PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



27 Ogos 2014

Acuan Sastera di Sabah




MENGAPA kita memerlukan sastera? Kehidupan yang serba canggih kini kita terus berkisah mengenai satu dunia yang tidak ramai yang memilihnya. Dalam situasi dunia hari ini yang sedang diancam oleh satu bentuk penjajahan baru, kita masih bertatih-tatih membincangkan bagaimana sastera harus menjadi wahana perjuangan. Apa yang diperjuangkan? Saya fikir bukan soal bagaimananya tetapi acuan perjuangan menggunakan sastera itu sendiri perlu diberikan perhatian. Acuan yang bagaimana perjalanan sastera itu yang sewajarnya lebih terarah, jelas dan memberikan hasil yang maksimum. Acuannya tidak terletak kepada gah atau tidaknya sesuatu gerakan. Acuannya juga bukan berdasarkan meriah atau tidaknya sesuatu aktiviti itu dilaksanakan. Acuan sastera perlukan roh yang dapat dirasai, dinikmati dan disenangi.

Azmah Nordin dalam sebuah catatannya merumus bahawa karya sastera bergantung pada suasana dan waktu penciptaannya. Sebagai contohnya, karya zaman perang Jepun dahulu kala, sudah tentu tidak sama dengan karya masa kini dalam dunia teknologi serba yang serba canggih. Apakah pihak pengkaji sastera mampu mencakup segalanya ke dalam satu ruang masa bagi menentukan hakikat pengertian sastera dan menetapkan satu definisi yang tepat? Karya sastera, pada hakikatnya, merupakan satu hasil kreativiti manusia dan kreativiti itu merupakan sesuatu yang sangat unik dan bersifat individualistik. Malah, kadangkala, kita melihat bagaimana pihak pengkaji begitu cenderung merujuk kepada karya-karya Barat, sedangkan semua orang tahu, tidak semestinya yang dilakukan untuk karya Barat, sesuai diterapkan pada karya-karya tempatan.
Jadi, kenapa sastera penting pada kita? Mudah saja jawapannya; karya sastera penting pada kita, sebab ia `bercakap’ dengan kita, kerana ia bersifat universal dan ia memberi kesan kepada kita. Biarpun tema yang diangkat dalam karya itu begitu lemah atau kurang menarik, ia akan berubah menjadi kuat dan indah apabila ditulis dalam bentuk sastera.
Sesungguhnya, tidak ada cara yang lebih baik untuk melihat perbezaan budaya, kekayaan warisan manusia, menilai perbezaan antara luahan daya kreativiti manusia daripada pelbagai aspek – selain daripada karya sastera. Membaca sebuah karya sastera yang hebat adalah satu nikmat yang unggul, tentunya. Sebuah pengalaman untuk mempelajari pelbagai perkara; tentang apa dan bagaimana, tentang keutuhan atau ketidak-sempurnaan sebagai manusia, dengan segala tindak-tanduk, impian dan kisah silam, kesendirian, dalam perhubungan dengan sesama insan, penampilan di mata masyarakat, juga di relungan rahsia dan aliran kesedaran.
Kita telah dijelaskan daripada sudut pandangan seorang sasterawan unggul, tentu pula berbeza daripada pandangan individu lain. Apapun juga pendapat atau rumusan nya mengenai pentingnya sastera dalam kehidupan manusia, sastera perlu diperlaku mengikut acuan-acuan tertentu yang utuh. Keutuhan dari segi matlamat serta imbangan antara hasrat dan niat. Apakah hasil acuan yang berarah tuju yang mulia itu mampu menemukan fungsi sebenarnya sastera.
Seperti yang diungkapkan oleh ahli falsafah Yunani, Horatius, iaitu dulce et utile bermaksud menyenangkan dan berguna, seharusnya menjadi akar tunjang bagaimana sastera harus digerakkan. Menyenangkan kerana karya sastera memberikan kenikmatan, tidak memaksa siapapun; berguna kerana mengisyaratkan pada suatu yang pantas diperhatikan secara sungguh-sungguh. Menurut Aristotle sastera berfungsi katarsis yakni pencucian emosi, iaitu membebaskan pembaca sekaligus pengarang daripada tekanan emosi, batin dan perasaan.

Sebuah karya seni yang baik adalah seni yang sebesar-besarnya bermanfaat untuk masyarakat. Karya seni diciptakan untuk tujuan kepentingan masyarakat agar dapat meningkatkan kehidupan yang lebih baik. Menurut Dr. Yusuf Qardhawi, syarat-syarat sesuatu menjadi karya seni ia memberi manfaat, bukannya mendatangkan mudharat; membangun, bukan malah merosak (1998:22).
Bahkan Presiden John F. Kennedy mengatakan bahawa jika kekuasaan bengkok maka puisilah yang harus meluruskan. Hal ini menyatakan bahawa puisi sebagai salah satu karya sastera mempunyai peranan dalam mempengaruhi seorang pemimpin dalam menjalankan pemerintahan untuk mengeluarkan kebijakan-kebijakan yang memihak kepada masyarakatnya.
Dalam konteks sastera Malaysia di Sabah, saya menemukan sekurang-kurang enam pegangan sastera yang di'anuti' para penulis, penggiat, pemimpin dan orang awam yang secara tidak langsung berada dalam lingkungan galaksi sastera itu. Pegangan sastera yang kemukakan di sini adalah sastera berbentuk individu, sastera berkisar kelompok, sastera bernadi nusantara, sastera 'tapuk-tapuk', sastera ala-GAPENA dan sastera ala-BAHASA.
Ini acuan-acuan gerakan sastera yang sedang berlangsung di Sabah. Ada penulis yang lebih gemar memilih acuannya secara mandiri. Tanpa persatuan, dia lebih selesa malah masih mampu membantu gerakan sastera menerusi karya-karyanya.  Baginya karya-karya sastera lahir bukan bersebab kelompok tetapi penulis itu sendiri. Di Sabah kelompok-kelompok penggerak sastera banyak membantu perkembangan sastera kerana kewujudan kelompok-kelompok ini sering menjadi pemangkin aktiviti-aktiviti persuratan seperti bengkel penulisan, seminar pemikiran penulis, program baca puisi dan sebagainya. Namun ada masanya gerakan secara kelompok ini menjadi wahana sesetengah pemimpin politik sebagai landasan keperluan. Dengan menyalurkan dana atau menerusi kedudukan yang dimiliki, sesuatu motif menggemilangkan sastera itu disertai dengan hasrat yang tersembunyi. Namun apa yang penting, bukan nilai sastera tetapi acuan yang kelihatan. Sastera bergema.
Bagaimana pula dengan gerakan sastera yang bernadi nusantara. Fenomena ini tidaklah perlu diukur sebagai nusantara hanya kerana hadirnya seorang dua sasterawan dari daerah-daerah nusantara. Barangkali sekadar meminjam sebagai sebuah jenama. Begitupun acuan ini memberi kelebihan yang tersendiri apabila peluang mengenali seorang dua tokoh terbaik sasterawan nusantara. Dan, saya percaya ini bukan bermakna negara kita tidak ada tokoh yang terbaik berbanding negara-negara serantau berkenaan.
Sudah tentu lucu mengapa ada juga acuan sastera 'tapuk-tapuk' yang bermaksud aktiviti yang tersembunyi hinggakan terdapat penulis yang terlepas pandang mengenai wujudnya aktiviti-aktiviti yang dipelopor oleh sesetengah kelompok berwibawa. Namun acuan begini seharusnya tidak terjadi dengan alasan apapun. Soal perkongsian ilmu sepatutnya melibatkan semua pihak. Mengapa perlu tapuk-tapuk?
Begitu wujudnya suasana 'tapuk-tapuk' sesetengah aktiviti anjuran GAPENA sering  terlepas untuk disertai sebilangan penulis. Acuan ala Gapena ini lebih mementingkan ahli-ahli yang bersama dalam kelompok atau menjadi kerabatnya sahaja. Para penulis memilih aktif secara sendiri atau yang menyertai kelompok tetapi bukan kerabat Gapena, akan tertinggal. Namun jika berpeluang sekali pun ia bersifat taraf kedua dan seterusnya. Senario ini wajar diubah. Demikian juga acuan yang saya kenali sebagai acuan sastera ala-BAHASA, namun bukanlah suatu yang silap kerana kelompok ini lebih mementingkan ahli menjadi hak mutlaknya. Kelompok lain juga pasti melakukan hal yang serupa. BAHASA telah menentukan standardisasinya yang tersendiri malah mampu bergerak melalui peruntukan yang besar mendahului kelompok-kelompok sastera yang lain. Sampai bila keadaan begini menjadi standard yang dimaksudkan kita tidak tahu melainkan pihak Kerajaan Negeri memberikan satu peruntukan tahunan kepada persatuan-persatuan penulis.
Melihat senario akhir-akhir ini, agensi yang sebenarnya dipertanggungjawabkan iaitu Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP) perlu kembali melaksanakan program-program seperti sebelumnya. Dengan meneruskan mana-mana kelompok melaksanakan aktiviti masing-masing, DBP juga harus memastikan agensi ini juga menggerakkan program yang besar. Bukan bermakna kelompok-kelompok sastera yang ada tidak memiliki otoriti yang boleh dipertanggunjawabkan, sebagai sebuah agensi kerajaan, DBP sepatutnya berada di hadapan dan menjadi payung yang kuat. Sesungguhnya DBP menjadi tempat semua penulis berlindung, menerima bimbingan, peluang menimba ilmu lebih jauh sepertimana yang berlaku sebelum ini. DBP bukan tempat yang mandatori memberikan dana tetapi hanya sebagai sebahagian agensi yang membantu mengikut keperluan dan kemampuannya. Seperti ujar Tuan Haji Jamaluddin Mohd Sulong, mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah, fungsi-fungsi DBP tidak pernah berubah, yang berubah hanyalah kepimpinannya. Sebab itu, DBP harus dihormati dan harus diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Acuan sastera lebih jelas bentuk dan kedudukannya bahkan gerakan sastera kita akan lebih dihormati.

RUMAH PUISI HASYUDA ABADI
 

Tiada ulasan: