PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



07 Disember 2009

Sastera: bercerita dan berjuang

Agak langka juga bagi saya tetapi semasa menghadiri aktiviti sastera di Miri baru-baru ini mengingatkan saya betapa perlunya aktiviti seumpama ini dilakukan biarpun secara kecil-kecilan, berforum atau berdiskusi, misalnya. Saya pernah berkata apa salahnya program sastera diadakan dalam skala yang kecil tetapi berterusan. Setuju dengan saran Prof. Sahlan Mohd Saman sebuah hadiah yang besar tidak praktikal jika ia dilakukan sekali seumur hidup berbanding jumlah yang kecil tetapi berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi.

Namun perlulah dirancang, terancang mengikut keperluannya, barulah akhirnya sampai kepada matlamat. Jika tidak, sama sahaja. Berjuang tanpa juang, samalah berapi membakar hujah malangnya terbakar sendiri menjadi debu akhirnya berterbangan di angkasa entah ke mana!

Bercerita dan berjuang, dua kata yang sepatutnya sinonim dalam usaha mengangkat maruah sastera Melayu kita. Kita berkisah tentang bangsa kita yang sentiasa dipandang kecil apabila melihat kedaifan kita sebagai pengarang. Padahal pengarang mempunyai dimensi yang hebat dalam memperkatakan fikirannya. Kemudian berjuang, memperjuangkan kebenaran apa yang difikirkannya baik buat bangsanya. Malang sekali, dua faktor ini hanya merupakan hiasan pihak-pihak yang meneguk di air keruh. Berbasa-basi memperkatakan tentang sastera namun pada masa yang lain mengambil mudah apabila meletakkan sastera dan para pendudukungnya sebagai debu di tepi jalan.

Ahli sukan negara lebih mulia berbanding seorang sasterawan yang banyak berfikir. Siapakah yang lebih mengukir jasa antara dua jaguh sukan dan sastera? Antara nama dan fikrah, sudah tentu ramai yang meletakkan sukan berbanding sebuah novel. Orang sanggup berbaris membeli tiket di stadium berbanding undangan percuma sebuah persembahan teater, misalnya. Orang sanggup menghabiskan wang menghantar SMS untuk sebuah program realiti berbanding membeli buku.

Nilai jati diri masyarakat kita tidak mudah diubah, memang mereka telah berubah tetapi perubahan budaya atau cara hidup mereka lebih cenderung kepada cara hidup yang mewah, berliburan tanpa batasan.

Para penulis wajar melihat semua ini dengan pandangan yang jujur. Tanpa berhenti untuk bercerita dan berjuang walaupun di hadapan mereka ranjau cabaran, kerenah manusia yang tidak pernah putus asa untuk menyebabkan orang lain jatuh susah. Kerenah manusia yang bodoh sombong, angkuh dan ego... semua ini asam garam peristiwa yang berlangsung dan harus diharungi

~ Hasyuda Abadi ~

Tiada ulasan: