HASYUDA ABADI
Ketua Satu
Ikatan Penulis Sabah (IPS)

MENYERTAI
 IPS pada tahun 1992 setelah persatuan ini diiktiraf sebagai sebuah 
persatuan penulis yang berdaftar, saya percaya IPS menjadi pemangkin 
yang penting kepada generasi pelapis para penulis pada masa akan datang.
 Meskipun, sambutan segelintir penulis veteran kurang menyenangi atas 
kelahiran IPS, mahu tidak mahu arena sastera di Sabah harus akur bahawa 
sastera perlu diperkasakan oleh gerakan-gerakan tertentu yang lebih 
agresif dan berhala tuju.
 
Kini IPS telah berusia 25 tahun.
 Barangkali ada yang menjangkakan IPS tidak dapat bertahan sehingga 
seusia ini. Tidak mustahil ada juga yang berfikir IPS akan berkubur pada
 tahun 1998 apabila berlaku ‘tsunami’ kepimpinan. Bahkan tidak kurang 
juga yang memberikan pandangan yang membina bahawa IPS harus terus hidup
 dalam satu acuan kesederhanaannya.
IPS ditubuhkan pada 24
 Mac 1990. Tarikh ini sejarah yang amat penting. Saya masih ingat 
apabila rakan sekerja memberitahu sebuah persatuan penulis bakal 
ditubuhkan di Kota Kinabalu. Kenyataannya itu dibenarkan oleh seorang 
lagi rakan penulis yang turut mengajak saja menghadiri sebuah perjumpaan
 pagi hari Sabtu di Sudut Penulis DBP, Tingkat 1, Bangunan SEDCO, 
Kampung Air Kota Kinabalu. Kedua rakan ini iaitu N.R. Rahim dan Aida A.R
 masih bersama IPS hingga kini. Namun begitu sahabat yang sentiasa saya 
bersamanya sehingga saat ini adalah individu yang pertama sekali 
memberikan borang keahlian. Abd Naddin Haji Shaddin, merupakan seorang 
penasihat, pendorong malah bagi saya sahabat yang tidak sentiasa berkata
 ‘setuju’ tetapi istiqamah positif menggerakkan IPS. Begitu pun saya 
tidak pernah melupai dua sahabat penulis yang menjadi pendiri IPS iaitu 
Jasni Matlani yang kami senangi dengan gelaran JM dan Aliuddin Mohd 
Salleh yang bernama pena Ailin Nor dalam karya kreatifnya. Jasni telah 
membangunkan IPS dengan cemerlang menerusi idea-ideanya yang besar.
Bagaimanapun
 kedua-duanya ini tidak lagi bersama IPS ketika IPS meraikan usianya 
yang ke-25. Saya percaya mereka juga mempunyai ingatan yang sama dengan 
ramai rakan yang tidak berkesempatan menghadiri majlis sambutan. IPS 
amat berterima kasih kepada ahli-ahli veteran IPS yang hadir. Sesuatu 
yang tidak dijangkakan adalah peranan DBP Cawangan Sabah menerusi 
Pengarahnya, Hajah Asmiah Ajamain dan pegawai-pegawai kanannya Noraini 
Abdul Hamid, Tengku Fauziah Ku Mat, Rusdi Awang dan Japar Haji Ungki. 
IPS amat menghargai dan sentiasa diingati sampai bila-bila. Tidak 
ketinggalan Ahli-ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli IPS yang bekerja keras 
menjayakan sambutan Pelancaran Jubli Perak baru-baru ini.

Kepimpinan
 tertinggi IPS masa kini amat iltizam terhadap masa depan persatuan. 
Berteraskan motto ‘Wasatiyyah Kesejagatan Sastera’, gerakan yang 
sederhana tetapi yakin kepada kebitaraan wawasannya, akan terus 
meletakkan IPS bersama pendukung-pendukung persuratan tanah air. IPS 
tidak mungkin mampu melaksanakan aktivitinya tanpa adanya pengurus 
sastera dan bahasa yang berwibawa. Kami melihat bahawa hala tuju yang 
jelas mesti berlandaskan suatu pendekatan yang alami, ikhlas, beramanah 
dan wastiyyah. DBP pusat dan cawangan di Sabah, bagi kami, menjadi 
payung untuk menggerakkan aktiviti. Agensi ini amat penting, sebab itu 
jangan sekali-kali membelakangi apatah lagi memberikan gambaran negatif 
hanya semata-mata agensi ini kurang memberikan perhatian dari segi 
bantuan kewangan, misalnya. Kita percaya dan memahami situasi yang harus
 dihadapi oleh mana-mana agensi Kerajaan termasuklah DBP. Bersyukurlah 
apa yang ada. Walaupun keadaan kewangan tidak mengizinkan, DBP Cawangan 
Sabah tetap memberikan sokongannya dari semasa ke semasa.
 
Mengimbas
 25 tahun yang lalu, beberapa perkara yang telah diberikan perhatian 
oleh IPS. Mengenai kejayaan yang telah ditempuhi antara yang penting 
ialah penubuhan Institut Penilaian Sastera atau INPES pada tahun 2001. 
Institut ini merupakan usaha yang dilakukan oleh IPS atas idea ahli 
kehormat IPS, Yang Berbahagia Datuk Dr Haji Janatan Kandok. INPES 
ditubuhkan di bawah Amanah Raya Berhad (ARB) atas perkenan Tuan Yang 
Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah. Misi INPES antaranya memberikan 
penilaian terhadap karya dan penulis dan membuat kajian ilmiah mengenai 
budaya, bahasa dan sastera.
Kedua, IPS memandang serius 
terhadap wacana sastera yang harus diberikan perhatian. Bengkel-bengkel 
penulisan yang laksanakan bagi IPS, harus diikuti oleh pembitaraan 
karya. Bagaimana karya dapat dibitarakan? Penerbitan Komposisi sebagai 
salah satu pilihan penyaluran karya, IPS fikir mampu melaksanakan lebih 
sekadar sebuah penerbitan stensilan. Namun begitu, tanpa adanya 
segelintir ahli yang hebat dalam merealisasikan Komposisi di peringkat 
awal dahulu seperti Jasni Matlani, Abd Naddin Shaiddin, Sharifah AM 
Nordin, N.R. Rahim dan beberapa ahli yang lain, IPS mungkin hanya 
dilihat sebagai pertubuhan yang kosong.
Komposisi menjadi 
saluran penting bagi para penulis mengetengahkan karya-karya mereka. 
Selain majalah dan surat khabar yang selalu beralasankan ruangan yang 
terhad, Komposisi wajar dibitara menjadi sebuah majalah yang dinamik dan
 idealis. Satu ketika Komposisi telah mendapat permit daripada 
Kementerian dalam Negeri, ini sejarah yang penting, namun sayang sekali 
Komposisi pada 1998 tidak menggambarkan sebuah majalah sastera yang 
tulen kerana memasukkan unsur-unsur lain yang tidak menepati matlamat 
asalnya. Sebab itu penerbitan ini terhenti pada masa itu.
Penerbitan
 buku-buku sastera selain majalah Komposisi turut diberikan perhatian. 
IPS pernah menerbitkan beberapa buah buku tetapi tanpa rujukan ISBN 
Perpustakaan Negara Malaysia. Buku-buku yang diusahakan adalah dalam 
bentuk stensilan seperti Antologi Puisi ‘Pengantin’, Antologi Puisi 
‘Jalan ke Hujung Taman’ dan Antologi ‘Arca’. Sebuah Antologi Cerpen  
‘Titian Pertama’ telah diterbitkan dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah.
Pada
 tahun 1997, IPS yang pernah beroperasi di Asia City Kota Kinabalu telah
 menerbitkan Kumpulan Puisi ‘Kabus’ karya Jasni Matlani, Kumpulan Puisi 
‘Akar Cahaya’ dan ‘Datang Kembali’ karya Hasyuda Abadi, Kumpulan Puisi 
‘Tetap Merdeka’ karya K.Bali dan dua siri buku bimbingan Penulisan 
Kreatif dan Penulisan Skrip Drama Radio disusun oleh Robby A. Pada 2013,
 IPS mendapat mandat menjadi penerbit buku. Sejak daripada itu, IPS 
telah menerbitkan Antologi Puisi ‘Menjilbab Cinta’ karya para penulis 
IPS dan Asterwani Brunei, Kumpulan Pantun ‘ Usul Mengenal Asal’ karya 
Hasyuda Abadi, Kumpulan Puisi ‘Seniman Menangis’ karya Melan Bujang, 
Buku ‘Asas Membaca’ karya dan terbaharu Antologi Puisi ‘Taman Fikir’ 
karya 36 penulis IPS dan rakan IPS.
Untuk menggerakkan 
ahli dalam bentuk pertemuan, IPS menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti 
Pertemuan Penulis Muda, Manifestasi Seni, Khemah Sastera, Malam 
Nostalgia Sasterawan Sabah, Forum Sabah Baharu, Bicara Umum Shuhaibun 
Yussuf dan Bengkel Penulisan Kreatif. Pemerkasaan aktiviti-aktiviti 
terus dilaksanakan dengan lahirnya program Santai Minda dan Wacana 
Sastera. Alhamdulilah sepanjang 25 tahun, IPS pernah dinobatkan sebagai 
persatuan penulis paling aktifi sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 
1999, 2002 dan 2003 daripada Majlis Bahasa dan Sastera Sabah dan DBP 
Cawangan Sabah. Sempena Jubli Perak IPS, Komposisi dihidupkan semula 
dalam bentuk yang lebih menarik. Mudah-mudahan Komposisi edisi kali ini 
mampu menjadi potensi kepada para penulis Sabah. Begitu juga penerbitan 
Antologi Puisi ‘Taman Fikir’ yang memuatkan puisi-puisi 36 orang penulis
 IPS dan rakan-rakan IPS, menjadi dorongan kepada para penulis Sabah 
terus berkarya selain menjadikannya khazanah persuratan tanah air.

IPS
 yakin ia masih relevan menjadi payung para penulis di Sabah. 
Pemerkasaan IPS terus dilakukan
 
 pada skala yang amat sederhana. Namun 
begitu konsep bitara yang diperkenalkan semasa program motivasi pada 
bulan Februari 2015 akan menjadi tanda aras kepadanya. Bitara yang 
membawa maksud pencapaian paling unggul dalam bidangnya, harus difahami 
oleh setiap lapisan ahli. Setiap ahli perlu mempunyai impian dan 
memantapkan setiap jalur ke arah impian itu dengan iltizam serta 
tumpuan. Menjadi terampil dalam dunia persuratan harus memegang prinsip 
melalui pemilikan buku sendiri, melibatkan diri dengan serius dalam 
pelbagai acara sastera tanah air dan mengambil tahu aktiviti persatuan 
pada masa yang sama terlibat dalam aktiviti-aktiviti persatuan.
Meminjam
 kata-kata Presiden Amerika John Edward Kennedy yang saya adaptasi 
berbunyi ‘Jangan tanya apa IPS sumbangkan kepada anda sebagai ahlinya 
tetapi tanyakan apakah sumbangan anda kepada IPS’. Barangkali ungkapan 
itu tidaklah begitu popular namun begitu sebagai ahli IPS, saya yakin 
kita mempunyai pandangan yang jelas, apakah kita mempunyai sikap ambil 
tahu kepada persatuan hanya disebabkan persatuan mampu memberikan 
sesuatu kepada kita? Tepuk dada tanya selera. Saya tidak ingin memaksa 
semua ahli berbuat lebih daripada apa yang ahli-ahli mampu berikan, 
memadailah mempunyai iltizam agar IPS terus mampu bergerak dan diiktiraf
 sebagai antara pertubuhan bukan kerajaan yang bermakna bukan sahaja 
kepada semua ahlinya bahkan kepada agama dan Negara kita.
Salam wasatiyyah dan selamat berjubli perak!
Pustaka Iqbal Nazim