PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



22 Julai 2009

Antara aktiviti Karnival Kesenian Islam Sabah ke-2



Saya bagi pihak Kemsas dan juga AJK Tertinggi IPS merakamkan ucapan tahniah kepada sahabat kami, Jasni Matlani kerana terpilih sebagai penerima Anugerah Penyair Islam Sabah 2009. Jasni, Yang diPertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) bakal menerima hadiah-hadiah menarik termasuk wang tunai dan hadiah iringan yang lain. Anugerah ini diadakan bersempena dengan Karnival Kesenian Islam Sabah ke-2 yang diadakan sejak 17 Julai lalu.

Selain daripada anugerah tersebut, juga diadakan Nadwah Sastera Islam yang menampilkan Ustaz Zainuddin Mahmud, Jasni Matlani dan Lokman Abdul Samad sebagai pemakalah. Banyak juga aktiviti diadakan sempena karnival ini. Antaranya Sayembara Deklamasi Puisi Berunsur Islam yang telah berlangsung petang kelmarin (21 Julai). Selain daripada itu, kini sedang berlangsung Peraduan Menulis Teks Khutbah, Peraduan Menulis Puisi dan Cerpen berunsur Islam dibuka kepada semua umat Islam di Sabah. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 25 Ogos 2009. Jika berminat, sila klik ini untuk muat turun borang penyertaan.

20 Julai 2009

Masyarakat Perlu Minda Kreatif - Bolkiah

PITAS: Masyarakat hari ini perlu mempunyai minda yang kreatif agar mereka mampu berinteraksi dengan sopan dan beretika dalam kehidupan seharian, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Bolkiah Haji Ismail.

"Menikmati sastera kreatif pada hari ini bukan lagi satu perkara yang boleh dianggap sekadar bermain-main dengan emosi sahaja tetapi melalui karya-karya kreatif pembaca akan dapat membuka cakerawala minda yang lebih kritis dan dinamik," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas.

Beliau berkata, kesudian DBP Cawangan Sabah membawa pelbagai kegiatan di daerah Pitas membantu mendedahkan masyarakat di daerah itu dalam pelbagai kegiatan bersifat keilmuan.

"Ini menunjukkan bahawa agensi-agensi kerajaan persekutuan sentiasa menyokong pelbagai usaha kerajaan negeri memajukan masyarakat bukan saja dalam konteks pembangunan fizikal tetapi juga dalam pembangunan mentalmasyarakat," katanya ketika merasmikan Malam Baca Puisi Juri Durabi di Dewan Serbaguna Pitas, malam kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat, Mohd. Lahab Enul.
"Kejayaan Juri Durabi sebagai sasterawan di negeri ini telah mengangkat imej daerah Pitas dan ini amat membanggakan," katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa daerah Pitas mampu melahirkan lagi penulis-penulis baru dengan sokongan dan bimbingan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Katanya, puisi-puisi Juri Durabi memberikan tafsiran tentang kehidupan masyarakat bukan sahaja di Pitas tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Melalui seni kreatifnya kita akan dapat membaca ketajaman cetusan hati nurani Juri melalui pemilihan kata-kata yang puitis dan penuh bermakna," katanya.

Sementara itu, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas berkata Malam Baca Puisi Juri Durabi dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah sebagai penghargaan kepada penulis dan golongan sasterawan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan minda masyarakat melalui karya-karya dalam bentuk puisi, cerpen dan sebagainya.

"Malam Baca puisi Juri Durabi diadakan sebagai salah satu usaha DBP cawangan Sabah untuk memperkenalkan golongan penulis dan sasterawan serta karya-karya mereka kepada masyarakat," katanya sambil menambah, negara-negara maju menghargai karya dan golongan sasterawan.

"Di negara maju, karya Karya penulis dibaca dan dihargai, serta golongan sasterawan diberi penghormatan dan ditempatkan di kedudukan yang sewajarnya tetapi masyarakat di negara kita masih kurang memnbaca dan menghargai karya-karya sastera.," katanya.

Golongan sasterawan masih `terpinggir' tidak dikenali masyarakat, apatahlagi diberi penghormatan yang sewajarnya sesuai dengan sumbangan besar mereka kepada pembangunan minda masyarakat,kata Zubaidi.

Malam Baca Puisi Juri Durabi diserikan dengan pembacaan puisi oleh Juri Durabi, penulis kelahirkan Kampung Kusilad Pitas, Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Ramli AR, Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, Dulamid Rudin, Ng Loi Tect, Naib Ketua UMNO Bahagian Pitas, Harun Durabi, lagu puisi oleh Rablin Nordin dan lain-lain lagi.

Ehsan: Blog Abd Naddin Shaiddin

SEKITAR MAJLIS BACA PUISI TELUK LIKAS


Majlis baca puisi atau pengucapan puisi bukan asing bagi IPS. IPS pernah menganjurkan siri Dondang Puisi Anjung yang berlangsung di Anjurng Senja, terletak di pinggir laut di Bandar Raya Kota Kinabalu. DBP Cawangan Sabah pula merupakan rakan baiknya selain Sedcovest Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Sabah (Sedco) yang pernah menjadi penaja aktiviti. Dengan matlamat ingin menjadikan Anjung Senja sebagai antara lokasi pilihan masyarakat kota dan pelancong, kini matlamat yang sama menjadi tradisi setelah majlis Baca Puisi Teluk Likas diutarakan untuk dilaksanakan pada 18 Julai 2009. Alhamdulillah, program ini telah menjadi kenyataan. IPS berharap aktiviti santai yang berlangsung 2 jam di ruang kantin DBP Cawangan Sabah ini dapat diteruskan setiap bulan. Dengan sokongan dan kewibawaan peneraju IPS dan juga Pengarah DBP Cawangan Sabah, Encik Zubaidi Abas, Baca Puisi Teluk Likas akan bersemarak selamanya.

Mohd Fuad Bebit
Hos Baca Puisi Teluk Likas


Encik Zubaidi Abas,
Pengarah DBPCawangan Sabah
melancarkan Kumpulan Puisi
'Kembali di Lahad Rahsia'
karya Hasyuda Abadi.


JY - Deklamator DJ produk IPS.


Ahli Kehormat IPS
Sdr. Laliman Haji Ahmad
turut membaca puisi dengan cara
yang tersendiri dan tetap memberikan makna.

Sdr. Mabulmaddin Haji Shaiddin
mempunyai bakat yang pelbagai selain
menulis puisi, menulis cerpen beliau
juga seorang pengkaji budaya. Malam
itu Mabul meniup seruling kesayangannya.

Asmah Juming ini Naib Juara Deklamasi
Puisi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah
anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara di ibu negeri baru-baru ini.

Kanda Ali Amat Anas, veteran polis kini
bersara tetapi dunia seni tidak pernah
ada ruang persaraan baginya. Kebolehan
dan pengalamannya sentiasa diperlukan
generasi muda untuk menyemai bibit-bibit
seni negara.

Aloy dan pelajarnya
dari Kolej Komuniti Yaysan Sabah

Encik Zubaidi Abas mengucapkan penghargaan dan tahniah
kepada IPS kerana menjadikan DBP Cawangan Sabah sebagai
premis dalam menjayakan Majlis Baca Puisi Teluk Likas.
Usaha ini akan mengajak penggiat seni, penulis dan orang
ramai mendekati DBP dan dunia puisi.

13 Julai 2009

Patriotisme Sebuah Akademi


Patriotisme sering diungkapkan oleh ramai pemimpin. Kepada generasi muda khususnya, patriotisme mengujarkan semangat mencintai negara dan bangsa. Mencinta dengan bacaan menyayangi, memelihara dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai anak bangsa yang merdeka. Namun ungkapan ini tidak mudah untuk dijelaskan kerana ia lebih kepada bagaimana setiap individu itu merasai 'api yang membakar jiwanya', ia tidak sekadar diucapkan tetapi dianjak sebagai benteng yang asas dalam mempertahankan bangsanya daripada 'dijajah' oleh budaya yang memecahkan tradisi, memporak porandakan paduan hala tuju bangsanya, melemahkan jati diri yang dibina dalam membangun sahsiah masyarakat majmuk sebagai pokok yang berakar tunjangkan Rukun Negara dan sebagainya.

Setiap tahun rakyat diingatkan tentang mahalnya sebuah kemerdekaan yang sedang kita nikmati sekarang. Saban tahun juga rakyat dipertenguhkan semangat cintakan tanah airnya menerusi pelbagai program merakyatkan kemerdekaan. Patriotisme menjadi landas dan alatan yang amat relevan. Para pemimpin dalam institusi kekeluargaan, pendidikan di sekolah dan IPT sehingga kepada kepemimpinan masyarakat secara menyeluruh tidak pernah lupa meletakkan patriotisme berada di atas daripada segala-galanya. Persoalannya apakah rakyat menyedari diri mereka memiliki semangat tersebut? Apakah penanda aras setiap rakyat atau warganegara kita menginsafi hanya patriotisme sahaja mampu membawa negara kita terus terjamin sebagai negara yang makmur, harmoni dan membahagiakan rakyatnya?

Kita sering juga mendengar hujahan kemakmuran negara menerusi perpaduan. Setelah merdeka lebih setengah abad, kita masih berhujah tentang perpaduan, mungkin agak kerterlalu untuk dikatakan bahawa kedudukan masyarakat kita menjadi semakin lemah kerana tumpuan lebih kepada bagaimana seluruh rakyat yang beraneka etnik itu harus menjaga rasa, budaya, kepercayaan menerusi ikatan kata perpaduan. Kita harus menerima hakikat bahawa tanpa nilai-nilai cinta kita tidak dapat menikmati kebahagiaan atau kemakmuran hidup. Dengan saling timbul rasa curiga dan kurang percaya terhadap satu sama lain, klita mungkin gagal untuk sama-sama membangunkan sebuah bangsa yang merdeka. Kerana itu mencintai negara dan bangsa harus bersama seiring dengan apa juga keperluan untuk masyarakat multi etnik negara kita.

Kita jadikan semangat patriotik itu sebagai sebuah akademi. Melalui dunia pembelajaraan tentu tidak semata-mata di institusi pendidikan, ia harus terus berkembang dalam kehidupan harian. Kita mendalaminya, sebagaimana kita melalui proses kehidupan itu sendiri, ada masanya kita melalui kepayahan. Namun akhirnya kita belajar sehingga mampu meletakkan semangat tersebut sebagai sebuah jati diri yang tidak mudah diubah. Dengan itu juga tidak mudah dirobek oleh pukauan orang-orang yang tidak berpendirian (baca: tidak memiliki jati diri).

Barangkali kita boleh mencari titik kepada persoalan-persoalan yang sedang berlaku sekarang dengan kepelbagaian enigma terhadap bangsa. Terutama kepada generasi baru dan akan datang, mereka bakal melalui warna-warni nilai yang sedang terjadi sekarang. Generasi sekaranglah pembentuknya. Jika masyarakat terus dilalai dan akhirnya dilalikan oleh hujahan-hujahan yang merugikan untuk jangka masa yang panjang, tidak ada jalan lain yang lebih kukuh selain memperkasakan semangat patriotisme dan Rukun Negara sepanjang hayat di kandung badan.

10 November 2008

Gerbang Ketua Satu



 IPS dan generasi barunya

TAHUN 2015 merupakan tahun penting bagi Ikatan Penulis Sabah (IPS). Pada tahun itu kelak usia persatuan penulis ini akan melalui satu fasa baru - suku abad pertama nya atau usia ke-25 tahun pertamanya semenjak ditubuhkan pada 24 Mac 1990. Sebagai sebuah persatuan penulis yang bermaruah, IPS bersiap sedia menganjurkan Perayaan Jubli Peraknya tahun depan dengan pelbagai program dan aktiviti.

Menjadi Ketua Satu IPS selama hampir dua dekad, saya cukup dewasa untuk memperkatakan sumbangan IPS. Saya mempunyai satu sikap bahawa apabila sesebuah organisasi ditubuhkan ia harus memberikan sesuatu kepada mereka yang menjadi tonggak selain memastikan semua objektif yang termaktub dalam perlembagaannya dipenuhi. Kemudian, bagi saya sumbangan daripada sebuah persatuan yang sederhana dalam segala segi tidak semestinya ia dilihat hanya melalui program-program yang besar. Walaupun kemampuan IPS itu kecil namun ia tetap meninggalkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat, kepada ahli-ahlinya dan kepada negara, dengan kata yang mudah dan mulia iaitu menghasilkan impak yang besar. IPS tidak mungkin mampu bergerak sehingga ke hari ini seandainya cabaran untuk mengekalkan sikap sedia ada melalui semangat kesetiaan, keseiaan dan paling penting kesederhanaannya tidak dihadapi dengan bijaksana.

Sesuai dengan sebuah motto yang saya perkenalkan iaitu 'Berwastiyyah Kesejagatan Sastera', intisari motto menjadi landasan kebersamaan melalui semangat kekeluargaan dan persahabatan. Persatuan dalam fikiran saya bukan untuk meraih faedah persaingan apatah lagi keuntungan bersifat material. Apakah yang kita faham tentang kebersamaan dalam IPS? Walaupun saya memimpin persatuan kecil ini namun, segala keputusan menjadi agenda semua orang dalam persatuan. Mungkin sesetengah orang menganggap saya tidak layak kerana menuduh kononnya kelemahan saya membangunkan IPS agar lebih hebat, memiliki aset, mempunyai wang yang banyak sehingga boleh memberikan kemewahan kepada ahli-ahli, mempunyai itu dan ini, melaksanakan aktiviti bertaraf serta pelbagai gambaran yang ingin meletakkan IPS itu sudah berada pada landasan yang tidak tepat.

Saya ingin berkata bahawa semua gambaran itu dilakukan oleh orang 'silap mata.' Hanya yang selalu bermain silap mata sahaja berusaha untuk mengaburi pandangan bagi meraih kepercayaan orang terhadap perbuatannya itu. Saya tidak ingin menyentuh siapakah pemain silap mata itu, kerana apa yang paling penting adalah ingin membawa IPS meneruskan perjalanannya pada satu landasannya sendiri. Bukan landasan yang dikatakan dimiliki pihak lain. IPS harus mempunyai produk, disiplin dan sikapnya sendiri. Ketiga-tiga hal ini harus dihormati dan wajib IPS perhebatkan walaupun dalam skala yang sifatnya sederhana namun IPS tetap akan menempatkan kesemuanya dalam hati orang ramai dengan ketelusan dan amanah menjadi keutamaan.

Saya ingin memperkatakan kepada anda produk IPS yang lalu dan mendatang. Memberi ingat kepada yang pernah tahu dan memberi tahu kepada yang baru ingin tahu. Dalam tempoh dua dekad lebih, IPS turut mewarnai kegiatan persuratan tanah air. Program-program seperti Malam Nostalgia Sasterawan Sabah 1 & 2, Minggu Sastera Sabah, Khemah Sastera IPS, Peraduan Menulis Puisi Ramadan,  Dialog Sabah Baru, Pengucapan Umum Shuhaibun Yussuf, Anugerah Sastera K.Bali di samping penerbitan karya ahli serta majalah berkala Komposisi. IPS turut melangkah lebih versitil dengan penubuhan Institut Penilaian Sastera Sabah (INPES) yang dipelopori oleh Ahli Kehormat IPS Dato' Haji Dr Janatan Kandok sebagai Pengerusi Eksekutif. INPES mendapat kelulusan penubuhannya oleh Amanah Raya Berhad (ARB) setelah mendapat perkenan Tuan Yang Terutama Yang DiPertuan Negeri Sabah pada 2001. INPES berusaha untuk memberikan penilaian kepada karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh para penulis Sabah dengan acuannya sendiri.

Dalam usaha untuk mengetengahkan generasi baru agar siaga tampil di hadapan khalayak, IPS kini ingin memperkenalkan satu produknya iaitu program yang dinamakan 'Santai Minda'. Program ini merupakan kesinambungan program Pengucapan Umum Shuhaibun Yussuf (PUSY); bezanya PUSY berbentuk syarahan atau pidato persendirian tetapi Santai Minda menampilkan beberapa orang ahli generasi baru diberikan ruang untuk bercakap mengenai isu-isu tertentu yang difikirkan sesuai buat mereka.

Santai Minda berbentuk 'talk show' yang dikendalikan oleh para moderator terdiri daripada para senior yang ada di IPS. Program Santai Minda akan bermula pada 10 Mei ini di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah. Program perkongsian pemikiran ini akan berlangsung setiap bulan atau minimum enam kali setahun. Bagi tahun ini pelbagai genre akan diketengahkan misalnya genre puisi menerusi isu deklamasi puisi, teater dalam kalangan penggiat muda, para penulis cereka di samping tokoh-tokoh ilmuan yang akan memberikan input berhubung dengan dunia persuratan itu sendiri. IPS berharap program ini boleh menjadi salah satu tanda aras dalam usaha membentuk generasi baru menghayati dunia penulisan sekaligus sebagai aktivis.

IPS harus menjadi pilihan dalam kalangan generasi muda apabila program teater membawa jenama pengilmuan melalui pementasan. Dalam hal ini, IPS turut membahui tanggungjawab pembentukan minat dalam kalangan generasi muda ini apabila Creative Stage IPS diwujudkan oleh Biro Teater IPS. Setelah pernah meraih kemenangan dalam Festival Teater tahun lepas dan pementasan teater 'Pinangan' selepas itu, grup teater di bawah pimpinan Erwan Azzaly Awang Taip atau Alloy ini akan memperkasakan lagi kegiatannya mulai Jun ini dengan sebuah pementasan Teater Randai di Kota Kinabalu. IPS amat komited dengan usaha gigih anak-anak muda dalam grup ini dan yakin teater tidak muncul hanya semasa festival semata-mata. Saya berharap teater diungkayah secara serius bukan menjadikannya semata-mata pengisian asal ada. Biarlah selepas pementasan audiens ingin lagi yang lain bukan mencemuh atas sikap asal ada yang amat merugikan pentas dan wang yang digunakan.

IPS juga komited dengan program penghayatan Islam selain Program Peraduan Menulis Puisi Ramadan misalnya tahun ini IPS akan menganjurkan Nadwah Sastera Islam dan Malam Pengucapan Puisi Hijrah sempena perayaan Maal Hijrah 1436. Program nadwah bukan bermaksud mengambil alih aktiviti yang sedia ada tetapi menambah lebarkan lagi mesej yang sama iaitu mengimarahkan tema-tema Islami dan berobjektifkan nilai-nilai murni dalam aktiviti berkenaan. IPS mempunyai pengalaman menganjurkan aktiviti pengucapan puisi Hijrah sebelum ini yang cukup berjaya. Mudah-mudahan pengalaman ini memberikan kekuatan untuk menambahbaik aktiviti seterusnya. Untuk memantapkan lagi pentas deklamasi puisi, IPS jua akan membuka pentas deklamasi kepada para deklamator terpilih secara solo. Tahun ini IPS akan menonjolkan pendekatan sajak-sajak jenaka (Sajen) oleh pelopornya di Sabah, Mohammad Puad Bebit. Kami juga telah menyenarai pendek beberapa orang tokoh penyair seperti Datuk Haji Jamdin Buyong, Datu Ruslan Sulai dan Hajah Zaiton Ajamain untuk mengisi slot ini. Sudah tentu penampilan mereka mempunyai corak yang tersendiri dan yang jelas berbeza daripada cara konvensional persembahan deklamasi sebelumnya.

Sejajar dengan matlamat pembinaan dan pemantapan para penulis sama ada mereka yang bergabung dengan IPS atau tidak, IPS tidak akan mengetepikan program penataran sastera. Biro Kreatif IPS Sandakan akan membuka tirai aktiviti di daerah itu pada pertengahan bulan Mei ini. Bengkel Penulisan Kreatif cerpen dan Puisi akan berlangsung pada 17 Mei di Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah Sandakan. Aktiviti ini dianjurkan oleh IPS dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan SMK Muhibbah Sandakan. Program penataran ini merupakan langkah awal  IPS dalam melaksanakan bengkel jelajah seluruh Negeri khususnya daerah-daerah yang telah mempunyai Biro Kreatif IPS. Daripada bengkel ini IPS membuka ruang untuk menjadi para peserta sebagai rakan IPS. Dengan berdoa mereka akan menjadi penulis selepas itu tetapi lebih berharga lagi sekiranya mereka menjadi keluarga IPS.


Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu.