PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



13 Mac 2014

NILAI DAKWAH DAN UKHUWAH DALAM MENJILBAB CINTA



(Kertas kerja sempena Bicara Buku 'Menjilbab Cinta'
yang disampaikan pada 15 Februari 2014 di Sudut Penulis DBP Sabah)
 Oleh
Jasni Matlani
 
Puisi selalu menjadi medium dakwah, atau alat ekspresi bagi menyerlahkan pengalaman penyair tentang dirinya atau hubungan sesama insan. Kecenderungan sedemikian biasanya mendedahkan puisi kepada unsur didaktik dan sifat ekspresif, tetapi jika dibangunkan melalui bahasa bersesuaian, dan dengan pertimbangan seni, serta nilai yang mengajak manusia ke arah kebaikan, maka tidak mustahil puisi berkenaan mampu meninggalkan impak mendalam terhadap kehidupan, seterusnya mengajak manusia ke arah kebaikan dan memperkasa nilai ukhuwah sambil pada waktu yang sama menyerlahkan nilai estetik dan segi keindahannya.
              Dakwah dalam konteks Islam biasa ditafsir sebagai usaha mengajak manusia ke arah kemakrufan, dan mencegah mereka daripada melakukan sebarang kemungkaran. Dalam melakukan dakwah, banyak cara yang boleh dilakukan, asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam, termasuk dalam bidang penulisan kreatif. Namun perlu diingat bahawa tugas dakwah itu harus dilakukan secara bijaksana, dengan nasihat dan pengajaran yang baik. Mujahadah (berbahas) dengan cara terbaik, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Nahl, ayat 125, yang bermaksud:

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat, pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah juga yang lebih mengeetahui akan orang yang mendapat hidayah Petunjuk-Nya”

Sementara nilai ukhuwah pula lebih memfokus kepada hubungan sesama insan, di mana manusia perlu turut menjaga hubungan, sama ada dalam konteks komuniti setempat, atau melibatkan hubungan manusia merentas garis sempadan. Dalam konteks tulisan ini, penulis berusaha melihat karya yang memperkasakan lagi hubungan atau nilai ukhuwah antara masyarakat di negeri Sabah, dengan masyarakat yang berada di negara Brunei Darussalam. Apatah lagi, jika direnung kembali fakta sejarah, sebahagian daripada wilayah negeri Sabah ini suatu ketika dahulu sebenarnya merupakan bahagian daripada wilayah negara Brunei Darussalam.
Berdasarkan premis ini, penulis dengan rendah hati memperkatakan antologi puisi “Menjilbab Cinta” selanggaraan dua orang penyair prolifik yang mula mendapat perhatian sama ada di negeri Sabah, Malaysia, mahu pun di negara Brunei Darussalam, iaitu Azridah PS Abadi dari Sabah, dan Firdaus HN dari Negara Brunei Darussalam. Antologi puisi yang mereka usahakan ini memuatkan 63 buah puisi hasil karya 29 penyair baharu dan penyair yang berpengalaman sama ada di Malaysia mahu pun di negara Brunei Darussalam.
              Antara penyair yang menyumbangkan karya dalam antogi puisi ini, ialah Ain Sofia, Amir Sabri, Azridah PS Abadi, Sofie Clara, Hasyuda Abadi, Jaliha Zaman, Kathrina Tati, Laila Elok, Mabulmaddin Shaiddin, Mohd. Nurazwan, Mohammad Puad Bebit, Norawi Haji Kata, Rafi Harumin, Rufiah Nurullah, dan Sahara Jais, dari negeri Sabah. Sementara dari negara Brunei Darussalam, ialah Anjungbuana, Ahmy, Berahim A.H.T, Dino M.N, Embi Estar, Firdaus H.N, Haji Hussain Abdul Rahman, Hidop Zin, HJR, K. Manis, Mahmudamit, Rohaidah Kinchai, Sosonjan A. Khan, dan Yusna.
              Dalam puisi “Bicara tentang Cinta”, Sahara Jais mengasimilasikan nilai dakwah, dengan mengajak khalayaknya menginsafi keagungan Tuhan. Seperti kata penyair:

Bicara tentang keagungan
tetap kuredupkan hati rundukkan kalbu
meski undangan cinta mengharumkan rindu
memintal tawaduk mengakui keagungan-Nya

Sementara Anjungbuana penyair dari negara Brunei Darussalam pula, dalam puisi yang berjudul “Cahayamu gerhana Bulan” mengingatkan manusia tentang betapa ribuan ayat yang turun dari langit, sebenarnya berperanan dalam memantapkan dakwah dan menjadi perisai bumi. Justeru itu penyair pasrah berserah terhadap Allah SWT dan akur terhadap kesempurnaan-Nya dengan berkata:

Tuhan,
dalam puja hening malam cahaya
aku mengenali-Mu Maha Sempurna.

              Begitu juga penyair, pensyarah dan aktivis sastera yang aktif di negara Brunei Darussalam dan malah, di peringkat Nusantara ini, Berahim A.H.T turut berdakwah kepada umat Islam merentas sempadan dalam puisi berjudul “Umat Islam”. Penyair berkata, umat Islam sebenarnya ramai dari segi jumlahnya, tetapi boleh diibaratkan seperti buih yang terapung di lautan, yang akhirnya menghilang. Mereka berrpaksi kepada al-Quran dan al-hadith, tetapi mereka juga terperangkap di dalam jalur kehidupan yang bengkok, hilang pedoman ketika berhadapan godaan pangkat, harta dan kuasa. Kata Penyair:

Jumlahnya banyak
dan tak diindahkan
hidup di bawah percaturan
kekuasaan dan kebencian.

Mereka adalah buih di lautan
yang terapung hilang dialun ombak
yang pecah lenyap dibuai riak.

Jumlahnya banyak
meniti jalur kehidupan yang lurus
dengan al-Quran dan al-Hadith
dengan rahmat dan perlindungan
dengan iman dan keyakinan
kekuatan terpahat dalam sejarah silam
tapi antaranya merekalah yang lupa
meniti jalur kehidupan yang bengkok
mengejar pangkat, harta dan kuasa
maka jadilah buih-buih melata
yang membusa lenyap sekelip mata.

Sementara dalam puisi “Awan dan Laut” penyair menghubungkan unsur alam dengan kehidupan, misalnya awan yang menghalang cahaya, laut yang berkaca, gunung yang berdiri megah, sehingga penyair menginsafi, seterusnya berdakwah kepada dirinya sendiri seperti kata penyair:

Ya Allah, aku manusia lemah
yang semakin dekat menemui-Mu.

Embi Estar pula dalam puisi “Anak Zaman” memilih untuk berdakwah kepada golongan belia, atau generasi muda, dengan mengingatkan mereka, bahawa golongan belia sebenarnya merupakan barisan yang mesti bernai, dan gagah melangkah membawa obor, menegakkan panji syuhada dan syiar Islam. Pesan penyair lagi:
                            
                             Lalu harumlah ke serata negeri
                             Bergunung harap bertiti kalbu
                             Keyakinan iman semakin kukuh
                             Kerana merekalah pengutip pahala
                             Di jalan-jalan berlurah dan berliku…

Sementara Firdaus H. N melalui puisi “Musafir Cinta” menghimbau kebesaran Allah yang mewariskan sifat ar-Rahman  ar-Rahim-Nya dalam setiap kalbu umat Islam sehingga ada di antara mereka yang tenggelam dalam gelora samudera cinta. Tentulah makna “Tenggelam” dalam konteks puisi ini tidak sama maknanya seperti yang terdapat dalam kamus. Sebaliknya beranjak kepada makna perlambangan atau metaforikal, iaitu makna yang difahami dalam proses kreatif, dan lebih kurang maksudnya menunjukkan kedalaman cinta penyair, sehingga penyair mengungkapkan dalam baris berikutnya, kata pengakuan cinta penyair terhadap Tuhan, seperti berikut:.

Tuhan,
Kau telah wariskan sifat
ar-Rahman...ar-Rahim-Mu
dalam hati hamba-Mu
lalu diri ini karam dan tenggelam
dalam gelora samudera
musafir cinta.

Ilahi,
aku cinta-Mu
aku cinta Rasul-Mu
aku cinta dia
seperti aku menyintai diriku.

Dalam puisi “Negara Zikir” Penyair ini juga mengajak atau berdakwah secara langsung kepada seluruh umat Islam dengan menyeru mereka, agar sentiasa berzikir dan menganggap amalan berzikir itu sebagai amalan yang baik dan mampu membawa umat Islam berangkat ke negara yang disebut penyair sebagai “Negara Zikir”  iaitu sebuah negara yang tertakluk di bawah lindungan dan rahmat-Nya. Kata penyair:-

Mari tah, kitani berangkat ke Negara-Nya
kerana tiada yang setanding dengan-Nya
ada negara di dalam seluruh negara
Negara Zikir yang tiada bandingannya
bukan sekadar retorik
atau rahang dan gigi
tetapi dengan niat, hasrat dan buat tia…
insya Allah, Kun…
terciptalah sebuah Negara Zikir.


Sementara Azridah PS Abadi, penyair yang berasal dari Sandakan ini pula menggemakan seruan dakwah melalui puisi “Istiqmah cinta” dengan penyair mengungkapkan dalam bentuk puisi naratif, betapa alunan azan subuh yang bergema, menginsafkan penyair agar menyatu dalam kebenaran, di sepanjang perjalanan pulang, seperti kata penyair:-

Alun azan subuh bergema, menyusup ke atma rasa. Hijab  menyentuh, lalu menyusup ke rimba ilusi yang membengit ingatan pada jalan pulang menyatu kebenaran. Apakah yang lebih bermakna dari hari-hari yang lewat, oleh pengembara seorang insan yang menjunjung harap sebuah ketenangan.  Kekasih, sahutlah salam yang menyentuh keramahan kalbu. Izinkan titikku berteleku pada cahaya sujud dan beristiqamah ke pangkal hayat. 

Dalam pada itu, tentulah tidak lengkap, jika makalah ini tidak memperkatakan nilai ukhuwah, khususnya berkaitan hubungan dua hala antara rakyat negeri Sabah dan juga Negara Brunei Darussalam. Hubungan itu berlaku dan akrab bukan sahaja dalam konteks politik, ekonomi dan agama, tetapi juga melalui seni budaya dan sastera.
              Dalam puisi “Demi sebuah ikatan” Ain Sofiya misalnya walaupun menyerlahkan isu bersifat perbadi, tetapi jelas masih memperlihatkan nilai ukhuwah yang murni sehingga penyair berpesan agar nilai ukhuwah atau ikatan itu tidak terlerai, tidak dimungkiri dan diingkari, sebaliknya biarlah kekal tersimpul mati, seperti kata penyair:-

Dan kini
segalanya masih,
masih seperti dulu,
kau dan aku perlu bertemu,
bermesra bercanda senyum tawa
meneruskan talian darah kita,
menjadi milik kita berdua,
dan muara itu menjadi saksi,
atas ikatan kasih dan persaudaraan ini,
dan jangan kau mungkiri,
Dan jangan kau ingkari,
demi sebuah ikatan ini
biar tersimpul mati.

Azridah PS Abadi, dalam puisi “Mengakrab cinta” sekali lagi mengajak khalayaknya menginsafi betapa perlunya hubungan persahabatan antara rakyat ke dua-dua negara diakrabkan, senada seirama dalam membina persahabatan. Kata penyair lagi:

Betapa indahnya hidup mengenal cinta, manisnya pada penghujung dua benua. Damailah wajah, cerialah rasa. Bahawa esok kita akan kembali pada mahkota sayang dan selaut harap demi jambatan kasih dan jalinan ukhuwah di marhabah kasih-Nya.  Mengertilah, salam ini masih berjabat.

Hasyuda Abadi penyair yang tersohor di negeri Sabah dan merupakan ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) pula turut merakamkan hal berkaitan cinta ini melalui puisi berjudul “Menjilbab Cinta” yang juga dijadikan judul antologi ini. Dalam makna kamus’ “Jilbab” bermaksud, pakaian longgar yang memenuhi keperluan menutup aurat bagi seorang wanita, selain muka dan tapak tangan. Namun di dalam puisi ini menjilbab cinta, pastinya membawa konotasi lain, yang mungkin lebih dekat kepada perasaan cinta sesama insan, yang berakarkan kemuliaan. Antara lain kata penyair:-

Menjejaki sebuah diri kutemui ketika kata-kata mencatatkan makna dibisikkan suara jiwa senyap sesenyapnya umpama embun terjadi suatu saat yang maha sepi sesepinya tiba-tiba sahaja memancar salju berkaca di permukaan bumi, flora dan fauna menyambutnya dengan baldu redha

Begitu gumamnya rentak irama yang membangunkanmu rindu tanpa muzik tanpa lirik yang membaca detik-detik makna digemilangkan, nikmatilah sentuhan adunan gesekan biola redup melodi pengap senyap menjilbab rahsia yang mengalir melewati gurun-gurun waktu

Dengarkan bisikan ini, rindu, agar mekar mawar menjiwa ke pelusuk benua mekar perjalanan menemani saujana bermulanya pengembaraan mulia.

Sementara Jaliha Zaman pula, melalui puisi “Sultan Adil Laila terbilang” melihat nilai ukhuwah dan keakraban hubungan dua hala antara rakyat Sabah dan Negara Brunei DS melalui penghormatan penyair dan rafak syukur penyair terhadap Ke Bawah Duli Tuan Patik, dengan mengungkapkan:-
Dirgahayu bumi bertuah
negara tetangga damai sentosa
kepimpinannya laila membuana
disayangi rakyat jelata
Duli Tuan Patik Sultan bertaktha di hati
disayang rakyat sampai ke mati
tiada cinta berbelah bahagi
satu menyimpul pasti
setia bangsa terpuji!

Dirgahayu sultan junjungan
umpama berlian bercahaya terang
Duli  Tuan Patik Sultan raja terbilang
sultan adil laila disayang
cinta merakyat sembah dijulang
kasih kami menumpang senang
Dalam pada itu, penyair Laila Elok melihat tautan rakyat kedua negara melalui budaya dan seni tradisi rakyat Brunei yang turut popular di negeri Sabah iaitu seni budaya tradisi “Bujang Si Gandam”. Melalui puisi “Tautan kasih Si Bujang Gandam” penyair antara lain merakamkan:
Tika bertatih
dodoian  irama  terus mengasih
ada syair lakaran gurindam mendidih
dongeng dan nyata rangkuman insani
jauh gemersiknya mengelilingi
menerpa lautan
menerja di pergunungan
merentas maya
aduhai, bertaut rasa
aku di Bawah Bayu
dikau di Darus Salam
Bujang Si Gandam menggamit kasih
ikatan erat di deria
mengiringi kedewasaan ini
ungkapan terbena
untaian madah dan seloka
tika ini.

Masih dapatkah ku dakap iramamu
wahai ‘Bujang Si Gandam’.
Namun demikian penyair negeri Sabah yang baharu sahaja menerima hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun penilaian 2012, sekali lagi menyerlahkan dua buah puisi yang tidak menyentuh nilai ukhuwah secara langsung, tetapi penulis berpendapat, penyair ini melakar mesejnya melalui sturktur bahasa yang memperkasa sistem lambang. Gerimis dalam puisi “Musim Gerimis” adalah lambang yang beranjak kepada makna lain, yang menjalar perlahan ke dalam sebuah rumah, sehingga kata penyair:-
Sebenarnya aku turut bersedih, Mei ini
melihat selisir rumah dan tingkap
yang sunyi kerana ketiadaanku
Dalam puisi “Mendung” penyair ini mengajak pula khalayaknya memahami makna mendung (dalam konteks makalah ini dihubungkaitkan dengan nilai ukhuwah” supaya mereka mengerti apa yang ada di dalamnya. Dalam puisi yang indah ini penyair merakamkan lagi:

Orang perseorangan yang hadir
berjalan dalam puisi-puisi luka tak terduga
mengalihkan semuanya khusus buatmu.

Angin berkeliling, memeriksa tempat jatuh
yang sesuai bagi daun yang layu, juga
untuk kesempatan yang sukar digambarkan.

Apa yang tidak dapat kulihat, kini muncul
dari debu berterbangan, bak pertapa
yang kembali bersekutu dengan manusia biasa.

Selain itu aku tak suka berkata apa-apa
kecuali engkau yang termasuk dalam
sari-sari cinta.
Dalam kesempatan yang terbatas ini, penulis juga menyentuh sedikit tentang puisi yang dihasilkan Mohd. Puad Bebit. Walau pun puisi penyair ini biasanya seperti berseloroh, berjenaka dan lebih sesuai dideklamasikan, tetapi mesej tetap mencuri ruangnya. Dalam puisi yang berjudul “Dah Dapat, Tak Dapat-Dapat”, penyair mungkin ternampak seperti membebel tentang sesuatu yang kita kejar kerana sikap tamak manusia yang tidak pernah puas dalam berkehendakkan sesuatu, sehingga akhirnya timbul konflik, dan akhirnya bersengketa dan berperang yang menghancurkan segala-galanya. Tiada lagi nilai ukhuwah sehingga pada konklusinya yang dah dapat, pada akhirnya tak dapat-dapat. Kata penyair:-

Dah dapat
tak dapat-dapat
dah dapat sikit
mula hendak banyak
dah dapat banyak
mula hendak lebih
dah dapat lebih
mula hendak mengata
dah dapat mengata
mula hendak sengketa
dah dapat sengketa
mula hendak kuasa
dah dapat kuasa
mula hendak berperang
mula berlari menggonggong tulang
melihat air ada bayang-bayang
mulut ternganga tulang terbuang
tulang dan bayang lenyap menghilang.

Dah dapat-dapat
tak dapat-dapat…

Puisi terakhir yang sempat dibicarakan dalam makalah ini ialah puisi “Awda (Kalian Yang dihormati)” hasil karya penyair muda, Rafi Harumin yang semakin menempa nama dalam dunia kepenyairan di negeri Sabah. Puisi ini amat jelas memaparkan kesan kunjungan penyair ke negara Brunei DS. Senyum gadis di jendela, sambutan yang beriring doa akan kesejahteraan kedua-dua negara. Jika puisi ini diperhalusi sudah pasti boleh menjadi sebuah karya yang menarik, namun apa pun mesejnya tetap penting iaitu memperkasakan nilai ukhuwah rakyat kedua-dua buah negara. Diturunkan sepenuhnya puisi berkenaan seperti berikut:

Si tampan yang ceria, tawanya menebar angin cinta
menghapus pergi ruang duka.
gadis tersenyum di jendela
menyambut mesra hadirnya kita
mendatangi ranah mereka
negara yang mendukung pemerintahan beragama
Salam sejahtera para awda!
kalian menyambut kami dalam gembira
kami mendatangi beriring doa
sejahtera dua negara
Selamat hingga ke akhirnya
Allah memberkati kita
melindungi rumah kita
sejahtera di akhirat sana.
semoga diperkenankan!

Demikianlah pelbagai bentuk dan  makna puisi yang menjurus kepada penyerlahan nilai dakwah dan ukhuwah yang meninggalkan impak yang tidak kecil kepada khalayak sama ada di negeri Sabah, mahupun di negara Brunei DS. Memanglah impak atau kesannya berbeza-beza, kerana penyair berpengalaman biasanya mampu menghasilkan karya yang baik segi struktur bahasa dan bentuknya, memperlihatkan daya ekspresi yang matang, menyerlahkan unsur puitis dan kreatif, berbanding mereka yang baharu menapak dalam dunia kepenyairan. Namun sebahagian besarnya tetap menyumbang dari segi mesej puisi, terutama hal yang berkaitan dengan nilai keIslaman, khususnya isu berkaitan “Nilai Dakwah dan Ukhuwah” sesuai dengan kecenderungan dunia masa kini yang semakin memerhatikan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan, merentas sempadan dan garis batas antarabangsa.




Tiada ulasan: