PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



05 Mei 2014

Kali Ini Kritikan Sastera

SESUATU yang menjadi perhatian kita pada hari ini khususnya dalam kesinambungan pelestarian dunia sastera yang lebih terarah apabila wujud kecenderungan para penulis untuk ikut serta dalam genre lain yang lebih mencabar. Genre yang dimaksudkan adalah kritikan. Kritikan sastera walaupun bukan baru dalam perkembangan kesusasteraan di Sabah namun tulisan-tulisan yang berbau serius dalam bidang ini hanya bersifat berkala bahkan amat sedikit. Ertinya tulisan-tulisan yang pernah kita baca hanya berupa apresiasi, ulasan atau resensi semata-mata tanpa mengaplikasikan teori-teori tertentu. Pada hal ia perlu seiring dengan lahirnya genre sastera kreatif terutama sekali di media-media massa tempatan atau dalam forum, seminar, pertemuan penulis dan seumpamanya.

Memandang kembali sejarahnya, kemunculan teori-teori kesusasteraan yang dihasilkan oleh sarjana Melayu pada penghujung tahun 1980-an dan awal tahun-tahun 1990-an menggambarkan suatu yang menarik dan telah memberi wajah baharu kepada sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu di Malaysia. Tokoh-tokoh sarjana kesusasteraan Melayu seperti Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Muhammad Hj Salleh, Shafie Abu Bakar, Mohd Affandi Hassan, Hashim Awang, Mana Sikana dan Sohaimi Abdul Aziz memainkan peranan penting dan bermakna atas sumbangan besar mereka.

Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad merupakan dua orang tokoh pemula yang mencetus idealisme teoretikal kesusasteraan Islam. Shahnon menegaskan bahawa kesusasteraan Islam itu ialah kesusasteraan kerana Allah dan berhikmah kepada manusia sejagat (Shahnon Ahmad 1981:3). Kassim Ahmad pula beranggapan apa sahaja hasil kesusasteraan yang memiliki unsur-unsur Islam sejagat adalah kesusasteraan Islam. Kontradiksi ini telah menjebak kedua-dua tokoh ini ke dalam polemik yang berpanjangan.

Polemik ini mempunyai kemiripannya dengan pertentangan pendapat yang menjebak golongan Formalis Rusia dengan Strukturalisme, meskipun kedua-dua golongan ini berlandaskan satu isu yang sama iaitu kesasteraan sastera, Formalis Rusia lebih mementingkan aspek linguistikal yang didokong oleh ciri-ciri kegayaan dan keanehan bahasa sebagai dasar kesasteraan sastera. Teori Strukturalisme melihat kesasteraan sastera itu tidak hanya bergantung kepada aspek linguistik semata-mata, sebaliknya mementingkan keseluruhan bahagian dalam struktur karya sebagai menunjangi makna kesasteraan.

Polemik yang tercetus di antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad mendapat reaksi daripada beberapa orang tokoh lain yang turut memberi pendapat masing-masing tentang sifat dan ciri-ciri kesusasteraan Islam. Shafie Abu Bakar yang sependapat dengan Shahnon Ahmad, kemudiannya tampil dengan gagasan teoritikalnya yang berpaut kepada persoalan pengindahan dan penyempurnaan. Kemunculan kedua tokoh ini memberi cabaran kepada penghasilan kerangka kesusasteraan Islam sebagai alternatif kepada toeri-teori kesusasteraan Barat yang telah sekian lama mendominasi kesusasteraan Melayu (Ungku Maimunah,1998:26).

Walau bagaimanapun, polemik ini tidak pula menjadi pencetus segera kepada kelahiran teori-teori kesusasteraan Melayu. Hampir sepuluh tahun berikut iaitu penghujung tahun 1989, baharulah munculnya Puitika Sastera Melayu oleh SN Dr.Muhammad Haji Salleh, yang mempunyai gagasan teoretikal terhadap kesusasteraan Melayu. Namun, kemunculannya bukanlah satu kelangsungan daripada polemik Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad, kerana Puitika Sastera Melayu merupakan satu hasil penyelidikan yang didorong oleh keinginan untuk mempunyai teori kesusasteraan sendiri setelah melalui pencarian selama 30 tahun dan penyelidikan ini dibiayai pada awalnya oleh Yayasan Volkswagen dari Jerman pada tahun 1986, kemudian Universiti Kebangsaan Malaysia menyumbangkan dana menyokong penyelidikan ini (Muhammad Haji Salleh, 2000:vii).

Dari sudut sejarah perkembangan teori kesusasteraan Melayu, Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad bolehlah dianggap sebagai pencetusnya, manakala Dr. Muhammad Haji Salleh sebagai tokoh pemula yang memberi nama teori berserta gagasan-gagasannya. Hal ini samalah seperti kemunculan teori Kritikan Baharu (New Criticism) dan teori New Historicism di Amerika Syarikat. Tahun 1990-an merupakan tempoh waktu kelahiran beberapa lagi teori kesusasteraan Melayu selepas Puitika Sastera Melayu, seperti Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang, Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (teori ini kemudiannya dikenali dengan nama Persuratan Baharu) oleh Mohd Affandi Hassan, Teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar, Teori Teksdealisme oleh Mana Sikana dan Rasa-Fenomenologi oleh Sohaimi Abdul Aziz. Memasuki abad ke-21, muncul pula beberapa teori dan praktis kritikan yang dikemukakan oleh sarjana sastera Melayu. Antaranya ialah Pendekatan Kata Kunci oleh Mohamad Mokhtar Hassan, teori Fitrah Gerak oleh Prof. Sahlan Mohd Saman, teori Sastera Warisan oleh A.Wahab Ali dan teori Pemikiran Saintifik SPB4K oleh Mohd Yusof Hassan dan yang terkini teori Anjakan Makna oleh Prof. Rahman Shaari.

Sehingga kini, usia sejarah perkembangan teori kesusasteraan Melayu sudah menjangkau 15 tahun lebih. Berbanding dengan perkembangan teori kesusasteraan di Barat, usia 15 tahun ini adalah terlalu mentah. Teori-teori moden yang berkembang di Barat menguasai kesusasteraan dunia hampir dua abad iaitu bermula tahun 1800 hingga 1960-an. Akhir tahun 1960-an bermulalah era baharu yang dikenali sebagai era pascamodenisme yang ditandai dengan kemunculan teori Dekonstruksi oleh Derrida yang menentang teori Struktural (Mana Sikana,1998:133).

Berbanding dengan teori-teori kesusasteraan di Barat, teori-teori kesusasteraan Melayu di Malaysia (kelahiran sarjana Melayu di Malaysia) bolehlah dikatakan melalui fasa pertama yang boleh dinamakan sebagai `fasa permulaan`. Pada peringkat ini, para penteori kelihatan berusaha gigih memperjelaskan prinsip-prinsip dan dasar teori masing-masing dan cuba pula menguji kemampuannya dalam bidang kritikan. Shafie Abu Bakar, Sohaimi Abdul Aziz dan Mana Sikana gigih melakukan usaha ini bagi membuktikan kebolehpercayaan dan legitimasi prinsip-prinsip teori mereka.

Dalam masa yang sama, teori-teori ini (Takmilah, Teksdealisme dan Rasa- Fenomenologi) mula memasuki dunia kritikan Melayu dan menjadi sebahagian daripada teori kritikan yang mampu diuji. Teori Takmilah pertama kali diuji terhadap kumpulan puisi 'Kau dan Aku' karya A.Aziz Deraman. Berasaskan buku ini, Shafie Abu Bakar mendakwa berjaya menemui hubungkait persoalan yang dipadankan dengan lunas-lunas teoretikal. Rasa-Fenomenologi pula diuji dengan novel Salina karya A.Samad Said dan Teksdealisme pula diuji menerusi Shahnon Ahmad, Dr. Muhammad Hj Salleh, Anwar Ridhwan dan Kemala bagi menemukan unsur keunggulan kepengarangan pengarang dan teksnya.

Teori-teori lain seperti Puitika Sastera Melayu dan Pengkaedahan Melayu, berdiri atas posisi teori kesusasteraan semata-mata. Teori-teori ini lebih bersifat umum yang memperjelaskan bentuk dan sifat kesusasteraan dan karya-karya kesusasteraan Melayu. Samalah halnya dengan tanggapan Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad terhadap kesusasteraan Islam. Manakala teori Persuratan Baharu mula didekati dan mendapat perhatian akhir-akhir ini oleh penyelidik dalam aplikasi kritikan.

Jalur gerakan pembinaan dan pengaplikasian teoretikal dalam penyuburan karya-karya kreatif ini amat penting untuk ditelusuri. Para penulis yang terlibat selepas ini sewajarnya mendalami bidang kritikan sastera lebih terarah, fokus dan mendalam. Mendalaminya melalui pelasterian ilmu yang dibaca, berhadapan dengan guru-guru dan tentunya menerusi bengkel-bengkel yang dianjurkan sekerapnya. Tiada siapa pun mampu mengetengahkan bahan sastera kita jika ia hanya menjadi bacaan ringan. Tanpa kajian dan pembicaraan yang meluas serta melalui ujian teoretikal yang sesuai bahan sastera kita serta pengarangnya hanya berada pada landasannya yang kaku dan beku. Buku yang telah dibaca akan terus tersimpan di rak buku. Pengarangnya pula hanya gah dalam senarai panjang sejarahnya. Bagaimana dengan initipati pemikirannya? Inilah peranan dan tanggungjawab para pengkritik sastera kita. Kali ini kritikan akan mengisi kekosongan ini.


Tiada ulasan: