SETIAP
tiba hujung tahun kita sering ditanyakan apa yang sudah berlaku. Selepas itu
ditanya lagi apa yang akan berlaku apabila awal tahun menjelma. Maka pelbagai
hal diambil kira. Ada yang dengan berjaya melalui masa lalunya dengan tidak
kurang juga yang gagal menepati sasaran.
Bagi yang tidak meletakkan sebarang nilai terhadap hari-harinya sama ada
yang lepas atau yang mendatang barangkali tidak bersusah payah untuk mengingati
apa-apa. Rugi atau untung bukan soalnya. Namun dengan menganggap rugi dan
untung semata-mata sudah tentu tidak juga memberikan sebarang nilai sekiranya
setiap individu itu tidak menjadikan untung dan ruginya sebagai pedoman hidup
selanjutnya. Mengejar atau terus tewas perlu menjadi asas motivasi yang kekal
dan malah siaga kepada orang-orang yang cintakan perjuangan dan kejayaan.
Dalam
konteks dunia sastera, untung dan rugi juga sering menjadi percaturan para
penulis. Untungnya penulis yang rajin, produktif serta prolifik berkarya sudah
pasti bakal meriah kejayaan. Dengan menang sayembara secara berganda lantaran
usahanya yang gigih merupakan untung yang berbaloi. Menulis sebuah novel untuk
peraduan sudah tentu suatu kerja yang tidak mudah kerana dengan acuan atau
sukatan waktu yang telah ditentukan harus menyiapkan manuskrip sebelum sampai
pada garisan penutup harinya mata fikir dihentikan. Penulis yang terjebak dalam
dunia sayembara akand menghadapi dua keadaan, pertama dia berjaya menghasilkan
karya yang hebat kerana telah menyediakan bahan-bahan terlebih awal. Kedua,
penulis yang menulis secara tergesa-gesa dan memaksa-maksa untuk menyiapkan
manuskripnya. Bahannya terlalu sedikit dan menah. Begitu dia mengejar masa
penulis ini akan terpuruk oleh masalah karya yang tidak matang.
Walau
apapun keadannya, penulis novel ini tetap merasa untung walaupun tewas dalam
penilaian sayembara kerana dia telah menyelesaikan satu tugas yang amat
mencabar dengan menghasilkan sebuah manukrip novel yang sudah tentu walaupun
tidak menang tetapi masih boleh diterbitkan selepas melakukan pembaikan
selanjutnya. Untungnya juga nanti malah bakal menyaingi novel-novel yang meraih
hadiah. Sambil berkata kepada sang rugi, antaranya yang tidak menyiapkan
apa-apa karya waima menyertai sayembara. Rugi kerana tidak menulis sebaris ayat
pun untuk sajak-sajaknya. Menulis di FB pula hanya menyalin ungkapan atau
kata-kata hasil perahan otak orang lain. Budaya ‘cut and paste’ terus
berleluasa bukan semata-mata di muka buku bahkan kepada para pelajar pengajian
tinggi. Meski nanti menjulang ijazah tetapi rugi kerana tiada ilmu yang dibawa
bersama setelah menyelesaikan pengajian akibat budaya ‘cut and paste’ itu.
Barangkali
untuk mengekalkan untung dalam dunia penulisan, para penulis perlu menyediakan
sasaran kerja masing-masing. Sasaran Kerja Tahunan atau SKT yang pernah saya
utarakan dalam ruangan ini wajar disiap siagakan menjelang tahun baru untuk
meletakkan keupayaan mereka dalam dunia mencabar itu. Katakan sahaja dalam tahun
mendatang dianggarkan dua atau tiga jenis sayembara akan dianjurkan, contoh
novel, sediakan rangka manuskrip yang bakal ditulis. Begitu juga cerpen dan
puisi bahkan bagi kriteria yang lain juga. Misalnya setiap bulan dua buah
cerpen bakal terhasil dan sekurang-kurang lima buah puisi yang bermutu bukan
sahaja ditulis bahkan disiarkan. Disiarkan di mana? Sudah tentu pertanyaan ini
dijawab dengan penghantaran ke semua media tanpa satu pun tinggal. Ini trend
penulis kita masa kini, tidak mahu ketinggalan apa tah lagi promosi bagi
media-media massa terus diberikan perhatian. Dengan trend ini juga memberikan
kesempatan kepada para penulis nusantara menyertai perkembangan sastera kita.
Ironinya pula apakah karya kita juga diberikan ruang di tempat mereka? Kalau
Pak S Kadarisman kata, ini tidak adil! Apa boleh dilakukan kerana begitu
pemurahnya pihak editor kita dengan alasan yang menarik yakni ingin melihat
kelainan atau perbezaan pengkaryaan. Ruginya wujud di sini kerana ruangan yang
ada itu disediakan pula kepada orang lain. Untungnya pula barangkali, penulis
baru boleh belajar atau mengikuti corak penulisan mereka dari luar sana. Masih
ada juga surung tarik untung ruginya di sini.
Penulis
di Sabah memang beruntung sekali. Boleh dikatakan bahawa antara penulis yang
memang bertuah di Malaysia adalah penulis Sabah kerana karya mereka telah
banyak terpilih dalam produk penerbitan ITBM mengalahkan DBP. Lebih beruntung
lagi dalam penilaian Sastera Perdana Malaysia baru-baru ini, karya-karya yang
diterbitkan ITBM antara yang menang itu hasil karya penulis dari Negeri Sabah.
Ini memberi tunjuk bahawa untungnya penulis yang berwibawa rajin dan kreatif.
Mereka terus berlumba-lumba menghasilkan karya apabila ruang terbuka luas untuk
mengenengahkan pemikiran mereka. Terkesan juga bahawa siapa yang lambat
bermakna dia menjadi penulis paling rugi terutama yang langsung tidak produktif
menulis tetapi masih enggan melupakan bahawa diri itu seorang penulis. Penulis
masa lampau, penulis kenangan, penulis yang tidak lagi berupaya mengembalikan
kegemilangannya. Sebab itu beberap penulis veteran kembali, dan ikut sama
mengemukakan karya mereka untuk dinilai. Alhamdulillah bagi yang mampu mengikut
rentak pendekatan semasa, buku-bukunya akan dibeli dan dibaca, bukan dibeli
tapi di simpan dalam almari kaca.
Ruginya
pula apabila banyak buku yang diterbitkan itu tidak dibicarakan secara ilmiah
waima resensi sekali pun. Nah, untuk tahun yang bakal menjelang ini nanti,
sudah tentu satu usaha pemugaran penulisan akan dilaksanakan dengan pengisiannya
membicarakan buku-buku yang terbit itu secara tuntas dan serius. Jangan terlalu
memfokuskan kepada dunia sayembara atau penghasilan karya kreatif, tetapi
mengambil kira juga hal-hal kritikan, promosi dan menambah nilai. Penganjur
yang melaksanakan ini perlu juga memberikan tumpuan secara terancang dengan
meletakkan kriteria-kriteria tertentu. Novel, cerpen dan puisi mengikut tema,
gender, pengalaman dan sebagainya. Usaha memilih-milih begini diperlukan untuk
memberikan tahap-tahap tertentu kepada penulis yang berkenaan. Kita perlu juga
mengenalpasti tema apa yang wajar dan tidak wajar diketengahkan. Selain
daripada itu, apakah sudut pandangan para novelis kita telah berani menerobos
pemikiran semasa? Puisi-puisi para penyair Sabah pula apakah acuan yang telah
mereka pilih dan siapa penyair-penyair yang telah memperlihatkan keupayaannya
mencipta flatform yang tersendiri. Paling tidak ada usaha memilih penyair bagi
setiap tahun atau bagi setiap dekad.
Para penulis memang beruntung dari pelbagai
segi. Di samping rugi yang ada tetapi tidak begitu difikirkan seperti saya
maksudkan di atas lantara tumpuan kebanyakan penulis lebih kepada dunia
pengarangan. Belum ada yang berani menulis kritikan. Jika boleh kritikan
ditulis oleh mereka yang berilmu kritikan dengan disiplin kritikan. Bukan dia
juga seorang penulis kreatif, di samping itu menulis kritikan. Memang ada yang
berhasrat melakukan kerja berat ini. Walaupun tidaklah menjadi dosa jika anda
boleh menulis semua genre dan semua boleh dilakukannya dengan berjaya.
Barangkali boleh juga diadakan sayembara kritikan sastera. Sudah pasti ramai
yang ingin menyertai dengan harapan bukan hadiah yang dilihat tetapi sekaligus
juga aktiviti kritikan itu sendiri. Insya Allah dunia kritikan juga akan ada
untung lebih hebat daripada ruginya bagi yang tidak menulis sebarang apa kerana
baginya, tidak menulis itu juga termasuk dalam gelora dunia sastera!