PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



23 April 2014

Kreativiti dalam pertimbangan manusia




oleh Hasyuda Abadi
Ketua Satu IPS

MEMETIK kata Carl S.Hale tentang sang bijaksana dalam dunia penulisan kreatif: creative writers provide the covert foundation for social change and spiritual transformation, which requires that they remain loners who are totally dedicated to their work', saya sentiasa mencari dan memahami bahawa menjadi seorang penulis itu harus menuju ke arah kebijaksanaan bukan sekadar atau pas-pasan atau alang-alang suka-suka menulis. Tidak juga disebabkan terlanjur menulis akibat sesuatu peristiwa yang melukai tetapi menjadikan bidang ini sebagai sebuah landasan menyampaikan buah fikiran. Seandainya tidak mampu banyak, sedikit pun memadai untuk diingat dan diisi dalam hasil kreatif masing-masing.

Penulis sering dinilai dalam perspektif yang pelbagai. Mereka diperhati sebagai insan yang berkebolehan yang jarang ada pada orang yang lain. Mereka merupakan pemikir, pencetus, penyampai, penganalisis dan pendorong dalam pelbagai dimensi kehidupan. Dalam masyarakat penulis menjadi penyumbang inspirasi terhadap isu-isu semasa atau isu-isu yang hangat diperkatakan masa kini dan masa lalu. Penulis juga penyumbang kepada berlakunya percaturan pemikiran antara kelompok masyarakat. Penulis mempunyai entiti yang tersendiri. Mereka membentuk identiti tertentu yang mempunyai pengikut tertentu. Sesetengah daripada mereka merupakan mentor yang tersohor kerana pendapat mereka begitu diamati.

Penulis adalah sebahagian manusia yang aneh dan pelik. Mereka sering mengutarakan idea-idea yang pelik dan bernas. Penulis mengupas isu-isu global yang luar biasa, mampu merentas angkasa, benua dan lautan. Realitinya kepelikan penulis memang ada asasnya misalnya dalam soal kehidupan seharian. Kalaulah penulis hidup seperti rutin orang biasa, dia tidak akan nampak apa yang ada di sebalik kebiasaan itu. Tulisannya akan kehilangan suara-suara yang boleh memberi tumpuan. Kelainan penulis sebagai seniman akan memberikan keinsafan atau kesedaran orang biasa untuk membaca atau menonton atau mendengar sesuatu sama ada yang baru atau yang selalu disampaikan.

Kehidupan ini bukankah merupakan pusingan yang sentiasa berulang? Penulis menulis sejarah. Penulis memperkatakan perihal kehidupan mengikut pilihannya. Mereka menulis berasaskan landasan kreatif. Puisi yang relatif pendek tetapi menyimpan makna yang amat besar. Cerpen yang dinamik mengajak pembaca meneroka pemikiran yang sederhana kepada segmen-segmen pemikiran yang  besar dan global. Sedangkan novel atau teater menjanjikan perjalanan yang panjang dan jauh terhadap isu-isu yang digarap menerusi sumbangan falsafah, asbab-asbab dalam pergerakan plot citra para penulis. Kreativiti menjadikan kemustahilan itu sebagai kebenaran dalam pemikiran. Tidak jarang juga menjadi kebenaran dalam kehidupan itu sendiri.

Dalam pertimbangan sastera, ada masanya penulis karya kreatif mengabaikan hal-hal berkaitan kejujuran dalam berkarya. Sebab itu penulis sering diingatkan soal keluruhan jiwa, kejernihan hati. Apakah penulis berdosa kerana menulis apa sahaja tanpa mengambil kira kebaikan atau faedah daripada intipati penulisan mereka? Atau dosa itu langsung tidak menjadi hambatan kerana beranggapan apa yang disampaikannya hanya berupa cerita yang diperindah melalui diksi-diksi terpilih, atau latar perisitwa yang dikreatifkan, bahkan meletakkan hujahan sekadar lontaran idea atau pemikiran semata-mata.  Sudah tentu penulis berasa kurang bebas kerana digarisbawahi oleh andaian-andaian yang menyebabkan mereka tidak selesa? Penulis sukakan kebebasan. Pemikiran berkembang dengan adanya ruang yang lepas berlegarnya nuansa kreatif.

Kreatif tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Semua manusia hidup bercirikan nuansa kreatif. Kreativiti manusia sesungguhnya amat pelbagai. Jangan cuba katakan bahawa manusia adalah mahluk yang kaku, beku dan pelbagai ungkapan seolah-olah manusia itu tidak berfikir. Waima yang kurang bijak sana (baca: bodoh) sekalipun memilikinya. Hanya barangkali corak kreativiti manusia tidak  serupa. Manusia bergelar penulis tidak sama dengan manusia yang memanipulasikan bidang geografi? Tetapi mereka juga kreatif bagaimana geografi boleh mendidik manusia memahami pergerakan awan sehingga memberitahu manusia lain agar berwaspada terhadap puting beliung akan melanda. Seorang bergelar guru, mempunyai jalur kreativiti yang lain bagaimana memberikan kefahaman kepada para pelajarnya sehingga mampu menjadi ahli falsafah yang berwibawa.

Ahli politik juga menelusuri ruang lingkup bidang mereka berdasarkan kreativiti berbahasa untuk memenangi hati rakyatnya. Cara mereka melebarkan janji-janji merupakan aspek perlu yang bukan mudah disebarkan. Menyebarkan dakyah bukan seperti melempar batu atau menabur benih di atas tanah. Perlunya alat yang sesuai dan antara alat paling mujarab ialah menerapkan kreativiti.

Seterusnya bagaimana manusia menjadikan tipu helah, memanipulasi muslihat, memilih kawan dan lawan tidak dapat melepaskan dunia kreatif. Kelicikan manusia begini sering tidak disedari berada dalam kehidupan kita. Manusia berseteru sesama sendiri, manusia membina ukhuwah, manusia bermasyarakat, manusia bernegara dan sebagainya akan ada bersamanya corak, cara, acuan dan bentuk yang tersendiri. 

Bagaimana dengan sifat gelojoh atau 'geragas' dalam mencapai cita-cita? Kreativiti mereka cukup hebat. Sebenarnya lawan kepada sifat ini adalah sifat sabar. Apa yang membezakan antara manusia yang rakus dengan tidak adalah sabar. Orang yang sabar tidak mahu bersandar pada benda-benda dan tidak mahu menyandarkan diri pada kekuatan serta kekuasaan benda-benda yang ada di sekelilingnya. Sebab dia mengetahui semua itu pada akhirnya akan hilang dan yang abadi hanya Allah S.W.T. Kerana itu kekuatan dan kepercayaan dirinya berkembang dengan sangat baik. Dia tidak memerlukan pemilikan dan kemewahan untuk mengumpulkan rasa percaya diri dan kekuatan dalamannya. Ada atau tiadanya benda-benda di sekitarnya tidak mempengaruhi kekuatan dan kepercayaan dirinya.

Orang yang terlalu membanggakan hubungkait dirinya dengan kekayaan, kedudukan dan yang seumpamanya, sebenarnya sedang memperlihatkan ketidakberdayaannya dan ketidakpercayaan pada dirinya sendiri. Orang ini kelihatan penuh rasa percaya diri dan kekuatan itu disebabkan oleh rasa kepemilikannya. Jika apa yang dimilikinya hilang, maka rasa percaya dirinya juga akan mengewap habis dan lenyap. Ini juga merupakan pertanda tidak bersedianya seseorang dalam menghadapi musibah.

Orang yang terlalu membanggakan kekuasaan dan harta miliknya menunjukkan rasa cinta dan rasa memiliki yang berlebihan. Sehingga jika kekuasaannya tercabar atau hartanya hilang dia akan berasa terlalu terpukul. Kerana itu beruntunglah orang yang sabar. Mereka tidak cinta berlebihan dan tidak berasa terlalu terikat pada kekuasaan dan harta yang dimilikinya. Mereka menggenggam harta itu dengan amanah dan menggunakannya dengan baik tanpa wujud rasa riak, angkuh dan bengis.


Sifat-sifat mazmumah di atas bukanlah berlatarbelakangkan kreativiti tetapi 'nafsu nafsi'. Bagaimanapun kreativiti akan terus menguasai manusia. Manusia yang menguasai kreativiti mungkin akan terus berkuasa dalam mencapai pilihan masing-masing. Soalnya hanya satu sama ada pilihannya itu bakal memberikannya kesempurnaan bukanlah sesuatu yang mutlak. Kehidupan akan berlarutan kerana kreativiti tidak akan pergi. Selagi manusia tahu memanipulasi akalnya dengan baik, kreativiti akan memberikan pulangan yang sama.

Tiada ulasan: