30 Mac 2014

MAIN TAPUK-TAPUK


IDEA yang sederhana saja - main tapuk-tapuk. Sedar tak sedar dunia membesarkan kita sehingga mampu berjalan ke mana-mana sahaja. Dunia memberikan ruangnya yang nampak bahkan yang tak nampak. Yang tak nampak diberikan isyarat-isyarat agak yang nampak itu mencerahkan alam pemikiran yang lain. Secara bijaksana dunia juga memberikan ajarnya. Pengalaman meninggalkan waktunya, waktu yang pergi itu kembali dan kembali lagi.

Waktu tak akan kelihatan atau memperlihatkan wujudnya. Mungkin kita berfikiran usia itu bergerak sebagaimana objek bergerak. Ketika memandang burung-burung terbang atau helaian daun berguguran, begitukah waktu bergerak? Ketika memandu kereta dalam pergerakan yang laju atau kilat yang memancar di udara apakah sama seperti pantasnya pergerakan waktu? Memang tidak mampu bagaimana pantasnya setiap lintasan waktu dijadikan sebagai faktor matematik bahkan sainsnya. Kita hanya sedar kelmarin telah terjadi bahkan sebentar lagi dan lagi. Kita sering tewas walaupun berasa selalu menang. Selalu berjaya dan diberikan penghargaan padahal kita adalah seorang yang tewas seperti juga dengan yang lain. Berbangga dalam latar ketewasan yang amat sangat! Meskipun kita berjaya tetapi kita juga selalu tewas dimamah waktu. Bangga kerana menang padahal gagal menyaingi sang waktu. Kita menyembunyikannya. Kita main tapuk-tapuk daripada segala kemamahan waktu. Kita lebur, kita hancur, kita lumat!

Namun dunia sentiasa membawanya bermain tapuk-tapuk! Kelebihan diri yang dipunyai mudah merobahnya. Laksana karun yang angkuh dan lupa diri. Tanggang yang baik dibiakkan oleh tamak haloba. Haloba menapukkan kedaifan bangsanya dengan sumbangan yang tidak diredhai. Sesetengah insan cepat melupai pelajaran masa sudahnya. Masa depan itu bagaikan lautan yang melebar menjauh tetapi terus ingin digapai. Namun menjadi alpa lantaran dighairahi oleh suatu pencapaian. Sanggup meredah gelombang dengan mengendarai perahu-perahu sebagai pedagang tanggang. Dialah sinbad yang memahami bahasa gelombang. Saat berjaya segala perahu tidak diperlukan lagi. Dia mahukan kapal-kapal besar. Disebabkan kemahuan dan impian yang besar. Dia main tapuk-tapuk!

Saya mahu mencari jawab mengapa orang suka main tapuk-tapuk? Di sini impiannya menganga. Orang selalu mencari. Ia mengimpikan sesuatu walaupun rutin sifatnya. Ingat waktu kanak-kanak dulu? Mereka mencari jalan untuk meneka, mengagak-agak. Mereka mecari jejak dan boleh mengenalpasti di mana objek (baca: kawan-kawan sepermainannya) bersembunyi.

Pengalaman ini berkembang apabila beransur dewasa. Sebagai mahluk berakal, mereka terus mencari dan meneka. Mereka menyimpan cita-cita untuk mendapatkannya. Mereka sembunyikan harapan, cita-cita, impian bahkan kebenaran. Apabila bertemu apa yang diimpikan, mereka sembunyikan apa yang mereka ada. Mereka main tapuk-tapuk lagi ketika pada satu tahap yang lebih besar, mereka simpan ilmu pengetahuan mereka. Mereka sembunyikan muslihat dan tipu helah kerana pencapaian tidak semua harus dikongsikan atau diberitahu. Mereka lebih suka dalam kelompok-kelompok tertentu untuk kelompok-kelompok mereka semata-mata. Maka terjadilah rahsia yang diam tanpa diketahui. Rahsia yang diintai-intai manusia lain. Rahsia tapuk-tapuk ini mencipta enigma, spekulasi, prasangka, dongengan dan sebagainya. Ruang lingkupnya terus melebar selagi ia tak tersingkap. Selagi hijap kebenaran tidak dibongkar manusia lain memasang pelbagai sensor agar mampu mendapatkan jawapan. 

Kita sentiasa menemui keadaan ini, permainan tapuk-tapuk. Sang suami main tapuk-tapuk kerana takutkan isteri tidak merestui pernikahan yang lain. Namun isterinya bisa menjejak bau kelibat serta perubahan suaminya. Sang isteri juga demikian, bermain tapuk-tapuk di belakang sang suami. Perbuatan berterus terang itu memang selalu merisaukan. Rumit, sulit dan malah menakutkan. Anak-anak impikan pelbagai objek yang menjadi kegilaan mereka. Kadang membahayakan. Mereka tapuk-tapuk merokok hingga mendekati dadah. Akibatnya mereka terjebak dengan masalah moral. Tidak menghormati ibu bapa dan undang-undang negara. Mereka tapuk-tapuk merempit. Mereka ini yang sepatutnya menjadi aset besar sesebuah negara tetapi sanggup menjadi penentang kebaikan.
Permainan ini berkembang lagi dalam kerangka yang lebih hebat. Menyembunyikan perkara-perkara yang benar. Kebenaran juga bukan mudah dijelaskan dengan mengambilkira natijahnya. Kebenaran menyebabkan wujud pandangan-pandangan yang berbaur bagai. Apabila akal terus bermain-main, mengagak-agak, mendongeng dan akhirnya tercipta versi demi versi, kebenaran menjadi begitu sukar ditelaah, dibongkar dan diterjemahkan. Manusia yang kreatif mula mengeksploitasi versi demi versi agar pembongkaran yang ditemui untuk memihak kepada keburukan bukan kebaikan. Kerana apa? Kerana telah terungkai sebab akibat nawaitu daripada permainan tapuk-tapuk yang tidak disedari terjadi. Nawaitu itu merupakan satu gerak batin yang menjadi impian. Tatkala impian itu bersekongkol dengan kehadiran hawa (bukan adam) nafsu kemuliaan nawaitu dengan cepat sekali merobah segala-galanya. Maka jangan risau seandainya segala spekulasi atau titik pencarian orang lain atau masyarakat sebagai kelompok yang lebih memandang terus bergema. Jangan resah ketika citra kebenaran itu dimanipulasi sebagai bahan promosi yang negatif.

Memang payah menceritakan kepada akal yang dibiasakan oleh budaya agak-agak dan spekulasi. Akal-akal yang tajam sepatutnya membuka ruang kebenaran yang benar-benar benar bukan sebaliknya. Para pemimpin yang bijaksana yang menyembunyikan sikapnya terhadap rakyat yang dipimpinnya akan terbongkar apabila segala janjinya tidak dikotakan. Dia main tapuk-tapuk mengelak bertemu rakyatnya, dia mula enggan bersemuka dengan masalah pengundi-pengundinya, dia tidak bersedia mencurahkan jiwa raganya kepada orang-orang yang berjasa sehingga dia bergelar yang berhormat. Menyembunyikan semua ini menyebabkan pencarian mereka yang mengharapkan budi baiknya sebagai etos mungkar yang harus dipertanggjawabkan oleh individu berkenaan. Akhirnya akan dinafikan dalam pemilihan akan datang.

Apabila sesuatu yang benar disembunyikan tidak hairan ia akan berubah menjadi sebaliknya. Ini realiti dan semua akan mempercayainya apabila ia menjadi buah berbualan. Isu demi isu yang bergelora dalam satu-satu kelompok masyarakat akan terus membiak dan membuak bagai ombak tsunami yang merosak. Barangkali perlunya keberanian agar sikap yang sederhana dan telus diperkasa dan menjadi perisai dalam kehidupan. Dalam agama apapun yang dianut manusia, kesederhanaan sering menyelamatkaan umatnya. Sejarah turut membuktikan bahawa sikap keterlaluan selalu memberi padah dan jerat kepada bangsanya. Kerana demikian, sikap yang tidak keterlaluan dalam apa juga perbuatan sesama manusia itu sendiri memberikan wadah kesejahteraan.

Berwasatiyyah untuk kesejagatan umat patut diamalkan. Akibatnya amat jelas. Dengan sifat wasatiyyah ini, pandangan manusia tidak akan kesasar terlalu jauh. Kebenaran tetap kebenaran jua yang dilahirkan. Jika yang dimamah itu nasi putih yang bersih, setelah ditelan, diproses dalam perut, ia tetap menghasilkan kebaikan yakni keselesaan dari wujud kebersihan dalaman. Perut yang sehat meraih kesihatan yang meriah. Bukankah analogi kepada perut adalah nafsu? Perut yang serakah hanya untuk diisi semata-mata apatah lagi daripada bahan-bahan yang tidak halal (baca: bersih) akan merosakkan segala organ keseluruhannya.

Idea yang menjadi kali ini mudah-mudahan boleh dijadikan penilaian diri kita semua. Mungkin kita berada dalam kelompok itu yang bermain tapuk-tapuk walaupun dalam sebuah alam yang jelas dan benar. Yang penting mewajarkan niat kita. Niat yang diawali dengan kebenaran akan diakhiri hasil yang benar. InshaAllah.

Mukah, Sarawak,
29 April 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan