DI negara-negara maju sastera
menjadi satu komponen penting untuk mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai
insan. Kehebatan dalam industri tidak meminggirkan kesusasteraan malah
diperhebatkan kerana inilah faktor yang menyuntik pertimbangan kemanusiaan. Kesusasteraan
tidak pernah tersisih sebagai kelas dua atau tiga kerana pembangunan fizikal
semata-mata tidak mampu membangunkan hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan.
Lalu sastera mendapat tempat yang penting dalam laras pembangunan sesebuah
masyarakat dan negara maju.
Sasterawan atau penulis yang baik
adalah pemikir. Daripada golongan ini masyarakat boleh menumpang bahtera untuk
menyeberangi lautan fikir yang luas terbentang tidak bersempadan. Pada masa
sama sasterawan membentuk pola pemikiran ke arah pembangunan bukannya
pemusnahan. Setitis tinta pena sasterawan mampu mengubah segugus tanggapan
terhadap sesuatu. Dari sinilah timbulnya mata pena lebih tajam daripada mata
pedang dengan syarat berani dan bijaksana menggunakan pena untuk tujuan yang
membina.
Sesiapa juga termasuk pihak
berwajib tidak boleh terlepas pandang terhadap peri pentingnya golongan
sasterawan ketika menggubal sesuatu dasar yang menyentuh kepentingan rakyat.
Sasterawan lebih memahami denyut nadi dan getar jiwa berbanding para birokrat
yang ada kala kontang rasa manusianya. Hasil penulisan yang tinggi falsafahnya
tidak akan lupus ditelan zaman malah terus dijadikan cermin untuk menyingkap kehebatan
silam seterusnya dijadikan penyuluh masa depan.
Sebab itu peranan penulis berlaku
sepanjang zaman. Saya pernah mengemukakan pertanyaan yang nakal, apakah penulis
buat andainya tidak ada sebarang peraduan atau sayembara penulisan. Ikatan yang
boleh disimpul dalam isu ini ialah penulis lahir bukan bersebabkan ada atau
tidaknya sebarang insentif seperti peraduan atau sayembara, kerana penulis
adalah pencetus idea dan tanggungjawabnya sebagai arkitek pembangunan minda
manusia.
Ada tiga hal yang setidaknya mempengaruhi
perkembangan peribadi seseorang. Tiga hal itu berupa bakat, lingkungan, dan
buku yang dibaca. Bakat mengarah kepada suatu pembawaan sejak lahir. Sedangkan
lingkungan merupakan tindakbalas dalam merangsang bakat sebagai kesempurnaan
kewujudan. Sementara buku adalah ruang khidmat untuk menandaskan idea dan
gagasan-gagasan yang menawarkan ruang inspirasi.
Salah satu bakat yang dimiliki oleh seseorang iaitu
kemampuan untuk berbahasa. Secara normal, semua orang yang dilahirkan ke dunia,
kemampuan berbahasa menjadi bekal pokoknya. Hal itu menjadi saranan dalam
mengembangkan potensi keperibadiannya yang lain. Tinggal di mana orang tersebut
berada, maka bahasa yang terbentuk adalah sesuai dengan lingkungannya.
Sementara yang berkait dengan bahasa dan merupakan
sebahagian bentuk daripada pengembangan kemampuan berbahasa adalah sastera.
Dalam mencipta karya sastera konstruksi bahasa tidak akan terlepas daripadanya.
Bahasa sastera merupakan bahasa pengembangan peribadi manusia yang mengarah kepada
nilai estetika. Bahasa ini pada dasarnya dibentuk sama dengan bahasa-bahasa
pada umumnya, iaitu melalui proses interaksi dengan lingkungan yang bertumpu
pada pembawaan masing-masing.
Seseorang menuturkan bahasa disebabkan oleh adanya
wacana lingkungan, baik lingkungan fizik mahupun psikik. Lingkungan itulah yang
menjadi media pemicu akan hadirnya ujaran bahasa termasuk sastera. Orang
tersebut bermaksud ingin menyampaikan pesan tertentu atas fenomena yang telah
diperolehinya. Oleh sebab itulah, estetika bahasa dalam sastera merujuk pada
dua hal iaitu estetika struktural dan estetika semiotik. Estetika struktural
(khasnya puisi) diwakili dengan adanya perwujudan nilai puitis yang berhubungan
dengan diksi, rima, irama, aliterasi, asonansi, permajasan, enjambemen dan
tipografi. Estetika semiotik pula berorientasikan pada makna dan nilai-nilai
yang hendak disampaikan pengarang melalui karya sastera yang membekasinya.
Untuk mencapai kedua estetika tersebut, seorang
pengarang tidaklah serta merta atau secara spontan menggenggamnya. Seorang
pengarang harus menempuh proses tertentu dalam menggauli dan mengintimi
sastera. Proses tersebut dapat ditempuh dengan dua jalan, iaitu menghujani
fikiran dengan bacaan-bacaan dan bertukar fikiran atau bertukar pengalaman
dengan rakan yang sama-sama berkecimpung dengan sastera. Kedua hal itu tentunya
tidak terlepas dari faktor lingkungan juga. Sebab fenomena lingkunganlah yang
mengilhami akan hadirnya sebuah karya dari peribadi seseorang.
Kedua-dua estetika di atas pada gilirannya akan
menjelma sebagai suatu kekuatan yang sungguh luar biasa dalam karya sastera.
Dapat dikatakan bahawa dua hal itu seiring sejalan. Yang satu sebagai jasad dan
yang lainnya sebagai roh. Jasad tanpa roh maka tak ada kehidupan. Roh tanpa
jasad maka tidak tampak jejak keberadaannya.
Karya sastera adalah karya seni yang berbicara
tentang masalah hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang
menggunakan bahasa sebagai mediumnya (Esten, 1980). Seirama dengan itu
(Rusyana, 1982) menyatakan, "Sastera adalah hasil kegiatan kreatif manusia
dalam pengungkapan penghayatannya tentang hidup dan kehidupan, tentang manusia
dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa." Daripada kedua-dua pendapat itu
dapat ditarik pengertian bahawa karya sastera adalah karya seni, yang
menggunakan alat ungkap bahasa sebagai alat penyampainya, yang esensinya adalah
tentang hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan. Daripada simpulan itu
kemudian dapat dimunculkan pertanyaan, "Apakah seseorang perlu belajar
sastera?" Jika ya, apa hasil akhir yang diharapkan daripada pembelajaran
itu? Bagaimana pembelajaran itu dilaksanakan? Logikanya pembelajaran sastera
memang tidak dapat dipisahkan dengan pembelajaran bahasa. Namun, pembelajaran
sastera tidaklah dapat disamakan dengan pembelajaran bahasa. Perbezaan hakiki
keduanya terletak pada tujuan akhirnya.
Kembali
kepada isu pokok untuk membentuk sastera yang mantap kita harus memberi tumpuan
kepada aktiviti menulis. Seperti kata Nisah Haron, menulis itu suatu kerja
serius. Bukan sekadar melakar kata, menyusun ayat dan berbahasa puitis. Menulis
ialah cara seseorang itu berfikir. Menulis karya kreatif pula bukan sekadar
mengadun emosi dan menyatukan manusia dengan peristiwa. Ya, menulis itu penuh
dengan tanggungjawab kerana sebuah karya itu bukan tempat melampiaskan luahan
hati dan perasaan. Penulis juga bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik
pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga.
Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai
untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas
kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah
kepada pembaca.
Mungkin
ada segelintir pengarang yang bangga kerana telah menghasilkan sejumlah buku
sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan tetapi apakah karya-karya itu
telah memberikan kesan atau sesuatu perubahan yang ketara dalam kehidupan
pembacanya? Maka meletakkan sastera tidak cukup berpolakan hanya kepada
penobatan seseorang pengarang atau kepada sebuah karya yang luar biasa tanpa
dibuktikan oleh kehebatan peristiwa atau impak yang menyatu. Akhirnya kita
ingin mengatakan bahawa sastera perlu bangun secara semula jadi apabila
masyarakat yang membicarakan sesuatu isu itu mampu menekuni pengajaran
daripadanya secara luar biasa.
Pustaka Iqbal Nazim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan