PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



21 Disember 2009

*Sastera Sabah Menjelang 2010

DUNIA penulisan di Sabah tidak jauh bezanya dengan iklim penulisan di tempat-tempat lain khususnya dari segi kerencaman untuk mengangkat bakat sastera yang dipunya para penulis. Persamaan yang amat ketara ialah meletakkan tanggungjawab untuk membesarkan mereka. Membesar dalam erti kata yang maha luas iaitu memberi dorongan berbentuk ilmu, memugarkan ilmu yang mereka terima menerusi latihan atau bimbingan yang berterusan. Dorongan juga boleh diberikan berasaskan semangat saling ringan minda melakukan saranan sehingga menghasilkan bukan sahaja produk sastera yang baik tetapi mutu seorang penulis yang hebat dan berwibawa, malah dihormati suatu hari nanti.

Sejak 1 dekad lalu bermula era milenium baru hingga kini memang agak sukar untuk memperolehi data yang kemaskini kumpulan penulis yang terampil sama ada novel, puisi atau cerpen bahkan kritikan sastera di Sabah. Malah saya fikir penulisan skrip drama juga. Tidak seperti pada dekad-dekad sebelumnya, saya fikir kita boleh dengan bangganya menyebut kumpulan penulis yang amat konsisten, meski sebahagian besar daripada mereka telah melupakan dunia sastera. Namun saya yakin cinta sastera sebenarnya tidak pernah luntur.

Kerana itu dicadangkan agar usaha dilakukan misalnya mengenalpasti penulis-penulis yang diakui genre penulisan mereka kemudian meminta mereka tampil untuk memperkatakan proses kreatif masing-masing. DBP Sabah misalnya mempunyai majalah Wadah dan Jendela Sabah. Gunakanlah ruang yang ada itu khusus untuk para penulis kita berkreatif dengan aktif. Peluang perlu sering diberikan kerana upaya untuk mereka tampil tidak datang dengan sendirinya. Mereka perlu didekati. Para penulis harus dimesrai, diberikan kepercayaan untuk menjelaskan siapa mereka untuk karya sastera mereka. Para penulis tidak mungkin mahu mengatakan dialah penulis yang baik. Apakah hanya dengan satu atau dua buah karya ataupun beberapa buah buku antologi puisi, misalnya mereka sudah bergelar penulis? Tentu subjektif sifatnya. Begitu juga dengan sebuah buku kumpulan cerpen, apakah gelar penulis itu sudah memadai buatnya?

Kelihatannya begitu mudah, dan ini boleh kita lihat dalam sebuah buku yang memuatkan penulis-penulis terbitan DBP Sabah. Ada kalangan individu yang tidak sepatutnya berada dalam buku tersebut, apatah lagi maklumat yang ada tidak kemaskini. Wajarkah ia dijadikan rujukan? Ia hanya berupa sejarah yang sukar membuktikan keberadaan mereka menerusi industri karya yang berterusan. Persoalannya apakah susah sangat untuk mengumpul senarai penulis yang benar-benar berwibawa? Apakah tidak ada mekanisme yang sistematik untuk melakukan usaha ini? Rasa saya tidaklah sukar sekiranya ia ditangani oleh tenaga kerja yang faham, komited, rela hati, berminat, rajin, kreatif, inovatif, berfikiran terbuka, gemar menerima pandangan dan tidak mementingkan diri sendiri. Jika sebuah agensi yang hebat tidak dapat melakukannya, siapa lagi? Berbaloikah dana yang diberikan oleh kerajaan untuk dijadikan emolumen elaun itu dan ini agar sesuatu projek yang dilakukan itu berjaya, tetapi apa yang diharapkan tidak lebih daripada hasil kerja yang amat merugikan untuk jangkamasa yang panjang.

Jangan dipersoalkan lagi apakah relevan aktiviti-aktiviti sastera tanpa melibatkan para penulis di sesuatu daerah itu, padahal aktiviti seperti itulah yang menyebabkan status kepenulisan mereka 'hidup'. Aktiviti sastera itu untuk para penulis! Ini ungkapan yang tidak boleh dipertikaikan. Inilah juga natijah mengapa penulis tidak selalu kelihatan dalam program-program berkaitan dunia penulisan itu sendiri. Ruang hadirin sentiasa diisi oleh para pelajar atau individu yang dipaksa. Sudah pasti ini bukan kesan yang diharapkan pihak pengajur, tetapi dengan mengambil kira jadinya sesebuah aktiviti bermakna sesuatu telah dilakukan, bagi melengkapi sasaran kerja para pegawai projek. Mungkin tidak lebih daripada itu!

Tidak banyak yang diharapkan menjelang 2010 untuk sastera, kecuali para penulis tidak pernah putus asa untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu. Tidak pernah patah semangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti anjuran DBP mahupun NGO persuratan yang ada di Sabah. Apatah lagi zaman 'mewah' sudah berlalu apabila dana untuk sastera mengalami nasib yang sama dengan urusan-urusan lain di negara kita ketika ini. Saat dunia sastera punya kelebihan dana, kita tidak mendapat bahagian yang adil apabila ada sesetengah program tidak begitu relevan dengan kos yang besar. Padahal dengan kos yang digunakan itu boleh menyelesaikan banyak aktiviti yang menguntungkan para penulis sendiri, misalnya program penataran, penerbitan dan apresiasi.

*Kesan pertemuan dengan penulis-penulis dari Utara Sabah ~ Saibil Madun, Jair Sulai dan Mastari Kanjabun di Kudat pada 19 Disember 2009. Lokasi: Restoran Rakyat, Kudat.

~ Hasyuda Abadi ~
Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu
Sabah.

Tiada ulasan: