nazmi@bharian.com.my
SEBAHAGIAN khalayak ikuti Forum: Malaysia-Indonesia Damai Melalui Penulisan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
Kelompok karyawan tak harus cetus polemik jejas hubungan negara serumpun
FORUM: Malaysia-Indonesia Damai Melalui Penulisan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, baru-baru ini, meminta seniman termasuk pengarang untuk tidak terbawa-bawa dalam isu remeh tanpa noktah yang mencetuskan polemik dan pergeseran antara dua negara seperti isu hak milik tarian.
Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman, menyifatkan isu kecil dan remeh seperti tarian pendet yang menimbulkan kerenggangan hubungan antara dua negara berjiran itu, disebabkan ketiadaan hubungan budaya dan diganggu oleh naluri, kepentingan serta dominasi politik.
“Sebelum ini, dunia budaya dan sastera antara Malaysia dengan Indonesia digerak dan dibangunkan oleh naluri budaya yang tinggi. Bagaimanapun, hubungan budaya dua negara pada masa kini tidak lagi berpanjangan. Ini kerana orang budaya tidak menjadikan isu seperti tarian sebagai faktor yang boleh menimbulkan permusuhan,” katanya pada forum yang diadakan sempena Festival Hak Asasi Manusia (Faham) anjuran Oxygen Media dan Kumpulan Frinjan.
Syed Mohd Zakir menolak konsep ‘curi’ dalam budaya kerana budaya bergerak mengikut pergerakan masyarakat sosial termasuk pergerakan masyarakat dari Sumatera dan Jawa ke Tanah Melayu, sekali gus istilah yang selalu digunakan ialah penyerapan.
Justeru, beliau menyarankan generasi muda mengambil contoh daripada pendekatan yang diambil Eropah untuk menyatukan mereka demi manfaat semua daripada pelbagai bidang seperti politik melalui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan ekonomi melalui mata wang Euro.
“Kini muncul gerakan untuk mewujudkan budaya Eropah dan dimulai dengan gabungan intelektual politik dan budaya, iaitu bagaimana mahu mewujudkan budaya Eropah yang tidak lagi dilihat berdasarkan negara seperti budaya Jerman, Perancis dan Itali.
“Malangnya, kita di rantau ini saling menjarakkan dan sering memperkotakkan hubungan sehingga saya tidak nampak bagaimana kita dapat memanfaatkan budaya, politik dan ekonomi serumpun, sebaliknya bercakaran dalam isu yang remeh dan tiada noktah,” katanya.
Pengerusi Yayasan Karyawan Perak (YKP), Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, pula berkata tugas seniman termasuk budayawan dan pengarang ialah meredakan suasana hangat dan menjadi jambatan penghubung antara masyarakat termasuk dalam isu perhubungan antara negara yang memerlukan kearifan serta kebijaksanaan semua pihak.
“Masalahnya, wacana tidak lagi dikuasai golongan intelektual dan budayawan yang lebih murni sehingga menimbulkan tanda tanya mengapa media massa tidak memberi ruang kepada seniman dan intelektual untuk mengutarakan pandangan mereka.
“Saya memiliki dan gembira terhadap hubungan secara peribadi dengan seniman di Indonesia serta dapat bertukar-tukar pemikiran serta idea mereka. Seniman sewajarnya menyumbang dengan berfikir di luar kotak, manakala orang politik dan pengamal media biarlah dengan fungsi mereka sendiri,” katanya.
Wartawan Kanan, Kumpulan Kompas-Gramedia, Seno Gumira Ajidarma, pula turut mengutarakan pandangan agar khalayak seniman dan pengarang menjadi lebih progresif dalam soal perdamaian dan membuat kajian mendalam terhadap kebudayaan di rantau ini tanpa mengutamakan asal usulnya.
“Istilah hak cipta atau paten bukan budaya Melayu atau Jawa, sebaliknya lahir daripada budaya yang mengagungkan seniman sebagai pencipta, manakala konsep romantisme dalam kesenian itu sendiri sudah luntur,” katanya.
“Istilah hak cipta atau paten bukan budaya Melayu atau Jawa, sebaliknya lahir daripada budaya yang mengagungkan seniman sebagai pencipta, manakala konsep romantisme dalam kesenian itu sendiri sudah luntur,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan