Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
KELOMPOK Melayu moden, bukan Melayu dan generasi muda terutama yang mendapat pendidikan dan tinggal di luar negara, didakwa semakin jauh daripada pembudayaan bahasa Melayu sehingga tidak mempunyai rasa cinta apalagi setia kepada bahasa ibunda.
Gejala itu didakwa berpunca daripada globalisasi sehingga lahir generasi muda Melayu tanpa rasa kasih terhadap bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan, sekali gus menjadi anak dunia yang kaki berpijak di negara ini, tetapi jiwa menjelajah ke dunia antarabangsa terutama mereka berpengalaman belajar serta tinggal di luar negara.
Pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata mereka menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa lengkap, moden dan sesuai sebagai bahasa perhubungan seharian, manakala penekanan kepada bahasa Melayu dilihat mewakili pendirian sempit dan merugikan serta mengasingkan penggunanya daripada masyarakat dunia yang lebih besar.
“Mereka melihat pejuang bahasa Melayu sebagai golongan tradisional, ketinggalan zaman dan kolot, selain mengaitkan bahasa Inggeris dengan kemajuan serta kecekapan berhubung sehingga menolak bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan perhubungan umum,” katanya ketika menyampaikan kertas dasar, Penyelidikan Ke Arah Pemerkasaan Bahasa Melayu.
Kertas berkenaan dibentangkan pada Seminar Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu V: Bahasa Melayu dalam Pembinaan Sahsiah dan Jati Diri Negara Bangsa anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Prof Emeritus Nik Safiah berkata, kelompok terbabit melihat bahasa Melayu tidak lagi menjadi lambang kedaulatan dan jati diri bangsa apalagi negara, manakala penguasaan bahasa yang kurang baik menyebabkan mereka tidak mempunyai hubungan emosi serta rasa taat setia kepadanya.
“Malangnya, golongan muda ini memegang jawatan penting dalam masyarakat baik sebagai pemimpin politik, tokoh korporat dan ahli profesional, sekali gus menjadikan mereka sebagai pemimpin masa depan yang akan mencorakkan pemikiran dan hala tuju negara,” katanya pada sesi yang dipengerusikan Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Rusli Abd Ghani.
Prof Emeritus Nik Safiah menegaskan, bahasa Melayu tidak berada di tempat yang sepatutnya terutama daripada kaca mata golongan pemimpin dan atasan serta generasi muda kerana mereka tidak mengetahui kegemilangan sejarah bahasa itu meskipun ia Melayu mempunyai kedudukan tinggi dari segi undang-undang.
“Ia juga disebabkan tidak ada bentuk bahasa Melayu contoh yang dihormati dan digunakan kumpulan contoh, berbeza dengan situasi di United Kingdom (UK) apabila bahasa Inggeris standard dituturkan kelas atasan dan lulusan universiti terkenal seperti Oxford dan Cambridge,” katanya.
Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pula mengingatkan tamadun negara bangsa dibina melalui bahasa ragam tinggi dan persuratan, sekali gus memberi amaran terhadap senario penggunaan pelbagai ragam bahasa Melayu melalui dialek daerah, bahasa pasar atau bahasa Melayu rojak.
“Hari ini proses pembinaan negara ini melalui bahasa kebangsaan negara sedang menghadapi masalah penggunaan bahasa yang rendah mutunya. Bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hanya sebagai sistem bahasa, tidak ditambah dengan pelajar korpus budaya, iaitu kesusasteraan Melayu atau sastera yang ditulis dalam bahasa kebangsaan,” katanya ketika menyampaikan ucap utama, Bahasa Melayu sebagai Alat Pembinaan Sahsiah dan Jati Diri Negara Bangsa.
Perkara terbabit juga dikatakan berpunca daripada ketiadaan contoh sama ada pihak berkuasa atau mereka yang terbabit dengan perancangan dan pengurusan pembinaan negara, selain sikap yang salah lagi jahil terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai alat pembangunan serta kemajuan negara.
Pemegang Kursi Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU), Prof Dr Awang Sariyan, mencadangkan strategi pembudayaan dirangka dengan memberi tumpuan kepada pemupukan sikap, kesedaran dan pembabitan pendokong bahasa berbudaya dalam pelaksanaannya di pelbagai sektor.
“Sistem audit bahasa perlu diwujudkan untuk perkhidmatan awam agar ia dapat dijadikan kayu ukur penilaian penguatkuasaan peruntukan undang-undang dan garis panduan berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan ilmu.
“Dalam konteks sistem pendidikan, kajian penilaian perlu dibuat terhadap gagasan bahasa merentas kurikulum yang diperkenalkan sejak 1987 untuk melihat apakah bahasa Melayu masih demikian atau pun undur ke petak mulanya,” katanya ketika membentangkan kertas kerja dasar Bahasa Berbudaya dan Pembudayaan Bahasa: Ertinya kepada Bangsa Bertamadun Luhur.
Dr Awang turut menyarankan DBP bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan syarikat penerbit untuk mengusahakan jurnal yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan disenaraikan sebagai jurnal yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Kementerian Pengajian Tinggi pula perlu mempunyai dasar dan garis panduan yang jelas agar IPT tidak berlumba-lumba untuk mendapat penarafan cemerlang pada peringkat antarabangsa saja, tetapi mengabaikan fungsinya dalam mengilmukan rakyat negara ini sendiri,” katanya.
Berita Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan