PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



16 Disember 2009

Nikmatnya apabila berpuisi



Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


ANTARA mereka yang khusyuk menghayati bait puisi yang bergema di Balai Berita, baru-baru ini.

Sasterawan, aktivis seni dan artis mengalu-alukan penganjuran Malam Puisi Riong

SUASANANYA tenang dengan limpahi cahaya yang agak suram, ruang yang dingin, santai dan selesa membolehkan lebih 150 tetamu yang hadir pada Malam Puisi Riong (MPR) dapat menikmati alunan puisi dengan berkesan serta mengasyikkan.

Ada yang bersila, bersandar, melunjur kaki, berdiri di penjuru dinding dan tidak kurang duduk bersimpuh untuk sama-sama menghayati bait-bait indah puisi yang disampaikan lebih 20 pendeklamasi pada malam itu.

Antara mereka, ada yang menyampaikan secara pembacaan dengan penghayatan yang beremosi, tidak lupa melalui penyampaian menerusi lagu puisi yang cukup puitis.

Inilah kejayaan yang dapat digambarkan pada MPR yang berlangsung di Bilik Seminar, Ruang Legar Tingkat Bawah Balai Berita, minggu lalu selepas enam tahun menyepi.

MPR anjuran Berita Harian mula diperkenalkan dan aktif sejak 1997 sehingga 2003, namun penganjurannya terhenti. Atas inisiatif Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, MPR kini akan kembali aktif sebagai aktiviti bulanan.

Menurut Mior Kamarul, MPR akan dianjurkan secara kerap selepas ini bagi menghidupkan kembali program yang sudah enam tahun tidak aktif, sekali gus bertujuan untuk mendampingi semua golongan masyarakat khususnya golongan muda.

“Mungkin selepas ini kami akan anjurkan setiap satu atau dua bulan sekali dan memperluaskan ke institusi pengajian tinggi tempatan bagi menghangatkan semula acara pembacaan puisi di kalangan pelajar dan masyarakat.

“Puisi di dalam sastera adalah sebahagian daripada pengisian di dalam akhbar berbahasa Melayu dan kami di akhbar ini yakin ramai pembaca meminati serta mengikuti perkembangan sastera. Jadi, kami mahu menggiatkan semula acara bacaan puisi dan sajak,” katanya ketika merasmikan MPR dan seterusnya menjadi peserta pertama menyampaikan puisi pada malam itu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib.

Tetamu yang hadir bukan saja terdiri daripada golongan sastera yang sememangnya sentiasa menyokong apa saja aktiviti seni yang diadakan, malah MPR mendapat sokongan daripada enam artis tanah air yang begitu meminati khazanah seni sastera ini. Mereka seperti Ramli Sarip, Khalid Salleh, Hattan, Jaclyn Victor, Fouziah Gous dan Cicik.

MPR dimulai dengan nyanyi puisi daripada penghibur jalanan, Cicik yang juga finalis program realiti Akademi Nasyid TV9 menerusi dua lagu iaitu Berita Dari Kawan, lagu puisi yang dipopularkan oleh Ebit G Ade, dan Pergi lagu dendangan Aizat yang menjadi lagu tema filem Talentime tetapi dalam versi Inggeris.

“Sebagai penghibur jalanan sudah tentu saya sangat meminati lagu-lagu puisi yang mempertaruhkan bahasa yang puitis dan mendalam. Lagu seperti ini sebenarnya lebih santai, tenang dan amat sesuai dengan suasana pada malam ini.

“Saya memilih untuk menyampaikan puisi dalam bentuk lagu kerana ia elemen yang boleh menenangkan jiwa pendengar sekali gus mudah untuk dihayati mereka. Apabila ditawarkan penganjur untuk terbabit dalam majlis ini, terus saya bersetuju dan tidak mahu berfikir panjang,” kata Cicik yang akan terus menyokong MPR dan bersedia sekiranya diundang lagi.

Hampir menitiskan air mata

MEMILIH karya Sasterawan Negara, Usman Awang berjudul Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini, pelakon Fouziah Gous mengakui puisi bukan mudah untuk dibaca sekiranya tidak disampaikan dengan jiwa yang ikhlas.

“Ia hadir dalam jiwa kita sendiri, pemilihan puisi untuk dibaca juga penting kerana kebiasaan puisi boleh dikaitkan dengan kehidupan kita sendiri. Kebetulan saya memiliki jiwa yang sensitif dan kebanyakan puisi yang dibaca oleh sasterawan kita cukup menyentuh jiwa saya. Hampir menitiskan air mata apabila mendengar lagu puisi yang dinyanyikan papa rock, Ramli Sarip berjudul Sebuah Kisah Satu Sejarah.

“Saya harap Malam Puisi Riong ini menjadi medan kepada artis lain untuk berkumpul dan terbabit sama selepas ini. Bagi saya, pengalaman berdamping dengan ramai sasterawan di sini memberi pendidikan baru buat saya, terutama perkara yang berkait dengan bidang lakonan,” katanya yang melihat puisi sentiasa tidak mendapat perhatian generasi muda.

Hattan adalah antara penyanyi yang cukup senang apabila ditawarkan penganjur untuk terbabit sama dalam MPR. Hanya satu minit bersembang persetujuan terus tercapai. Baginya puisi bukan tempat untuk orang meraih publisiti mahupun membuat duit.

“Hanya orang yang berminat dalam sastera saja yang tahu apa kepuasan yang tersirat di dalam makna puisi. Bagi golongan penyanyi, puisi ini adalah lirik yang mereka nyanyikan sebenarnya.

“Jika dikaji artis dulu, lirik yang dihasilkan adalah puisi dan sebab itu lagu dulu lebih puitis dan kekal hingga hari ini. Generasi hari ini kurang berminat mengenai puisi dan ada yang tidak tahu langsung apa itu puisi.

“Jika dihayati lirik lagu hari ini mereka lebih suka mencari jalan mudah membuat lirik dengan melihat apa yang ada di hadapan mata saja tidak seperti dulu. Saya menyarankan generasi muda hari ini seperti band indie untuk terbabit sama di dalam majlis puisi seperti ini kerana banyak ilmu dan idea oleh mereka perolehi,” katanya yang menyampaikan lagu puisi karya JS Kevin berjudul Hitam Bukan Impian serta lagu duet bersama Jaclyn Victor nyanyian asal Bob Dylan, Knockin' On Heaven's Door.

Jaclyn Victor bukan saya melakar sejarah buat dirinya sendiri apabila pertama kali membaca puisi dalam hidupnya tetapi sejarah buat penganjuran kerana dapat mewakili pendeklamasi kaum India yang pertama terbabit dalam MPR.

“Bagi saya bahasa memainkan peranan penting bagi untuk menyampaikan puisi. Biarpun ini adalah kali pertama saya terbabit di dalam puisi namun saya memahami yang puisi ini bukan pembacaan yang mudah.

“Sebagai pendeklamasi, saya harus faham apa yang saya bacakan dan ia harus masuk ke dalam jiwa penonton. Saya tahu puisi Melayu ini biasanya menggunakan bahasa yang puitis dan sukar untuk difahami, namun sekiranya saya membaca puisi Inggeris atau India, bukan saja saya sukar untuk memahami tetapi penonton turut sukar.

“Saya baru tahu yang puisi juga sedap sekiranya dinyanyikan. Apabila melihat Cicik, Hattan dan Ramli Sarip menyanyikan lagu puisi, saya jadi tertarik untuk hadir lagi menyanyi pula lagu puisi,” katanya yang menyampaikan puisi Lim Swee Tin berjudul Kalaulah Kandahar.

MPR yang mengangkat tema Gelora Kemanusiaan 2009, turut dimeriahkan penyair yang juga Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik dan ke-43 (FFAP43), Khalid Salleh, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996, Ahmad Shukri Abdullah, Timbalan Pengerusi Yayasan Dakwah Malaysia-Indonesia, Datuk Nakhaie Ahmad dan ramai lagi.

Berita Harian Online

Tiada ulasan: