Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
Ada gerakan antibahasa kebangsaan dalam menggagalkannya wibawanya
DALAM usaha Malaysia mencapai sasaran untuk tampil sebagai negara maju, semakin banyak serangan ke atas bahasa Melayu dilakukan oleh pihak tertentu sedangkan fungsi bahasa kebangsaan bertujuan melambangkan jati diri sesebuah negara.
Melalui beberapa perkembangan terkini, dapat dilihat secara jelas serangan terhadap bahasa Melayu berlaku dalam pelbagai penjuru sedangkan tembok yang digunakan untuk menghalang serangan itu tidak sekukuh Tembok Besar Negeri Cina.
Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, pada 19 Julai lalu menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak munasabah kerana kerana faktor penguasaan bahasa banyak bergantung kepada pelajar dan yakin ada gerakan mahu menafikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Arba’ie Sujud, berkata antara faktor yang menyebabkan pertikaian terhadap bahasa Melayu adalah kerana adanya persepsi di kalangan masyarakat bahawa ia tidak mampu digunakan sebagai bahasa ilmu.
“Persepsi ini lebih ketara terutama di kalangan generasi muda yang beranggapan bahasa Melayu tidak penting pada era teknologi maklumat yang memartabatkan sains dan teknologi sehingga terpancar pada perubahan dasar kerajaan yang menggunakan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek itu,” katanya ketika ditemui Sastera di Serdang, baru-baru ini.
Keadaan itu diburukkan lagi apabila bahasa Melayu tidak lagi dilihat sebagai lingua franca seperti pernah dinikmatinya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika negeri terbabit menjadi pusat dagangan dunia sehingga dicemburui kuasa luar, lalu ia turut mempengaruhi pandangan generasi muda hari ini kepadanya.
Baginya tanggapan serong terhadap bahasa Melayu ini sukar diubah dan semakin hari, bilangan individu bertanggapan sedemikian terus meningkat sehingga memudaratkan ekoran negara berada dalam zon selesa sehingga bertanggapan bahasa Melayu tetap selamat dan tidak diganggu gugat kerana sudah dijamin dalam Perlembagaan Negara.
Dr Arba’ie yakin bahawa gerakan antibahasa Melayu yang berlaku pada masa ini bertujuan mengikis kekuatan ikatan di kalangan rakyat Malaysia yang menjadi teras perpaduan dan semangat setia kawan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.
“Kita juga kena melihat ada hikmahnya jika anggapan bahawa ada gerakan antibahasa Melayu kerana setidak-tidaknya akan menyedarkan banyak pihak pada peringkat atasan hingga bawahan bahawa kita perlu mendukung dan menjaga bahasa kebangsaan kerana ia lambang tamadun sesuatu bangsa itu,” ujarnya.
Pensyarah, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Maslida Yusof, menyifatkan penerimaan positif dan negatif masyarakat terhadap sesuatu dasar yang dilontarkan kerajaan adalah suatu perkara biasa.
Gerakan antibahasa Melayu itu dikatakan berkemungkinan disebabkan golongan berkenaan mempunyai asas kukuh untuk tidak menyokong perubahan dasar kerajaan terutama ketika kerajaan bakal mengumumkan dasar ‘Memartabatkan bahasa Melayu, Memperkukuhkan bahasa Inggeris’.
“Sebenarnya, mereka ini bukanlah menolak secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi faktor ini sedikit sebanyak berpunca daripada kegagalan mereka untuk menerima kenyataan dasar kerajaan yang cuba memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan,” katanya.
Beliau berharap golongan yang termasuk dalam gerakan antibahasa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya menerima hakikat bahawa kerajaan bukan saja mahu melahirkan bangsa Malaysia, tetapi juga merealisasikan impian adanya satu bahasa dan budaya Malaysia.
Berita Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan