15 Februari 2015

Impak sastera dalam karya



DI negara-negara maju sastera menjadi satu komponen penting untuk mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai insan. Kehebatan dalam industri tidak meminggirkan kesusasteraan malah diperhebatkan kerana inilah faktor yang menyuntik pertimbangan kemanusiaan. Kesusasteraan tidak pernah tersisih sebagai kelas dua atau tiga kerana pembangunan fizikal semata-mata tidak mampu membangunkan hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan. Lalu sastera mendapat tempat yang penting dalam laras pembangunan sesebuah masyarakat dan negara maju.

Sasterawan atau penulis yang baik adalah pemikir. Daripada golongan ini masyarakat boleh menumpang bahtera untuk menyeberangi lautan fikir yang luas terbentang tidak bersempadan. Pada masa sama sasterawan membentuk pola pemikiran ke arah pembangunan bukannya pemusnahan. Setitis tinta pena sasterawan mampu mengubah segugus tanggapan terhadap sesuatu. Dari sinilah timbulnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang dengan syarat berani dan bijaksana menggunakan pena untuk tujuan yang membina.

Sesiapa juga termasuk pihak berwajib tidak boleh terlepas pandang terhadap peri pentingnya golongan sasterawan ketika menggubal sesuatu dasar yang menyentuh kepentingan rakyat. Sasterawan lebih memahami denyut nadi dan getar jiwa berbanding para birokrat yang ada kala kontang rasa manusianya. Hasil penulisan yang tinggi falsafahnya tidak akan lupus ditelan zaman malah terus dijadikan cermin untuk menyingkap kehebatan silam seterusnya dijadikan penyuluh masa depan. 

Sebab itu peranan penulis berlaku sepanjang zaman. Saya pernah mengemukakan pertanyaan yang nakal, apakah penulis buat andainya tidak ada sebarang peraduan atau sayembara penulisan. Ikatan yang boleh disimpul dalam isu ini ialah penulis lahir bukan bersebabkan ada atau tidaknya sebarang insentif seperti peraduan atau sayembara, kerana penulis adalah pencetus idea dan tanggungjawabnya sebagai arkitek pembangunan minda manusia.

Ada tiga hal yang setidaknya mempengaruhi perkembangan peribadi seseorang. Tiga hal itu berupa bakat, lingkungan, dan buku yang dibaca. Bakat mengarah kepada suatu pembawaan sejak lahir. Sedangkan lingkungan merupakan tindakbalas dalam merangsang bakat sebagai kesempurnaan kewujudan. Sementara buku adalah ruang khidmat untuk menandaskan idea dan gagasan-gagasan yang menawarkan ruang inspirasi.

Salah satu bakat yang dimiliki oleh seseorang iaitu kemampuan untuk berbahasa. Secara normal, semua orang yang dilahirkan ke dunia, kemampuan berbahasa menjadi bekal pokoknya. Hal itu menjadi saranan dalam mengembangkan potensi keperibadiannya yang lain. Tinggal di mana orang tersebut berada, maka bahasa yang terbentuk adalah sesuai dengan lingkungannya.

Sementara yang berkait dengan bahasa dan merupakan sebahagian bentuk daripada pengembangan kemampuan berbahasa adalah sastera. Dalam mencipta karya sastera konstruksi bahasa tidak akan terlepas daripadanya. Bahasa sastera merupakan bahasa pengembangan peribadi manusia yang mengarah kepada nilai estetika. Bahasa ini pada dasarnya dibentuk sama dengan bahasa-bahasa pada umumnya, iaitu melalui proses interaksi dengan lingkungan yang bertumpu pada pembawaan masing-masing.

Seseorang menuturkan bahasa disebabkan oleh adanya wacana lingkungan, baik lingkungan fizik mahupun psikik. Lingkungan itulah yang menjadi media pemicu akan hadirnya ujaran bahasa termasuk sastera. Orang tersebut bermaksud ingin menyampaikan pesan tertentu atas fenomena yang telah diperolehinya. Oleh sebab itulah, estetika bahasa dalam sastera merujuk pada dua hal iaitu estetika struktural dan estetika semiotik. Estetika struktural (khasnya puisi) diwakili dengan adanya perwujudan nilai puitis yang berhubungan dengan diksi, rima, irama, aliterasi, asonansi, permajasan, enjambemen dan tipografi. Estetika semiotik pula berorientasikan pada makna dan nilai-nilai yang hendak disampaikan pengarang melalui karya sastera yang membekasinya.

Untuk mencapai kedua estetika tersebut, seorang pengarang tidaklah serta merta atau secara spontan menggenggamnya. Seorang pengarang harus menempuh proses tertentu dalam menggauli dan mengintimi sastera. Proses tersebut dapat ditempuh dengan dua jalan, iaitu menghujani fikiran dengan bacaan-bacaan dan bertukar fikiran atau bertukar pengalaman dengan rakan yang sama-sama berkecimpung dengan sastera. Kedua hal itu tentunya tidak terlepas dari faktor lingkungan juga. Sebab fenomena lingkunganlah yang mengilhami akan hadirnya sebuah karya dari peribadi seseorang.

Kedua-dua estetika di atas pada gilirannya akan menjelma sebagai suatu kekuatan yang sungguh luar biasa dalam karya sastera. Dapat dikatakan bahawa dua hal itu seiring sejalan. Yang satu sebagai jasad dan yang lainnya sebagai roh. Jasad tanpa roh maka tak ada kehidupan. Roh tanpa jasad maka tidak tampak jejak keberadaannya.

Karya sastera adalah karya seni yang berbicara tentang masalah hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa sebagai mediumnya (Esten, 1980). Seirama dengan itu (Rusyana, 1982) menyatakan, "Sastera adalah hasil kegiatan kreatif manusia dalam pengungkapan penghayatannya tentang hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa." Daripada kedua-dua pendapat itu dapat ditarik pengertian bahawa karya sastera adalah karya seni, yang menggunakan alat ungkap bahasa sebagai alat penyampainya, yang esensinya adalah tentang hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan. Daripada simpulan itu kemudian dapat dimunculkan pertanyaan, "Apakah seseorang perlu belajar sastera?" Jika ya, apa hasil akhir yang diharapkan daripada pembelajaran itu? Bagaimana pembelajaran itu dilaksanakan? Logikanya pembelajaran sastera memang tidak dapat dipisahkan dengan pembelajaran bahasa. Namun, pembelajaran sastera tidaklah dapat disamakan dengan pembelajaran bahasa. Perbezaan hakiki keduanya terletak pada tujuan akhirnya.

Kembali kepada isu pokok untuk membentuk sastera yang mantap kita harus memberi tumpuan kepada aktiviti menulis. Seperti kata Nisah Haron, menulis itu suatu kerja serius. Bukan sekadar melakar kata, menyusun ayat dan berbahasa puitis. Menulis ialah cara seseorang itu berfikir. Menulis karya kreatif pula bukan sekadar mengadun emosi dan menyatukan manusia dengan peristiwa. Ya, menulis itu penuh dengan tanggungjawab kerana sebuah karya itu bukan tempat melampiaskan luahan hati dan perasaan. Penulis juga bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

Mungkin ada segelintir pengarang yang bangga kerana telah menghasilkan sejumlah buku sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan tetapi apakah karya-karya itu telah memberikan kesan atau sesuatu perubahan yang ketara dalam kehidupan pembacanya? Maka meletakkan sastera tidak cukup berpolakan hanya kepada penobatan seseorang pengarang atau kepada sebuah karya yang luar biasa tanpa dibuktikan oleh kehebatan peristiwa atau impak yang menyatu. Akhirnya kita ingin mengatakan bahawa sastera perlu bangun secara semula jadi apabila masyarakat yang membicarakan sesuatu isu itu mampu menekuni pengajaran daripadanya secara luar biasa.

Pustaka Iqbal Nazim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan