Oleh Nazmi Yaakub
LAMAN web Business Standard (India) di alamat www.business-standard.com/india menyifatkan ramalan kematian novel dan buku berkulit lembut kesan teknologi e-buku tidak lebih daripada telahan yang diperbesar-besarkan.
Pengkritik sastera yang juga wartawan terkenal dari India, Nilanjana S Roy, menganggap e-buku tidak berjaya membunuh buku cetakan konvensional, sebaliknya pengarang masih berlumba-lumba menerbitkannya.
“Novelis Dan Brown yang tersohor dengan Angels & Demons dan The Da Vinci Code serta Stephenie Meyer yang terkenal dengan siri novel seram romantik, Twillight, tidak terjejas oleh gelombang berkenaan.
“Hal ini berlaku meskipun peranti Kindle dan saingan pembaca e-buku itu diterima pembaca dengan kadar menggalakkan sehingga pembaca bahan elektronik itu boleh ditemui di mana-mana terutama dengan kemunculan iPod,” katanya dalam rencana 2009: Tinjauan Setahun dalam Dunia Buku.
Laman itu turut memetik Roy sebagai menjangkakan, peralihan buku kepada e-buku, mengambil masa sebelum khalayak pembaca memutuskan untuk ‘menyingkirkan’ buku daripada rak bacaan mereka.
“Meskipun 2010 dilihat sebagai trend untuk e-buku, tetapi sastera dalam Twitter atau twitterature bakal menemui nasib serupa seperti novel hypertext dan novel khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana keghairahannya hanya bersifat sementara,” katanya yang turut menulis blog di akhondofswat.blogspot.com.
Dalam konteks cerpen, Roy menyimpulkan ia kembali mendapat tempat di hati pembaca dengan kemenangan Alice Munro dalam Hadiah Man Booker, selain penerbitan kumpulan cerpen baru oleh Ishiguro, Updike dan Hemon, manakala sebahagian cerpenis menerima pujian pengkritik,” katanya.
Roy turut menganggap trend yang sama turut melanda dunia sastera di India apabila penulis seperti Palash Krishna Mehrotra dan Mridula Koshy mendapat tempat di persada sastera sebelum mereka beralih ke novel.
Roy yang dilahirkan di Calcutta, India pada 1971, menuntut di Universiti Delhi dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Editor Rencana Business Standard, sebelum menjadi penulis sepenuh masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan