25 Mac 2014

Ehsan Blog Abdul Muizz Awang Marasin

Saya dan Sastera

(sempena ulangtahun ke-24 penubuhan Ikatan Penulis Sabah)

Dulu dan Sekarang

Saya belum dilahirkan pada waktu Ikatan Penulis Sabah (IPS) diasaskan, pada hari ini pada tahun 1990. Allah SWT menakdirkan kelahiran saya pada pertengahan tahun 1994, lebih kurang 3 tahun selepas tertubuhnya IPS, di tengah bandaraya rimba tropika, waktu itu Kota Kinabalu (KK) belum lagi dibandarayakan. Membelek tawarikh silam, KK tidaklah sebesar mana. Fitrah masa, KK yang dulu bukanlah yang kini. Sama jugalah dengan diri ini, seperti dendangan Tegar, “Aku yang dulu bukanlah yang sekarang.”

Saya tidak mengerti apa-apa mengenai sastera sampailah saya menduduki bangku sekolah rendah kebangsaan di pinggiran pekan Tuaran. Itu pun hanya tahu mendeklamasi di hadapan sidang saksi majlis rasmi. Sampailah pada satu hari, setelah separuh dekad berlalu, ketika menduduki pula bangku Sekolah Tun Ahmadshah, IPS telah datang ke mari, mendekatkan saya dengan sastera.

Sejak hari itu dan sehingga saat ini, ketika papan kekunci meninta bicara ini, saya sudah mampu mengenal sastera dengan sebaiknya, meski saya perlu belajar lebih lagi daripada yang biasa. Melaluinya jugalah, saya mampu mencorakkan sendiri diri saya dalam alam sastera. Alhamdulillah, dua tiga karya saya sudah disiarkan di dada akhbar negeri. Yang pertama pada pertengahan tahun 2009, ketika sedang menunggu penerbangan pulang dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Yang kedua pada sekitar tahun 2012; waktu itu baru beberapa puluh hari saya selesai menuntut di sekolah menengah dekat Bukit Padang.

Antologi Puisi MH 370

Seusai majlis pelancaran antologi puisi MH 370
pada 18 Mac di Wisma MUIS, Kota Kinabalu
(Foto: Ikatan Penulis Sabah)
Baru minggu sudah, Alhamdulillah, antologi puisi “MH 370” selamat dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif di Wisma MUIS, Kota Kinabalu; dan pada minggu yang sudah jugalah, saya telah menerima senaskhah buku tersebut sebagai pengabadian dan kenangan. Alhamdulillah, saya termasuk dalam kalangan 64 orang penyair dari Malaysia dan Indonesia yang menyumbang 68 buah puisi.

Antologi yang diterbitkan hasil kerjasama IPS dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) itu diterbitkan tidak lebih dan tidak kurang sebagai simbol ibrah dan iktibar rentetan peristiwa kehilangan MH 370. Sampai ke hari ini, sudah 17 hari MH 370 dicari; namun, masih belum ditemui.

(iii) Nyanyi burung kepada lautan:

Mungkinkah ada pusaran gelombang yang menelan
serba tafsir dan tamsil bergema
ada lorong-lorong yang membawa ke dasar
di lapangan lautan yang sukar difahami
di sini segalanya mencari
burung-burung laut yang akur
tak berpuas rasa membuka seluasnya
gelora gelombang
di pantai menunggu sebuah janji
di pergunungan menanti terbukanya cahaya
dari lautan bergema zahir zikir
dari lautan bergema zahir fikir
dari lautan mengalun zahir segala mungkin

[Stanza Nyanyian Burung-burung (Hasyuda Abadi), 2014]

Kasihanlah pada yang kehilangan
ditinggal tanpa pesan
pergi tak kesampaian
pulang tak pula terizinkan

[Pada yang Kehilangan (Awang Abdul Muizz Awang Marusin), 2014]

Di kesempatan ini, ingin saya petik wahyu Ilahi, “Seandainya hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku, maka (khabarkan kepadanya, betapa) Aku sangat dan senantiasa dekat (padamu). Aku tetap akan menjawab doa orang yang meminta jika dia berdoa kepadaku. Maka, sahutlah seruanKu dan berimanlah padaKu; mudah-mudahan dia akan mendapat petunjuk.” Buat diri saya dan semua, berdoalah, mudah-mudahan di sana ada petunjuk yang menemukan si pencari dengan kapal terbang yang dicari. Mudah-mudahan juga Allah mengurniakan ketabahan dan kekuatan kepada mereka yang ditinggalkan bersama MH 370.

Mohon huraikan hijab rahsia ini, Tuhan.
Mohon hindari kami dari gelisah pencarian ini, ya Rahman.
Mohon hubungkan kami dengan jawaban dari sekian pertanyaan ini, ya Rahim.
Mohon hiasi hati kami dengan pakaian tabah dan redha, ya Hayyu ya Qayyum.
Mohon hikmahkan kami dengan iktibar dan nilai kemanusiaan, ya Jabbar.
Mohon hidupkan hati kami dengan tasbih muhasabah yang runduk pada keagunganMu,
ya Dza al-Jalali wa al-Ikram. Amin.

[Hijab Rahsia MH 370 (Arifin Arif), 2014]

Hadiah buat IPS sempena 24 Tahun

Ketahuilah, tiada apa yang perlu dibanggakan apabila berjayanya penerbitan antologi puisi MH 370 meskipun proses penerbitannya hanya mengambil masa sekitar beberapa hari. Tidak kurang dan tidak lebih hanyalah pujian dan kesyukuran yang setinggi-tinggi ke hadrat Ilahi. Atas izin dan rahmatNya, penerbitan antologi tersebut berhasil. Bagi saya, penerbitan antologi tersebut adalah semata-mata permulaan bagi saya untuk menjadi seorang sasterawan muda.

Negara masih berduka atas kehilangan salah sebuah pesawat yang membawa Jalur Gemilang; masih sampai ke saat ini. Namun begitu, sekurang-kurangnya kejayaan IPS dan BAHASA menerbitkan antologi tersebut menjadi hadiah yang kelak akan meningkatkan motivasi untuk terus gigih dan setia meneruskan perjuangan walau apa pun yang akan terjadi.

Buat IPS, itu sahajalah hadiah yang saya ada buat semua, khususnya buat IPS, sempena ulangtahun penubuhan IPS yang ke-24. Buat BAHASA, itu sahajalah juga persembahan yang saya ada, sebagai menghulur salam ukhuwwah dan salam sastera nusantara. Semoga Allah membalas budi baik IPS dan BAHASA dalam menerbitkan antologi tersebut.

Sejarah Silam dan Iltizam Mendatang

Sengaja saya ceritakan rekod saya sepanjang keberadaan saya dalam dunia sastera. Namun begitu, saya tidak seperti orang-orang lama juga orang-orang hebat – ayahanda Hasyuda Abadi, cikgu Jasni Yakub, ayahanda Jasni Matlani, Ustazah Ony Latifah Osman, Cikgu Juilis Mokujal dan ramai lagi (sekadar mampu menyebut beberapa nama) – yang sememangnya sudah menjadi sasterawan negeri. Ada juga yang telah menjadi tokoh sastera negara juga Nusantara.

Saya bukanlah seperti mereka dan kalian. Dulu, sastera saya sering membuahkan kedukaan kepada diri dan yang terkesan. Nada dan tema di setiap penulisan hampir sama walaupun dengan uslub yang berbeza. Pada tempoh itulah, saya cuba memperbaiki diri saya dan sikap saya terhadap sastera, sampai saat ini. Itu pun setelah mengingati dan menyedari wahyu Ilahi, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sedikitpun nasib sesebuah kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri.”

Semenjak kesedaran itu, saya semakin mengerti betapa sastera tidak setakat wadah pernyataan aspirasi semata-mata, juga sebagai wahana pengindahan bahasa. Sastera punya tugas lebih dari itu, untuk membangkitkan kesedaran dan untuk menyebarkan ilmu. Oleh hal yang demikian, saya senantiasa cuba memperbaiki diri ketika bersastera. Untuk waktu ini, sekurang-kurangnya – tanpa mengharap apresiasi pembaca – karya sastera yang ada berjaya mengejutkan seseorang dari tidur yang lena dan lalai yang fana, juga berjaya untuk membawa khabar gembira atas keindahan sesuatu mesej yang dibawa.

Saya memohon maaf atas dosa, salah, silap dan kekurangan saya selama ini.

Maafkanlah
wahai manusia
Ketelanjuranku
menyakiti hatimu insan berbudi.

Maafkanlah
wahai manusia
Kekhilafanku
memuramkan wajahmu insan baik hati.

Maafkanlah
wahai manusia
Kemaafanmu
akan ku kenang sebagai jasa budi.

[Maafkanlah (Abdullah Muizzan), 30 April 2009]

Semoga Allah memaafkan kita semua.

Ya Allah
ampunilah kami, hamba-hambaMu yang tak punya
malu ini; ampunilah; ampunilah; ampunilah kami
ya Allah.

[Surat Cinta dari Sangkakala (Acep Syahril), 2014]

Saya dan ayahanda Hasyuda Abadi
di Jalan Maarof, Bangsar,
Kuala Lumpur pada 21 Mac.
(Foto: En. Sukor Usin)
Masih saya ingati, ketika saya bertemu ayahanda Hasyuda Abadi di Bangsar, Kuala Lumpur, minggu yang sudah, saya berkata kepada yang lain, “Saya dalam dunia sastera baru nak merangkak.” Atas kesedaran itu, saya masih perlu belajar lebih banyak lagi daripada orang-orang lama. Saya ada iltizam saya untuk meneruskan kesinambungan sastera di Nusantara amnya dan di negeri Sabah khasnya. Hanya kepada Allah dipohonkan kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Dalam pada itu, saya juga tidak harus lupakan kewajipan saya yang kini, untuk menuntut ilmu dan meneruskan aktiviti persatuan saya di menara gading. Itu semua saya lakukan tanpa langsung melupakan tanggungjawab kepada tanah air untuk mendaulatkan sastera. Ya, saya akan cuba lakukannya dengan cara saya yang tersendiri, InsyaAllah.

Penghargaan atas Doa dan Sokongan

Namun begitu, itu semua takkan berlaku tanpa doa dan sokongan daripada yang lain. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi syukur dan apresiasi ke hadrat Allah SWT. Izin dan rahmatNya membolehkan saya masih kuat untuk terus berjalan menyelusuri alam seni dan sastera. Dengan berkatNya jua, saya mampu belajar dan memahami banyak lagi ilmu dan hikmah selama ini.

Maha SuciMu, ya Allah, sebaik-baik guru;
Kaulah yang mengajarkan ilmu dengan pena sejak kurun yang mula-mula sekali.
Kaulah (ya Allah) yang mengeluarkan minda ini dari sirna dan gelita,
dan Kau jugalah yang membawa kami meniti jalan hidayahMu yang terang lagi bercahaya.

[Berdirilah untuk Guru (Sheikh Ahmad Syauqi)]

Kepada ayahbonda, terima kasih jua yang tidak terhingga. Restu kedua ayahbonda membolehkan saya terus melangkah setapak demi setapak meneruskan kehidupan. Tanpa kasih ayahbonda, tiada ertinya saya hidup di dunia, sama ada ketika dekat di sisi juga setelah jauh merantau ke sebelah sini. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah tiada tepiannya.

Buat adik-beradik dan sanak saudara, terima kasih jua saya ucapkan. Sokongan dan doa kalian selama ini cukup menambah kekuatan saya untuk mencapai visi dan misi yang tersendiri.

Buat para pendidik di surau dan masjid, di sekolah rendah dan menengah, di universiti, dalam pertubuhan juga di mana-mana jua berada, ilmu dan hikmah yang saya dapati selama ini sungguh berharga. Terima kasih setingginya saya ucapkan atas ilmu, hikmah dan kasih sayang yang kalian curahkan selama ini.

Buat para sahabat, lebih-lebih lagi buat sahabat yang amat dekat di minda dan jiwa ini, lebih-lebih lagi buat 'adik-beradik', terima kasih juga setingginya saya ucapkan. Kasih sayang kalian yang menceriakan bilahan hari-hari, keberadaan kalian di sisi di kala diri merasa sepi, semangat waja kalian dalam menyumbang jasa dan mencipta jaya, juga kebaikan demi kebaikan yang akhirnya mengajar diri untuk turut bersama dalam menyemai akhlak mulia, membuatkan saya masih mampu berdiri dan berjalan ke arah kejayaan yang hakiki.

Sebagai Warga IPS dan Warga Sastera Sabah

Buat IPS, kata orang Arab, “Mubarak 'alaik!” Kata orang Cina, “Gong Xi! Gong Xi!” Kalungan ucapan tahniah saya kiriman sempena ulangtahun ke-24 penubuhan. Terima kasih setinggi-tingginya saya ucapkan kepada IPS. IPS, sejak kali pertama mengenalinya pada tahun 2009, dan sejak menjadi ahlinya secara rasmi pada tahun 2011, IPS telah banyak memberi khidmat dan jasa kepada saya dalam merealisasikan hasrat kesusasteraan saya.

Selaku seorang warga IPS yang kini merantau di seberang laut, saya bersyukur dengan pencapaian yang dicatatkan oleh IPS selama ini. Sekurang-kurangnya IPS telah berjaya mencorakkan nama baik di astaka nusa juga di persada Nusantara dalam bidang kesenian dan kesusasteraan.

Saya tidak mampu menyumbang banyak benda. Namun begitu, saya tetap mencuba untuknya. Andai saya telah menitipkan sedikit usaha buat IPS, biarlah usaha itu memberi manfaat kepada kita semua untuk jangka waktu yang panjang. Begitulah betapa erti hidup itu pada memberi.

Buat IPS, saya punya iltizam yang tinggi untuk terus bersama. Selagi diberi kekuatan dan sokongan, berbekalkan doa daripada segenap insan prihatin dan penyayang, saya akan terus bersama sehingga ke waktu ditentukan untuk pulang ke pangkuanNya. Sempena iltizam itu, marilah bersama kita terus kekal bersatu, meneruskan tradisi ke arah kejayaan.

Semoga IPS terus berdaulat dengan limpah kurnia Allah SWT; dan semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN
Seremban, Negeri Sembilan
24 Mac 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan