PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



24 Disember 2009

PSN XV: Jadikan pertemuan lebih bermakna

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


PESERTA pertemuan sasterawan Nusantara XV mengemukakan pertanyaan pada sesi soal jawab.

Saranan pemakalah dan peserta Pertemuan Sasterawan Nusantara XV di Brunei

KETIADAAN resolusi yang mantap dan susulan daripada rumusan pada Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) terdahulu dibangkitkan pemakalah dan peserta PSN XV di Berakas, Bandar Seri Benggawan, Brunei Darussalam, pada 11 hingga 13 Disember lalu.

PSN XV: Mencarukkan Sastera Nusantara yang mengangkat karya Penyair Islam Diraja Brunei, Muda Omar Ali Saifuddien dalam usaha mencarukkan sastera Nusantara sebagai landasan bagi mewujudkan kesefahaman Nusantara dianggap terlalu samar.

Pemakalah dari Indonesia, Medijanti Leokito, menganggap PSN XV memberi layanan terbaik kepada semua yang menjayakannya, tetapi tidak jauh bezanya daripada pertemuan terdahulu yang menyaksikan ketiadaan langkah susulan dan laporan pertemuan terdahulu diambil hasil daripada setiap pertemuan.

“PSN perlu mengambil tindakan daripada setiap hasil perbincangan demi memastikan pengisiannya tidak sekadar melepaskan batuk di tangga. Tenaga dan wang bagi menjayakan PSN pula perlu dimanfaatkan dalam merangka strategi mempertahankan sastera Nusantara yang kian terpinggir,” katanya ketika ditanya Sastera, pada pertemuan terbabit.

Beliau yang mewakili Indonesia pada Program Penulisan Antarabangsa, University Iowa, Amerika Syarikat, pada 2001 mencadangkan agar wakil semua negara diwajibkan menyediakan laporan pada setiap pertemuan bagi memastikan keberkesanan hasil perbincangan untuk pelaksanaan secara berkesan dan teratur.

Peserta Malaysia, Siti Fatimah Hassan, pula menganggap PSN kali ini mencapai matlamat pada dasarnya, tetapi ketiadaan tindakan bagi merealisasikan objektif utama pertemuan terbabit hanya akan menyebabkan ia sekadar kekal sebagai program santai yang mempertemukan sasterawan Nusantara.

“PSN perlu diperkenalkan kepada orang luar terutama golongan muda bagi memancing minat mereka untuk menceburi bidang sastera memandangkan penerimaan sastera di kalangan kelompok terbabit semakin pudar, sama seperti fenomena yang menimpa Malaysia, Brunei dan Indonesia pada masa kini,” katanya yang berkhidmat sebagai guru di Limbang, Sarawak.

Siti Fatimah tidak menafikan langkah memperkenalkan Muda Omar Ali Saifuddien dalam PSN XV adalah cara bijak mengembalikan kegemilangan sastera lama pada peringkat Nusantara kerana beliau sasterawan diraja yang sudah diiktiraf sebagai sasterawan Islam Brunei selain karyanya boleh dimanfaatkan bagi mendidik masyarakat mendekati sastera berunsur nasihat.

Di sebalik rungutan ketiadaan resolusi mantap dan langkah susulan, program anjuran Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (Asterawani) Brunei Darussalam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBPB), wajar diberi pujian kerana kesediaan orang kerajaan turun padang demi memeriahkan pentas perasmian dan penutupan PSN XV.

Kehadiran Putera kedua Hassanul Bolkiah, Pengiran Muda Abdul Malik merasmikan majlis perasmian di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun dan penutupan oleh Menteri Tenaga Brunei, Pehin Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Pahlawan Awang Mohammad Daud, ternyata menyuntik semangat sasterawan, pemakalah dan peserta pertemuan.

Awang Mohammad pada penutupan mengingatkan sasterawan tanggungjawab sasterawan untuk memelihara kemuliaan dalam berkarya dengan bergerak atas tiga unsur penting iaitu keindahan, kebaikan dan kebenaran, sesuai dengan ciptaan mereka sebagai manusia dengan sifat mulia berbanding makhluk lain di muka bumi.

“Karya sastera pada masa lalu ada nilai moral tinggi dan mengandungi unsur kebaikan sehingga mudah diterima masyarakat berbanding sesetengah genre sastera masa kini yang tidak begitu menitik beratkan nilai moral,” katanya ketika berucap pada pertemuan di Balai Sarmayuda, DBPB, Barakas.

Beliau mengemukakan Muda Omar Ali Saifuddien sebagai contoh sehingga diiktiraf sebagai sasterawan diraja dan sasterawan Islam Brunei kerana karyanya jelas mendidik rakyat menjadi manusia beragama lagi berakhlak mulia serta berguna kepada bangsa mahupun negara.

Ketua 1 Asterawani, Prof Madya Dr Ampuan Ibrahim Ampuan Tengah, yakin bahawa PSN XV dapat menimbulkan suatu pemikiran yang boleh dijadikan langkah untuk mengangkat kualiti dan identiti sastera Nusantara walaupun mengambil jangka masa panjang untuk melihat hasilnya.

“Saya akui PSN kali ini kurang mendapat sambutan berikutan kelewatan penganjur memberi maklumat kepada pemakalah dan peserta selain musim cuti sekolah. Kesilapan ini tidak menjejaskan perjalanan PSN walaupun ada sesetengah pihak menganggap pertemuan kali ini gagal mencapai kata sepakat,” katanya.

Pertemuan dwitahunan yang diadakan bergilir-gilir di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura digerakkan dengan rasional sebagai negara serumpun yang berkongsi bahasa dan tradisi budaya serta perjuangan yang sama.

Berita Harian Online

Tiada ulasan: