PENGARAH Dewan
Bahasa dan Pustaka, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin semasa hadir
pada Majlis Diskusi Sastera antara DBP, Angkatan Sasterawan dan
Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam dan Ikatan Penulis Sabah
(IPS) di Balai Sarmayuda DBP.
(Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said)
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 September. -
Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP), petang tadi menerima kunjungan
daripada Ikatan Penulis Sabah (IPS) sebagai salah satu program yang
bertujuan untuk meneroka kerjasama jangka pendek dan panjang dalam
bidang kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan serumpun antara kedua-dua
negara.
Pada Majlis Diskusi Sastera antara DBP,
Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam dan
IPS yang diadakan di Balai Sarmayuda DBP, di sini ialah Pengarah DBP,
Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin dalam ucapan alu-aluannya berharap
kunjungan IPS Sabah ke negara ini khususnya dalam diskusi sastera
tersebut akan memberikan hasil dan manfaat yang lebih baik dalam
hubungan kerjasama antara persatuan-persatuan penulis di rantau ini.
Sementara itu, Ketua I, IPS Awang Sukor
bin Usin (Hasyuda Abadi) dalam ucapan balasnya pula menjelaskan hasrat
IPS untuk lebih aktif lagi dan membuat kolaborasi dengan penulis-penulis
di kawasan Borneo ini.
Menurutnya, IPS memang sudah lama
berhasrat untuk mengadakan kunjungan ke Negara Brunei Darussalam dan
baru ini ianya tercapai dan dapat melihat bahawa generasi-generasi
penulis/sasterawan di negara ini memang masih aktif berkarya.
Melalui pertemuan dan kunjungan
tersebut, IPS, jelasnya berharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan
bersama ASTERAWANI Brunei serta meneroka peluang-peluang dalam bidang
yang dapat dimanfaatkan bersama.

(Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said)
Pada majlis tersebut, sebuah buku
bertajuk 'Menjilbab Cinta' turut dilancarkan dan disempurnakan oleh
Pengarah DBP yang mengandungi sebanyak 63 buah antologi Puisi hasil
penyair-penyair IPS dan ASTERAWANI.
Kunjungan Muhibah IPS ke Negara Brunei
Darussalam bermula dari 26 hingga 29 September 2013 dan disertai oleh
seramai 13 orang penulis yang diketuai oleh Awang Sukor bin Husin.
Antara tujuan kunjungan tersebut adalah
untuk mengeratkan hubungan setia kawan dan dua hala di antara IPS dengan
pihak ASTERAWANI di Negara Brunei Darussalam, di samping meneroka
kerjasama antara kedua-duanya serta memartabatkan sastera dan sasterawan
tempatan ke persada dunia.
IPS merupakan sebuah persatuan penulis
yang amat aktif terdiri daripada penulis-penulis muda dan berwibawa dan
kini mempunyai hampir 200 ahli dari seluruh negeri Sabah dan di
Semenanjung.
Ditubuhkan pada 24 Mac 1990, IPS
mempunyai matlamat untuk terus mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan, meningkatkan mutu sastera berbahasa Melayu di Sabah sebagai
teras Bahasa Kebangsaan, di samping menggalakkan penghasilan karya
sastera berunsur pembangunan insan serta melahirkan bakat penulis
sastera kebangsaan yang bermutu melalui bengkel penulisan dan
sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan