahun 1994, lebih kurang 3 tahun selepas tertubuhnya IPS, di tengah bandaraya rimba tropika, waktu itu Kota Kinabalu (KK) belum lagi dibandarayakan. Membelek tawarikh silam, KK tidaklah sebesar mana. Fitrah masa, KK yang dulu bukanlah yang kini. Sama jugalah dengan diri ini, seperti dendangan Tegar, “Aku yang dulu bukanlah yang sekarang.”

Saya tidak mengerti apa-apa mengenai sastera sampailah saya menduduki bangku sekolah rendah kebangsaan di pinggiran pekan Tuaran. Itu pun hanya tahu mendeklamasi di hadapan sidang saksi majlis rasmi. Sampailah pada satu hari, setelah separuh dekad berlalu, ketika menduduki pula bangku Sekolah Tun Ahmadshah, IPS telah datang ke mari, mendekatkan saya dengan sastera.

Sejak hari itu dan sehingga saat ini, ketika papan kekunci meninta bicara ini, saya sudah mampu mengenal sastera dengan sebaiknya, meski saya perlu belajar lebih lagi daripada yang biasa. Melaluinya jugalah, saya mampu mencorakkan sendiri diri saya dalam alam sastera. Alhamdulillah, dua tiga karya saya sudah disiarkan di dada akhbar negeri. Yang pertama pada pertengahan tahun 2009, ketika sedang menunggu penerbangan pulang dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Yang kedua pada sekitar tahun 2012; waktu itu baru beberapa puluh hari saya selesai menuntut di sekolah menengah dekat Bukit Padang.

Antologi Puisi MH 370

Seusai majlis pelancaran antologi puisi MH 370
pada 18 Mac di Wisma MUIS, Kota Kinabalu
(Foto: Ikatan Penulis Sabah)
Baru minggu sudah, Alhamdulillah, antologi puisi “MH 370” selamat dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif di Wisma MUIS, Kota Kinabalu; dan pada minggu yang sudah jugalah, saya telah menerima senaskhah buku tersebut sebagai pengabadian dan kenangan. Alhamdulillah, saya termasuk dalam kalangan 64 orang penyair dari Malaysia dan Indonesia yang menyumbang 68 buah puisi.

Antologi yang diterbitkan hasil kerjasama IPS dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) itu diterbitkan tidak lebih dan tidak kurang sebagai simbol ibrah dan iktibar rentetan peristiwa kehilangan MH 370. Sampai ke hari ini, sudah 17 hari MH 370 dicari; namun, masih belum ditemui.

(iii) Nyanyi burung kepada lautan:

Mungkinkah ada pusaran gelombang yang menelan
serba tafsir dan tamsil bergema
ada lorong-lorong yang membawa ke dasar
di lapangan lautan yang sukar difahami
di sini segalanya mencari
burung-burung laut yang akur
tak berpuas rasa membuka seluasnya
gelora gelombang
di pantai menunggu sebuah janji
di pergunungan menanti terbukanya cahaya
dari lautan bergema zahir zikir
dari lautan bergema zahir fikir
dari lautan mengalun zahir segala mungkin

[Stanza Nyanyian Burung-burung (Hasyuda Abadi), 2014]

Kasihanlah pada yang kehilangan
ditinggal tanpa pesan
pergi tak kesampaian
pulang tak pula terizinkan

[Pada yang Kehilangan (Awang Abdul Muizz Awang Marusin), 2014]

Di kesempatan ini, ingin saya petik wahyu Ilahi, “Seandainya hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku, maka (khabarkan kepadanya, betapa) Aku sangat dan senantiasa dekat (padamu). Aku tetap akan menjawab doa orang yang meminta jika dia berdoa kepadaku. Maka, sahutlah seruanKu dan berimanlah padaKu; mudah-mudahan dia akan mendapat petunjuk.” Buat diri saya dan semua, berdoalah, mudah-mudahan di sana ada petunjuk yang menemukan si pencari dengan kapal terbang yang dicari. Mudah-mudahan juga Allah mengurniakan ketabahan dan kekuatan kepada mereka yang ditinggalkan bersama MH 370.

Mohon huraikan hijab rahsia ini, Tuhan.
Mohon hindari kami dari gelisah pencarian ini, ya Rahman.
Mohon hubungkan kami dengan jawaban dari sekian pertanyaan ini, ya Rahim.
Mohon hiasi hati kami dengan pakaian tabah dan redha, ya Hayyu ya Qayyum.
Mohon hikmahkan kami dengan iktibar dan nilai kemanusiaan, ya Jabbar.
Mohon hidupkan hati kami dengan tasbih muhasabah yang runduk pada keagunganMu,
ya Dza al-Jalali wa al-Ikram. Amin.

[Hijab Rahsia MH 370 (Arifin Arif), 2014]

Hadiah buat IPS sempena 24 Tahun

Ketahuilah, tiada apa yang perlu dibanggakan apabila berjayanya penerbitan antologi puisi MH 370 meskipun proses penerbitannya hanya mengambil masa sekitar beberapa hari. Tidak kurang dan tidak lebih hanyalah pujian dan kesyukuran yang setinggi-tinggi ke hadrat Ilahi. Atas izin dan rahmatNya, penerbitan antologi tersebut berhasil. Bagi saya, penerbitan antologi tersebut adalah semata-mata permulaan bagi saya untuk menjadi seorang sasterawan muda.

Negara masih berduka atas kehilangan salah sebuah pesawat yang membawa Jalur Gemilang; masih sampai ke saat ini. Namun begitu, sekurang-kurangnya kejayaan IPS dan BAHASA menerbitkan antologi tersebut menjadi hadiah yang kelak akan meningkatkan motivasi untuk terus gigih dan setia meneruskan perjuangan walau apa pun yang akan terjadi.

Buat IPS, itu sahajalah hadiah yang saya ada buat semua, khususnya buat IPS, sempena ulangtahun penubuhan IPS yang ke-24. Buat BAHASA, itu sahajalah juga persembahan yang saya ada, sebagai menghulur salam ukhuwwah dan salam sastera nusantara. Semoga Allah membalas budi baik IPS dan BAHASA dalam menerbitkan antologi tersebut.

Sejarah Silam dan Iltizam Mendatang

Sengaja saya ceritakan rekod saya sepanjang keberadaan saya dalam dunia sastera. Namun begitu, saya tidak seperti orang-orang lama juga orang-orang hebat – ayahanda Hasyuda Abadi, cikgu Jasni Yakub, ayahanda Jasni Matlani, Ustazah Ony Latifah Osman, Cikgu Juilis Mokujal dan ramai lagi (sekadar mampu menyebut beberapa nama) – yang sememangnya sudah menjadi sasterawan negeri. Ada juga yang telah menjadi tokoh sastera negara juga Nusantara.

Saya bukanlah seperti mereka dan kalian. Dulu, sastera saya sering membuahkan kedukaan kepada diri dan yang terkesan. Nada dan tema di setiap penulisan hampir sama walaupun dengan uslub yang berbeza. Pada tempoh itulah, saya cuba memperbaiki diri saya dan sikap saya terhadap sastera, sampai saat ini. Itu pun setelah mengingati dan menyedari wahyu Ilahi, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sedikitpun nasib sesebuah kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri.”

Semenjak kesedaran itu, saya semakin mengerti betapa sastera tidak setakat wadah pernyataan aspirasi semata-mata, juga sebagai wahana pengindahan bahasa. Sastera punya tugas lebih dari itu, untuk membangkitkan kesedaran dan untuk menyebarkan ilmu. Oleh hal yang demikian, saya senantiasa cuba memperbaiki diri ketika bersastera. Untuk waktu ini, sekurang-kurangnya – tanpa mengharap apresiasi pembaca – karya sastera yang ada berjaya mengejutkan seseorang dari tidur yang lena dan lalai yang fana, juga berjaya untuk membawa khabar gembira atas keindahan sesuatu mesej yang dibawa.

Saya memohon maaf atas dosa, salah, silap dan kekurangan saya selama ini.

Maafkanlah
wahai manusia
Ketelanjuranku
menyakiti hatimu insan berbudi.

Maafkanlah
wahai manusia
Kekhilafanku
memuramkan wajahmu insan baik hati.

Maafkanlah
wahai manusia
Kemaafanmu
akan ku kenang sebagai jasa budi.

[Maafkanlah (Abdullah Muizzan), 30 April 2009]

Semoga Allah memaafkan kita semua.

Ya Allah
ampunilah kami, hamba-hambaMu yang tak punya
malu ini; ampunilah; ampunilah; ampunilah kami
ya Allah.

[Surat Cinta dari Sangkakala (Acep Syahril), 2014]

Saya dan ayahanda Hasyuda Abadi
di Jalan Maarof, Bangsar,
Kuala Lumpur pada 21 Mac.
(Foto: En. Sukor Usin)
Masih saya ingati, ketika saya bertemu ayahanda Hasyuda Abadi di Bangsar, Kuala Lumpur, minggu yang sudah, saya berkata kepada yang lain, “Saya dalam dunia sastera baru nak merangkak.” Atas kesedaran itu, saya masih perlu belajar lebih banyak lagi daripada orang-orang lama. Saya ada iltizam saya untuk meneruskan kesinambungan sastera di Nusantara amnya dan di negeri Sabah khasnya. Hanya kepada Allah dipohonkan kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Dalam pada itu, saya juga tidak harus lupakan kewajipan saya yang kini, untuk menuntut ilmu dan meneruskan aktiviti persatuan saya di menara gading. Itu semua saya lakukan tanpa langsung melupakan tanggungjawab kepada tanah air untuk mendaulatkan sastera. Ya, saya akan cuba lakukannya dengan cara saya yang tersendiri, InsyaAllah.

Penghargaan atas Doa dan Sokongan

Namun begitu, itu semua takkan berlaku tanpa doa dan sokongan daripada yang lain. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi syukur dan apresiasi ke hadrat Allah SWT. Izin dan rahmatNya membolehkan saya masih kuat untuk terus berjalan menyelusuri alam seni dan sastera. Dengan berkatNya jua, saya mampu belajar dan memahami banyak lagi ilmu dan hikmah selama ini.

Maha SuciMu, ya Allah, sebaik-baik guru;
Kaulah yang mengajarkan ilmu dengan pena sejak kurun yang mula-mula sekali.
Kaulah (ya Allah) yang mengeluarkan minda ini dari sirna dan gelita,
dan Kau jugalah yang membawa kami meniti jalan hidayahMu yang terang lagi bercahaya.

[Berdirilah untuk Guru (Sheikh Ahmad Syauqi)]

Kepada ayahbonda, terima kasih jua yang tidak terhingga. Restu kedua ayahbonda membolehkan saya terus melangkah setapak demi setapak meneruskan kehidupan. Tanpa kasih ayahbonda, tiada ertinya saya hidup di dunia, sama ada ketika dekat di sisi juga setelah jauh merantau ke sebelah sini. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah tiada tepiannya.

Buat adik-beradik dan sanak saudara, terima kasih jua saya ucapkan. Sokongan dan doa kalian selama ini cukup menambah kekuatan saya untuk mencapai visi dan misi yang tersendiri.

Buat para pendidik di surau dan masjid, di sekolah rendah dan menengah, di universiti, dalam pertubuhan juga di mana-mana jua berada, ilmu dan hikmah yang saya dapati selama ini sungguh berharga. Terima kasih setingginya saya ucapkan atas ilmu, hikmah dan kasih sayang yang kalian curahkan selama ini.

Buat para sahabat, lebih-lebih lagi buat sahabat yang amat dekat di minda dan jiwa ini, lebih-lebih lagi buat 'adik-beradik', terima kasih juga setingginya saya ucapkan. Kasih sayang kalian yang menceriakan bilahan hari-hari, keberadaan kalian di sisi di kala diri merasa sepi, semangat waja kalian dalam menyumbang jasa dan mencipta jaya, juga kebaikan demi kebaikan yang akhirnya mengajar diri untuk turut bersama dalam menyemai akhlak mulia, membuatkan saya masih mampu berdiri dan berjalan ke arah kejayaan yang hakiki.

Sebagai Warga IPS dan Warga Sastera Sabah

Buat IPS, kata orang Arab, “Mubarak 'alaik!” Kata orang Cina, “Gong Xi! Gong Xi!” Kalungan ucapan tahniah saya kiriman sempena ulangtahun ke-24 penubuhan. Terima kasih setinggi-tingginya saya ucapkan kepada IPS. IPS, sejak kali pertama mengenalinya pada tahun 2009, dan sejak menjadi ahlinya secara rasmi pada tahun 2011, IPS telah banyak memberi khidmat dan jasa kepada saya dalam merealisasikan hasrat kesusasteraan saya.

Selaku seorang warga IPS yang kini merantau di seberang laut, saya bersyukur dengan pencapaian yang dicatatkan oleh IPS selama ini. Sekurang-kurangnya IPS telah berjaya mencorakkan nama baik di astaka nusa juga di persada Nusantara dalam bidang kesenian dan kesusasteraan.

Saya tidak mampu menyumbang banyak benda. Namun begitu, saya tetap mencuba untuknya. Andai saya telah menitipkan sedikit usaha buat IPS, biarlah usaha itu memberi manfaat kepada kita semua untuk jangka waktu yang panjang. Begitulah betapa erti hidup itu pada memberi.

Buat IPS, saya punya iltizam yang tinggi untuk terus bersama. Selagi diberi kekuatan dan sokongan, berbekalkan doa daripada segenap insan prihatin dan penyayang, saya akan terus bersama sehingga ke waktu ditentukan untuk pulang ke pangkuanNya. Sempena iltizam itu, marilah bersama kita terus kekal bersatu, meneruskan tradisi ke arah kejayaan.

Semoga IPS terus berdaulat dengan limpah kurnia Allah SWT; dan semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN
Seremban, Negeri Sembilan
24 Mac 2014

24 Mac 2014

Setelah 24 tahun IPS

Buat para sahabat di Ikatan Penulis Sabah, salam ulangtahun.
  24 tahun yang lalu... IPS ditubuhkan dengan misi besarnya menggabungkan para penulis muda di Sabah. Berikutan berlakunya cetusan gerakan penulis muda Nasional yang bangkit dalam gerakan sastera moden agar golongan ini mendapat perhatian dalam masyarakat dan pemerintah khasnya.

IPS terus bergerak mantap. Persatuan ini dimulai oleh 26 ahli pengasas atas idea 3 anak muda - Jasni Matlani, Abd Naddin Shaiddin dan Aliuddin Mohd Salleh yang sering mengadakan perjumpaan di bawah pokok di ibu negeri. Kita harus tidak melupai catatan ini kerana sejarah tidak boleh diubah. Termasuklah saat IPS menjadi satu jenama yang tidak disenangi pada awal penubuhannya terutama golongan veteran ketika itu. Padahal kelompok ini semata-mata mahu mengetengah bakat serta kecenderungan anak-anak muda merentas gelora seniman lewat aktiviti persuratan yang lebih terjamin dan terancang. Grup ini berhasrat mendapatkan perhatian khususnya DBP Cawangan Sabah agar kelompok anak-anak muda juga wajar diberikan ruang serta kesempatan dalam dunia persuratan.

Gerakan baru ini mendapat sambutan yang munasabah dalam kalangan generasi muda kerana belum ada kelompok terbaik buat mereka berada dalam satu payung yang lebih dinamik bergerak bersama, dengan aktiviti persuratan yang tersusun.


Pada tarikh keramat ini - 24 Mac 1990 bertempat di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah (bangunan lama di Kampung Air, Kota Kinabalu), IPS sebulat surat dijadikan platform baru. Generasi baru menyemarakkan gelora fikir mereka lebih berani menyuarakan keperluan mereka. Mereka menulis, mereka berhujah, mereka berserasehan, mereka membina karya sastera dan sebagainya. Ramai penulis ini mampu menghasilkan karya sastera yang bermutu. Buku-buku sastera diterbitkan. Mereka turut meraih kejayaan dan mencipta sejarah yang tersendiri di peringkat nasional. Dalam gerakan lebih besar IPS telah merangsang sehingga tertubuhnya Institut Penilaian Sastera atau akronimnya INPES yang dipengerusikan Yang Berbahagia Dato' Haji Dr. Janathan Kandok yang juga merupakan Ahli Kehormat IPS.


Meskipun IPS juga turut mengalami krisis pada satu ketika dahulu, ia terus dominan dalam kalangan penulis baru sehingga kini. IPS terus utuh mengekalkan kredibilitinya sejajar dengan keperluan meletakkan gerakan sastera yang serius sebagai agenda utama. IPS wajar memperkasakan hala tujunya tanpa ragu-ragu. Meski pun dalam langkah kesederhanaan, ia perlu bergerak dan mencorak citra bangsa Malaysia moden berdasarkan pemikiran yang lebih terbuka berpaksikan ketertiban dalam pelaksanaannya. Sikap yang agresif yang keterlaluan harus dikesampingkan tetapi dalam masa yang sama mengetengahkan prisipnya melaksanakan aktiviti yang membibitkan kesinambungan agar lebih matang dan berwibawa. 


Hari ini telah 24 tahun berlalu. Saya dan beberapa rakan telah bersama IPS dalam keseluruhan usia itu dan menerajui lebih sedekad setengah tahun sebagai Ketua Satu. Dalam mengenang kejayaannya, positif saya nyatakan kita telah banyak sekali meraih kecemerlangan. IPS pernah meraih sebagai persatuan paling aktif di Sabah sebanyak tiga tahun berturut-turut. Sebab itu tidak salah saat meraikan ulangtahun ke-24 kita kembali melihat dari belakang untuk meletakkan jati diri kita dengan tunjuk aras yang lebih jelas. Ahli-ahli yang terus setia tanpa berolah serta berbelah rasa, marilah bergerak dalam semangat wasatiyyah mensejagatkan fikrah dan matlamat gerakan kita. Kita sentiasa putihkan hati dengan semangat serta sikap persaudaraan yang padu.

Salam Ukhuwwah, selamanya IPS bersama kita.

Ketua Satu
Ikatan Penulis Sabah
24/3/2014

19 Mac 2014

MENJILBAB CINTA: SATU KESAN SEKILAS



MENJILBAB  CINTA: SATU KESAN SEKILAS[1]
oleh
Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim
Ketua I ASTERAWANI
Brunei Darussalam.


ANTOLOGI puisi Menjilbab Cinta ini mengandongi 63 buah puisi oleh 29 orang penulis yang mewakili dua buah badan penulis iaiatu IPS dan ASTERAWANI. Ada yang menyamakan bahawa berkenalan dengan puisi mungkin sama  dengan berkenalan dengan seorang lelaki atau seorang wanita. Pada pandangan pertama, melihat wajahnya  akan muncul rasa  suka atau  tertarik yang  mendorong untuk mengetahui lebih banyak lagi mengenai dirinya  misalnya saja nama lelaki atau wanita itu dan seterusnya mengetahui budi pekertinya sehingga menimbulkan rasa cinta. Jika dikaitkan dengan  karya sastera,  wajah itu tentulah  bentuknya dan budi pekerti itu  adalah isinya.    Nah!, saya diberikan antologi Menjilbab Cinta pada 11  Febuari 2012 oleh Ketua II untuk persediaan membicarakannya di pertemuan ini.  Pertama-tama melihat antologi ini, saya  tertarik terhadap  judulnya dan  juga  gambar kulit luarannya iaitu masjid  Omar Ali Saifuddien yang berlatar belakangkan gunung Kinabalu.  Penyatuan kedua-dua objek ini memperlihatkan suasana yang amat menarik yang saya rasa mungkin lebih menarik daripada Taj Mahal sendiri sebagai bangunan yang melambangkan keagungan CInta.  Cinta adalah sesuatu kata yang luar biasa dan  universal.  Persoalan cinta bukanlah perkara baru,  ianya  sudah wujud dan akan terus menerus wujud dengan  masa dan watak yang berbeza, dan juga terus menerus  dibicarakan  dan disentiasa  segar.  Manusia terutama para penyair  sering mengungkapkan persoalan cinta  dalam karya mereka  dengan tujuan untuk berkongsi  kegembiraan, pengalaman,  idea  atau mengemukakan pandangan kritis terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekitar persoalan cinta tersebut.

Judul antologi Menjilbab Cinta, adalah sesuai dengan tujuan penyelenggaraannya  sebagai “tanda penghargaan kunjungan Ikatan Penulis Sabah (IPS) ke ujana Asterawani Negara Brunei Darussalam” (Menjilbab Cinta, hlm.iii).  Antologi puisi yang terhasil dan disempenakan  dengan kunjungan IPS ke Asterawani,  yang   setentunya  akan  menjadi ristaan konkrit,  dan kunjugan itu sendiri akan dapat menjadi landasan  bagi kita   kenal mengenali antara satu sama lain, menjadi akan lebih akrab, dan akhirnya menimbulkan bibit-bibit cinta sebagai warga dunia penulisan dan  kepenyairan khususnya warga dunia dua buah persatuan penulis serumpun.  Sehubungan dengan penerbitan buku  ini,  saya memohon maaf kerana  tidak dapat menimbulkan atau mengilhamkan idea bagi menerbitkan sebuah antologi bersama sempena dengan lawatan Asterawani ke IPS pada kali pertama  ini.  Saya tidak semestinya menyalahkan waktu atau kesibukan. Bagaimanapun memandangkan lawatan seperti ini bukan berakhir, dan peneribtan bersama bukan sahaja semasa lawatan, maka untuk menyenangkan hati buat sementara, saya membisikkan kepada diri saya sendiri bahawa akan ada ruang dan peluang lagi  bagi Asterawani  mengwujudkan  berkerjasama, menerbitkan  antologi  puisi  seperti Menjilbab Cinta ini di masa akan datang.

Dalam  Prakata antologi puisi ini  mengatakan;
Menariknya penerbitan ini antaranya ialah para penyairnya terdiri daripada kalangan penerima-penerima SEA Write Award dan tokoh-tokoh penyair yang disegani daripada kedua-dua belah pihak.

Sesuai dengan judulnya, para penyair sentiasa menjaga keharmonian, persahabatan, kasih dan sayang melalui nilai cinta. Kita menjilbabkan cinta agar segala yang berhemah itu terpelihara dan terjamin keiklasan serta kedamaian di dalamnya Insya Allah.
                                                    (Menjilbab Cinta, hlm.i-ii)

Dalam petikan di atas memperlihatkan bahawa penilaian sesebuah karya tidak terlepas daripada dua hal penting iaitu pengarang dan karyanya. Walaupun  ada sarjana  mengatakan bahawa “pengarang sudah mati setelah terhasilnya karya”  tetapi lawan daripada pernyataan ini pula mengatakan;  “karya sastera bukan turun dari langit”. Oleh itu dalam memberi makna  karya tentu saja tidak menyingkirkan penulisnya. 
                 
Ada sedikit catatan latar belakang penyair di akhir antologi ini tetapi saya tidak ada banyak masa dan kesempatan untuk menelitinya, yang  mungkin boleh saja  menjejaskan  pemberian makna dalam ketaskerja ini. Bagaimanapun dengan merujuk kepada karya, memberikan  gambaran kepada saya bahawa penyair-penyair dalam antologi ini  sudah berpengalaman dan kreatif. Hal ini dapat dilihat daripada baris-baris puisi yang dihasilkan.

Sesuai dengannya bentuknya sebagai puisi moden, puisi-puisi yang dihasilkan adalah berberbentuk bebas.. Bentuknya yang sedemikian  memberikan kebebasan secukupnya untuk penyair  membina sebuah puisi dengan baris-baris dan rangkap-rangkap tertentu  yang secara tidak langsung  memperlihatkan pengalaman, pengetahuan  dan kekreativitiannya.  Misalnya saja puisi Menjilbab Cinta dan Memandang Melayu karya Hasyuda Abadi atau Istiqamah Cinta dan Mengakrab Cinta karya Azridah PS Abadi, yang  bukan lagi ditulis melalui baris-baris puisi tetapi sudah ditulis seperti prosa.  Di Brunei Darussalam,  Adi Rumi  telah mempergunakan sebaiknya bentuk bebas itu  dengan menciptakan tiga  puisi panjang berjudul Perintah Qanun Jenayah Syari’ah Neraca Allah (sehingga 118 halaman panjangnya),   Negara Zikir dan Melayu Islam Beraja Mahkota Negara yang panjangnya melebehi 70 halaman.    Selain itu ada juga penulis yang masih menyusun baris-baris puisinya seperti kebanyakan puisi moden yang lain tetapi hal ini bukan bermakna penulisnya  tidak inginkan perubahan bentuk. Malah menciptakan baris-baris puisi  samaada berbentuk moden atau tradisional   adalah hal yang sama sukarnya. Bagi saya, pengunaan dua bentuk tersebut adalah mengikut gerak hati dan keinginan penciptanya. Hal inilah  yang baik secara langsung atau tidak penulis menulis dengan  bentuk sedemikian yang juga disesuaikan dengan niat untuk memelihara kebiasan dan kelangsungan bentuk yang sedemikian serta pastinya disesuaikan pula dengan apa yang terbuku di hati penulisnya.

Aspek yang paling penting dalam apa juga genre karya sastera termasuk genre puisi adalah isinya yang mengandong tema dan persoalan yang ingin disampaikan oleh penyairnya.  Sesuai dengan tajuk antologi, antologi ini kebanyakannya megemukakan tema  cinta  dalam pengertian yang lebih luas.  Misalnya cinta kepada Tuhan, cinta kepada sesama manusia, cinta kepada negara, cinta kepada alam dan sebagainya.  Dalam mengemukakan tema  itu  ada yang menulisnya secara langsung dan ada pula yang menulisnya cara tidak langsung. Kedua-dua cara ini  ditandai oleh  bahasa, lambang dan teknik atau gaya penyampaian.  Puisi yang mengemukakan tema secara langsung akan lebih memudahkan pembaca untuk mengetahui maksud, apa yang ingin disampaikan oleh  penyairnya.  Misalnya  Negara Zikir oleh Firdaus H.N, penyairnya membawakan tema cinta iaitu cinta kepada Alllah SWT dengan mengajak pembaca untuk berhijrah  ke  Negara Zikir iaitu sebuah kehidupan yang memandu manusia  ke jalan yang diredai Allah SWT. Penyair berharap semoga cita-cita untuk menjadikan negara Brunei Darussalam sebagai negara Zikir akan terlaksana.  Sementara puisi Menjilbab Cinta karya Hasyuda Abadi adalah antara puisi yang sempat memberikan sedikit tugas kepada pembaca untuk mengamati isi dan temanya dan seterusnya mengemukan tafiran yang pelbagai,  misalnya saja tema puisi  ini adalah keinginan penulis supaya  para penghuni dunia mempunyai rasa cinta dalam menjalani kehidupan di dunia ini  terutama cinta kepada perdamaian dan keharmonian. Dalam puisi ini, penulis menggunakan kata-kata atau lambang-lambang  seperti malam, bunga, rindu, sunyi, embun,  salju,  flora dan fauna,  irama muzik, geselan biola, dan mawar merah yang semua ini membantu dalam mentafsir apa yang diinginkan oleh penyair. 

Salah satu pengertian tema yang menarik bagi saya ialah sesuatu yang dibenci yang berlaku didalam masyarakat penyair yang bagi penyair hal tersebut seharusnya tidak berlaku. Misalnya dalam puisi  Monolog Bagi Lelaki Tua karya Clara Maroon,  penyairnya membenci  warga  tua atau  pemimpin  lama  yang tidak iklas.  Perasaan cinta, khidmat dan baktinya  hanya sekadar bagi kepentingan diri sendiri sahaja. Hal seperti ini tidak seharusnya berlaku.  Memandang Melayu karya Hasyuda Abadi, membenci keadaan hidup masyarakat Melayu masa kini yang sudah mengabur dengan sifat-sifat ramah dan  pemedulian.   Dendamku karya Kathrina Tati, membenci  kebiadapan sesuatu bangsa yang memperkosa damai dan menghancurkan harapan, ikatan kasih sayang serta menghancurkan kedaulatan negara.  Kehilangan Yang Abadi karya Lya Zam membenci  seseorang yang tidak bertanggunjawab yang hanya sering berkata nanti bagi  sebuah sepakatan atau janji yang diberikan.  Inikah Merdeka? karya Lya Zam membenci seseorang yang pendusta, yang hanya  pandai berkata-kata tetapi tidak dapat mengotakannya. Redup yang Hilang karya Mohd Norazwan,  membenci sikap ayah yang mengabaikan  anak kecil yang kehilangan ibu dan hdiup dalam kemiskinan.  Anak kecil terlalu kecil untuk menghadapi beban penderitaan hidup yang sedemkian.  Desa Sunyi Yang Bahaya karya Mabulmaddin Shaiddin membenci seseorang atau persatuan yang kelihatannya  baik tetapi sering  mempergunakan atau mengambil kesempatan dan  memperdayakan.  Dah Dapat Tak Dapat-Dapat karya  Mohd Paud Bebit membenci sifat manusia yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang didapat atau diperolehinya. Umat Islam karya Brahim A.H.T membenci umat Islam yang tidak bersatu, berpecah belah dan  menjalani kehidupan dengan membelakangkan al-Quran dan al-Hadith.  Pengukir Bintang karya Dino M.N membenci seseorang yang mendapat sesuatu atas usaha orang lain.  Bangau Oh Bangau karya Haji Hussain Abdul Rahman membenci sifat sesetengah orang yang salah menyalahkan atas perbuatan yang telah dilakukan. Perang karya Hidop Zin membenci perang yang mengorbankan kemanusian dan mendatangkan kemusnahan.

Tafairan tema berdasarkan apa yang dibenci penyair dalam puisinya seperti yang diungkapkan di atas tentu sahaja tidak mutlak.  Setiap pembaca akan memberikan tafsiran yang berbeza dan ketidaksamaan penafsiran inilah sebenarnya yang menjadikan puisi tersebut mempunyai keindahan tema dalam salah satu pengertian tema yang diberikan itu tadi.  Seperti yang dibayangkan diawal pembicaraan ini, tema karya sastera khususnya puisi bukan sahaja mengenai hal yang dibenci, tema juga  boleh berupa pengkongsian pengalaman, pernyataan keindahan,  luahan  perasan yang berupa kecintaan, kekaguman dan kegembiraan, nasihat, pengajaran dan   sebagainya  misalnya    puisi  Demi Sebuah Ikatan karya Aiyn Sofia mengongsikan  pengalaman bersama tentang berkasih sayang dan berharap ikatan kasih dan persaudaran mereka akan terus subur dan terpelihara.  Istiqamah Cinta karya Azridah PS Abadi  menyatakan keinsafan seorang insan terhadap kebesaran Ilahi. Dalam menjalani kehidupan di dunianya ini,  ketenangan  hanya akan  diperolehi melalui usaha  dengan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.  Sultan Adil Laila Terbilang karya Lya Zam menyatakan rasa syukur atas kepimpinan Kebawah Duli yang adil dan mencintai rakyatnya.   Apakah Aku Sempat Mencicipi Kasihmu karya Clara Maroon mengkongsi pengalaman pahit apabila orang yang dikasihi membencinya dan berdoa semoga dia dapat  merasakan kembali kasih sayang yang selama ini diharapkannya. Musafir Cinta karya Firdaus H.N mengkongsi pengalaman atau perasaan  cintanya  dengan dua jiwa yang dua-duanya ingin dimiliki.  Kemerdekaan Bangsa karya HRJ menyatakan semangat patriotik bangsa dalam sebuah negara yang merdeka.  Penyair menyeru setiap warga akan terus sama-sama memikul tugas dan tanggungjawab demi kemajuan dan perpaduan bangsa dan negaranya yang sudah merdeka.   Makna Sebenar  karya Sosanjan A Khan mengonsi pengalaman dan keakraban dalam sebuah persahabatan dan ketika berpisah dapatlah dirasai kerinduan dan dimengerti nilai persahabatan yang terbina tersebut. Kembara Usia karya Ahmy mengonsi pengalaman hidupnya dari remaja sehinggalah keusia tua dan berjanji pada dirinya sendiri akan mempergunakan sisa-sisa hidupnya dengan baik. Ramadan Datang Lagi karya Mahmud Damit menyatakan tentang kedatangan bulan Ramadhan dengan menceritakan  keinginan dan doa di bulan tersebut  bagi kebaikan diri dan umat Islam di seluruh  dunia.

Keindahan sebuah puisi terletak pada temanya yang  disokong oleh bentuk dan bahasanya. Bentuk puisi yang indah mungkin sahaja kita boleh melihat  kembali kepada bentuk puisi tradisi kita orang Melayu yang paling agong iaitu Pantun  dan Syair. Kedua-dua genre puisi tradisi  ini adalah sukar untuk ditandingi dan sentiasa indah sepanjang zaman. Kesedarhanaan dan keseimbangan yang merupakan antara ukuran keindahan bagi sesebuah karya seni terdapat di dalam kedua-dua bentuk puisi tradisi tersebut.  Puisi moden adalah puisi bebas dan jika penyair ingin mengikut atau mengekalkan  bentuk puisi tradisi tersebut sering dikatakan orang bahwa puisinya bersifat konvensional. Apakah kita malu dengan anggapan konvensional tersebut. Bagi saya, penggunaan  bentuk puisi  tradisi dalam  menyampaikan  tema atau persaoalan  yang ingin disampaikan adalah suatu sikap positif yang ingin memelihara, mengukuh dan melestarikan bentuk puisi tradisional kita.  Saya tidak mengatakan bentuk puisi moden yang bebas itu tidak indah. Tetapi  sebilangan kecil penyair termasuk diri saya sendiri, dengan kebebasan tersebut kurang memerhatikan ciri-ciri keindahan bentuk  yang universal  bagi sesebuah puisi.  Bagaimanapun ada juga penyair yang menghasilkan puisi moden yang mengambil berat tentang keindahan bentuk ini sehingga bentuk puisi ciptaannya menunjang tema yang ingin disampaikannya. Contoh terbaik dalam hal ini adalah puisi  Aku karya Khairil Anwar, yang bentuknya sebagai pemberontakan kepada gaya penulisan Pujangga Baru yang tentunya juga pemberontakan kepada sikap  masyarakatnya pada masa itu sebagai tema utama puisinya.  

Hal yang berkaitan rapat dengan bentuk ialah  bahasa. Bahasa yang merupakan alat atau media penyampaian bagi sesebuah puisi, inilah yang membezakan antara genre puisi dengan genre karya sastera yang lain seperti cerpen, novel dan drama.  Bahasa yang indah juga dapat menimbulkan keindahan bentuk misalnya puisi Meniti Perjalanan Waktu karya Rohaidah Kinchai;

MENTITI PERJALANAN WAKTU

Kupandang langit subur-Mu
Penuh syahdu dan sayu
Debar menyentuh kalbu
Tangis rindu bersatu
Meniti perjalanan waktu
Menconggak baki usia
Mampukah masih sisa kudrat
Mengutip sejuta pahala
Merangkul nikmat syurgawi.

Dan beberapa petikan  rangkap puisi-puisi di bawah:

                 
Alum Azan subuh bergema menyusup ke atma rasa. Hijab menyentuh , lalu menyusup ke rimba ilusi yang membengit ingatan pada jalan pulang menyatu kebenaran. (Istiqamah Cinta karya Azridah PS Abadi, hlm.7)

Malam itu sebuah cinta telah kuberikan kepadamu, rindu, saat telah tiba menataapnya jangan berhenti merasai suatu jiwa telah mekar bukan sekuntum bunga bahkan sekuntum rashia yang maha wangi mengagungi sunyi (Menjilbab Cinta karya Hasyuda Abadi, hlm.13)

Telah lama redup itu pergi
Meninggalkan bau-bau gelisah
Untuk sebuah wajah yang kering dan kusam
Seperti taman ini
Kumbang menagih kemanisan
Pada kelopak bunga yang layu
Kehilangan yang harum
Lalu gugur membusuk sepi
             (Redup Yang Hilang, hlm.23)


Selain daripada gaya bahasa yang  puitis,  satu lagi ciri puisi yang penting adalah penggunaakn  lambang.     Malah ada yang menganggap ciri ini sebagai  penentu kepada kejayaan sesebuah puisi itu  sendiri dengan alasan penggunaan lambang dapat menimbulkan  kepelbagaian makna.  Lambang-lambang yang digunakan tentunya lambang-lambang universal yang selari penggunaannya sehingga dapat diseluki maknanya.  Misalnya puisi Daun Kering Terakhir karya Embi Estar yang menggunakan perlambangan daun dengan bahasa yang puitis;


DAUN KERING TERAKHIR

Kiranya luruhku berakhir di hujung senja
Jangan kau basahkan rerantingku
Dengan gerimis hujan dingin
Kerana tiada lagi puput mekar berkembang
Mengundang lebah menyeri sari
Tiada juga wangian harum
Mewarnai rerumput hijau
Untuk disematkan pada sebuah hati
Yang mendamparkan aku
Sehelai daun kering terakhir
Di atas kerikil yang meringsa.

Baawa senja itu
Adalah perjalanan yang sukar
Dihadapannya ada kelam malam
Yang tidak dimengerti
Oleh secebis hati yang resah.


Selain daun kering, senja, gerimis, hujan, puput mekar, dan malam adalah antara lambang yang digunakan dalam puisi di atas.  Jika pembaca dapat mentafsir puisi di atas (samaada terdapat persamaan tafsiran atau tidak) berdasarkan lambang-lambang yang digunakan maka puisi ini bolehlah dikatakan sebagai puisi yang telah berjaya menggunakan lambang-lambang yang universal sehingga dapat ditafsir maksudnya oleh pembaca. Mungkin sahaja terjadi tafsiran yang berlainan dan hal ini,  akan lebih menarik dan memberikan nilai kepada puisi tersebut. Jika pembaca tidak dapat mentafsir maknanya berdasarkan lambang-lambang yang digunakan tersebut, ia mungkin disebabkan  lambang-lambang yang digunakan bersifat personal atau lambang universal tetapi  diertikan secara personal oleh penulisnya.  Ketidak fahaman ini menjadikan puisi-puisi ciptaan mereka sukar untuk difahami dan dihayati,  atau apa yang disebut dalam tahun-tahun 60an dan 70an puisi-puisi tersebut sebagai sajak-sajak  kabur.

Selain daripada cinta, satu persamaan  atau kecendurungan bersama penulis dikedua-dua negara dalam antologi ini adalah mengenai usia tua iaitu membicarakan pengalaman dan harapan dalam menjalani hari-hari tua tersebut. Misalnya puisi Pesanan Angka Pada Usia karya Amir Sabri , Monolog Bagi Lelaki Tua karya Clara Maroon,  Kembara Usia karya  Ahmy, dan Meniti Perjalanan Waktu karya Rohaidah Kinchai. Hal ini memperlihatkan bahawa  penyair-penyair   di kedua-dua  buah persatuan penulis,  ada yang  sudah berumur. Malah  dalam realitinya,   ahli-ahli Asterawani sendiri adalah terdiri daripada orang yang sudah bersara. Dari sudut  penulisan, hal ini memberikan suatu kesan yang baik kerana penyair yang berusia tentunya banyak pengalaman dan pengetahunan yang berpontensi besar untuk menghasilkan karya agong,  tetapi dari sudut keahlian   persatuan penulis seperti ASTERAWANI hal ini memberi kesan yang tidak baik kerana persatuan akan ketiadaan generasi pelapis. Saya rasa permasalahan ini menarik untuk dikongsi bersama dalam mencari solusi atau strategi menanganinya.

Akhirnya,  sebagai kesimpulan daripada pembicaraan yang singkat ini, dapatlah dikatakan antologi Menjilbab Cinta  telah mengemukan tema  yang menarik yang pada dasarnya mengenai cinta, cinta kepada sesama manusia, diri sendiri dan Tuhan. Ianya juga mengemukakan tema yang berupa kritikan terhadap seseorang atau  masyarakat yang mempunyai sikap atau tindakan yang bertentangan dengan norma masyarakatnya, yang bagi penulis hal tersebut seharusnya   tidak akan berlaku.  Selain itu,    kebanyakan puisi dalam antologi Menjilbab Cinta  ini juga ditulis dalam  bentuk dan bahasa yang menarik yang menimbulkan nilai-nilai keindahan.

Sebagai cadangan dalam pertemuan ini, diharap dalam masa yang terdekat kedua-dua buah persatuan penulis akan dapat menerbitkan lagi beberapa buah antologi bersama baik dalam genre puisi mahupun genre cepen atau drama pentas. Semoga hubungan dan kerjasama yang sudah terjalan akan bertambah kukuh dan kita akan dapat sama-sama menganjurkan beberapa kegiatan yang bersesuaian dimasa akan datang. Sekian. Terima kasih.


[1] Kertaskerja bagi Bicara Buku Menjilbab Cinta anjuran Ikatan Penulis Sabah (IPS) dengan kerjasama DBP Cawaangan Sabah, di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah pada 15 Febuari 2014.