PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



29 Disember 2009

Dewan Sastera Januari 2010


Fokus
Fokus bulan Januari Dewan Sastera 2010 memberi laluan karpet merah buat Penerima S.E.A. Write Awards 2009 (Malaysia), Puan Azmah Nordin.


Azmah Nordin juga diberi penghormatan untuk memperkenalkan kaedah dan nasihatnya dalam mengarang 1 Malaysia dalam Sastera, manakala Hanafi Ibrahim memperkenalkan semangat Pemerkasaan Status Wanita dalam Novel-novel Azmah Nordin. Cerpenis terkenal dan sarjana sastera, Dr. Mawar Shafie melihat Kecenderungan Merentas Ilmu dalam Cerpen Azmah Nordin, manakala Zaidah Ahmad Rosly meniti retrospektif S.E.A. Write Awards 2009 Perjalanan Kreaitf yang Mengesankan.

Azmah Nordin yang turut dinobatkan sebagai Karyawan Bulan Ini, menyumbang sebuah cerpen berjudul Usus.

Bukan Kreatif
Sasterawan dan budayawan besar Malaysia, Datuk Baha Zain bermain dengan Bahasa Mimpi yang Remang. Penerima S.E.A. Write Awards 2009 (Filipina), Abdon Jr Balde, diwawancara oleh Ana Suhana Zainuddin dan Zaidah Ahmad Rosly dalam Suara dari Seberang. Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh mengimbau suara penyair Inggeris Di Musim Gugur, Menggalur Perasaan Keats. Ani Haji Omar membicara Tamadun Melayu-Cina dalam Air Mata Ibu dari Perspektif Teori SPB4K. Salleh Rahamad pula membedah novel remaja Faisal Tehrani yang terkenal untuk mencari Volkgeist dalam Manikam Kalbu.


Kreatif
Ruangan Puisi membariskan budayawan dan penyair terkemuka, Dr. Siti Zainon Ismail menyampaikan puisi khas Puteri Onang Kinang, puisi Manusia dan Alam oleh Razali Endun, Usia Itulah Cabaran oleh Sharif Putera, Buih Itu Aku oleh Anis, Sajak Adik kepada Abang oleh Salman Sulaiman, Kelapa Tua oleh Abdullah AR, Menjejak Puncak Sajak oleh Abizai, Gempa, Tsunami dan Angin oleh Abham T.R., Hukuman untuk Semua oleh HMS Abu Bakar, Seorang Lelaki Tua oleh Osman Dol, Guri di Hatiku oleh Shapiai Muhammad Ramly, Tikus oleh Chai Loon Guan, Seekor Tikus dari Puduraya oleh W.B. Rendra, Warisan Jiwa Bangsa Satu Negara oleh Ani Haji Omar, Tawaf oleh Zurinah Hassan, Akta Batinku oleh Norawi Haji Kata dan Carilah Cari oleh Abdul Hadi Yussof.

Ruangan Cerpen, memperkenalkan cerpen Aku Belum Mati oleh Suratman Markasan, Kisah di Sebuah Taman oleh Jasni Matlani, dan Garis Sempadan oleh E Pian Pro Poul.

Ruangan Drama membawa skrip drama Apologi Sang Panitera oleh Marzuki Ali.


Dapatkan Dewan Sastera edisi Januari di pasaran sekarang.

Teknologi maklumat angkat sastera

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Prof Dr Noriah Mohammed bersama pembentang kertas kerja dan peserta PSN XV.

PERTEMUAN Sasterawan Nusantara XV (PSN XV) mengangkat fungsi teknologi bagi memartabatkan sastera sehingga dapat membanteras masalah sosial dengan memasyarakatkannya dan serentak itu menamatkan kedudukannya yang kini ibarat telur di hujung tanduk.

Sasterawan yang menjayakan PSN XV mengakui cabaran mereka ialah kesukaran menarik minat masyarakat kerana orang ramai lebih cenderung pada hiburan dan ilmu yang mudah diperoleh melalui teknologi maklumat secara interaktif.

Perkara ini disinggung Putera kedua Hassanol Bolkiah, Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik yang menyifatkan sasterawan kini menggalas tugas berat bagi memastikan karya terus relevan dengan perkembangan semasa dan memberi sumbangan penting dalam pembangunan negara.

"Dalam menghadapi cabaran ini, sasterawan perlu mengambil segala peluang daripada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi kerana ia mampu mengubah corak perhubungan masyarakat antarabangsa.

“Saya percaya teknologi terkini boleh digunakan untuk mengembali dan meningkatkan fungsi karya sastera sebagai ilmu pengetahuan yang berkesan seperti yang pernah berlaku pada masa lalu," katanya ketika merasmikan PSN XV yang berlangsung di Bandar Seri Bengawan, Brunei Darussalam pada 11 hingga 13 Disember lalu.



Beliau berharap sasterawan dapat menyesuaikan diri dalam keadaan dunia globalisasi dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan teknologi maklumat selain membesarkan fungsi sastera dalam menangani masalah sosial pada masa ini.

"Gejala sosial mesti ditangani semua pihak termasuk sasterawan kerana alat bercerita yang digunakan sasterawan melalui karya adalah wahana cukup berkesan dalam memberi kesedaran dan mengajak masyarakat menghindari perkara yang merosakkan masyarakat," jelasnya.

Presiden Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), Mohamed Pitchay Gani Mohameed Abdul Aziz, berkata, di Singapura ada gerakan mengkontemporarikan sastera dan memasyarakatkannya melalui Gerakan Celik Karya.

“Kerjasama terbabit memungkinkan usaha membeliakan sastera dapat dilaksanakan. Sastera dikontemporarikan dengan memperkenalkan Grafiti Sastera iaitu usaha visualisasi karya pelbagai genre menggunakan kanvas dan perisian komputer serta fotografi sastera," jelasnya.

Pendekatan terbabit dikatakan mampu meletakkan sastera sebagai penawar masalah sosial dan bukan sekadar penghasilan karya sehingga mereka yang pernah terbabit dalam masalah sosial menjadikan genre itu sebagai medan meluahkan pengalaman hitam.

"Pada 2007, Asas 50 melalui Adopted Arts Groups , diangkat sebagai anak angkat APB dan diberi dana tetap selama 3 tahun bermula 2008 untuk membiayai gerakan mencapai masyarakat dengan melahirkan prasarana sastera berpotensi bagi menjana pulangan untuk Asas 50 dan masyarakat,” katanya.

Program pada 2008 dengan tujuan menggunakan bahan sastera sebagai terapi belia berisiko tinggi, membabitkan 100 penghuni rumah tumpangan wanita dan kanak-kanak, dengan mengajar mereka menghayati sastera dan menulis cerpen sehingga terhasil antologi Diari Hitam.

Mohamed Pitchay Gani yakin bahawa PSN boleh dipertingkatkan untuk memastikan pembabitan menyeluruh dan sistematik agar usaha memasyarakatkan sastera seiring peredaran zaman, dapat digerakkan secara proaktif khususnya dalam membina semangat serta gerakan serantau.

Peserta Brunei, Norsafiah Safudin, yakin usaha menjana kegiatan pada peringkat nasional wajar diteruskan, walaupun ada sesetengah yang menganggap usaha mengkomersialkan sastera boleh menjejaskan keaslian sastera.

"Pihak yang bertanggungjawab wajar memahami keperluan masyarakat yang merangkumi penggunaan teknologi maklumat secara meluas dan serentak itu melaksanakan tanggungjawab sosial yang membuktikan sastera mampu bergerak sebagai vaksin mencegah masalah sosial," tegasnya.

Berita Harian Online

Pantun bantu bina akal budi

Oleh Nurul Farina Nazlan

ANTARA peserta yang khusyuk mendengar pada Majlis Syarahan Raja Ali Haji 2009, di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pihak berkuasa wajar perkenal persatuan dan dedahkan warisan pada bayi serta kanak-kanak

UNGKAPAN indah dan nasihat dalam pantun mampu membantu kanak-kanak membina minda dan kerana itu mereka wajar diberi pendedahan awal berhubung keunikan setiap pantun kerana hakikat ia bukan saja khazanah Melayu tidak ternilai, tetapi juga dapat mendekatkan mereka kepada bahasa.

Mantan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, pada Majlis Syarahan Raja Ali Haji 2009, berkata pendedahan awal kanak-kanak terhadap pantun sebenarnya boleh dimulakan sejak dari dalam perut lagi ketika ibu mengandung.


"Melalui pembacaan dan pendedahan pantun pada peringkat ini, secara tidak langsung si ibu berjaya meningkatkan rasa kecintaan anak terhadap bahasa, malahan mereka juga perlu kreatif seperti melagukannya ketika mendodoikan si anak.

"Pantun yang sesuai untuk kanak-kanak ialah pantun nasihat, lucu dan berangkap pendek agar mudah difahami. Di sini ibu bapa boleh menjelaskan maksud sebenar serta kebaikan yang diterapkan," ujarnya ketika melapah Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ungku Aziz juga menegaskan bahawa orang dulu berjaya menerapkan unsur nasihat kepada kanak-kanak melalui pantun, malahan ia ibarat panduan bagi mereka meniti hidup kerana setiap mesej yang disampaikan membawa maksud jelas agar menjadi manusia berguna.



Ada ubi
Ada batas
Ada budi
Ada balas.

Apa guna memakai kasut
Dilangkah akan betis kiri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak membantu diri.


Prof Diraja Ungku Aziz turut melahirkan rasa bimbang kerana generasi sekarang semakin lupa kepada keindahan pantun ekoran leka mengejar kewangan, kebendaan, pangkat dan lebih suka berbahasa Inggeris daripada bahasa sendiri.

Sesiapa saja baginya boleh menjadikan pantun sebagai pedoman dan beliau sendiri berjaya mengumpul 160,000 pantun sejak lebih 20 tahun lalu dan bakal diterbitkan pertengahan tahun depan, walaupun mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi.

"Kita kena sedar, pantun sudah dikenali di rantau Asia Tenggara lebih 700 tahun lalu dan digunakan sebagai lisan dalam bahasa Melayu. Saya membahagikan bahagian pantun kepada empat iaitu cinta, kanak-kanak, khidmat dan berdagang," ujarnya.

Baginya masyarakat Melayu dulu sangat kreatif dan unik dalam menterjemahkan nasihat dan pengalaman melalui pantun dan kalangan usahawan dan ahli perniagaan juga boleh mengambil inti pati dan unsur nasihat dalam berdagang yang banyak diterapkan dalam pantun.

Suluh-menyuluh Teluk Emas
Panas sejuk angin utara
Ribut taufan baik berkemas
Antara belum jadi sengsara.

Baik-baik berlayar malam
Arus deras karangnya tajam
Cari-cari mualim yang faham
Di situ banyak kapal tenggelam.


Pada majlis yang dihadiri lebih 200 peserta itu, Porf Diraja Ungku Aziz turut mencadangkan Persatuan Pantun Malaysia dibentuk dan menetapkan bacaan pantun secara berkumpulan pada setiap Sabtu dan Ahad.

"Pantun Melayu memang banyak, tetapi masyarakat kurang memahami rima dan keindahannya. Sekolah sepatutnya dijadikan asas bagi menubuhkan kelab pantun kerana ia boleh mendidik pelajar untuk memahami segala inti pati yang terkandung di dalamnya," katanya.

Berita Harian Online

27 Disember 2009

Penulis novel Ariffin Ngah meninggal dunia

KUALA TERENGGANU: Ariffin Ngah, 70, penulis novel terkenal Terengganu meninggal dunia di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal di sini, petang tadi selepas mengidap pelbagai penyakit sejak lima tahun lalu.

Beliau meninggal dunia kira-kira jam 1.15 petang tadi di hadapan isterinya, Zainab Muhamad, 67, anak-anak serta cucunya.

Allahyarham mempunyai 12 orang anak dan 50 orang cucu.

Zainab berkata, arwah suaminya menghidap pelbagai penyakit sejak lima tahun lalu antaranya kencing manis, jantung, buah pinggang, darah tinggi dan sering berulang-alik ke hospital untuk mendapat rawatan.

Katanya, suami beliau baru saja pulang dari hospital Ahad lalu kerana ingin sangat berada di rumah bersama keluarganya.

Menceritakan perihal suaminya sebelum meninggal, beliau berkata, arwah pernah bercerita yang beliau selalu bermimpi berjumpa dengan rakan-rakannya yang telah meningga dunia.

Katanya, lima tahun lalu arwah digigit kucing peliharaannya apabila terpijak haiwan itu yang seterusnya membawa kepada sakitnya yang berpanjangan.

Afiffin banyak menghasilkan novel terutama novel kanak-kanak sejak menjadi guru dan pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Sastera Darul Iman (2008).

Antara novel yang menarik hasil nukilan Ariffin ialah Anugerah Wahyu, Tangisan Pusaka Bangsaku dan Revolusi Kenyir.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tumbuh dekat sini selepas solat asar. - Bernama

25 Disember 2009

Politikus, Badut & Sebuah Cermn

Oleh Nazmi Yaakub

Kumpulan 12 cereka satira dan realisme magis, bongkar realiti semasa

POLITIKUS, Badut & Sebuah Cermin, kumpulan cerpen karya Marsli NO menghimpunkan 12 cereka pendek satira dan realisme magis yang dikuasai langgam monolog dan gaya bahasa langsung serta keras, seolah-olah meluahkan rasa pengarang yang selama ini terpenjara.

Kekacauan isu politik, kelesuan bahasa lesu, sastera yang keliru dan manusia munafik, dipatah-patahkan pengarang dalam cerpen mini sehingga menjadikan kumpulan cerpen itu berkecamuk, seolah-olah menggambarkan kekacauan dunia realiti pada pandangan pengarang.

Justeru, tidak hairanlah kumpulan cerpen penulis Pahang itu, banyak bermain-main dengan watak satira yang dijelmakan dalam bentuk haiwan seperti ular, babi, biawak dan sesumpah, sekali gus mewakili amarah yang tidak terbendung terhadap kelompok sasaran.

Watak haiwan yang digunakan itu memang lumrah di kalangan pengarang satira sebagai simbol kepada kejelikan dan kehodohan sifat manusia, apatah lagi ditambah dengan pemilihan kata yang keras dan ada kalanya bersifat tabu.

Berbekalkan simbol tanpa berselindung, pengarang membelasah dan membantai golongan politikus yang menggadaikan bangsa serta bahasa ibunda untuk memunggah kekayaan ke kantung peribadi mahupun kelompok terdekat.

Individu atau kelompok yang dalam dunia realiti menjadi pemangsa itu, bertukar menjadi mangsa dalam kayangan milik Marsli NO selepas diadili di mahkamah kreativiti dan dihukum dengan cambuk pena pengarang.

‘Kekerasan’ dan ‘keganasan’ hukuman di tangan Marsli NO itu mungkin didorong oleh rasa mual dan berang pengarang kerana berasa kelompok terbabit terlalu bebas, bermaharajalela dalam dunia realiti sehingga tidak perlu lagi berasa kasihan belas di atas kertas kreatifnya.

Tidak puas menggunakan watak binatang, Marsli NO turut memakaikan perwatakan hantu kepada kelompok terbabit, sekali gus meminjam dunia magis Melayu yang banyak mencipta citra sedemikian bagi dunia gelap dan hitam.

Watak hantu itu muncul di sana sini dalam kumpulan cerpen berkenaan termasuk Dai, Sahabatku Ikdom dan Beberapa Ekor Hantu, seolah-olah menggambarkan kewujudannya dalam dunia realiti yang berada di mana-mana dan bersedia untuk menghisap darah rakyat jelata.

Lebih menarik watak hantu di tangan Marsli NO bukan ciri lazim dalam dunia magis Melayu, sebaliknya dimunculkan lewat watak manusia bernama Mat dengan penampilan biasa.

Ada kebimbangan pengarang terhadap kejelekan dan kehodohan dalam dunia realiti terutama generasi muda seperti diluahkan dalam cerpen, Politik, Cendawan dan Seorang Hantu dan Seorang Pengadu, Seronok dan Secuil Keadilan, apabila kanak-kanak mula belajar perwatakan berkenaan.

Memang ada kalanya pengarang agak terburu-buru menghukum watak dengan memakaikan perwatakan jelik dan hodoh itu kerana pengarang wajar meluangkan sedikit proses kreatifnya dengan pertimbangan kewarasan untuk berlaku adil kepada kelompok sasarannya seperti dalam cerpennya, Ketuanan, Maaf dan Seorang Babi di Laman Rumahku.

Begitu juga proses penyuntingan yang longgar perlu diperbaiki untuk penerbitan cetakan berikutnya kerana kesilapan dan penggunaan ejaan lama serta tanda baca dikesan sepanjang pembacaan kumpulan ini.

Secara keseluruhan, kumpulan cerpen ini berjaya merakam kemarahan manusia pinggiran terhadap dominasi dan manipulasi kelompok politik, tetapi pembaca wajar membacanya dengan mengambil kira rasa terpenjara pengarang di sebalik jeriji di sekeliling dunia kreatifnya.

INFO: Politikus, Badut & Sebuah Cermin

  • Pengarang: Marsli NO
  • Harga: Tidak Dinyatakan
  • Tebal: 109 halaman
  • Maklumat: http://marslino.blogspot.com
  • Bintang: *****


Imej penyiar 'bersuara' lantang

MARSLI NO atau nama sebenarnya Ramli Selamat, terkenal dengan imej penyair bersuara lantang dengan puisi marah-marah dan pemilihan diksi yang keras, mengukuhkan kedudukannya sebagai pengarang mapan apabila cerpen Belon meraih Hadiah Cerpen Maybank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1993.

Cerpennya, Pembela, turut mendapat pengiktirafan pada tahun berikutnya dan Menanti Buraq pula meraih Hadiah Sastera Perdana 2000/2001 selain bakatnya turut diiktiraf apabila puisi Negeri Ini, Anak memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, manakala Begitu Kata Malam merangkul Hadiah Sastera Perdana 1996/1997.

Pada 2003, cerpen Menternak Hantu meraih Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2003, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara pengarang realisme magis di negara ini.

Marsli yang dilahirkan di Kerteh, Terengganu, pada 7 Oktober 1957, menulis seawal 1970-an dalam genre novel, puisi, drama pentas, ulasan buku dan rencana, mewakili Malaysia pada Second ASEAN Writer’s Conference Workshop (Poetry) di Manila pada 1995 dan Festival Penulis Singapura di Singapura (2003).

Penyair yang sering mengadakan latihan vokal di kawasan pantai berhampiran kediamannya di Kuantan, turut muncul di pentas teater Gelanggang Tok Wali karya Ismail Kassan arahan Shukor Yon pada 2000, selain turut mencipta nama sebagai juara Pekan Teater Pahang 2000 dan Naib Juara Pekan Teater Zon Timur di Johor Bahru, pada tahun sama.

Pengarang yang turut menulis blog di marslino.blogspot.com, itu menghasilkan buku Penipu terbitan TBK pada 1997; Biduan (DBP, 1994); Demi (DBP, 1998) dan Menanti Buraq (DBP, 2008).