PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



30 April 2014

Unsur-unsur dalam cereka

SIMILE, PARADOKS, FUTURISTIK DAN MELANKOLIK

TERDAPAT pelbagai tema atau unsur dalam penulisan cerpen. Antaranya simile, paradoks, futuristik dan melankolik.

SIMILE
Unsur simile iaitu tamsil atau kiasan yang membandingkan dua subjek yang mempunyai sifat atau nilai yang sama. Sebagai contoh, hubungan ayah dengan anak ditamsilkan kepada hubungan sejarah dengan manusia. Ia memperlihatkan persamaan nilai yang dimunculkan dari sisi "anak dan manusia" yang sering melupakan tentang bejana dan acuan yang wujud dalam imej "ayah dan sejarah" yang membentuk kejayaan mereka pada masa kini. Unsur ini menumpukan pada aspek nilai dalam menggerakkan keseluruhan cerita.

PARADOKS
Unsur paradoks iaitu suatu pernyataan yang sekali imbas kelihatan bertentangan atau salah menurut pendapat umum atau kelihatan agak aneh bunyinya. Namun begitu, apabila dilihat lebih dalam, unsur ini mempunyai kemunasabahannya. Paradoks dalam konteks sastera merupakan satu unsur retorik yang digunakan untuk menarik perhatian umum dan digunakan juga untuk menimbulkan penekanan.

Sebagai contoh, penulis menjadikan watak seorang pengemis yang tiba-tiba menjadi ahli fikir yang bijak berfalsafah tentang kehidupan dan sebagainya. Penulis menjadikan pengemis tersebut sebagai kenderaan untuk menyampaikan fikiran tentang peri peranan masa dalam kehidupan manusia. Dengan mewujudkan watak pengemis yang berfalsafah itu, penulis telah mewujudkan sedikit unsur paradoks.

Bagaimanapun, unsur paradoks ini tidak dapat memberikan kesan kekaguman yang kuat kerana wujudnya kecelaruan akibat keghairahan penulis untuk berfalsafah. Akibatnya, cerpen yang ditulis mungkin meninggalkan lompang-lompang yang kabur dalam fikiran pembaca.

Walau bagaimanapun, unsur ini mungkin lebih berjaya jika penulis lebih banyak membaca bahan-bahan bacaan yang menyumbang kepada pembinaan premis pemikiran yang ilmiah dan praktikal.

FUTURISTIK
Unsur futuristik ialah imaginasi tentang situasi atau proses dunia masa hadapan yang dicerekakan. Dari sisi yang lain, unsur ini memunculkan aliran futurisme iaitu pemikiran yang menolak tradisi masa lampau dan masa kini. Dalam konteks kesusasteraan, unsur ini menumpukan pada percubaan melahirkan suatu bentuk pengucapan formal kepada kuasa dinamik dan pergerakan proses mekanikal, sesuai dengan zaman yang dipenuhi oleh kuasa jentera dan serba-serbi yang pantas dan maju.

Sesebuah cereka futuristik harus difahami bukan hanya menampilkan watak dan latar imaginatif yang lahir secara khayal begitu sahaja tetapi juga hubungan antara fakta dengan aspek kemunasabahan yang jelas. Sebuah cereka futuristik mudah dihasilkan dengan bercerita tentang makhluk asing, kapal angkasa, perang galaksi dan teknologi yang amat canggih. Namun, kesannya tidak membina sevuah cerita atau cereka yang dapat membina sebuah cerita atau cereka yang dapat memberikan kekaguman kepada pembaca. Bahkan ddari sudut lain, cereka tersebut menjadi cereka atau subjek klise dan stereotaip.

Sebuah cereka futuristik yang baik harus mempertaut fakta, logik, pemikiran dan analisis terhadap kemungkinan yang berlaku pada masa hadapan berasaskan ilmu pengetahuan atau sains yang bersifat penerokaan. Ini memperlihat bahawa cereka futuristik yang baik banyak bergantung pada sifat objektif dan praktikal. Satu lagi hal yang perlu diperhatikan ialah mentaliti penulis yang rata-ratanya beranggapan bahawa nama-nama yang bersifat Barat adalah wakil kepada kemajuan teknologi. Ini sebenarnya tanggapan yuang tidak berasas.

MELANKOLIK
Unsur melankolik iaitu nada mendayu-dayu yang membangkitkan emosi pada setiap peristiwa dalam pembinaan ceritanya. Contohnya, kisah protagonis yang hidup didera oleh ibu serta bapa tirinya dan menderita sakit sehingga usia dewasanya akibat dari penderaan tersebut. Watak diwujudkan dalam keadaan serba naif, daif dan pesimis.

Cerpen melankolik ada ketikanya dapat membawa pembaca kepada hal-hal yang menimbulkan kesedaran dan teladan terhadap peristiwa yang tidak disedari umum. Perkara ini tentunya memberikan suatu bentuk kekuatan atau unsur kekaguman terhadap cerpen yang berjaya menemukan titik kesedaran tersebut. Namun, yang perlu diketahui bahawa cerpen melankolik yang berjaya banyak bergantung pada unsur-unsur spontan dan peristiwa munasabah.

Sebaliknya, cerpen melankolik akan gagal dan hambar jika dipaksa-paksa untuk memeras simpati pembaca. Pembinaan jalinan peristiwa yang terlampau terikat pada "paksaan emosi" akan menghilangkanaspek kespontanan yang menjadi asas kekuatan unsur melankolik. Adakalanya cerpen melankolik yang hebat dan kuat menggabungkan unsur humor, naif dan tragedi. Semua unsur ini wujud secara bersahaja dan tidak terlihat jelas untuk memaksa emosi pembaca. Namun, akhirnya unsur ini secara tidak disedari menimbulkan kesan yang cukup menusuk nubari pembaca.

Cerpen melankolik yang baik sebenarnya perlu lebih menumpukan usaha untuk menimbulkan kesedaran bukannya kesedihan. Penulis pada masa yang lain perlu lebih bijak bermain unsur-unsur spontan untuk menghasilkan sebuah cerpen melankolik yang berkesan dan menusuk perasaan pembaca.

Kesimpulannya, unsur-unsur yang telah disebutkan di atas biasanya digunakan untuk menjadi teras dalam penulisan cerpen. Keberkesanan mana-mana unsur dalam penulisan cerpen bergantung kepada kekreatifan dan imaginasi penulis itu sendiri.

Tiada ulasan: