Sumbangan Azridah
PS Abadi
akujuadisini@yahoo.com
SUDAH
lama saya menyimpan hasrat hati ini, ingin mengadakan aktiviti sastera di tempat kelahiran sendiri. Tapi, apabila
memikirkan dana, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Namun, naluri saya sering memanggil-manggil
untuk mengadakan aktiviti itu juga.
Dengan keberanian dan kekuatan jiwa, saya menyuarakan hasrat hati dengan
Ketua 1 Ikatan Penulis Sabah untuk mengadakan Bengkel Penulisan Kreatif di
Sandakan khas untuk pelajar sekolah menengah dan orang awam di Sandakan. Alhmadulillah, cadangan saya diterima dan
disokong oleh ahli-ahli IPS yang lain.
Lebih
kurang sebulan lamanya saya mengatur program ini. Saya akui, ini bukanlah satu
kerja yang mudah untuk dilakukan. Meski
pun saya berdiri tunggal sebagai Biro Ikatan Penulis Sabah di Sandakan, tetapi
saya tetap yakin bahawa saya mampu melakukannya, kerana prinsip hidup saya
tidak ada perkara yang mustahil boleh dilakukan jika benar-benar ingin sesuatu
itu tercapai.
Dengan
mendapat kelulusan daripada Pegawai Pendidikan Daerah, Sandakan Tuan Sharif
Mahada Bin Sharif Attar, maka Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Ikatan Penulis
Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah dan SMK Muhibbah Sandakan
diadakan pada 17 Mei, 2014 di bilil gerakan, SMK Muhibbah, Sandakan, bersamaan
hari Sabtu, bermula jam 8.00 pagi hingga
4.00 petang. Antara objektif bengkel ini
ialah untuk mencungkil
bakat-bakat baru dalam bidang penulisan kreatif, memperluaskan penulisan
kreatif dalam bidang sastera dan meningkatkan kemahiran penulisan kreatif yang sedia ada
dalam kalangan pelajar dan orang awam.
Mengikut sasaran IPS,
bilangan peserta hanyalah untuk 35 orang
sahaja. Namun, ianya diluar jangkaan apabila seramai 65 orang peserta termasuk
Ahli jawatankuasa kerja SMK Muhibbah telah menyertai bengkel tersebut. Antara sekolah-sekolah yang telah mengambil
bahagian ialah Sekolah Menengah Muhibbah, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan
Tiong Hua, Sekolah Menengah Sandakan, Sekolah Menengah Datuk Pangeran Galpam,
Sekolah Menengah Tun Juhar, dan Sekolah Menengah Tongod, Sandakan.
Penceramah bengkel ialah
Ketua 1 IPS, Encik Sukor Usin atau
dengan nama penanya Hasyuda Abadi dan Encik Mohd Puad Bebit, selaku Pensyarah
Kanan Sekolah Pengajian Seni di Universiti Malaysia, Sabah yang juga ahli IPS.
Encik Mohd Puad Bebit atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Sifu Art’ memulakan
bengkel tersebut. Beliau menyentuh
mengenai kreativiti penulisan puisi khasnya sajak jenaka atau ringkasnya
‘Sajen’. Ternyata, Mohd Puad Bebit telah
berjaya menghimburkan para peserta dengan lawak jenakanya yang bersahaja.
Sesungguhnya, ‘Sajen’ telah menghidupkan suasana bengkel menjadi lebih ceria
dan menarik. ‘Sajen’ adalah sajak yang
baru diperkenalkan di Malaysia dalam alam maya e-sastera. Hasil kreativiti Encik Mohd Puad, beliau
mengaktifkan dan cuba melopori ‘Sajen’ di Sabah khasnya dalam kalangan
pelajar-pelajar sekolah menengah. ‘Sajen’ adalah sajak moden yang memudahkan
pendengar atau pembaca untuk menghayati isi kandungan sajak tersebut. ‘Sajen’
bukan sahaja bersifat sebagai menghibur kepada generasi muda dalam persembahan
tetapi juga lebih kepada pengajaran dalam pendidikan dan kandungannya, yang
mengutamakan unsur-unsur moral dan memupuk semangat kecintaan kepada negara. Jelasnya,
ia juga bertujuan memudahkan pendengar merasa suka dan faham apa yang
disampaikan dalam persembahan. Ceramah kedua, oleh Encik Sukor yang banyak
menyentuh tentang kreativiti penulisan cerpen dan bagaimana untuk menghasilkan
sesebuah cerpen yang bermutu. Dalam sesi bengkel cerpen ini juga, banyak soalan
yang diutarakan oleh peserta bengkel. Bengkel
diserikan lagi dengan kehadiran seorang pemerhati, Profesor Madya Baharudin Mohd
Arus, dari fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, Universiti Malaysia, Sabah.
Kira-kira jam 4.30 petang
majlis penutupan bengkel diadakan yang dirasmikan oleh Encik Ahmad Ladju,
selaku Pegawai SISC+, Bahasa Melayu Sekolah Menengah. Dalam ucapannya, beliau memuji usaha Ikatan
Penulisan Sabah dalam mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan pelajar
sekolah menengah dan berharap usaha ini akan berterusan dan menggalakkan agar
lebih banyak lagi bengkel seperti ini dijalankan untuk membantu pelajar bukan
sahaja berminat dalam penulisan kreatif tetapi juga untuk memperbaiki mutu penulisan
dalam bidang akademik dan orang awam yang benar-benar serius dalam bidang
penulisan.
Dalam majlis penutupan
tersebut, seramai empat orang peserta telah terpilih untuk menerima hadiah
galakan yang mana masing-masing menghasilkan sebuah karya dalam bengkel
tersebut. Antaranya ialah adik Nur Syafiqah
Marjuni(cerpen), Aminnullah Tanjol (puisi), Nurul Athirah Fatin Amir Sabri
(puisi) dan Puan Isninah Ali Karar seorang guru di SRJK Chi Hwa, Sandakan (puisi).
Pada keesokan harinya, Ahad saya meluangkan masa untuk
bersama-sama rombongan pergi melawat ke Rumah Agnes Keith, di Jalan Istana
Sandakan yang mana rumah ini adalah kesan peninggalan sejarah, Sandakan dan ke Taman Hutan Simpan Sepilok,
Sandakan. Rombongan balik ke Kota
Kinabalu kira-kira jam 1.30 petang.
Sekalung budi saya ucapkan
kepada Jabatan Pendidikan Daerah Sandakan, para penaja program ini iaitu Dewan
Bahasa dan Pustaka, Sabah, Datuk Haji Awang Kadin Tang selaku Timbalan Ketua
Umno Bahagian, Sandakan yang juga Timbalan pengerusi Ko-nelayan Sabah, Puan
Noraini Sulong, Ketua Wanita Umno P186 Sandakan, Puan Salasiah Masbakun, Ketua
Agensi Zhulian, Sandakan, Puan Lim Li Li, Pengetua SMK Sandakan, Encik Desmond
Sandum, guru SMK Muhibbah Sandakan, kerabat IPS yang banyak membantu saya dalam
merealisasikan impian ini, terutama rombongan yang diketuai oleh Encik Sukor Usin, Mohd Puad Bebit, Jaliha
Jaman dan Ain Sofia. Tidak dilupakan
juga Datin Noorazizah Shaikh Esmail, selaku Penolong Kanan 1 SMK Muhibbah,
Sandakan dan Ahli Jawatankuasa Kerja SMK Muhibbah yang begitu komited dalam
membantu usaha murni ini.
Sesuatu kejayaan
itu tidak akan datang tanpa usaha dan kekuatan semangat yang
bersungguh-sungguh. Saya bersyukur
kepada Tuhan, akhirnya impian ini dipermudahkan dan menjadi kenyataan. Insyaallah,
Ikatan Penulis Sabah akan terus mengorak langkah untuk mencapai misi dan
visinya. Terima kasih segalanya.
1 ulasan:
bila lagi ada kursus penulisan ya, sebab saya ingin bermula dan berminat untuk menvmcetak lebih pengalaman ... tolong info saya, 01116405488
Catat Ulasan