PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



10 November 2008

Gerbang Ketua Satu



 IPS dan generasi barunya

TAHUN 2015 merupakan tahun penting bagi Ikatan Penulis Sabah (IPS). Pada tahun itu kelak usia persatuan penulis ini akan melalui satu fasa baru - suku abad pertama nya atau usia ke-25 tahun pertamanya semenjak ditubuhkan pada 24 Mac 1990. Sebagai sebuah persatuan penulis yang bermaruah, IPS bersiap sedia menganjurkan Perayaan Jubli Peraknya tahun depan dengan pelbagai program dan aktiviti.

Menjadi Ketua Satu IPS selama hampir dua dekad, saya cukup dewasa untuk memperkatakan sumbangan IPS. Saya mempunyai satu sikap bahawa apabila sesebuah organisasi ditubuhkan ia harus memberikan sesuatu kepada mereka yang menjadi tonggak selain memastikan semua objektif yang termaktub dalam perlembagaannya dipenuhi. Kemudian, bagi saya sumbangan daripada sebuah persatuan yang sederhana dalam segala segi tidak semestinya ia dilihat hanya melalui program-program yang besar. Walaupun kemampuan IPS itu kecil namun ia tetap meninggalkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat, kepada ahli-ahlinya dan kepada negara, dengan kata yang mudah dan mulia iaitu menghasilkan impak yang besar. IPS tidak mungkin mampu bergerak sehingga ke hari ini seandainya cabaran untuk mengekalkan sikap sedia ada melalui semangat kesetiaan, keseiaan dan paling penting kesederhanaannya tidak dihadapi dengan bijaksana.

Sesuai dengan sebuah motto yang saya perkenalkan iaitu 'Berwastiyyah Kesejagatan Sastera', intisari motto menjadi landasan kebersamaan melalui semangat kekeluargaan dan persahabatan. Persatuan dalam fikiran saya bukan untuk meraih faedah persaingan apatah lagi keuntungan bersifat material. Apakah yang kita faham tentang kebersamaan dalam IPS? Walaupun saya memimpin persatuan kecil ini namun, segala keputusan menjadi agenda semua orang dalam persatuan. Mungkin sesetengah orang menganggap saya tidak layak kerana menuduh kononnya kelemahan saya membangunkan IPS agar lebih hebat, memiliki aset, mempunyai wang yang banyak sehingga boleh memberikan kemewahan kepada ahli-ahli, mempunyai itu dan ini, melaksanakan aktiviti bertaraf serta pelbagai gambaran yang ingin meletakkan IPS itu sudah berada pada landasan yang tidak tepat.

Saya ingin berkata bahawa semua gambaran itu dilakukan oleh orang 'silap mata.' Hanya yang selalu bermain silap mata sahaja berusaha untuk mengaburi pandangan bagi meraih kepercayaan orang terhadap perbuatannya itu. Saya tidak ingin menyentuh siapakah pemain silap mata itu, kerana apa yang paling penting adalah ingin membawa IPS meneruskan perjalanannya pada satu landasannya sendiri. Bukan landasan yang dikatakan dimiliki pihak lain. IPS harus mempunyai produk, disiplin dan sikapnya sendiri. Ketiga-tiga hal ini harus dihormati dan wajib IPS perhebatkan walaupun dalam skala yang sifatnya sederhana namun IPS tetap akan menempatkan kesemuanya dalam hati orang ramai dengan ketelusan dan amanah menjadi keutamaan.

Saya ingin memperkatakan kepada anda produk IPS yang lalu dan mendatang. Memberi ingat kepada yang pernah tahu dan memberi tahu kepada yang baru ingin tahu. Dalam tempoh dua dekad lebih, IPS turut mewarnai kegiatan persuratan tanah air. Program-program seperti Malam Nostalgia Sasterawan Sabah 1 & 2, Minggu Sastera Sabah, Khemah Sastera IPS, Peraduan Menulis Puisi Ramadan,  Dialog Sabah Baru, Pengucapan Umum Shuhaibun Yussuf, Anugerah Sastera K.Bali di samping penerbitan karya ahli serta majalah berkala Komposisi. IPS turut melangkah lebih versitil dengan penubuhan Institut Penilaian Sastera Sabah (INPES) yang dipelopori oleh Ahli Kehormat IPS Dato' Haji Dr Janatan Kandok sebagai Pengerusi Eksekutif. INPES mendapat kelulusan penubuhannya oleh Amanah Raya Berhad (ARB) setelah mendapat perkenan Tuan Yang Terutama Yang DiPertuan Negeri Sabah pada 2001. INPES berusaha untuk memberikan penilaian kepada karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh para penulis Sabah dengan acuannya sendiri.

Dalam usaha untuk mengetengahkan generasi baru agar siaga tampil di hadapan khalayak, IPS kini ingin memperkenalkan satu produknya iaitu program yang dinamakan 'Santai Minda'. Program ini merupakan kesinambungan program Pengucapan Umum Shuhaibun Yussuf (PUSY); bezanya PUSY berbentuk syarahan atau pidato persendirian tetapi Santai Minda menampilkan beberapa orang ahli generasi baru diberikan ruang untuk bercakap mengenai isu-isu tertentu yang difikirkan sesuai buat mereka.

Santai Minda berbentuk 'talk show' yang dikendalikan oleh para moderator terdiri daripada para senior yang ada di IPS. Program Santai Minda akan bermula pada 10 Mei ini di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah. Program perkongsian pemikiran ini akan berlangsung setiap bulan atau minimum enam kali setahun. Bagi tahun ini pelbagai genre akan diketengahkan misalnya genre puisi menerusi isu deklamasi puisi, teater dalam kalangan penggiat muda, para penulis cereka di samping tokoh-tokoh ilmuan yang akan memberikan input berhubung dengan dunia persuratan itu sendiri. IPS berharap program ini boleh menjadi salah satu tanda aras dalam usaha membentuk generasi baru menghayati dunia penulisan sekaligus sebagai aktivis.

IPS harus menjadi pilihan dalam kalangan generasi muda apabila program teater membawa jenama pengilmuan melalui pementasan. Dalam hal ini, IPS turut membahui tanggungjawab pembentukan minat dalam kalangan generasi muda ini apabila Creative Stage IPS diwujudkan oleh Biro Teater IPS. Setelah pernah meraih kemenangan dalam Festival Teater tahun lepas dan pementasan teater 'Pinangan' selepas itu, grup teater di bawah pimpinan Erwan Azzaly Awang Taip atau Alloy ini akan memperkasakan lagi kegiatannya mulai Jun ini dengan sebuah pementasan Teater Randai di Kota Kinabalu. IPS amat komited dengan usaha gigih anak-anak muda dalam grup ini dan yakin teater tidak muncul hanya semasa festival semata-mata. Saya berharap teater diungkayah secara serius bukan menjadikannya semata-mata pengisian asal ada. Biarlah selepas pementasan audiens ingin lagi yang lain bukan mencemuh atas sikap asal ada yang amat merugikan pentas dan wang yang digunakan.

IPS juga komited dengan program penghayatan Islam selain Program Peraduan Menulis Puisi Ramadan misalnya tahun ini IPS akan menganjurkan Nadwah Sastera Islam dan Malam Pengucapan Puisi Hijrah sempena perayaan Maal Hijrah 1436. Program nadwah bukan bermaksud mengambil alih aktiviti yang sedia ada tetapi menambah lebarkan lagi mesej yang sama iaitu mengimarahkan tema-tema Islami dan berobjektifkan nilai-nilai murni dalam aktiviti berkenaan. IPS mempunyai pengalaman menganjurkan aktiviti pengucapan puisi Hijrah sebelum ini yang cukup berjaya. Mudah-mudahan pengalaman ini memberikan kekuatan untuk menambahbaik aktiviti seterusnya. Untuk memantapkan lagi pentas deklamasi puisi, IPS jua akan membuka pentas deklamasi kepada para deklamator terpilih secara solo. Tahun ini IPS akan menonjolkan pendekatan sajak-sajak jenaka (Sajen) oleh pelopornya di Sabah, Mohammad Puad Bebit. Kami juga telah menyenarai pendek beberapa orang tokoh penyair seperti Datuk Haji Jamdin Buyong, Datu Ruslan Sulai dan Hajah Zaiton Ajamain untuk mengisi slot ini. Sudah tentu penampilan mereka mempunyai corak yang tersendiri dan yang jelas berbeza daripada cara konvensional persembahan deklamasi sebelumnya.

Sejajar dengan matlamat pembinaan dan pemantapan para penulis sama ada mereka yang bergabung dengan IPS atau tidak, IPS tidak akan mengetepikan program penataran sastera. Biro Kreatif IPS Sandakan akan membuka tirai aktiviti di daerah itu pada pertengahan bulan Mei ini. Bengkel Penulisan Kreatif cerpen dan Puisi akan berlangsung pada 17 Mei di Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah Sandakan. Aktiviti ini dianjurkan oleh IPS dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan SMK Muhibbah Sandakan. Program penataran ini merupakan langkah awal  IPS dalam melaksanakan bengkel jelajah seluruh Negeri khususnya daerah-daerah yang telah mempunyai Biro Kreatif IPS. Daripada bengkel ini IPS membuka ruang untuk menjadi para peserta sebagai rakan IPS. Dengan berdoa mereka akan menjadi penulis selepas itu tetapi lebih berharga lagi sekiranya mereka menjadi keluarga IPS.


Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu.

11 Oktober 2008

PERLEMBAGAAN IPS

PERLEMBAGAAN IPS


1. NAMA, ALAMAT BERDAFTAR DAN ALAMAT SURAT MENYURAT
1.1 Persatuan ini dikenali dengan nama IKATAN PENULIS SABAH atau ringkasnya IPS selepas ini disebut Persatuan.
1.2 Alamat berdaftar ialah Blok LM5-A5, Lorong Putera Jaya 16, Taman Putera Jaya, 88450 Telipok, Sabah atau alamat-alamat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa.
1.3 Alamat surat menyurat ialah Peti Surat 10931, 88400 Kota Kinabalu, Sabah.
1.4 Alamat berdaftar dan alamat surat menyurat persatuan tidak boleh diubah dengan tidak dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
2. TUJUAN-TUJUAN DAN MAKSUD
2.1 Mendaulatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
2.2 Meningkatkan mutu dan memantapkan sastera berbahasa Melayu di Sabah sebagai teras Bahasa Kebangsaan.
3. KEAHLIAN
3.1 Keahlian adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia yang tinggal di Sabah berumur 18 ke atas dan bilangan ahli tidak dihadkan.
3.2 Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha Satu yang mana akan mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan yang tidak memenuhi syarat-syarat tanpa memberikan sebab-sebabnya.
3.3 Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas hendaklah, setelah membayar bayaran masuk dan yuran bagi tiga bulan pertama boleh menjadi ahli. Sijil dan kad keahlian akan dikeluarkan oleh Persatuan.
4. BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
4.1 Bayaran kemasukan keahlian yang perlu dibayar adalah seperti berikut:
Yuran keahlian - RM 2.00
Yuran tiga bulan pertama - RM 3.00
Bayaran sijil - RM 2.00
Bayaran kad keahlian - RM 3.00
5. PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN
5.1 Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Satu dan membayar segala hutangnya.
5.2 Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang mencemarkan nama baik Persatuan, boleh dipecat atau digantung keahliannya dalam sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantungkan ahli tersebut, ahli hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungan secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang menerangkan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
6. MESYUARAT AGUNG
6.1 Pengelolaan Persatuan ini terserahlah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, ikut mana yang kurang hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi bilangan kuorum untuk mesyuarat.
7. JAWATANKUASA
7.1 Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan pegawai-pegawai Persatuan hendaklah dipilih dalam mesyuarat agung tahunan (tahun pemilihan):-
Seorang Ketua Satu
Seorang Ketua Dua
Seorang Setiausaha Dua
Seorang Penolong Bendahari
Enam orang ahli Jawatankuasa biasa
7.2 Perlantikan Jawatankuasa berikut yang juga dinamakan Pegawai-pegawai Persatuan ini hendaklah dilakukan oleh Ketua Satu dengan persetujuan ahli Jawatankuasa yang lain, dan kuasa melantik ini tidak boleh digunakan kepada sesiapa pun:-
Seorang Setiausaha Satu
Seorang Bendahari
Seorang Ketua Penerangan
Empat orang ahli Jawatankuasa biasa
7.3 Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap Pegawai yang menjalankan tugas-tugas dalam Persatuan ini hendaklah warganegara Malaysia.
7.4 Nama-nama untuk jawatan-jawatan seperti yang dinyatakan dalam Fasal 7.1 di atas hendaklah dicadangkan dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung tahunan (tahunan pemilihan). Semua pegawai boleh dipilih semula setiap dua tahun sekali.
7.5 Pekerjaan Jawatankuasa ialah mengelola dan mengatur kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan dengan tidak terkeluar daripada dasar umum yang ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidak boleh membuat tindakan bertentangan dengan keputusan mesyurat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa taat kepada keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah memberi laporannya berkenaan kegiatan-kegiatannya di dalam tahun lalu kepada tiap-tiap mesyuarat agung tahunan.
7.6 Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam tiga bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli tujuh hari terlebih dahulu. Ketua Satu dengan bersendirian atau tidak kurang empat kali Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupi korum mesyuarat.

7.7 Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankausa.
7.8 Jika seseorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhi kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli Persatuan yang lain memenuhi kekosongan itu sehingga mesyuarat agung tahunan diadakan.
7.9 Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha Satu dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Persatuan dan melantik pengurus-pengurus dan kakitangan-kaktiangan yang difikirkan mustahak. Jawatankuasa boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus-pengurus atau kakitangan-kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau sebab-sebab yang difikirkan merosakkan Persatuan.
7.10 Jawatankuasa ini boleh menubuhkan jawatankuasa kecil jika mustahak dan memberikan kewajipan-kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatan-kuasa.





10 Oktober 2008

Sambungan Perlembagaan IPS

Sambungan Perlembagaan IPS
8. KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI
8.1 Ketua Satu dalam masa jawatannya hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Beliau mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Beliau hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha Satu dan Bendahari.
8.2 Ketua Dua hendaklah memangku jawatan Ketua Satu semasa ketiadaannya.
Setiausaha Satu hendaklah menjalankan kerja-kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah beliau menjalankan perintah-perintah mesyuarat agung dan mesyuarat jawatankuasa. Beliau bertanggungjawsab mengurus hal-hal surat-menyurat dan menyimpan semua buku-buku kewangan. Setiausaha Satu hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, umur, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan alamat tiap-tiap ahli. Beliau hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Beliau hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama Ketua Satu dan Bendahari. Setiausaha Satu hendaklah di dalam masa 60 hari dari tarikh mesyuarat agung tahunan diadakan mengirim penyata tahuan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang di- kehendaki di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pertubuhan, 1966.
9. KEWANGAN
9.1 Disyaratkan kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi undang-undang ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuk belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji dan upah memeriksa kira-kira, tetapi walau bagaimanapun tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang dijatuhkan hukuman di mahkamah.
9.2 Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 100.00 pada suatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank hendaklah di atas nama Persatuan.
9.3 Segala cek-cek atau kenyataan wang daripada kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Ketua Satu, Setiausaha Satu dan Bendahari. Kerana ketiadaan Ketua Satu, Setiausaha Satu atau Bendahari maka berkuatkuasalah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.
9.4 Perbelanjaan yang lebih daripada RM1,000.00 bagi suatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih dari RM 20,000.000 bagi sebulan tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 1,000.00 bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Ketua Satu bersama dengan Setiausaha dan Bendahari.
9.5 Penyata daripada hal wang yang diterima dan dibelanjakan berserta timbangan kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperikasa oleh Pemeriksa Kira-Kira mengikut Fasal 10 dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dibekalkan untuk kelulusan mesyuarat agung tahunan untuk makluman ahli di alamat berdaftar atau di mesyuarat bagi Persatuan.
9.6 Tahun Kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.
10. PEMERIKSA KIRA-KIRA
10.1 Seorang yang bukan ahli persatuan boleh dilantik di dalam mesyuarat agung sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Beliau akan memegang jawatan selama 2 tahun dan boleh dilantik semula.
10.2 Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk mesyuarat agung. Beliau juga dikehendaki bila-bila masa oleh Ketua Satu memeriksa kira-kira Persatuan bagi mana-mana di dalam tempoh jawatannya dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
11. TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
11.1 Di antara mesyuarat-mesyuarat agung, Jawatan-kuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini bila mustahak memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-udnang ini.
12. LARANGAN
12.1 Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Loto, Fan Tan, Poh Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tan Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker's game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.
12.2 Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawainya atau jawatankuasanya atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.
12.3 Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidak boleh diberi oleh Persatuan kepada mana-mana ahli Persatuan.
12.4 Seorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh menjadi ahli Persatuan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Cancelor Unviersiti yang berkenaan.
12.5 Persatuan atau ahlinya tidak boleh mencuba menghalang atau dengan cara apa juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti yang diterangkan di dalam Ordinan Kesatuan Sekerja, 1959.
13. PINDAAN UNDANG-UNDANG
13.1 Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan-perubahan atas pindaan-pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 28 hari daripada keputusan hendak membuat perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dijalankan kuatkuasanya mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
14. PEMBUBARAN
14.1 Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga per lima jumlah ahli-ahli yang berhak mengundi di dalam mesyuarat agung yang diadakan khas untuk tujuan tersebut.
14.2 Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara disebutkan di atas maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam mesyuarat agung.
14.3 Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam masa empat belas hari daripada tarikh pembubaran itu.



(SUKOR BIN USIN @ HUSSIN)
Ketua Satu 

     Bertarikh pada: 1 Januari 2004

AHLI JAWATANKUASA TERTINGGI IPS BAGI SESI 2013/2015

KETUA 1: ENCIK SUKOR HAJI USIN
KETUA 2: ENCIK ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN
KETUA PENERANGAN: KOSONG

SETIAUSAHA:  ENCIK MOHD NURAZWAN AUGUSTINE
BENDAHARI:  KOSONG
PEN. SETIAUSAHA: ENCIK MOHD ASHRAFI HARUMIN
PEN. BENDAHARI: PUAN ANIRAH RBAM

6 AJK DIPILIH:

1. ENCIK NORAWI HAJI KATA
2. ENCIK MABULMADDIN HAJI SHAIDDIN
3. ENCIK ERWAN AZZALY HAJI AWANG TAIP

4. ENCIK ALI KARIM
5. ENCIK WARMAN WAGIMAN
6. PUAN SAHARA JAIS

4 AJK DILANTIK:

1. ENCIK MOHD FUAD BEBIT
2. PUAN ONY LATIFAH OSMAN
3. PUAN JALIHA JAMAN
4. ENCIK JUILIS MOKUJAL



AHLI KEHORMAT:
1. YBHG. DATO' DR. HAJI JANATAN KANDOK
2. YBHG. ENCIK LALIMAN AHMAD
3. YBHG. ENCIK MOHAMED HAJI SALLEH
4. YBHG. PUAN HAJAH DAYANG SALMAH TAMIN

DUTA IPS DI LUAR NEGERI SABAH:
1. ENCIK MUHARSAFA KIRANA BACHO
2. ENCIK MOHD AZRONE SARABATIN
3. ENCIK MOHD MUIZZ AWANG MARUSIN
4. PUAN LENNY DEEN ERWAN
5. PUAN NORJANAH MOHD ADNAN
 

Motto IPS



MOTTO IKATAN PENULIS SABAH