PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



12 Oktober 2013

Pintu-pintu laman sastera

BUKAN selalu kita mengalami peristiwa yang menguja. Bukan juga selalu kita mengungkapkan sebuah apresiasi terhadap masa lalu. Zaman kegemilangan tidak bermula tanpa peristiwa namun peristiwa tidak mungkin dapat kita lihat dan rasai tanpa usaha merakam, menyimpan dan menjaga sebaiknya. Bukan juga mudah mewujudkan sebuah khazanah tanpa minat yang mendalam. Apakah keperluan sebuah khazanah itu tanpa mengambilkira kepentingannya selain disebabkan minat atau keinginan sebagai apresiasi kita terhadap masa sudah?

Kita sering mendengar tokoh-tokoh budayawan dan sasterawan yang memiliki khazanah masing-masing. Mereka melalui zaman yang terbaik kerana berjaya merakamkan setiap peristiwa tidak semata-mata dengan ingatan. Tidak semua insan yang berjaya dalam zamannya mampu mengingat dengan sempurna setiap detik peristiwa. Namun mereka yang berakal, kreatif dan sentiasa menyayangi masalalu tidak akan membiarkannya berlalu begitu sahaja. Ingatan itu harta paling berharga tetapi tidak mungkin dapat dikongsikan jika tidak diceritakan. Seandainya ia tidak dipindahkan misalnya dalam bentuk tulisan, lukisan, imej-imej dan sebagainya, sudah tentu tiada apa yang mampu diterjemahkan mengenai suatu zaman yang sewjarnya kita hargai. Suatu masa yang begitu memberikan nilainya untuk sesebuah generasi.

Setiap generasi memiliki khazanah masing-masing dalam apa juga bidang tidak terkecuali berkaitan dengan sastera, bahasa dan budaya. Intelek mereka tersimpan di situ bersama citra generasi sebelumnya. Setiap generasi juga sudah pasti melahirkan individu-individu yang berwawasan dan agung. Kita begitu mengaguminya atas dasar pemilikan itu.

Pengajaran masa sudah tidak akan berjaya dihayati hanya seandainya bahan-bahan berbetuk fizikal tidak disimpan dengan baik, tidak dipelihara dengan sebaiknya, tidak dirawat dengan sesempurnanya dan tidak dijaga oleh orang-orang yang mempunyai kesungguhan tertentu terhadapnya. Khazanah merupakan harga yang tidak akan sama nilainya dengan apa pun. Khazanah adalah harta masa depan untuk masalalu yang sentiasa hidup kerana ada yang beriltizam menghidupkannya.

Sebagai pencinta karya sastera, kita sewajarnya sentiasa beriltizam agar bahan-bahan sastera dipelihara dan bahkan dipulihara. Di Sabah, beberapa orang tokoh besar kita memiliki mini muzium sendiri, misalnya Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf melalui Dangau Budayanya di Papar. Koleksi beliau menjadi rujukan ramai ilmuan dan pelajar universiti. Datuk Haji Jamdin Buyung, penyair Sabah yang tidak asing, juga merekayasa sebuah muzium mini di rumahnya di Putatan. Keunikan muzium keluarganya ini terserlah kerana ketelitiannya mengumpul data, fakta dan juga foto-foto lama. Beliau juga meletakkan salasilah keluarganya dengan begitu lengkap. Kita juga boleh mengikuti sejarah gerakan sastera sejak awal. Selain kedua tokoh ini, Allahyarham Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) juga menyimpan kumpulan buku yang besar. Haji Hussain Kasau dan Jasni Matlani juga demikian, ribuan judul buku boleh ditemui di rumah mereka. Namun demikian, memiliki atau menyimpan sesuatu khazanah itu tidak bererti andainya ia tidak dipulihara dengan ciri-ciri bersistem.

Semasa melawat Laman Sastera K.Manis, sasterawan Brunei baru-baru ini, saya dan rakan-rakan begitu teruja dengan penampilan ruang khazanahnya, dari luar sehingga ke dalam. Di luar laman, K.Manis membina sebuah tugu buku gergasi yang menempatkan secara simbolik pintu-pintu yang memuatkan puisi-puisi pentingnya mengikut dekad. Sebelum masuk ke pintu laman sasteranya, terdapat sebuah ruai aktiviti. Menarik sekali, K.Manis atau nama sebenarnya Haji Moksin Haji Abdul Kadir, memulakan mukadimahnya dengan menyebut 'pintu' sebagai salah sebuah puisi yang terdapat di bahagian depan laman sasteranya. Melawat laman sastera K.Manis, saya teringat Dangau Budaya Datuk Haji Shuhaibun. Persamaan mereka menyimpan apa sahaja bahan tulis termasuklah kad-kad undangan perkahwinan. Bezanya Datuk Haji Shuhaibun mengumpul kad-kad hari raya. Beliau juga merekod kehadiran pengunjung.

Kecenderungan ini merupakan suatu kelaziman dalam kalangan seniman yang begitu menghargai apa sahaja yang mempunyai nilai sentimentalepada si pengumpul. Sesetengahnya menghargai pemberian orang lain. Sesetengahnya pula mencari benda-benda yang disukai seperti tongkat, majalah-majalah lama, gasing, nota-nota catatan dan sebagainya. Semua itu begitu bernilai, menguja bagi para pengunjung, memberikan aspirasi dan inspirasi buat generasi selepasnya untuk mengagumi, menghargai, mengetahui, mempelajari seterusnya mendalami sesetengah artifak itu dari sudut sejarah dan asal usul.

Haji Hussain Kasau misalnya, menterjemahkan pemikirannya lebih ke hadapan apabila meletakkan konsep 'iqrak' dalam usaha mengangkat sastera sebagai sebahagian daripada penyebaran ilmu. Beliau menamakan sebuah lokasi menarik miliknya sebagai 'Puncak Iqrak' dengan iltizam menempatkan para ilmuan, pengkaji serta pelajar berserasehan mengenai isu-isu berkaitan sastera dan budaya. Saya fikir lebih ramai mereka yang berkemampuan mewujudkan mini perpustakaan masing-masing. Jika K.Manis di Brunei tumpuannya kepada genre puisi, apa salahnya pengarang di Sabah memilih genre cerpen atau novel sebagai mauduk simpanan untuk dijadikan rujukan. Bukan sekadar koleksi buku tetapi kajian, hasil kajian, rakaman, keratan akhbar dan majalah disediakan sebegitu informatif sebagai bahan rujukan.

Para penulis juga boleh mewujudkan pusat hentian di rumah masing-masing, seperti yang pernah saya singgahi di Lantera Timor Jakarta, selenggraan sekumpulan graduan yang begitu mencintai ilmu. Di hentian ini mereka mengatur pelbagai program berkaitan sastera, tontonan filem, diskusi buku dan jualan buku-buku yang terpilih. Tentu sekali banyak manfaat yang diterima selain atas sebab kepelbagaian itu menjadi pilihan para penulis mengikuti sesi perkongsian sebagai mengisi masa lapang, apa tah lagi seandainya bidang-bidang yang disebutkan tadi merupakan kecenderungan mereka secara khusus. Sesiapa sahaja yang datang di ibu kota boleh singgah, memesan minuman atau makanan, mengakses internet melalui kemudahan wifi yang disediakan, sambil membaca buku dan surat khabar. Di situ juga boleh dijadikan hentian pertemuan para penulis, ahli persatuan, pelajar dan sebagainya.
                                                   Penyair Brunei - K.Manis.

Para penulis semakin ingin memaknakan pemikiran mereka. Penulis juga begitu teruja untuk memperlihatkan kesungguhan mereka. Apa salahnya, dengan sedikit sumbangan mereka menggerakkan usaha pemartabatan sastera itu melalui pintu rumah masing-masing. Seperti kata K.Manis, bukankah dalam kehidupan kita begitu banyak sekali pintu yang harus dilalui. Semoga pintu rezeki terus terbuka buat kita membesarkan ruai sastera kita masing-masing.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: