PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



26 Januari 2010

RM 31 Ribu Hadiah Sayembara Novel Sabah


Berita gembira kepada para penulis Sabah!

SAYEMBARA Menulis Novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM31,000 dilancarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun di Wisma Tun Fuad, Kota Kinabalu.

Yang Dipertua (YDP) Bahasa, Jasni Matlani berkata, majlis pelancaran sayembara anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dengan kerjasama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) itu, turut dihadiri Penaung Bahasa, Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif.

“Sayembara anjuran Anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Bahasa ini, terbuka kepada warga Sabah dan bertemakan kepelbagaian etnik Sabah dalam konteks 1Malaysia. Pertandingan yang terbahagi kepada kategori dewasa dan remaja ini, dibuka sehingga 30 Jun ini,” katanya.

Jasni berkata, kategori dewasa sayembara itu menawarkan hadiah tempat pertama bernilai RM10,000; kedua (RM7,000); ketiga (RM5,000) dan dua sagu hati yang masing-masing sebanyak RM1,000.

“Bagi kategori remaja pula, hadiah RM3,000 akan diberikan kepada pemenang tempat pertama; RM2,000 (kedua) dan RM1,000 (ketiga), manakala dua pemenang sagu hati mendapat RM500. Penyampaian hadiah dan pelancaran buku novel pemenang akan diadakan pada 8 September ini,” katanya.

Maklumat lanjut sila dapati dari Blog Badan Bahasa dan Sastera Sabah.



HSPM Ke-18 undang persoalan

Oleh Salbiah Ani




Kaedah pemilihan panel hakim biar lebih telus

HADIAH Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ke-18 yang memberi pengiktirafan kepada 69 karyawan sastera negara ini bagi tahun penilaian 2004-2005 dan 33 penerima bagi tahun penilaian 2006-2007, undang beberapa persoalan.

Tidak pernah terjadi dalam sejarah pelaksanaan HSPM, membabitkan empat tahun penilaian berlangsung serentak sehingga sesetengah pengarang menganggap pemilihan karya mereka sudah basi kerana terlalu lama diperam!

Tinjauan secara rawak dengan beberapa pengarang kreatif menyatakan rasa tidak puas hati mereka kerana tumpuan lebih banyak diberikan kepada karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seolah-olah tiada usaha mencari bahan terbitan dari luar kepompong badan berkanun terbabit.

Data menunjukkan sebahagian besar karya yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2004/2005 genre cerpen dan puisi disiarkan dalam Dewan Sastera seperti yang sering berlaku sebelum ini meskipun isu serupa pernah dibangkitkan beberapa kali.

Persoalan terbabit juga pernah dibangkitkan wartawan Sastera ketika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berada di bawah kepimpinan mantan Ketua Pengarahnya, Datuk A Aziz Deraman, sehingga akhirnya kategori karya eceran diperkenalkan.

Dengan pengenalan kategori terbabit, Hadiah Sastera Malaysia (HSM) yang berlangsung dari 1981-1995, berubah namanya kepada HSPM mulai 1996/1997 dan kekal sehingga kini, sebelum ini dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera (HKS) (1971-1976).

Selaras dengan matlamat hadiah yang bertujuan memberi pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu, mengenal pasti karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu.

Nampaknya keputusan HSPM 2004-2005, tidak menunjukkan banyak perubahan meskipun kategori karya eceran diperkenalkan sejak 1996 kerana hanya dua cerpen boleh dilabelkan sebagai luar biasa apabila memecahkan monopoli Dewan Sastera.

Di Bawah Langit Copenhagen karya Salina Ibrahim dalam majalah Nur pada Januari 2004 dipilih dan Siti Hajar Mohd Zaki tampil maha hebat melalui Panorama Seorang Nisa, dalam majalah tepu hiburan, URTV, keluaran 15-30 September 2005.

Bagaimanapun, taburan pemenang untuk kedua-dua kategori terbabit menyaksikan pecahan monopoli Dewan Sastera lebih sedikit dalam senarai pemenang untuk HSPM 2006/2007 yang majlisnya berlangsung pada 18 Januari lalu.

Tiga cerpen dalam Berita Minggu yang memecahkan monopoli Dewan Sastera ialah Jerebu Dalam Blog Mak Andeh oleh Fudzail, Che Soleh Rial (A Rahman CM) dan Lintah (Anwar Ridhwan), manakala puisi pula, Sumpah Setia Tanjung Piai (Nisah Harun) dan Terlalu (Shapiai Mohd Ramly).

Dua cerpen dalam Mingguan Malaysia pula ialah Cinta Puncak Sagarmatha karya Rozais al-Anamy dan Pusaka Cendana (Nisah Harun), manakala puisi yang turut diumumkan sebagai pemenang dalam akhbar terbabit ialah Malam Rosiah (A Samad Said).

Kemenangan dalam kategori drama dan esei/kritikan/kajian sastera yang dimonopoli Dewan Sastera tidak dipersoalkan, memandangkan kedua-dua genre terbabit hanya mempunyai ruangan dalam majalah terbabit dan tidak media massa lain.

Begitu juga dengan kategori buku dengan pecahan novel, kumpulan cerpen, biografi/autobiografi; kategori buku dalam bentuk novel remaja, kumpulan cerpen remaja, kumpulan puisi remaja, kumpulan drama remaja, kumpulan puisi, kumpulan drama, kumpulan esei dan kritikan sastera.

Selain kategori buku kanak-kanak dengan pecahan novel kanak-kanak, kumpulan cerpen kanak-kanak, kumpulan puisi kanak-kanak dan kumpulan drama kanak-kanak, tetapi tetap mengundang persoalan apabila banyak kategori yang kosong tanpa pemenang!

Ini kerana apakah benar tiada karya yang layak untuk dipilih sebagai pemenang atau sebenarnya penganjur tidak menerima sebarang pencalonan disebabkan pelaksanaan hadiah ini bermula pada tahun penilaian 2004/2005, peserta perlu mengirimkan karya mereka untuk dinilai pengadil!

Pendekatan yang memerlukan pengarang menghantar karya mereka kepada penganjur tidak sepatutnya dijadikan kaedah proses pemilihan kerana ia meletakkan status hadiah terbabit sama dengan sayembara sastera iaitu bersifat peraduan.

Tidakkah pendekatan cara ini tersasar daripada matlamat pengenalan hadiah terbabit yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada karya bermutu dalam genre masing-masing tanpa mengira siapa pengkarya dan penerbitnya!

Penulis sendiri terkejut ketika dihubungi seorang pegawai DBP yang meminta mencarikan cerpen dan puisi yang diterbitkan sepanjang 2004/2005 dalam Berita Minggu untuk dinilai HSPM kerana perkara terbabit tidak pernah berlaku sebelum tahun penilaian terbabit.

Tawaran penulis agar pegawai terbabit mencari sendiri atau menghantar pembantunya untuk mengesan semua cerpen dan puisi dalam Berita Minggu sama ada melalui carian dalam talian atau potongan akhbar yang disediakan di Unit Sastera, Berita Harian, tidak disambut!

Malahan penulis juga turut menerima e-mel daripada pegawai DBP yang tidak dikenali meminta agar salinan cerpen Soleh Che Rial dikirimkan kepada mereka berserta dengan alamat penulis terbabit dan tarikh terbitan untuk penilaian HSPM 2006-2007!

Tugas mengumpul segala karya untuk HSPM bukan menjadi tanggungjawab editor di akhbar atau majalah yang mempunyai ruangan sastera kerana ia di luar bidang tugas mereka, selain selaku pengelola mereka bergelut dengan masa, apalagi jika terbabit sama dalam operasi terbitan harian!

Sepatutnya pegawai terbabit sudah ada senarai terbitan yang mempunyai ruangan sastera kerana dengan cara itu mereka dapat mengatur strategi kaedah pengumpulan semua bahan bagi tahun yang dipertandingkan dan masa dapat dijimatkan selain pengadilan lebih telus dapat berlangsung!

Seingat penulis, sepanjang menjadi wartawan sastera bermula 1993 dan sebagai editor sastera bermula 2003, tidak pernah walau sekali Sekretariat HKS, HSM mahupun HSPM, meminta salinan semua puisi dan cerpen dalam Berita Minggu untuk diserahkan bagi tujuan penilaian.

Bayangkan empat terbitan setiap bulan dan sejak setahun lalu lapan terbitan sebulan, jika dikalikan dengan 52 minggu, berapa halaman perlu dicari dan dibuat salinan untuk diserahkan kepada sekretariat bagi tujuan penilaian dan masa perlu dikorbankan atas kepentingan HSPM!

Malah, penulis selaku editor turut ralat dengan keputusan pemenang bagi tahun penilaian 2006-2007 khususnya bagi genre cerpen kerana ada beberapa karya menarik dan kritis sama ada dari segi tema mahupun teknik penulisan, tercicir daripada penilaian.

Cerpen 10 Budak Hitam yang mengkritik secara langsung gejala sosial semasa remaja dan masyarakat Melayu disiarkan dalam Berita Minggu bertarikh 22 Julai 2007 dan 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan (2/12/2007), antara contoh yang boleh diberikan.

Pengarang veteran, Dr Fatimah Busu, selaku pengarang kedua-dua cerpen terbabit ketika dihubungi, memaklumkan kepada penulis bahawa beliau tidak mengirim salinan karyanya kepada Sekretariat HSPM 2006-2007 kerana bukan menjadi tugas pengarang untuk berbuat demikian!

“Bagi saya tugas pengarang mengarang dan menghantar ke penerbitan yang menjadi sasaran dan terserah kepada penganjur HSPM untuk mengumpulkan segala karya yang mendapat tempat dalam akhbar, majalah dan jurnal,” katanya ketika dihubungi Sastera, Ahad lalu.

Seorang pengarang muda ketika ditanya mengenai perkara itu, menjawab selamba: “Di Malaysia apa juga peraduan dan anugerah dengan peruntukan daripada kerajaan serta diuruskan oleh DBP, tidak payah hantar kerana kemenangan adalah untuk kroni mereka. Balik-balik muka yang sama.”

DBP selaku penganjur HSPM perlu meneliti perkara yang dibangkitkan memandangkan HSPM bukan peraduan dan jika sekretariat sebelum 2004-2005 boleh menguruskan pemberian hadiah tanpa mengharap pengarang mengirim karya mereka, mengapa tidak sekarang?

Selain itu, DBP juga diminta meninjau semua terbitan yang mempunyai ruangan kreatif kerana selain Dewan Sastera, Berita Harian, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, banyak lagi akhbar tabloid dan akhbar seperti Wasilah, Siasah, Keadilan dan Harakah, kini turut menerbitkannya.

Penganjur juga perlu mengelak melantik pengarang kreatif daripada menganggotai Panel Penilai HSPM bagi mengelakkan berlakunya situasi pilih kasih, sekalipun tidak terbabit dalam penilaian karya sendiri yang turut dipertandingkan.


Sumber: Berita Harian Online

21 Januari 2010

SENARAI KUMPULAN YANG LAYAK KE MANIFESTASI TEATER MALAYSIA 2010

KATEGORI MONOLOG

1. Aura Production, Melaka, Teater 'Denyut'
2. Kelab Kilat TNB, Kuala Lumpur, Teater 'Kemarau Musim Tengkujuh'
3. Sekenet, Perlis, Teater 'Anak Kecil Main Api'
4. Fitri Nadianti Zulaidy, Perak, Teater 'Nur Iskandar'
5. Yayasan Pelajaran Johor, Johor, Teater 'Lubang Neraka'

KATEGORI TEATER KANAK-KANAK

1.Beringin Entertainment, Kuala Lumpur, Teater 'Beringin Merah'
2.Sekolah Kebangsaan Merbau, Kelantan, Teater 'Pesona Mimpi'
3.Persatuan Seni Budaya Warisan Jemari, Pulau Pinang, Kisah Si Semut

KATEGORI NGO/ IPT

1.Kirana Theater Production, Pahang, Teater 'Detik'
2.Aura Production, Melaka, Teater 'Gelojak'
3.Akrab, Kedah, Teater 'Asy-Syura'
4.Aspek, Kelantan, Teater 'Megho'
5.Grup Teater Gerak Seni, Johor, Teater 'Walinung Sari'
6.Bakawalee Penang, Pulau Pinang, Teater 'Dusta Pada Skala 1 Hingga 10'

Sumber: MEKAR BUDAYA PRODUCTION

12 Januari 2010

Penulis drama radio dipelawa hasil skrip

[Sumber: Utusan Borneo 12/1/2010]

RADIO Malaysia, Unit Sabah fm, RTM Kota Kinabalu akan menerbitkan 7 buah drama khas sepanjang tahun 2010 yang melibatkan 14 orang penerbit.

Pengurusnya, Malinaziah Datu Mohd. Julapsi berkata, antara rancangan-rancangan itu ialah Hari Pekerja, Pesta Kamaatan, Hari Kebangsaan, Hari Raya Aidil Fitri, Hari Kanak-Kanak, Hari Raya Korban dan Maal Hijrah 1432 yang akan ditentukan siarannya kemudian.

14 penerbit yang dimaksudkan ialah Saudah Haji Wahid/Rosnah Jalkul, Haji Awang Shaari Haji Ramli/Helen Buyong, Johara Abdullah/Junainah Sojiar, Suhani Abdul Hamid/Noraniza Nordin, Florence John Luan/Zarith Sofia Daud, Mohd. Syum Abdul Majid/Muzaffar Syah Alias dan Hajah Nafsiah Bubin/Ramhanizam Jahimin.

Malinaziah berkata, unitnya akan menerbitkan Melodrama yang mula disiarkan pada awal April 2010, dua kali sebulan dalam jangaka masa 30 minit.

Melodrama yang bakal diterbitkan sama seperti Drairama yang pernah diterbitkan sebelum ini yang mendapat sambutan hangat daripada peminat drama radio.

Katanya, Melodrama berkisar dalam lingkungan kehidupan masyarakat, alam semula jadi dan lain-lain dengan memasukkan lagu-lagu yang ada kaitan dengan cerita yang diketengahkan.

Sehubungan itu, beliau mempelawa penulis-penulis di negeri ini agar merebut peluang untuk menghasilkan skrip drama yang baik dan bermutu dalam menyampaikan pesanan serta pendidikan secara halus kepada pendengar.

Keterangan lanjut boleh menghubungi Pengelola Drama, Unit Sabah fm, RTM Kota Kinabalu atau penerbit-penerbit melalui telefon 088-213444 sambungan 230, 277 atau 268 pada waktu pejabat.

Ketika ini Unit Sabah fm hanya memerhatikan drama Lembah Hijau siaran setiap Ahad, 3.35 petang.

IPS DAN BIRO PENDIDIKAN UMNO SEPANGGAR ANJUR BENGKEL PENULISAN

Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan Biro Pendidikan UMNO Sepanggar akan menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif dan Non Kreatif di Likas Plaza dari jam 9.00 hingga 12.00 tengahari di Likas Plaza bermula 24 Januari depan.

Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin berkata, bengkel penulisan yang diadakan setiap dua minggu sekali itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik teknik dan ilmu penulisan kreatif dan non kreatif seperti puisi, cerpen, esei, penulis berita dan rencana dan sebagainya.

Katanya, bengkel penulisan itu boleh disertai oleh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) asalkan mereka berminat dan ingin menceburi bidang penulisan untuk kerjaya masa depan mereka.
Menurutnya, peserta dikenakan bayaran komitmen sebanyak RM50 seorang jika mereka berminat untuk mengikuti bengkel yang dikendalikan oleh penulis-penulis terkemuka dan wartawan ternama di negeri ini.

Sukor berkata, bengkel itu diadakan sebagai salah satu program sempena Sambutan Ulangtahun IPS yang ke-20 yang akan diadakan tahun ini selain aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang menariknya.

Beliau berkata, IPS kini menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menjayakan pelbagai program yang dirancang sepanjang tahun ini.

Mereka yang berminat mengikuti bengkel itu boleh menghubungi Hasyuda Abadi melalui talian 0168120664, Laliman Haji Ahmad melalui talian 0168047876, Jasni Yakub 0109305214 atau emel kepada hasyuda@yahoo.com, fawzantawfiq@yahoo.com.


SAYEMBARA Menulis Novel Dan Skrip Drama Kanak-Kanak Dan Remaja

SAYEMBARA Menulis Novel Dan Skrip Drama Kanak-Kanak Dan Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2009 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM49,500 dibuka sehingga 31 Januari ini.

DBP dalam satu kenyataannya di laman webnya, berkata peserta boleh memilih kategori berdasarkan usia pembaca, iaitu kategori kanak-kanak yang mensasarkan pembaca berusia 10 hingga 12 tahun; kategori remaja I (13-15 tahun) dan kategori remaja II (16-18 tahun).

“Bagi kategori kanak-kanak, tema karya ialah perpaduan, sains fiksyen, kasih sayang dan kekeluargaan; kategori remaja I (perpaduan, sains fiksyen, kekeluargaan dan pengembaraan), manakala kategori remaja II (sejarah, konflik sosial, kemasyarakatan dan biografi tokoh terkenal),” katanya.

Di samping itu, peserta digalakkan memasukkan unsur integrasi kaum dalam karya yang panjang manuskrip novel kanak-kanak dalam lingkungan 15,000 hingga 50,000 perkataan; novel remaja (50,000 hingga 100,000 perkataan); skrip drama kanak-kanak (10,000 hingga 15,000 perkataan) dan skrip drama remaja (20,000 hingga 40,000 perkataan).

Hadiah pertama bernilai RM3,000; kedua (RM2,000); ketiga (RM1,000) dan sagu hati (RM750), manakala karya hendaklah asli dan bukannya saduran, adaptasi atau penyesuaian serta belum pernah tersiar dan diterbitkan.

Peserta boleh menyertai semua kategori, tetapi hanya dibenarkan menghantar satu manuskrip saja untuk setiap genre bagi semua peringkat umur dan karya perlu ditaip di atas kertas A4 sebelah muka dengan langkau dua baris dan berjilid kemas, manakala judul karya ditaip pada kulit naskhah. Maklumat lanjut hubungi Urus Setia Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja DBP di talian 03-21482522/03-21482526/ 03-21482345; faks 03-21414109; e-mel syila@dbp.gov.my / azihani@dbp.gov.my / fatimah4@dbp.gov.my.

Sumber: Berita Harian Online

07 Januari 2010

Dunia Penulis Muda


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Badan korporat tidak beri sokongan jejas semangat berkarya

ANUGERAH penulis muda menjadi penanda aras dalam mengiktiraf kehadiran penulis baru dan menilai kualiti karya kelompok terbabit, selain berfungsi sebagai pendorong kepada penghasilan karya bermutu secara berterusan.

Malangnya, senario dunia penulisan sastera kini berbanding dekad 1990-an menyaksikan pengiktirafan terhadap penulis muda semakin kurang memberangsangkan ekoran semakin banyak badan korporat yang enggan bekerjasama bagi penyediaan dana.

Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat menyaksikan setiap tahun pengiktirafan khusus diberi kepada beberapa karya dalam Dewan Siswa dan Hadiah Khas Pengarang Muda - Sayembara Menulis Cerpen Esso-Gapena ke-10 pada 1996 menobatkan Raihani Mohd Saaid sebagai penerima.

Selain itu, Dewan Siswa juga pernah mengadakan Sayembara Menulis Cerpen Sekolah Rendah dan Menengah pada 2008, tetapi tidak lagi diteruskan pada tahun lalu.

Justeru, persaingan dalam dunia penulisan menjadi lebih sengit kerana penulis baru terpaksa bersaing dengan pengarang mapan sehingga boleh menyebabkan penulis muda terutama yang baru berjinak-jinak dengan sastera terpinggir.

Hakikatnya, senario itu berlaku akibat bidang sastera kurang mendapat perhatian dan sokongan daripada badan korporat untuk menaja anugerah penulis muda, sekali gus menjejaskan semangat golongan muda untuk memasuki gerbang alam penulisan kreatif berkenaan.

Penulis muda, Amran Ibrahim Rashidi, menyifatkan anugerah penulis muda wajar diadakan secara berterusan bagi menggalakkan kemunculan lebih ramai penulis muda dalam dunia penulisan tanah air kerana penganjurannya menjadi penyuntik semangat kepada penulis untuk terus berkarya.

“Malangnya, tidak ramai yang berminat menaja anugerah sedemikian kerana masyarakat lebih bertumpu memberi pengiktirafan kepada dunia hiburan. Justeru, tidak hairan sekiranya anugerah dan pentas untuk perkembangan dunia sastera kian terbantut,” katanya.

Amran melihat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) adalah satu-satunya anugerah yang diadakan secara tekal dan tidak membezakan penulis muda atau mapan, sekali gus dapat menyekat peluang golongan muda tampil setara dengan penulis mapan.

“Bagi memastikan perkembangan sastera secara berterusan, sudah sampai masanya golongan penulis muda merangka strategi baru seperti melantik ejen sastera dan menubuhkan kelab pembaca atau peminat.

“Pihak bertanggungjawab pula perlu memberi kerjasama dalam menyemarakkan program sastera dengan memberi penghargaan kepada penulis muda seperti dinikmati penyanyi baru dalam dunia hiburan,” katanya.

Bagaimanapun, penulis muda yang juga guru, Syarifah Salha Syed Ahmad, pula menganggap kelompok penulis muda tidak perlu meletakkan anugerah sebagai pendorong utama untuk berkarya, sebaliknya melihat ia sebagai pemugar semangat untuk menulis dengan lebih baik.

“Saya melihat banyak cara untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada penulis muda agar berkarya seperti mengadakan pertemuan bagi berbincang dan menyumbang idea sesama sendiri . Ia boleh dianjurkan secara santai seperti di warung kopi,” jelasnya.

Syarifah Salha berkata, kekurangan anugerah penulis muda berlaku akibat badan korporat beranggapan penajaan program berunsur sastera tidak berbaloi dan kurang mendapat liputan media massa kerana bidang terbabit dipandang dingin masyarakat secara amnya.

Justeru, beliau yakin sekiranya pihak berkenaan dapat menaja acara sastera dengan hadiah lumayan, sudah tentu ia mendapat sambutan dan penyertaan ramai, sekali gus menarik minat remaja untuk bergiat dalam aktiviti sastera.

“Kelompok penulis muda perlu meyakini kebolehan dan nikmat menulis adalah anugerah tertinggi kurniaan Allah, sekali gus bakat yang diperoleh itu menjadi sia-sia sekiranya tidak dimanfaatkan kerana tanggungjawab menulis dan berdakwah melalui pena terletak di bahu kita.

“Anugerah dan pengiktirafan pula hanya sekadar bonus kepada penulis, manakala keutamaan perlu ditumpukan kepada usaha mengembalikan kandungan sastera kepada ilmu agar sastera dapat dimartabatkan ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.

Berita Harian Online

04 Januari 2010

Seniman jauhi isu remeh

oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my





SEBAHAGIAN khalayak ikuti Forum: Malaysia-Indonesia Damai Melalui Penulisan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kelompok karyawan tak harus cetus polemik jejas hubungan negara serumpun

FORUM: Malaysia-Indonesia Damai Melalui Penulisan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, baru-baru ini, meminta seniman termasuk pengarang untuk tidak terbawa-bawa dalam isu remeh tanpa noktah yang mencetuskan polemik dan pergeseran antara dua negara seperti isu hak milik tarian.

Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman, menyifatkan isu kecil dan remeh seperti tarian pendet yang menimbulkan kerenggangan hubungan antara dua negara berjiran itu, disebabkan ketiadaan hubungan budaya dan diganggu oleh naluri, kepentingan serta dominasi politik.

“Sebelum ini, dunia budaya dan sastera antara Malaysia dengan Indonesia digerak dan dibangunkan oleh naluri budaya yang tinggi. Bagaimanapun, hubungan budaya dua negara pada masa kini tidak lagi berpanjangan. Ini kerana orang budaya tidak menjadikan isu seperti tarian sebagai faktor yang boleh menimbulkan permusuhan,” katanya pada forum yang diadakan sempena Festival Hak Asasi Manusia (Faham) anjuran Oxygen Media dan Kumpulan Frinjan.

Syed Mohd Zakir menolak konsep ‘curi’ dalam budaya kerana budaya bergerak mengikut pergerakan masyarakat sosial termasuk pergerakan masyarakat dari Sumatera dan Jawa ke Tanah Melayu, sekali gus istilah yang selalu digunakan ialah penyerapan.

Justeru, beliau menyarankan generasi muda mengambil contoh daripada pendekatan yang diambil Eropah untuk menyatukan mereka demi manfaat semua daripada pelbagai bidang seperti politik melalui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan ekonomi melalui mata wang Euro.



“Kini muncul gerakan untuk mewujudkan budaya Eropah dan dimulai dengan gabungan intelektual politik dan budaya, iaitu bagaimana mahu mewujudkan budaya Eropah yang tidak lagi dilihat berdasarkan negara seperti budaya Jerman, Perancis dan Itali.

“Malangnya, kita di rantau ini saling menjarakkan dan sering memperkotakkan hubungan sehingga saya tidak nampak bagaimana kita dapat memanfaatkan budaya, politik dan ekonomi serumpun, sebaliknya bercakaran dalam isu yang remeh dan tiada noktah,” katanya.

Pengerusi Yayasan Karyawan Perak (YKP), Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, pula berkata tugas seniman termasuk budayawan dan pengarang ialah meredakan suasana hangat dan menjadi jambatan penghubung antara masyarakat termasuk dalam isu perhubungan antara negara yang memerlukan kearifan serta kebijaksanaan semua pihak.

“Masalahnya, wacana tidak lagi dikuasai golongan intelektual dan budayawan yang lebih murni sehingga menimbulkan tanda tanya mengapa media massa tidak memberi ruang kepada seniman dan intelektual untuk mengutarakan pandangan mereka.

“Saya memiliki dan gembira terhadap hubungan secara peribadi dengan seniman di Indonesia serta dapat bertukar-tukar pemikiran serta idea mereka. Seniman sewajarnya menyumbang dengan berfikir di luar kotak, manakala orang politik dan pengamal media biarlah dengan fungsi mereka sendiri,” katanya.

Wartawan Kanan, Kumpulan Kompas-Gramedia, Seno Gumira Ajidarma, pula turut mengutarakan pandangan agar khalayak seniman dan pengarang menjadi lebih progresif dalam soal perdamaian dan membuat kajian mendalam terhadap kebudayaan di rantau ini tanpa mengutamakan asal usulnya.

“Istilah hak cipta atau paten bukan budaya Melayu atau Jawa, sebaliknya lahir daripada budaya yang mengagungkan seniman sebagai pencipta, manakala konsep romantisme dalam kesenian itu sendiri sudah luntur,” katanya.

03 Januari 2010

Bila poligami dikomedikan


FILEM Ayat-ayat cinta.

Pada suatu malam, si suami balik lewat, lalu tidur di dalam bilik tetamu di tingkat bawah rumahnya tanpa menyedari isteri keduanya turut tidur di dalam bilik tersebut. Setelah tiba waktu pagi, barulah si suami tahu bahawa isteri pertama dan keduanya saling kenal mengenali antara satu sama lain. Begitu juga, si isteri kedua baru mengetahui bahawa suaminya itu adalah suami kepada sahabat karibnya.

Lalu berlakulah babak-babak komedi ekoran peristiwa tidur sekatil tersebut dan usaha kedua-duanya bagi mengelak si isteri pertama daripada mengetahui cerita yang sebenarnya.

Itu adalah babak komedi dalam salah satu drama bersiri di stesen televisyen di negara ini dan itulah juga sebahagian daripada realiti dunia poligami di negara ini. Bagi sesetengah pihak, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bagi kebanyakan wanita, dunia poligami sinonim dengan pembohongan, tipu muslihat, strategi, tragedi, kepura-puraan, ketidaksetiaan, dan seribu satu lagi istilah yang sebahagian besarnya lahir daripada emosi, dan kemarahan. Pendek kata, poligami adalah ibu segala maksiat, kejahatan, dan kerakusan nafsu.

Manifestasi daripada pemikiran seperti inilah, banyak pengarah drama dan filem di negara ini menjadikan isu poligami sebagai komedi dalam drama dan filem arahan mereka. Lalu tunjukkanlah bagaimana susahnya seorang suami yang berpoligami untuk berkomunikasi dan berasmara dengan isteri kedua yang biasanya jauh lebih muda daripada isteri pertama. Untuk tujuan tersebut, si suami terpaksa melakukan berbagai- bagai tipu helah, termasuk "berbohong sunat" kononnya.

Pada masa yang sama, amat jarang sekali kita mendengar poligami dikaitkan dengan keperluan pasangan, perkongsian hidup dan kasih sayang, ketaqwaan kepada Allah, tuntutan agama, pembelaan terhadap anak yatim dan ibu tunggal, penambahan zuriat dan punca rezeki, peluasan kaum keluarga dan saudara mara, dan seribu satu lagi istilah dan frasa yang baik-baik dan menyenangkan. Pendek kata, bagi mereka yang menyokong poligami, poligami adalah sebahagian daripada penyelesaian terhadap isu-isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Antara mereka yang nampaknya menganuti fahaman poligami ini ialah Habiburrahman El-Shirazy dalam novel tersohor beliau Ayat-Ayat Cinta. Novel yang kemudiannya difilemkan dengan judul yang sama ini telah menyebabkan masyarakat negara ini seolah-olah diserang histeria dengan pemikiran dan pendekatan yang diambil oleh pengarang Indonesia tersebut. Ayat-Ayat Cinta seolah-olah menyedarkan rakyat negara ini daripada dilamun mimpi buruk institusi poligami.

Melalui novel dan filem Ayat-Ayat Cinta, kita diberitahu bahawa poligami adalah sesuatu yang serius. Mereka yang telah memutuskan untuk mengamalkan poligami seharusnya memikirkan perkara tersebut dengan serius dan semasak-masaknya, malah lebih serius berbanding perkahwinan yang pertama. Tidak ada babak-babak komedi dan lawak jenaka dalam filem Ayat-Ayat Cinta, namun filem ini menggamit perhatian seluruh kelompok masyarakat daripada yang muda hinggalah yang tua, lelaki dan wanita.

Aliran pemikiran poligami dalam Ayat-Ayat Cinta ini kemudiannya diikuti pula oleh Kabir Bhatia dalam drama bersiri Nur Kasih. Jika novel Ayat-Ayat Cinta mencatat hasil jualan dan jumlah pembaca yang tinggi, drama bersiri Nur Kasih pula mencatat rating penonton yang tinggi sehingga ke angka jutaan orang. Kenapakah kedua-dua genre yang memilih tema poligami tanpa lawak jenaka ini sangat diminati oleh masyarakat?

Selain kekuatan cerita dan mesej di sebalik kedua-dua novel dan drama tersebut, masyarakat kini sebenarnya sudah muak dan juak dengan adegan-adegan komedi yang berkaitan dengan poligami. Masyarakat sebenarnya sudah lama mendambakan sebuah filem atau drama yang menampilkan pergolakan kejiwaan isteri-isteri yang terpaksa hidup bermadu dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit dalam rumahtangga. Begitu juga dengan peranan si suami dalam memberi bimbingan dan menyelesaikan kemelut yang melanda.

Justeru itu, apabila Ayat-Ayat Cinta dan Nur Kasih hadir dalam wajah yang berbeza berbanding wajah-wajah poligami yang penuh dengan komedi sebelumnya, masyarakat pastinya akan tercari-cari jawapan yang sudah lama terpendam melalui kedua-dua genre tersebut. Maka fahamlah kita bahawa poligami memerlukan pengorbanan, kesabaran, ketaqwaan, keikhlasan, tolak ansur, kekuatan mental dan rohani, saling hormat menghormati dan faham memahami, dan sebagainya. Manakala, kasih sayang pula boleh dipupuk jika semua pihak sanggup merendahkan ego masing-masing.

Filem dan drama komedi poligami sebenarnya tidak banyak membantu masyarakat memahami erti sebenar hidup berpoligami. Malah, filem dan drama seperti inilah yang banyak mendatangkan kekeliruan terhadap keperluan poligami dan tujuan sebenar Islam menghalalkan poligami. Filem dan drama komedi poligami menyebabkan masyarakat menganggap poligami tidak lebih daripada memuaskan hawa nafsu, merebut harta kekayaan, membalas dendam, merosakkan kebahagiaan rumahtangga, mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dan sebagainya.

Oleh itu, sudah sampai masanya pengarah drama dan filem menilai kembali adegan-adegan komedi poligami agar nilai humor yang dikemukakan tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam institusi poligami. Para pengarah drama dan filem sepatutnya berusaha menonjolkan tingkahlaku-tingkahlaku dan sifat-sifat yang sepatutnya dimiliki oleh mana-mana lelaki yang berazam untuk berpoligami, khususnya syarat berkemampuan dan adil seperti yang diwajibkan oleh agama Islam.

Oleh itu, maaf kalau saya mengatakan bahawa lelaki yang ingin berpoligami tetapi tidak mahu atau takut menceritakan hasratnya itu kepada isteri dan kaum keluarga, dia sebenarnya awal-awal lagi sudah gagal dalam temuduga untuk berpoligami. Hal ini kerana lelaki seperti ini sebenarnya tidak memiliki mental yang kuat untuk melaksanakan keadilan seperti yang sepatutnya.

Dalam hal ini, kemampuan tidak boleh hanya diukur dari sudut kewangan semata-mata, tetapi dalam kehidupan berpoligami, kemampuan dan ketahanan mental dalam menghadapi masalah rumah tangga adalah lebih utama, khususnya ketika menghadapi karenah para isteri yang mengamuk, merajuk, mengancam, menggertak, memberontak, mengurungkan diri, meracau-racau dan sebagainya.

Sebagai seorang yang mengamalkan poligami, saya lebih memahami kenapa sesetengah lelaki perlu, malah kadang-kadang wajib berpoligami. Kenapa? Kerana poligami bukan untuk dikomedikan. Poligami adalah tanggungjawab. Tanggungjawab kepada diri sendiri, isteri-isteri, anak-anak, kaum keluarga, dan yang lebih penting, tanggungjawab kepada Allah swt.

*PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Utusan Malaysia Online

02 Januari 2010

Syiar Keadaan

untuk menghormati dan mengenang kepenyairan dan sosok widji thukul, kami forward kiriman puisi widji thukul yang disampaikan oleh:
Logika Metaforis 01 Januari jam 22:58
============================

Syair Keadaan

Kalimat-kalimat kotor
Menghambur dalam gelap
Membawa bau minuman
Keringat tengik
Dan kesumpekan
Ibu-ibu megap-megap
Mengurus dapur suami dan anaknya
Harga barang-barang kebutuhan makin tinggi
Kaum penganggur sambung-menyambung
Berbaris setiap hari
Dan parpol-parpol
Sibuk sendiri
Mengurus entah apa
Leleran keringat dan kacaunya pikiran
Keputusasaan dan harapan
Yang dipompakan iklan-iklan
Siang malam membikin tegang
Dan disana kaum tani
Dipaksakan menyerahkan tanahnya
Dan disana pabrik-pabrik memecat
Buruhnya, memanggil tentara
Karena ada aksi mogok
Di depan kantornya
Dan parpol-parpol
Sibuk sendiri
Mengurus entah apa
Hujan turun
Got-got meluap
Banjir datang
Bingunglah rakyat
Gunung-gunung digunduli
Hutan-hutan dibabati
Cukong-cukong kongkalikong
Para birokrat mengantongi uang komisi
Karena memberi lisensi
Dan para pemilik modal besar
Terus mengaduk-aduk
Menguras mengisap isi perut bumi
Dan parpol-parpol
Halo!
Selamat pagi!
Hujan turun
Got-got meluap banjir datang
Menenggelamkan rumah-rumah rakyat
Dan parpol-parpol
Hallo!
Kita nanti ketemu
Dalam pemilu
Lima tahun lagi!

(Solo, Jagalan Kalangan, 02-02-1989)


Widji Thukul, bernama asli Widji Widodo, lahir di kampung Sorogenen Solo, 26 Agustus 1963 dari keluarga tukang becak. Mulai menulis puisi sejak SD, dan tertarik pada dunia teater ketika duduk di bangku SMP. Bersama kelompok Teater Jagat, ia pernah ngamen puisi keluar masuk kampung dan kota. Sempat pula menyambung hidupnya dengan berjualan koran, jadi calo karcis bioskop, dan menjadi tukang pelitur di sebuah perusahaan mebel. Pendidikan tertinggi Thukul Sekolah Menengah Karawitan Indonesia (SMKI) jurusan tari sampai kelas dua lantaran kesulitan uang.

Kendati hidup sulit, ia aktif menyelenggarakan kegiatan teater dan melukis dengan anak-anak kampung Kalangan, tempat ia dan anak istrinya tinggal.

Lalu muncullah peristiwa kekacauan 27 Juli 1996. Thukul, Budiman Sujatmiko, dan Pius Lustri Lanang menjadi buronan utama pemerintah. Hal ini cukup mengejutkan dan kurang jelas hingga sekarang, karena Thukul sesungguhnya bukan pada 'kaliber' kedua buronan yang lain. Artinya, Budiman dan Pius sudah jadi aktivis taraf nasional, sementara Thukul hanyalah seniman lokal yang potensi ancamannya pada pemerintah tak begitu besar. Sejak itu, Budiman ditahan, diadili, dan dipenjarakan; Pius diculik orangnya Tim Mawar, Kopassus; sedangkan Tukul hilang – konon juga dihilangkan oleh Tim Mawar Kopassus. Secara resmi, Thukul masuk daftar orang hilang pada tahun 2000.

Sumber:

01 Januari 2010

Catatan Tahun Berganti Tahun di Likas

oleh Abd. Naddin Haji Shaiddin
Ketua Dua IPS

Lembar tahun 2009 telah pun tertanggal. Kini gerimis membasahi halaman awal tahun baru 2010. Tetapi semakin dewasakah kita dalam menafsir usia yang semakin meningkat tetapi berkurang? Meningkat angkanya tetapi makin berkurang jumlahnya.

Rasanya masih banyak yang tertangguh dan tertunda.Tapi jikalau saya dapat menyempurnakan "sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah, Tuhan sekalian Alam" seperti yang diikrarkan lima kali sehari itu, itu akan memadai dalam menggapai harapan tahun ini.

Pada penghujung tahun,diambang 2010, kami membuat sedikit kelainan dalam menyambut pergantian tahun yang biasanya disambut dengan gegap gempita. Tiada bunga api, yang nyalanya meskipun cantik tetapi sifatnya sementara,dan tidak mampu menerangi jiwa kami. Kali ini, kami mengajak orang untuk merenung ke dalam diri masing-masing. Tetapi bukan dengan khutbah melainkan mengajak mereka berpuisi.

Puisi pastilah boleh mengubat jiwa kita. Kerana itu,majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Likas itu amat bermakna. Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang merayakan ulang tahunnya yang ke-20 tahun ini telah membina kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkasa budaya, bahasa dan sastera dalam usaha pembinaan negara bangsa.
Imbang Penuh
Kali ini, UMNO Sepanggar yang dipimpin saudara Jumat Haji Idris telah menjayakan majlis pengucapan puisi cinta negara diambang 2010. Majlis yang dianjurkan oleh Biro Kebudayaan,Kesenian dan Warisan UMNO Sepanggar yang diketuai saudara Jamrin Haji Wahid dan Biro Politik Wanita UMNO dengan kerjasama IPS dianggap berjaya memulakan sesuatu yang baru bagi kalangan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid turut menyampaikan puisi yang menarik. Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin juga tampil membacakan puisi. Antara pembaca puisi yang sudah lama tidak muncul di pentas tapi kali ini membaca puisi ialah Jati Ejan, Datu Masdan Nurasin, Sharif Asmawan Sharif Doki, Laliman Haji Ahmad. Suara muda diwakili oleh Zhamriee Gulam Rasul, Ampuan Awang. Namun puisi yang dibaca oleh Mohammad DSP Ahmad Ayid mengenang jasa Tun Mustapha amat menyentuh.

Bagaimanapun, puisi yang dibacakan oleh Ketua Bahagian Jumat Idris bertajuk Aku Bimbang Aku Khuatir karya Prof.Dr.Wan Moh Nor Wan Daud meninggalkan kesan kepada para hadirin kerana ia mampu mengajak hadirin untuk merenung nasib bangsa. Jumat memang sangat sesuai untuk membawakan puisi itu.

Lagu puisi Kumpulan Heritage yang membawakan dua lagu puisi dan sajak juga turut memeriahkan acara. Acara tarian Pakiring dari Rukun Tetangga Kampung Tebobon di bawah pimpinan Ideris Majani, Kumpulan Igal-Igal dari Kampung Cenderamata Dua di bawah pimpinan Haji Hashim dan Kumpulan Penari Manuk-manuk Limbukun dari Kampung Gusung dibawah pimpinan puan Normah memberikan persembahan terbaik mereka. Tidak kurang menariknya ialah Persembahan Koir Satu Malaysia Biro Kebudayaan UMNO Sepanggar, dan nyanyian lagu patriotik oleh Palimbang Brunei, Awang Khamis dan ramai lagi. kehadiran Timbalan Ketua Bahagian, Yakub Khan, Setiauasaha Bahagian, Razali Haji Razi, Mentoh Aru, Ustaz Ramli Ungking, Saidon Haji Kadis, Ketua Kampung Likas, Abd Mumin Rasam, Awang Lamin, Awang Bebing dan kenamaan lain amatlah bererti. Kehadiran penulis seperti Mat Congo, Jasni Yakub. Majlis pengucapan puisi itu cinta negara itu, yang diadakan bagi menyambut 2010, mudah-mudahan mampu menumbuhkan minat generasi baru, mengukuhkan jati diri mereka dan mengisian nilai nilaikesedaran akan kebenaran, keindahan, keharmonian, persaudaraan, kekitaan dalam jiwa mereka.

Ehsan Abd. Naddin Haji Shaiddin