PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



25 Disember 2009

Politikus, Badut & Sebuah Cermn

Oleh Nazmi Yaakub

Kumpulan 12 cereka satira dan realisme magis, bongkar realiti semasa

POLITIKUS, Badut & Sebuah Cermin, kumpulan cerpen karya Marsli NO menghimpunkan 12 cereka pendek satira dan realisme magis yang dikuasai langgam monolog dan gaya bahasa langsung serta keras, seolah-olah meluahkan rasa pengarang yang selama ini terpenjara.

Kekacauan isu politik, kelesuan bahasa lesu, sastera yang keliru dan manusia munafik, dipatah-patahkan pengarang dalam cerpen mini sehingga menjadikan kumpulan cerpen itu berkecamuk, seolah-olah menggambarkan kekacauan dunia realiti pada pandangan pengarang.

Justeru, tidak hairanlah kumpulan cerpen penulis Pahang itu, banyak bermain-main dengan watak satira yang dijelmakan dalam bentuk haiwan seperti ular, babi, biawak dan sesumpah, sekali gus mewakili amarah yang tidak terbendung terhadap kelompok sasaran.

Watak haiwan yang digunakan itu memang lumrah di kalangan pengarang satira sebagai simbol kepada kejelikan dan kehodohan sifat manusia, apatah lagi ditambah dengan pemilihan kata yang keras dan ada kalanya bersifat tabu.

Berbekalkan simbol tanpa berselindung, pengarang membelasah dan membantai golongan politikus yang menggadaikan bangsa serta bahasa ibunda untuk memunggah kekayaan ke kantung peribadi mahupun kelompok terdekat.

Individu atau kelompok yang dalam dunia realiti menjadi pemangsa itu, bertukar menjadi mangsa dalam kayangan milik Marsli NO selepas diadili di mahkamah kreativiti dan dihukum dengan cambuk pena pengarang.

‘Kekerasan’ dan ‘keganasan’ hukuman di tangan Marsli NO itu mungkin didorong oleh rasa mual dan berang pengarang kerana berasa kelompok terbabit terlalu bebas, bermaharajalela dalam dunia realiti sehingga tidak perlu lagi berasa kasihan belas di atas kertas kreatifnya.

Tidak puas menggunakan watak binatang, Marsli NO turut memakaikan perwatakan hantu kepada kelompok terbabit, sekali gus meminjam dunia magis Melayu yang banyak mencipta citra sedemikian bagi dunia gelap dan hitam.

Watak hantu itu muncul di sana sini dalam kumpulan cerpen berkenaan termasuk Dai, Sahabatku Ikdom dan Beberapa Ekor Hantu, seolah-olah menggambarkan kewujudannya dalam dunia realiti yang berada di mana-mana dan bersedia untuk menghisap darah rakyat jelata.

Lebih menarik watak hantu di tangan Marsli NO bukan ciri lazim dalam dunia magis Melayu, sebaliknya dimunculkan lewat watak manusia bernama Mat dengan penampilan biasa.

Ada kebimbangan pengarang terhadap kejelekan dan kehodohan dalam dunia realiti terutama generasi muda seperti diluahkan dalam cerpen, Politik, Cendawan dan Seorang Hantu dan Seorang Pengadu, Seronok dan Secuil Keadilan, apabila kanak-kanak mula belajar perwatakan berkenaan.

Memang ada kalanya pengarang agak terburu-buru menghukum watak dengan memakaikan perwatakan jelik dan hodoh itu kerana pengarang wajar meluangkan sedikit proses kreatifnya dengan pertimbangan kewarasan untuk berlaku adil kepada kelompok sasarannya seperti dalam cerpennya, Ketuanan, Maaf dan Seorang Babi di Laman Rumahku.

Begitu juga proses penyuntingan yang longgar perlu diperbaiki untuk penerbitan cetakan berikutnya kerana kesilapan dan penggunaan ejaan lama serta tanda baca dikesan sepanjang pembacaan kumpulan ini.

Secara keseluruhan, kumpulan cerpen ini berjaya merakam kemarahan manusia pinggiran terhadap dominasi dan manipulasi kelompok politik, tetapi pembaca wajar membacanya dengan mengambil kira rasa terpenjara pengarang di sebalik jeriji di sekeliling dunia kreatifnya.

INFO: Politikus, Badut & Sebuah Cermin

  • Pengarang: Marsli NO
  • Harga: Tidak Dinyatakan
  • Tebal: 109 halaman
  • Maklumat: http://marslino.blogspot.com
  • Bintang: *****


Imej penyiar 'bersuara' lantang

MARSLI NO atau nama sebenarnya Ramli Selamat, terkenal dengan imej penyair bersuara lantang dengan puisi marah-marah dan pemilihan diksi yang keras, mengukuhkan kedudukannya sebagai pengarang mapan apabila cerpen Belon meraih Hadiah Cerpen Maybank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1993.

Cerpennya, Pembela, turut mendapat pengiktirafan pada tahun berikutnya dan Menanti Buraq pula meraih Hadiah Sastera Perdana 2000/2001 selain bakatnya turut diiktiraf apabila puisi Negeri Ini, Anak memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, manakala Begitu Kata Malam merangkul Hadiah Sastera Perdana 1996/1997.

Pada 2003, cerpen Menternak Hantu meraih Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2003, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara pengarang realisme magis di negara ini.

Marsli yang dilahirkan di Kerteh, Terengganu, pada 7 Oktober 1957, menulis seawal 1970-an dalam genre novel, puisi, drama pentas, ulasan buku dan rencana, mewakili Malaysia pada Second ASEAN Writer’s Conference Workshop (Poetry) di Manila pada 1995 dan Festival Penulis Singapura di Singapura (2003).

Penyair yang sering mengadakan latihan vokal di kawasan pantai berhampiran kediamannya di Kuantan, turut muncul di pentas teater Gelanggang Tok Wali karya Ismail Kassan arahan Shukor Yon pada 2000, selain turut mencipta nama sebagai juara Pekan Teater Pahang 2000 dan Naib Juara Pekan Teater Zon Timur di Johor Bahru, pada tahun sama.

Pengarang yang turut menulis blog di marslino.blogspot.com, itu menghasilkan buku Penipu terbitan TBK pada 1997; Biduan (DBP, 1994); Demi (DBP, 1998) dan Menanti Buraq (DBP, 2008).

Tiada ulasan: