PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



01 Disember 2009

Puisi Melayu lama cerminan ketinggian akal budi


Oleh Azman Ismail

SESUNGGUHNYA sastera dalam semua genre sejak era Plato hingga kepada pengkritik Anthony Giddens adalah kekuatan keilmuan sesebuah bangsa. Ia sentiasa berkembang untuk mengisi seluruh pemikiran masyarakatnya. Karya-karya sastera termasuk puisi dalam konteks kotemporari berkembang sejajar dengan penemuan kerangka ilmu-ilmu sosial ataupun kebudayaan. Gagasan daripada aktiviti-aktiviti kesusasteraan kotemporari turut mempengaruhi produksi gagasan-gagasan dalam pemikiran para ilmuwan. Aspek stilistik dalam sastera untuk menemukan format ideal persembahan karya.

Jean Baudrillard, salah seorang pemikir pascamoden paling provokatif pada dasarnya mewarisi idea-idea serta pandangan penulis Argentina, Jorge Luis Borges. Pengaruh karya Luis Borges, The Garden of Forking Path (1941) terhadap Baudrillard sangat ketara. Kesimpulan yang paling mudah, sastera sentiasa berkembang dengan mewarisi ‘penemuan’ generasi sebelumnya sebagai asas penulisan atau setidak-tidaknya rujukan.

Pengaruh besar Luis Borges tersebut menjadi landasan kepada penghasilan karya Bondrillard, Simulacra and Simulation (1981). Begitu juga dalam konteks sastera Melayu. Genre puisi misalnya merupakan sebuah warisan teras hati budi masyarakat Melayu yang penuh kesantunan dan nilai-nilai luhur. Pengaruh daripada puisi tradisional seperti nazam, seloka, syair dan gurindam menggabungkan antara estetika bahasa dan ketinggian nilai-nilai budi serta kesantunan orang Melayu.

Pengertian paling mudah ialah budi mewakili tempat perasaan, kesedaran, keyakinan dan dorongan manakala budi pula ialah akal atau daya fikir yang memahami untuk memahami sesuatu. Sesuatu yang kongkrit atau abstrak, yang praktikal ataupun teoritikal. Menurut Pensyarah Sastera, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Dr. Hashim Musa, puisi-puisi Melayu lama merupakan contoh terbaik tentang akar budi Melayu yang tersembunyi di sebalik ketinggian bahasa.

Puisi-puisi Melayu lama dengan jelas menyatakan komponen teras hati budi Melayu sebagai paksi dan panduan perlakuan kepada anggota masyarakat demi menjaga kerukunan, kesejahteraan dan kejayaan dalam masyarakat.

“Puisi Melayu lama yang diolah secara berentak dan berirama dengan pemilihan kata yang memikat hati budi sehingga mudah melekat dalam ingatan, merupakan khazanah warisan Melayu sejak zaman berzaman dalam bentuk sastera lisan seperti pepatah, pantun, gurindam dan peribahasa.

“Penciptaannya oleh golongan bijak pandai Melayu secara anonimus, kolektif dan akumulatif dalam deretan perjalanan sejarah dan perkembangan masyarakat itu,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada seminar Antarabangsa Psikolinguistik di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berpendapat, ketinggian akal budi Melayu pada dasarnya tidak dapat dipisahkan daripada dimensi alam, budaya, pengalaman-pengalaman praktikal dan ilmu warisan turun-temurun nenek moyang mereka. Ketinggian nilai cerapan terhadap unsur-unsur tersebut membolehkan karya-karya sastera Melayu tradisional mempunyai falsafah serta keupayaan akal budi yang memukau. Sarjana-sarjana Melayu membahagikan 26 teras ketinggian akal budi Melayu berdasarkan pantun, simpulan bahasa, gurindam, syair, seloka dan nazam.

Hashim berkata, antara dapatan kajian tersebut ialah hidup berteraskan agama Islam, pendidikan demi membentuk manusia yang berilmu, beradab, berbudi dan bertakwa serta taat kepada ibu bapa. Unsur lain yang turut ditekankan ialah setia kepada ketua yang adil, halus berbudi bahasa, sentiasa bermufakat, tolong menolong dan mengutamakan kebajikan umum.

Masyarakat Melayu tradisional juga menekankan menanam budi, menghormati hak dan milik, berdikari, amanah, berbaik-baik sesama makhluk, tidak membuang masa, bersifat kasih sayang dan mensyukuri nikmat Allah. Kekuatan dan pegangan teguh kepada nilai-nilai akal budi tersebutlah yang menjadi inti kepada kekuatan tamadun Melayu di Nusantara sejak lebih 1,000 tahun lalu.

Bagaimanapun kolonialisme dengan pelbagai unsur budaya Barat secara bertahap turut mempengaruhi nilai-nilai itu hingga kejatuhan sepenuhnya alam Melayu pada sejak awal abad ke-20. “Kerangka hati dan budi Melayu mengandungi tiga komponen utama iaitu epistemologi, pandangan alam semester (worldview) dan komponen nilai serta akhlak atau faham nilai,”tambahnya.

Hashim berkata, dalam konteks epistemologi, ilmu mengikut pandangan orang Melayu ialah ilmu pencarian akal budi manusia serta ilmu ilham dan wahyu. Keindahan, kehalusan dan kesenian dalam bentuk bahasa dan reka cipta dalam bidang seni sastera. seni tampak dan seni persembahan Melayu juga membentuk sebahagian daripada epistemologinya. Sementara itu, dalam aspek komponen pandangan alam semesta masyarakat Melayu boleh disimpulkan kepada enam prinsip. Antaranya, meletakkan Allah sebagai sumber atau pusat panduan tertinggi dalam pemikiran serta aktiviti. Dalam erti kata lain, masyarakat Melayu meletakkan segala ilmu pengetahuan, maklumat, kemahiran teknologi, peralatan dan prasarana kehidupan di dunia.

Aspek komponen nilai, moral, etika dan akhlak pula berkaitan erat dengan pandangan orang Melayu tentang apa yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Nilai-nilai serta makna moral tersebut dikaitkan dengan Islam yang mula menjadi inti utama kekuatan peradaban di Nusantara sejak abad ke-12. Kemurnian nilai, moral, etika dan akhlak yang dibawa oleh Islam tersebut memberi pengaruh yang sangat besar kepada keududkan akal dan budi Melayu hingga ke hari ini. Ia sekali gus mempengaruhi bentuk-bentuk, isi, tema dan cara penyampaian genre-genre kesenian tradisional Melayu yang digabungkan dengan pemahaman lengkap tentang unsur alam dan warisan.

Teks-teks puisi tradisional walaupun mengandungi unsur-unsur imaginatif atau fantasi, namun ia tetap empiris dan rasional kerana disokong oleh pengetahuan yang luas para pengarangnya. Dapat disimpulkan secara umum, para pengarang Melayu berjaya menemukan satu kaedah dalam puisi-puisi mereka untuk menyebarkar nilai akar dan budi tanpa mengetepikan aspek estetika. Sesuai dengan nilai-nilai dalam Islam, keindahan sentiasa berada pada tahap tertinggi. Pandangan-pandangan itulah yang terus dipegang kukuh dalam puisi-puisi tradisional Melayu. Keberadaan puisi-puisi Melayu lama sesunggunya sesuatu yang unik. Ia sama sekali berbeza dengan mana-mana karya klasik di seluruh dunia. Faktor Islam, epistemologi, pengalaman dan warisan budaya menjadikan puisi-puisi Melayu lama sama sekali berbeza dengan karya-karya dalam tradisi kepenyairan Barat. Misalnya, jika puisi Divine Comedy oleh Dante Alighieri atau Goethe dalam naskhah drama Faust dikaji, banyak memperlihatkan ‘penyimpangan’ tentang realiti dunia dengan alam sesudah mati.

Namun, puisi-puisi Melayu lama sebaliknya melontarkan suatu imej pendidikan dan pembinaan manusia dan kemanusiaan yang berasaskan Islam melalui epistemologi melalui pintu-pintu puitik. Di taman puisi itu, tumbuh berbatang dan bertangkai gaya. Semuanya berpadu secara harmoni. Tidak ada kontradiksi yang atau bahkan dieksploitasi secara hagemoni antara pengarang dan masyarakatnya. Memang diakui, fobia dan ketakutan kontradiksi telah berabad-abad menghantui dalam pemikiran rasional bangsa-bangsa Barat mulai daripada Aristoteles sampai Anthony Giddens. Ini kerana kebudayaan mereka dibangun dalam proses rasional tersebut yang akhirnya membuahkan puisi-puisi kolonialisme yang menyokong penjajahan terhadap bangsa Timur.

Puisi-puisi Melayu lama? Pandangannya sama sekali berbeza. Setiap baris mengutarakan keharmonian dan kedamaian sejagat tanpa membezakan keturunan atau bangsa. Pemahaman yang mendalam terhadap Islam di kalangan pengarang-pengarang Melayu meletakkan puisi-puisi mereka tidak ada nilai hagemoni dan ancaman terhadap kebudayaan mana pun. Ia lahir di atas pandangan bahawa setiap kebudayaan di muka bumi ini berhak untuk hidup secara merdeka, mengembangkan puncak potensi kreatifnya.

Tiada ulasan: