PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



29 Disember 2009

Pantun bantu bina akal budi

Oleh Nurul Farina Nazlan

ANTARA peserta yang khusyuk mendengar pada Majlis Syarahan Raja Ali Haji 2009, di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pihak berkuasa wajar perkenal persatuan dan dedahkan warisan pada bayi serta kanak-kanak

UNGKAPAN indah dan nasihat dalam pantun mampu membantu kanak-kanak membina minda dan kerana itu mereka wajar diberi pendedahan awal berhubung keunikan setiap pantun kerana hakikat ia bukan saja khazanah Melayu tidak ternilai, tetapi juga dapat mendekatkan mereka kepada bahasa.

Mantan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, pada Majlis Syarahan Raja Ali Haji 2009, berkata pendedahan awal kanak-kanak terhadap pantun sebenarnya boleh dimulakan sejak dari dalam perut lagi ketika ibu mengandung.


"Melalui pembacaan dan pendedahan pantun pada peringkat ini, secara tidak langsung si ibu berjaya meningkatkan rasa kecintaan anak terhadap bahasa, malahan mereka juga perlu kreatif seperti melagukannya ketika mendodoikan si anak.

"Pantun yang sesuai untuk kanak-kanak ialah pantun nasihat, lucu dan berangkap pendek agar mudah difahami. Di sini ibu bapa boleh menjelaskan maksud sebenar serta kebaikan yang diterapkan," ujarnya ketika melapah Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ungku Aziz juga menegaskan bahawa orang dulu berjaya menerapkan unsur nasihat kepada kanak-kanak melalui pantun, malahan ia ibarat panduan bagi mereka meniti hidup kerana setiap mesej yang disampaikan membawa maksud jelas agar menjadi manusia berguna.



Ada ubi
Ada batas
Ada budi
Ada balas.

Apa guna memakai kasut
Dilangkah akan betis kiri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak membantu diri.


Prof Diraja Ungku Aziz turut melahirkan rasa bimbang kerana generasi sekarang semakin lupa kepada keindahan pantun ekoran leka mengejar kewangan, kebendaan, pangkat dan lebih suka berbahasa Inggeris daripada bahasa sendiri.

Sesiapa saja baginya boleh menjadikan pantun sebagai pedoman dan beliau sendiri berjaya mengumpul 160,000 pantun sejak lebih 20 tahun lalu dan bakal diterbitkan pertengahan tahun depan, walaupun mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi.

"Kita kena sedar, pantun sudah dikenali di rantau Asia Tenggara lebih 700 tahun lalu dan digunakan sebagai lisan dalam bahasa Melayu. Saya membahagikan bahagian pantun kepada empat iaitu cinta, kanak-kanak, khidmat dan berdagang," ujarnya.

Baginya masyarakat Melayu dulu sangat kreatif dan unik dalam menterjemahkan nasihat dan pengalaman melalui pantun dan kalangan usahawan dan ahli perniagaan juga boleh mengambil inti pati dan unsur nasihat dalam berdagang yang banyak diterapkan dalam pantun.

Suluh-menyuluh Teluk Emas
Panas sejuk angin utara
Ribut taufan baik berkemas
Antara belum jadi sengsara.

Baik-baik berlayar malam
Arus deras karangnya tajam
Cari-cari mualim yang faham
Di situ banyak kapal tenggelam.


Pada majlis yang dihadiri lebih 200 peserta itu, Porf Diraja Ungku Aziz turut mencadangkan Persatuan Pantun Malaysia dibentuk dan menetapkan bacaan pantun secara berkumpulan pada setiap Sabtu dan Ahad.

"Pantun Melayu memang banyak, tetapi masyarakat kurang memahami rima dan keindahannya. Sekolah sepatutnya dijadikan asas bagi menubuhkan kelab pantun kerana ia boleh mendidik pelajar untuk memahami segala inti pati yang terkandung di dalamnya," katanya.

Berita Harian Online

Tiada ulasan: