PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



10 November 2008

Gerbang Ketua Satu



 IPS dan generasi barunya

TAHUN 2015 merupakan tahun penting bagi Ikatan Penulis Sabah (IPS). Pada tahun itu kelak usia persatuan penulis ini akan melalui satu fasa baru - suku abad pertama nya atau usia ke-25 tahun pertamanya semenjak ditubuhkan pada 24 Mac 1990. Sebagai sebuah persatuan penulis yang bermaruah, IPS bersiap sedia menganjurkan Perayaan Jubli Peraknya tahun depan dengan pelbagai program dan aktiviti.

Menjadi Ketua Satu IPS selama hampir dua dekad, saya cukup dewasa untuk memperkatakan sumbangan IPS. Saya mempunyai satu sikap bahawa apabila sesebuah organisasi ditubuhkan ia harus memberikan sesuatu kepada mereka yang menjadi tonggak selain memastikan semua objektif yang termaktub dalam perlembagaannya dipenuhi. Kemudian, bagi saya sumbangan daripada sebuah persatuan yang sederhana dalam segala segi tidak semestinya ia dilihat hanya melalui program-program yang besar. Walaupun kemampuan IPS itu kecil namun ia tetap meninggalkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat, kepada ahli-ahlinya dan kepada negara, dengan kata yang mudah dan mulia iaitu menghasilkan impak yang besar. IPS tidak mungkin mampu bergerak sehingga ke hari ini seandainya cabaran untuk mengekalkan sikap sedia ada melalui semangat kesetiaan, keseiaan dan paling penting kesederhanaannya tidak dihadapi dengan bijaksana.

Sesuai dengan sebuah motto yang saya perkenalkan iaitu 'Berwastiyyah Kesejagatan Sastera', intisari motto menjadi landasan kebersamaan melalui semangat kekeluargaan dan persahabatan. Persatuan dalam fikiran saya bukan untuk meraih faedah persaingan apatah lagi keuntungan bersifat material. Apakah yang kita faham tentang kebersamaan dalam IPS? Walaupun saya memimpin persatuan kecil ini namun, segala keputusan menjadi agenda semua orang dalam persatuan. Mungkin sesetengah orang menganggap saya tidak layak kerana menuduh kononnya kelemahan saya membangunkan IPS agar lebih hebat, memiliki aset, mempunyai wang yang banyak sehingga boleh memberikan kemewahan kepada ahli-ahli, mempunyai itu dan ini, melaksanakan aktiviti bertaraf serta pelbagai gambaran yang ingin meletakkan IPS itu sudah berada pada landasan yang tidak tepat.

Saya ingin berkata bahawa semua gambaran itu dilakukan oleh orang 'silap mata.' Hanya yang selalu bermain silap mata sahaja berusaha untuk mengaburi pandangan bagi meraih kepercayaan orang terhadap perbuatannya itu. Saya tidak ingin menyentuh siapakah pemain silap mata itu, kerana apa yang paling penting adalah ingin membawa IPS meneruskan perjalanannya pada satu landasannya sendiri. Bukan landasan yang dikatakan dimiliki pihak lain. IPS harus mempunyai produk, disiplin dan sikapnya sendiri. Ketiga-tiga hal ini harus dihormati dan wajib IPS perhebatkan walaupun dalam skala yang sifatnya sederhana namun IPS tetap akan menempatkan kesemuanya dalam hati orang ramai dengan ketelusan dan amanah menjadi keutamaan.

Saya ingin memperkatakan kepada anda produk IPS yang lalu dan mendatang. Memberi ingat kepada yang pernah tahu dan memberi tahu kepada yang baru ingin tahu. Dalam tempoh dua dekad lebih, IPS turut mewarnai kegiatan persuratan tanah air. Program-program seperti Malam Nostalgia Sasterawan Sabah 1 & 2, Minggu Sastera Sabah, Khemah Sastera IPS, Peraduan Menulis Puisi Ramadan,  Dialog Sabah Baru, Pengucapan Umum Shuhaibun Yussuf, Anugerah Sastera K.Bali di samping penerbitan karya ahli serta majalah berkala Komposisi. IPS turut melangkah lebih versitil dengan penubuhan Institut Penilaian Sastera Sabah (INPES) yang dipelopori oleh Ahli Kehormat IPS Dato' Haji Dr Janatan Kandok sebagai Pengerusi Eksekutif. INPES mendapat kelulusan penubuhannya oleh Amanah Raya Berhad (ARB) setelah mendapat perkenan Tuan Yang Terutama Yang DiPertuan Negeri Sabah pada 2001. INPES berusaha untuk memberikan penilaian kepada karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh para penulis Sabah dengan acuannya sendiri.

Dalam usaha untuk mengetengahkan generasi baru agar siaga tampil di hadapan khalayak, IPS kini ingin memperkenalkan satu produknya iaitu program yang dinamakan 'Santai Minda'. Program ini merupakan kesinambungan program Pengucapan Umum Shuhaibun Yussuf (PUSY); bezanya PUSY berbentuk syarahan atau pidato persendirian tetapi Santai Minda menampilkan beberapa orang ahli generasi baru diberikan ruang untuk bercakap mengenai isu-isu tertentu yang difikirkan sesuai buat mereka.

Santai Minda berbentuk 'talk show' yang dikendalikan oleh para moderator terdiri daripada para senior yang ada di IPS. Program Santai Minda akan bermula pada 10 Mei ini di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah. Program perkongsian pemikiran ini akan berlangsung setiap bulan atau minimum enam kali setahun. Bagi tahun ini pelbagai genre akan diketengahkan misalnya genre puisi menerusi isu deklamasi puisi, teater dalam kalangan penggiat muda, para penulis cereka di samping tokoh-tokoh ilmuan yang akan memberikan input berhubung dengan dunia persuratan itu sendiri. IPS berharap program ini boleh menjadi salah satu tanda aras dalam usaha membentuk generasi baru menghayati dunia penulisan sekaligus sebagai aktivis.

IPS harus menjadi pilihan dalam kalangan generasi muda apabila program teater membawa jenama pengilmuan melalui pementasan. Dalam hal ini, IPS turut membahui tanggungjawab pembentukan minat dalam kalangan generasi muda ini apabila Creative Stage IPS diwujudkan oleh Biro Teater IPS. Setelah pernah meraih kemenangan dalam Festival Teater tahun lepas dan pementasan teater 'Pinangan' selepas itu, grup teater di bawah pimpinan Erwan Azzaly Awang Taip atau Alloy ini akan memperkasakan lagi kegiatannya mulai Jun ini dengan sebuah pementasan Teater Randai di Kota Kinabalu. IPS amat komited dengan usaha gigih anak-anak muda dalam grup ini dan yakin teater tidak muncul hanya semasa festival semata-mata. Saya berharap teater diungkayah secara serius bukan menjadikannya semata-mata pengisian asal ada. Biarlah selepas pementasan audiens ingin lagi yang lain bukan mencemuh atas sikap asal ada yang amat merugikan pentas dan wang yang digunakan.

IPS juga komited dengan program penghayatan Islam selain Program Peraduan Menulis Puisi Ramadan misalnya tahun ini IPS akan menganjurkan Nadwah Sastera Islam dan Malam Pengucapan Puisi Hijrah sempena perayaan Maal Hijrah 1436. Program nadwah bukan bermaksud mengambil alih aktiviti yang sedia ada tetapi menambah lebarkan lagi mesej yang sama iaitu mengimarahkan tema-tema Islami dan berobjektifkan nilai-nilai murni dalam aktiviti berkenaan. IPS mempunyai pengalaman menganjurkan aktiviti pengucapan puisi Hijrah sebelum ini yang cukup berjaya. Mudah-mudahan pengalaman ini memberikan kekuatan untuk menambahbaik aktiviti seterusnya. Untuk memantapkan lagi pentas deklamasi puisi, IPS jua akan membuka pentas deklamasi kepada para deklamator terpilih secara solo. Tahun ini IPS akan menonjolkan pendekatan sajak-sajak jenaka (Sajen) oleh pelopornya di Sabah, Mohammad Puad Bebit. Kami juga telah menyenarai pendek beberapa orang tokoh penyair seperti Datuk Haji Jamdin Buyong, Datu Ruslan Sulai dan Hajah Zaiton Ajamain untuk mengisi slot ini. Sudah tentu penampilan mereka mempunyai corak yang tersendiri dan yang jelas berbeza daripada cara konvensional persembahan deklamasi sebelumnya.

Sejajar dengan matlamat pembinaan dan pemantapan para penulis sama ada mereka yang bergabung dengan IPS atau tidak, IPS tidak akan mengetepikan program penataran sastera. Biro Kreatif IPS Sandakan akan membuka tirai aktiviti di daerah itu pada pertengahan bulan Mei ini. Bengkel Penulisan Kreatif cerpen dan Puisi akan berlangsung pada 17 Mei di Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah Sandakan. Aktiviti ini dianjurkan oleh IPS dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan SMK Muhibbah Sandakan. Program penataran ini merupakan langkah awal  IPS dalam melaksanakan bengkel jelajah seluruh Negeri khususnya daerah-daerah yang telah mempunyai Biro Kreatif IPS. Daripada bengkel ini IPS membuka ruang untuk menjadi para peserta sebagai rakan IPS. Dengan berdoa mereka akan menjadi penulis selepas itu tetapi lebih berharga lagi sekiranya mereka menjadi keluarga IPS.


Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu.