PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



23 Mac 2010

Isu integrasi nasional


Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Dalam sastera, ia menjadi api dalam sekam kerana tiada usaha perkukuhkannya

ISU integrasi nasional dalam dunia sastera boleh menjadi api dalam sekam sekiranya tiada sebarang tindakan bererti dalam memperkukuhkan jambatan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Tidak hairanlah pengarang dari dua negeri yang kaya dengan budaya itu seolah-olah hanya akan dikenali di Semenanjung apabila mereka berhijrah atau berkhidmat di sini, manakala sebahagian besar pula lebih selesa berkarya dengan media pada peringkat negeri.

Kemudahan teknologi maklumat seperti e-mel, laman web dan blog serta pengangkutan tambang murah tidak banyak membantu dalam usaha mempereratkan hubungan kepengarangan, sebaliknya dibimbangi terjebak dalam senario seperti enau melepaskan pucuk masing-masing. Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jaafar Hamdan, mengakui penulis Sabah dan Sarawak kurang dikenali pada peringkat kebangsaan kerana wujud ‘sindrom rendah diri’ apabila berasa belum mencapai tahap untuk berada dalam kelompok kebangsaan.

“Mereka takut mencuba ruangan lebih besar bersifat kebangsaan kerana persaingan sengit sehingga mengambil jalan selamat untuk berada dalam kelompok kenegerian, meskipun ada sebahagiannya berjaya menembusi lingkaran kebangsaan.

“Secara umumnya, mereka lebih selesa menulis dan menghantar karya ke media di negeri sendiri atas sebab banyak faktor seperti isu yang diangkat lebih menjurus kepada negeri, nama yang lebih dikenali pada peringkat negeri, persefahaman antara editor dengan penulis, kurang persaingan daripada penulis dan lebih dekat dari segi isu, budaya serta sosial bagi pembaca,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Faktor ruang media lebih luas di negeri dikatakan turut mengundang pengarang menghantar karya mereka, selain kehadiran hadiah menilai karya mereka di negeri, menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk karya disiarkan dalam akhbar setempat.
Beliau menyarankan usaha ditumpukan untuk mencetuskan kesefahaman antara penulis di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bahawa perjuangan bahasa dan sastera perlu dilakukan secara bersama dan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Hubungan penulis sudah lama terbina, tetapi ada beberapa kekangan pada peringkat pengurusan selain pemisahan ekoran kedudukan geografi. Setiap pengarang perlu yakin sastera yang mereka ceburi adalah hak bersama dan perlu diperkasakan semua pihak,” katanya yang juga penyair dari Sarawak.

Lompong kosong dalam perhubungan pengarang dari dua wilayah itu turut diakui Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Jasni Mat Lani, yang menegaskan senario pengarang Sabah dan Sarawak kurang dikenali pada pentas kebangsaan.

“Saya sering membangkitkan pada pertemuan dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena). DBP perlu menerbitkan lebih banyak buku penulis Sabah kerana pada tahun lalu, hanya dua buku untuk semua judul dihasilkan oleh pengarang negeri ini.

“Kalau kita lihat buku biografi penulis terbitan DBP, Wajah juga tidak menyenaraikan seorang pun penulis dari Sabah termasuk Ismail Abbas atau lebih dikenali sebagai Amil Jaya, meskipun beliau ialah Penerima Anugerah Penulisan Sea 1992,” katanya.

Jasni mencadangkan DBP untuk menganjur program mempertemukan pengarang Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung, selain memperbanyakkan penerbitan judul buku pengarang kelompok terbabit untuk memperkenalkan mereka pada pentas kebangsaan.

“Seingat saya, DBP pernah menghantar penulis Sabah dan Sarawak untuk menghadiri program yang di Semenanjung, meskipun ketika itu tambang pengangkutan udara mahal. Malangnya ketika pengangkutan tambang murah kini, tidak ada pula sebarang program seumpama itu,” katanya.

Tanggapan pengarang itu diperakukan Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Awang Azman Awang Pawi yang mengakui pengarang dua negeri itu lebih selesa dengan wadah sedia ada bagi menampung karya kreatif dan bukan kreatif.

“Di Sarawak misalnya, ada Jendela Sarawak, Buletin Peribumi dan Yang Indah Itu Bahasa, selain pengarang baru meletakkan karya mereka seperti puisi dalam laman web dan blog. Saya percaya ada beberapa kelompok yang tidak tergerak hati untuk menghantar karya ke media di Semenanjung,” katanya.

Kelompok pertama ialah mereka yang berasa lebih selesa menulis dalam konteks di negeri sendiri kerana wadah terlalu luas di Sabah dan Sarawak, manakala kelompok kedua pula belum ada keyakinan tinggi untuk menembusi media arus perdana.

“Kelompok ketiga pula menolak persepsi yang menganggap karya tersiar di media Semenanjung bermakna sudah menjadi pengarang berjaya, sekali gus dianggap sebagai sikap media yang tidak mengiktiraf media di Sabah dan Sarawak
“Kelompok keempat pula berinteraksi dengan media baru untuk berkarya dengan sasaran dikongsi masyarakat dunia yang berbahasa Melayu dan Inggeris seperti Yusuf Fansuri, Zakaria Manan dan Hasyuda Abadi,” katanya.

Dr Awang Azman berkata, Sabah dan Sarawak bukan saja kaya dengan etnik berbanding Semenanjung Malaysia, bahkan mungkin menyamai jumlah etnik negara maju yang meraikan kepelbagaian etnik seperti Kanada dan New Zealand.

“Isu berkisar soal etnik ialah kekuatan yang diketengahkan sekiranya dilihat dalam konteks Sumpah Palapa, Bhinneka Tunggal Ika, 1Malaysia dan Islam Hadhari, manakala pemahaman budaya tempatan membantu menjayakan wawasan masyarakat glokal, iaitu berfikir global dan bertindak mengikut acuan lokal.

“Jika menekuni karya dari negeri ini isu integrasi memang dihasilkan sama ada sisi hitam atau sebaliknya kerana pengarang memperoleh sumber pengalaman langsung dan olahan kreativiti serta realiti, sesuai dengan hakikat tidak ada hitam atau putih sepenuhnya dalam kehidupan ini,” katanya.

Beliau turut menegur Perpustakaan Negara Malaysia yang belum pernah membeli buku kreatif pengarang Sarawak, selain mengharapkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menampung dana penyelidikan termasuk mengenai kesan sastera nasional di Sabah dan Sarawak.


Sumber: Berita Harian Online (23/3/2010)