Oleh: Nazimi Yaakub
PENULISAN di blog terutama membabitkan penyebaran berita dan maklumat sewajarnya menggunapakai kod etika kewartawanan dan mendedahkan identiti penulis agar masyarakat boleh mempercayai kebenarannya terutama untuk jangka masa panjang.
Pandangan itu dilontarkan pada Kolokium Media Ke-21 di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, baru-baru ini, sekali gus menegaskan media konvensional dan formal masih perlu mendapat kepercayaan daripada masyarakat sekiranya maklumatnya benar.
Ahli panel pada kolokium bertema Media Sekarang Gagal Mendidik Masyarakat itu juga, turut menolak tanggapan bahawa media masa kini tidak berjaya mendidik masyarakat, sebaliknya realiti menunjukkan fungsi itu dijalankan semua pihak termasuk khalayak pembaca itu sendiri.
Pengarang The Malay Mail, Ahirudin Attan, berkata penulis blog perlu mengguna pakai kod etika kewartawanan dalam penulisan dan penyiaran tulisan mereka, sekali gus menunjukkan mereka menerima tanggungjawab dalam menyampaikan maklumat.
“Sekiranya kita tidak ada etika dalam penulisan blog, bagaimana kita mahu mengharapkan orang pembaca mempercayainya, sedangkan kita tidak memberi sebarang jaminan bahawa maklumat itu boleh diterima pakai.
Ahirudin Attan |
“Meskipun internet ada data track personality, ia masih belum cukup kerana kita mahukan situasi sekiranya ada kesilapan dalam penulisan blog, penulis blog boleh bersedia memikul tanggungjawab itu,” katanya pada forum yang dipengerusikan Fayad Abdul Manaf.
Ahirudin mengakui realiti dunia penulisan blog di negara ini, masih belum menunjukkan kesediaan untuk menerima pakai kod etika dan sekiranya hal itu diajukan kepada penulis blog, sebahagian daripada mereka akan menganggapnya sebagai ejen kerajaan.
“Pada masa ini, kita terpaksa percaya kepada media yang lebih tradisional dan formal kerana berita yang disiarkan itu ditulis wartawan yang profesional dan sekiranya ada unsur ‘putar belit’ pun, akhbar masih tetap mendahulukan kebenaran.
“Sekiranya hari ini, kita percaya kepada blog lebih daripada media arus perdana, kita sebenarnya melakukan kesilapan besar kerana masih banyak perlu dibuat sebelum blog diterima pakai sebagai medium yang boleh dipercayai,” katanya yang turut menulis di blog rockybru.com.my.
Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar |
Beliau mengakui dunia media masa kini mengalami perubahan besar sehingga media yang dikenali pada dekad 1960-an hingga 1980-an jauh berbeza, sekali gus menyebabkan tanggapan fungsi media untuk mendidik sudah menjadi definisi usang.
“Tugas mendidik bukan lagi dipertanggungjawab kepada media, bahkan khalayak sendiri akan mendidik media dan begitu juga kerajaan seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008,” katanya pada forum yang turut dihadiri Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Prof Madya Mohd Adnan Hashim.
Hos Di Luar Lingkungan, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, berkata tulisan dalam media perdana dan media baru menjadi draf utama kepada sejarah, sekali gus paparan terhadap realiti semasa itu menyumbang dalam membentuk fikiran.
“Perdebatan mengenai sama ada media benar-benar mendidik, mempunyai dua kecenderungan utama, iaitu dipengaruhi kecenderungan politik atau pandangan media memaparkan banyak unsur hiburan.
Sebagai penggiat media, Sayed Munawar berkata, mereka mempunyai tanggungjawab mendidik dalam konteks luas kerana situasi masa kini menyaksikan adanya proses kematangan masyarakat dan jika memperbudakkan penonton atau pembaca, masyarakat akan menolaknya.
Pandangan Sayed Munawar itu diperakui Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Norila Daud, yang menolak tanggapan bahawa masalah sosial kini berpunca daripada pendedahan dan penyiarannya di media.
“Jangan ambil apa-apa yang tersiar itu secara negatif, sebaliknya ambil ia sebagai pengajaran untuk menangani masalah jenayah atau sosial secara bersama dan serentak itu, kita tidak boleh menjadi manusia stereotaip yang melihat hanya dengan satu pandangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan