PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



27 Mei 2013

Tribunal Penulis

         
PADA Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM): Siapa Bela Penulis: Persatuan Penulis atau Persatuan Penerbit? dicadangkan penubuhan Majlis Tribunal Penulis dalam membela nasib penulis negara ini yang didakwa menjadi mainan penerbit tidak bertanggungjawab.
 
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, selaku panel wacana bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-32 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini, mencadangkan langkah terbabit.
 
Cadangan Dr Mohamad Saleeh turut mendapat sokongan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah, tetapi apabila diperhalusi Sastera BH, ia bukan saja membabitkan perundangan, tetapi juga perlu dibawa ke Kabinet untuk mendapat kelulusan.
 
Tanpa melalui proses perundangan yang panjang itu, Majlis Tribunal Penulis, tidak mempunyai kuasa daripada segi perintah pelaksanaan dan penubuhannya akan lebih bersifat arbitrator dan membawa kesan baik kepada penulis seperti yang diharapkan.
 
Perlukan diberi kuasa
Penulis skrip yang juga bekas majistret, Zabidi Mohamed, berkata arbitrator sebagai orang tengah tidak memiliki perintah pelaksanaan itu dan pihak bertelagah yang dirujuk ke Majlis Tribunal boleh mengambil sikap untuk tidak akur kepada perintah tribunal.
 
"Tindakan mewujudkan tribunal tanpa kuasa undang-undang tidak banyak membantu dalam menyelesaikan masalah antara penulis dengan penerbit dan pihak lain dalam industri. Memang keperluan menubuhkannya ada, tetapi kita tidak boleh menaruh harapan besar kepadanya, selagi kuasa undang-undang tidak dibekalkan kepadanya," katanya kepada Sastera BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 
Zabidi turut mengingatkan proses penggubalan undang-undang untuk memberikan kuasa kepada tribunal akan mengambil masa yang panjang kerana perlu dibawa dan akta khas mewujudkan Majlis Tribunal Penulis perlu diwujudkan di Parlimen.
 
"Saya berpendapat masalah yang dihadapi penulis boleh diselesaikan oleh persatuan dalam industri yang menaungi mereka, sekali gus percaya usaha memperkasakan persatuan dalam industri lebih utama. Pada masa sama, pihak berwajib boleh mewujudkan tribunal secara ad hoc, sekiranya ada kes yang memerlukan orang tengah untuk menyelesaikannya," katanya.
 
Zabidi membawa contoh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) baru-baru ini, pun masih ada pihak yang mempertikaikannya dan ia boleh diselesaikan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mewujudkan tribunal secara ad hoc.
 
Beliau bersetuju supaya persatuan dalam industri diperkasakan terlebih dulu supaya memiliki suara yang padu untuk mendesak kerajaan menubuhkan tribunal yang dibekalkan dengan kuasa undang-undang bagi melindungi kepentingan penulis Negara ini.
 
"Persatuan mesti tahu hak mereka dari segi undang-undang supaya dapat memperjuangkan haknya sekali gus celik undang-undang. Agensi kerajaan yang berkait rapat dengan industri perlu lebih dekat dan berupaya bertindak sebagai arbitrator dalam menyelesaikan masalah industri," katanya.
 
Kesedaran hak perlu
Penulis muda yang juga peguam, Siti Hajar Mohd Zaki, senada dengan Zabidi apabila menganggap penubuhan tribunal memudahkan penulis kerana ia memberi laluan pantas, tetapi masih memerlukan mahkamah untuk perintah pelaksanaan.
 
"Penulis boleh mengemukakan kes mereka secara cepat kepada tribunal yang diputuskan oleh Presiden Majlis Tribunal Penulis, tetapi jika penerbit tidak mahu membayar selepas keputusan berpihak kepada pengarang, mereka perlu ke mahkamah. Orang lebih takut kepada mahkamah, tetapi kos yang perlu ditanggung besar dan royalti tidak sebesar mana," katanya.
 
Justeru, Siti Hajar mengingatkan tumpuan utama perlu diberikan ialah membina kesedaran penulis dalam mengetahui hak mereka, sebelum kontrak ditandatangani dan persatuan penulis wajar mengadakan bengkel khas untuk mengkaji kontrak perjanjian dan merangka panduan yang boleh diguna pakai oleh penulis.
 
"PENA boleh mengadakan bengkel itu dengan menjemput mereka yang berkepakaran untuk menilai apa yang perlu ada atau bercanggah dengan hak penulis," katanya.
 
Tulis surat
Setiausaha Agung MABOPA yang juga Pengarah Urusan PTS Publications, Arief Hakim Sani Rahmat, menyarankan penulis menggunakan saluran mahkamah sekiranya membabitkan kes jumlah tuntutan besar dan sekiranya kecil boleh disalurkan kepada Tribunal Hak Cipta, yang berada di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO).
 
"Kita mungkin banyak kes tuntutan kecil, tetapi ia bolehlah menggunakan saluran sedia ada itu dengan memperluaskan bidang tugas Tribunal Hak Cipta," katanya.
 
Beliau berkata, penulis juga boleh menghantar surat tuntutan kepada penerbit saja sekiranya membabitkan kes yang kecil kerana ia lebih murah dan berkesan,
 
"Surat itu akan menyebabkan penerbit terpaksa berunding dengan penulis sekiranya ada isu kerana saya percaya mereka pun tidak mahu naik turun mahkamah. Secara jujurnya, saya percaya penulis di negara ini memiliki kelebihan, manakala penerbit yang menipu eloklah disaman saja," katanya.
 
(Berita Harian 20 Mei 2013)
 

Tiada ulasan: