19 April 2015

IPS SEBAGAI IKATAN PENULIS

HASYUDA ABADI
Ketua Satu
Ikatan Penulis Sabah (IPS)

MENYERTAI IPS pada tahun 1992 setelah persatuan ini diiktiraf sebagai sebuah persatuan penulis yang berdaftar, saya percaya IPS menjadi pemangkin yang penting kepada generasi pelapis para penulis pada masa akan datang. Meskipun, sambutan segelintir penulis veteran kurang menyenangi atas kelahiran IPS, mahu tidak mahu arena sastera di Sabah harus akur bahawa sastera perlu diperkasakan oleh gerakan-gerakan tertentu yang lebih agresif dan berhala tuju.

Kini IPS telah berusia 25 tahun. Barangkali ada yang menjangkakan IPS tidak dapat bertahan sehingga seusia ini. Tidak mustahil ada juga yang berfikir IPS akan berkubur pada tahun 1998 apabila berlaku ‘tsunami’ kepimpinan. Bahkan tidak kurang juga yang memberikan pandangan yang membina bahawa IPS harus terus hidup dalam satu acuan kesederhanaannya.

IPS ditubuhkan pada 24 Mac 1990. Tarikh ini sejarah yang amat penting. Saya masih ingat apabila rakan sekerja memberitahu sebuah persatuan penulis bakal ditubuhkan di Kota Kinabalu. Kenyataannya itu dibenarkan oleh seorang lagi rakan penulis yang turut mengajak saja menghadiri sebuah perjumpaan pagi hari Sabtu di Sudut Penulis DBP, Tingkat 1, Bangunan SEDCO, Kampung Air Kota Kinabalu. Kedua rakan ini iaitu N.R. Rahim dan Aida A.R masih bersama IPS hingga kini. Namun begitu sahabat yang sentiasa saya bersamanya sehingga saat ini adalah individu yang pertama sekali memberikan borang keahlian. Abd Naddin Haji Shaddin, merupakan seorang penasihat, pendorong malah bagi saya sahabat yang tidak sentiasa berkata ‘setuju’ tetapi istiqamah positif menggerakkan IPS. Begitu pun saya tidak pernah melupai dua sahabat penulis yang menjadi pendiri IPS iaitu Jasni Matlani yang kami senangi dengan gelaran JM dan Aliuddin Mohd Salleh yang bernama pena Ailin Nor dalam karya kreatifnya. Jasni telah membangunkan IPS dengan cemerlang menerusi idea-ideanya yang besar.

Bagaimanapun kedua-duanya ini tidak lagi bersama IPS ketika IPS meraikan usianya yang ke-25. Saya percaya mereka juga mempunyai ingatan yang sama dengan ramai rakan yang tidak berkesempatan menghadiri majlis sambutan. IPS amat berterima kasih kepada ahli-ahli veteran IPS yang hadir. Sesuatu yang tidak dijangkakan adalah peranan DBP Cawangan Sabah menerusi Pengarahnya, Hajah Asmiah Ajamain dan pegawai-pegawai kanannya Noraini Abdul Hamid, Tengku Fauziah Ku Mat, Rusdi Awang dan Japar Haji Ungki. IPS amat menghargai dan sentiasa diingati sampai bila-bila. Tidak ketinggalan Ahli-ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli IPS yang bekerja keras menjayakan sambutan Pelancaran Jubli Perak baru-baru ini.

Kepimpinan tertinggi IPS masa kini amat iltizam terhadap masa depan persatuan. Berteraskan motto ‘Wasatiyyah Kesejagatan Sastera’, gerakan yang sederhana tetapi yakin kepada kebitaraan wawasannya, akan terus meletakkan IPS bersama pendukung-pendukung persuratan tanah air. IPS tidak mungkin mampu melaksanakan aktivitinya tanpa adanya pengurus sastera dan bahasa yang berwibawa. Kami melihat bahawa hala tuju yang jelas mesti berlandaskan suatu pendekatan yang alami, ikhlas, beramanah dan wastiyyah. DBP pusat dan cawangan di Sabah, bagi kami, menjadi payung untuk menggerakkan aktiviti. Agensi ini amat penting, sebab itu jangan sekali-kali membelakangi apatah lagi memberikan gambaran negatif hanya semata-mata agensi ini kurang memberikan perhatian dari segi bantuan kewangan, misalnya. Kita percaya dan memahami situasi yang harus dihadapi oleh mana-mana agensi Kerajaan termasuklah DBP. Bersyukurlah apa yang ada. Walaupun keadaan kewangan tidak mengizinkan, DBP Cawangan Sabah tetap memberikan sokongannya dari semasa ke semasa.

Mengimbas 25 tahun yang lalu, beberapa perkara yang telah diberikan perhatian oleh IPS. Mengenai kejayaan yang telah ditempuhi antara yang penting ialah penubuhan Institut Penilaian Sastera atau INPES pada tahun 2001. Institut ini merupakan usaha yang dilakukan oleh IPS atas idea ahli kehormat IPS, Yang Berbahagia Datuk Dr Haji Janatan Kandok. INPES ditubuhkan di bawah Amanah Raya Berhad (ARB) atas perkenan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah. Misi INPES antaranya memberikan penilaian terhadap karya dan penulis dan membuat kajian ilmiah mengenai budaya, bahasa dan sastera.

Kedua, IPS memandang serius terhadap wacana sastera yang harus diberikan perhatian. Bengkel-bengkel penulisan yang laksanakan bagi IPS, harus diikuti oleh pembitaraan karya. Bagaimana karya dapat dibitarakan? Penerbitan Komposisi sebagai salah satu pilihan penyaluran karya, IPS fikir mampu melaksanakan lebih sekadar sebuah penerbitan stensilan. Namun begitu, tanpa adanya segelintir ahli yang hebat dalam merealisasikan Komposisi di peringkat awal dahulu seperti Jasni Matlani, Abd Naddin Shaiddin, Sharifah AM Nordin, N.R. Rahim dan beberapa ahli yang lain, IPS mungkin hanya dilihat sebagai pertubuhan yang kosong.

Komposisi menjadi saluran penting bagi para penulis mengetengahkan karya-karya mereka. Selain majalah dan surat khabar yang selalu beralasankan ruangan yang terhad, Komposisi wajar dibitara menjadi sebuah majalah yang dinamik dan idealis. Satu ketika Komposisi telah mendapat permit daripada Kementerian dalam Negeri, ini sejarah yang penting, namun sayang sekali Komposisi pada 1998 tidak menggambarkan sebuah majalah sastera yang tulen kerana memasukkan unsur-unsur lain yang tidak menepati matlamat asalnya. Sebab itu penerbitan ini terhenti pada masa itu.

Penerbitan buku-buku sastera selain majalah Komposisi turut diberikan perhatian. IPS pernah menerbitkan beberapa buah buku tetapi tanpa rujukan ISBN Perpustakaan Negara Malaysia. Buku-buku yang diusahakan adalah dalam bentuk stensilan seperti Antologi Puisi ‘Pengantin’, Antologi Puisi ‘Jalan ke Hujung Taman’ dan Antologi ‘Arca’. Sebuah Antologi Cerpen  ‘Titian Pertama’ telah diterbitkan dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah.

Pada tahun 1997, IPS yang pernah beroperasi di Asia City Kota Kinabalu telah menerbitkan Kumpulan Puisi ‘Kabus’ karya Jasni Matlani, Kumpulan Puisi ‘Akar Cahaya’ dan ‘Datang Kembali’ karya Hasyuda Abadi, Kumpulan Puisi ‘Tetap Merdeka’ karya K.Bali dan dua siri buku bimbingan Penulisan Kreatif dan Penulisan Skrip Drama Radio disusun oleh Robby A. Pada 2013, IPS mendapat mandat menjadi penerbit buku. Sejak daripada itu, IPS telah menerbitkan Antologi Puisi ‘Menjilbab Cinta’ karya para penulis IPS dan Asterwani Brunei, Kumpulan Pantun ‘ Usul Mengenal Asal’ karya Hasyuda Abadi, Kumpulan Puisi ‘Seniman Menangis’ karya Melan Bujang, Buku ‘Asas Membaca’ karya dan terbaharu Antologi Puisi ‘Taman Fikir’ karya 36 penulis IPS dan rakan IPS.

Untuk menggerakkan ahli dalam bentuk pertemuan, IPS menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti Pertemuan Penulis Muda, Manifestasi Seni, Khemah Sastera, Malam Nostalgia Sasterawan Sabah, Forum Sabah Baharu, Bicara Umum Shuhaibun Yussuf dan Bengkel Penulisan Kreatif. Pemerkasaan aktiviti-aktiviti terus dilaksanakan dengan lahirnya program Santai Minda dan Wacana Sastera. Alhamdulilah sepanjang 25 tahun, IPS pernah dinobatkan sebagai persatuan penulis paling aktifi sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1999, 2002 dan 2003 daripada Majlis Bahasa dan Sastera Sabah dan DBP Cawangan Sabah. Sempena Jubli Perak IPS, Komposisi dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih menarik. Mudah-mudahan Komposisi edisi kali ini mampu menjadi potensi kepada para penulis Sabah. Begitu juga penerbitan Antologi Puisi ‘Taman Fikir’ yang memuatkan puisi-puisi 36 orang penulis IPS dan rakan-rakan IPS, menjadi dorongan kepada para penulis Sabah terus berkarya selain menjadikannya khazanah persuratan tanah air.

IPS yakin ia masih relevan menjadi payung para penulis di Sabah. Pemerkasaan IPS terus dilakukan
pada skala yang amat sederhana. Namun begitu konsep bitara yang diperkenalkan semasa program motivasi pada bulan Februari 2015 akan menjadi tanda aras kepadanya. Bitara yang membawa maksud pencapaian paling unggul dalam bidangnya, harus difahami oleh setiap lapisan ahli. Setiap ahli perlu mempunyai impian dan memantapkan setiap jalur ke arah impian itu dengan iltizam serta tumpuan. Menjadi terampil dalam dunia persuratan harus memegang prinsip melalui pemilikan buku sendiri, melibatkan diri dengan serius dalam pelbagai acara sastera tanah air dan mengambil tahu aktiviti persatuan pada masa yang sama terlibat dalam aktiviti-aktiviti persatuan.

Meminjam kata-kata Presiden Amerika John Edward Kennedy yang saya adaptasi berbunyi ‘Jangan tanya apa IPS sumbangkan kepada anda sebagai ahlinya tetapi tanyakan apakah sumbangan anda kepada IPS’. Barangkali ungkapan itu tidaklah begitu popular namun begitu sebagai ahli IPS, saya yakin kita mempunyai pandangan yang jelas, apakah kita mempunyai sikap ambil tahu kepada persatuan hanya disebabkan persatuan mampu memberikan sesuatu kepada kita? Tepuk dada tanya selera. Saya tidak ingin memaksa semua ahli berbuat lebih daripada apa yang ahli-ahli mampu berikan, memadailah mempunyai iltizam agar IPS terus mampu bergerak dan diiktiraf sebagai antara pertubuhan bukan kerajaan yang bermakna bukan sahaja kepada semua ahlinya bahkan kepada agama dan Negara kita.

Salam wasatiyyah dan selamat berjubli perak!

Pustaka Iqbal Nazim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan