PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



06 Disember 2009

Novel sejarah Abdul Latip

KEUNGGULAN Abdul Latip Talib dalam penulisan novel sejarah Islam mahupun novel sejarah tokoh tanah air memang tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini disebabkan kemunculan dan keunggulannya sebagai novelis sejarah Islam telah memberi kesan yang tersendiri kepada perkembangan penulisan novel sejarah Islam yang selama ini lesu dan kurang diperhatikan oleh para penerbit.

Abdul Latip Talib menerusi penerbitan PTS Publications and Distributors Sdn.Bhd. akan menghasilkan setiap dua bulan sekurang-kurangnya sebuah novel sejarah Islam mahupun sejarah tokoh tanah air di pasaran buku negara ini. Abdul Latip Talib sebenarnya sangat beruntung, bertuah dan serius dalam penulisan novel sejarah Islam kerana ketiadaan saingan dan penerbit menaruh kepercayaan kepadanya untuk menghasilkan novel sejarah Islam sekali gus menguntungkan penerbit itu sendiri dan penulisnya juga.

Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pasaran buku dalam bahasa Melayu yang semakin berkembang berbanding buku bahasa Inggeris yang perlahan. Kini kedai- kedai buku terbesar tanah air seperti MPH, Popular, Kunikuniya dan sebagainya meletakkan buku-buku Melayu di ruang dan rak-rak depan kedai buku tersebut agar mudah dilihat.

Novel-novel sejarah Islam tulisan Abdul Latip Talib seperti novel Salahudin Penakluk Jerusalem, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel dan sebagainya tergolong sebagai novel best seller dan dicetak ulang beberapa kali dalam masa setahun untuk memenuhi pasaran dan permintaan pembaca yang terus bertambah.

Disiplin

Keunggulan Abdul Latip Talib dalam penulisan novel sejarah Islam terletak kepada disiplin kuat dan staminanya yang mantap menulis sekurang-kurangnya sepuluh halaman pada setiap hari secara konsisten dan serius. Keseriusannya berkarya ini dipermudahkan lagi dengan perjuangannya menjadikan bidang penulisan sepenuh masa sebagai kerjaya hidupnya sesudah bersara dari Felcra.

Kekreatifan dan kelajuannya berkarya dalam menghasilkan novel sejarah Islam ada kaitannya dengan penggunaan teknik penulisan Surah Yusuf yang terdapat dalam al-Quran dan teknik penulisan tulang ikan yang dipraktikkan oleh penulis-penulis PTS.

Menulis novel sejarah Islam bukanlah suatu kerja mudah kerana memerlukan pembacaan buku-buku sejarah Islam daripada pelbagai sumber timur dan barat, sebelum ia diproses menjadi sebuah novel sejarah yang berbeza daripada buku sejarah yang mementingkan fakta. Manakala novel sejarah Islam menggabungkan unsur- unsur fakta, fiksyen dan nilai-nilai murni Islam itu sendiri untuk diteladani oleh pembaca yang mendambakan kelainan daripada novel yang terdapat di pasaran.

Novel-novel sejarah Islam yang memfokuskan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang ditulis dengan gaya bahasa yang mudah, berseni dan komunikatif tetapi tetap ada unsur-unsur sasteranya memudahkan pembaca masa kini memahaminya dan mengenalinya menerusi karya sastera yang lebih hidup, berkesan, menusuk ke dalam jiwa dan hati pembaca. Hal ini tentunya amat berbeza sekiranya kita membaca buku- buku sejarah yang kaku dan beku yang kurang memanusiakan jiwa manusia. Di sinilah terletaknya kepentingan dan keperluan novel- novel sejarah Islam dan novel- novel sejarah tanah air yang digarap dengan tekun, serius dan perkasa oleh Abdul Latip Talib, sasterawan dari Jelebu, Negeri Sembilan yang kini berusia 55 tahun.

Sehingga kini Abdul Latip Talib telah menghasilkan berpuluh novel-novel sejarah Islam yang berkait dengan pahlawan Islam seperti Salahudin Penakluk Jerusalem, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, Tariq Ziad, Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman Affan, Ali Abi Talib, Bilal bin Rabah, Hulagu Khan, Amir Hamzah dan sebagainya.

Di samping itu, beliau juga menghasilkan novel- novel sejarah yang memfokuskan tokoh pahlawan dan sejarah tanah air seperti Si Bongkok Tanjung Puteri, Leftenan Adnan Saidi, Mat Kilau, Dol Said, Tok Janggut, Datuk Onn Jaafar, dan sebagainya yang penting dibaca oleh masyarakat pembaca untuk menyelami perjuangan hebat pahlawan tanah air yang berkorban apa sahaja untuk kesenangan dan kemerdekaan generasi hari ini.

Abdul Latip Talib juga menghasilkan novel-novel remaja dan masyarakat seperti Istana Menanti, Randau Ruai, Beraraklah Awan Kelabu, Siamang Gagap, Merentas Ranjau, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Perang Jementah, Moyang Salleh dan sebagainya yang memperlihatkan keseriusan beliau dalam berkarya.

Malah tuahnya menyebelahinya kali ini bila novelnya Istana Menanti terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. digunakan sebagai teks sastera Komsas Tingkatan Satu mulai tahun depan yang tentunya memperluaskan lagi khalayak pembaca karya-karya Abdul Latip Talib. Sehingga kini beliau telah menghasilkan 21 buah novel sejarah, lapan buah novel remaja, enam buah novel kanak-kanak, satu buah novel dewasa, 100 buah cerpen dan 20 buah sajak. Beliau juga sering memenangi pelbagai sayembara sastera di negara ini dan merupakan sasterawan dari Negeri Sembilan yang paling produktif masa kini yang hidup sepenuh masa dengan menulis.

Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan: